Friday 14 January 2011

Pelakon Terbakar : Emma Akma Bimbang Wajah Kekasihnya Menjadi Buruk


 
Emma Akma melihat kesan melecur pada badan kekasihnya, Raffi yang masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
 
PETALING JAYA: Pelakon drama Emma Akma Yunus,42, amat bimbang melihat wajah kekasihnya, Raffi Husin,24, menjadi buruk akibat melecur gara-gara insiden kebakaran ketika penggambaran filem Bara Jiwa Selasa lalu.
Emma berkata, Raffi mungkin mengalami kesan melecur di keliling badan, tangan serta muka dan mahu pihak produksi, Nuansa Production, bertanggungjawab membuat pembedahan plastik pada wajah Raffi jika ia diperlukan.
"Kalau boleh saya nak wajah Raffi kembali seperti asal, tiada kesan luka sana sini. Mungkin orang nampak perkara ini remeh tetapi wajah merupakan aset utama sebagai seorang pelakon.
"Sudahlah dia baru nak mulakan kariernya, tiba-tiba jadi begini pula. Bagaimanapun setakat ini Nuansa memberitahu untuk menanggung segala kos rawatannya malah Julian (penerbit) kerap bertanyakan khabar dan perkembangan kesihatan Raffi," katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.
Walaupun pihak produksi berjanji akan menanggung kos rawatan pelakon baru itu, Emma tetap membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga jika janji yang dibuat itu tidak dikotakan.



Kesan kebakaran pada badan Raffi di jangka kering dalam masa dua minggu.
 
Bagaimanapun, Emma agak kesal dengan pihak produksi filem itu kerana tidak teliti mengenai keselamatan pelakon-pelakon ketika melakukan adegan aksi tersebut.
"Memang perkara ini tidak boleh nak salahkan sesiapa pun tetapi mereka sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap perkara walaupun babak aksi yang dilakukan itu kecil.
"Bayangkan ketika insiden tersebut berlaku, memang pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada di situ tetapi mereka tidak ada gunting untuk menggunting baju Raffi yang terbakar.
"Sebaliknya baju Raffi digunting menggunakan gunting jurusolek pula. Setakat ini kami tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan," katanya.
Raffi kini sedang dirawat di wad surgeri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan difahamkan kesan melecur pada tubuh pelakon itu akan kering dalam masa dua minggu lagi.
Dalam kejadian di Taman Seputeh, Kuala Lumpur Selasa lalu, Raffi mengalami kecederaan pada badan, muka dan tangan semasa hendak menyelamatkan diri dalam adegan kebakaran melibatkan sebuah gerai.
Selain Raffi, filem arahan Osman Ali itu turut dilakonkan Diana Danielle, Fizz Fairuz, Bront Palarae dan Remy Ishak.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...