0

Saida kakak Siti Nurhaliza failkan permohonan cerai




KUALA LUMPUR: Setelah 14 tahun melayari hidup bersama dan dikurniakan empat orang anak, penyanyi Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik daripada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri.
Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza memfailkan permohonan itu pada 6 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan. Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Perekutuan 1984 dan kes disebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd Suhaily Rosdi pada Selasa.
Bagaimanapun, prosiding tersebut hanya dihadiri oleh peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan sebagai wakil kepada bekas peserta Akademi Fantasia Musim Keenam itu manakala Mohd Ghazali tidak diwakili peguam.
Mohd Suhaily menetapkan 20 Disember depan sebagai sebutan semula kes bagi membolehkan pasangan tersebut berbincang bagi mengetahui sekiranya ikatan perkahwinan masih boleh diselamatkan ataupun mereka masih mengekalkan keputusan mahu berpisah.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Saida, 34, dan Mohd Ghazali, 40, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 13, Anas, 11, Khalid, 7, dan Siti Nurul Mashitah, 4 tahun.
Saida atau nama sebenarnnya Siti Norsaida Tarudin mendakwa dia dan suami sudah lama tidak bersefahaman dan sehaluan serta perkahwinan itu telah mengalami masalah yang berpanjangan dan tidak boleh didamaikan lagi.
Dia yang bernaung di bawah syarikat milik Siti Nurhaliza juga yakin bahawa matlamat perkahwinan tidak akan tercapai.
Turut dinyatakan, mereka yang beralamat di Alam Damai, Cheras, di sini juga tidak pernah bercerai sebelum ini.
0

Lisa Surihani dan Bront Palarae diangkat sebagai pelakon terbaik FFM23.





CERIA...Lisa,Bront bersama trofi masing-masing.



SHAH ALAM: Aktres jelita Lisa Surihani dan aktor, Bront Palarae diumumkan Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), malam tadi.
Manakala, filem Magika sentuhan pengarah yang baru saja diumumkan Pengarah Harapan, Edry Abdul Halim diumumkan filem terbaik.

SHAMSUL...pengarah terbaik. (Gambar Kanan) REZEKI...Edry (kiri), Norman dan Yusry bersama trofi  Filem Terbaik FFM23.Pelakon dan pengarah muda, Shamsul Yusof pula diumumkan sebagai Pengarah Filem Terbaik menerusi filem ketiga arahannya Evolusi KL Drift 2.


Kemenangan Lisa Surihani (Lagenda Budak Setan) sekali gus membenam harapan pesaing lain yang tidak kurang hebatnya, Jasmine Michael (Estet), Maya Karin (Pisau Cukur), Mislina Mustaffa (Karaoke) dan Putri Mardiana (Santau) untuk membawa pulang trofi yang mengiktiraf bakat dan lakonan mereka dalam dunia perfileman tanah air.

Calon lain berentap untuk Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Esme Daniel (Santau), Farid Kamil (Lagenda Budak Setan), Shamsul Datuk Yusof (Evolusi KL Drift 2) dan Zul Huzaimy (Haq).

Anugerah Filem Pendek Terbaik berpihak kepada Projek Genex (Ainotek Sdn Bhd) yang mengalahkan filem pendek Hargai Sejarah Keluarga (Yellow Pictures Sdn Bhd), Srok (Syaabani Production), Sub Rosa (Nadiah Hamzah) dan The Five Rules (Universiti Teknologi Mara, Shah Alam).

Filem Animasi Terbaik diberikan kepada Buas (Charukphong Anuvong).

Sementara filem Magika arahan Edry menang Anugerah Skor Muzik Terbaik.

Anugerah Penyunting Terbaik jatuh kepada Hisham Jupri menerusi Evolusi KL Drift 2.

Untuk Anugerah Sinematografi Terbaik dan Cerita Asal Terbaik masing-masing dimenangi Raja Mukhriz - Niyang Rapik dan Ahadiat Akashah - Lagenda Budak Setan.

Kategori Lakon Layar Terbaik mengiktiraf hasil karya Jumaatun Azmi - Haq.

Malam kemuncak FFM23 itu dihoskan Sharifah Shahira, Zizan Raja Lawak dan Hezrie Hashim.

Sebelum itu diadakan cara karpet merah yang dikendalikan Raja Farah, Faezah Elai dan Iqram Dinzly.

Konsep malam anugerah itu bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia dengan harapan dan matlamat penggiat filem tanah air dapat menghasilkan bertaraf antarabangsa untuk tontonan penonton tempatan sekali gus dapat diperkenalkan di pentas filem luar negara.

FFM23 disiarkan secara langsung di saluran Astro Prima dan TV1, dari jam 8.30 malam hingga 10.39 malam. Tetamu kehormat malam itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Hadirin dihiburkan dengan persembahan selingan lagu dari filem Evolusi KL Drift, lagu medley dari filem Magika nyanyian Mawi dan Diana Danielle dan lagu Tanda Kasih gandingan Lah Ahmad dan Dayang Nurfaezah. Diikuti persembahan Farah Asyikin dengan lagu, ERT dan lagu dari filem Appalam oleh Dr Burn dan Gitaris.

Persembahan penutup oleh Lan The Typewritter menerusi lagu API yang turut diiringi penari Istana Budaya.

Menyemarakkan lagi malam perhimpunan pengiat seni tanah air itu, butik Rafflesia The Pearl Center tampil menaja hadiah untuk pemenang pakaian lelaki dan wanita terbaik serta pereka terbaik FFM23.
Oleh Nor Akmar Samudin