Sunday 20 November 2011

Selamat Pengantin Baru Untuk Hattan...



Ke mudik sehentak galah, ke hilir serangkuh dayung, satu kata lahir dengan batin, sesuai mulut dengan hati...
PEPATAH Minangkabau tersebut sesuai dengan lafaz nikah Mohd. Shukri Shahabudin atau mesra disapa Hattan kepada pasangan yang dinikahinya, Farah Asyikin Othman, 33, pada tarikh cantik, 11 November lalu.
Dengan sekali lafaz, penyanyi berusia 47 tahun itu menamatkan zaman solonya yang sudah enam tahun dilayari. Begitu juga buat Farah, ibu tunggal kepada dua cahayamata iaitu Nazril, 6, dan Khara Latiesya, 5. Satu lafaz daripada hati yang menyatukan mereka zahir dan batin.
Sewaktu menghubungi Hattan Jumaat lalu, dia sedang enak membawa isteri dan anak-anaknya ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Menghirup bayu laut nan damai sambil merapatkan siratulrahim, Hattan bernyanyi-nyanyi gembira di hujung talian.
"Saya bawa anak-anak dan isteri ke Port Dickson (untuk) bercuti," ujarnya dengan nada gembira. Namun di sebalik gembira itu, dia meluahkan rasa, terkilan dengan segolongan invididu atas nama penulis blog dan penggiat forum yang menuduh dia bernikah secara senyap.
"Saya tidak faham kenapa mereka cakap saya kahwin secara senyap. Saya rasa sebagai orang Islam atau beragama apa pun, tidak elok membuat fitnah. Makan dengan duit haram namanya itu. Kenapa mereka mahu sibuk dengan isteri orang lain?" ujarnya sedikit panas walaupun berada di tepi pantai.
"Saya mengadakan pernikahan di kampung saya di Seri Menanti. Ada khemah dan kugiran mengiringi pernikahan saya. Saya ini orang kampung, berasal dari kampung dan sebab itu saya buat di sana. Saya jemput orang-orang kampung saya.


Hattan hairan dengan sikap penulis blog dan forum yang menyatakan dia kahwin secara senyap-senyap. 
Malah keluarga saya memakai persalinan kuning menunjukkan kami orang lingkungan dan membawa adat diraja," ujarnya yang selamat menjadi suami Farah dalam majlis akan nikah yang dilakukan selepas solat Isyak. Hattan turut mengundang Datuk M. Nasir, Ramli Sarip dan Man Bai untuk berkongsi kegembiraannya.
"Biarlah apa orang mahu kata. Sekarang, saya sangat gembira dan tidak risau. Malah saya beryukur dengan jodoh saya," ujarnya yang menyeru agar orang luar tidak sibuk menyelidik tentang pasangan dan pernikahannya yang diadakan secara santai namun meriah di kampung.
Merasakan jodohnya kuat dengan Farah, dia bercerita tentang pertemuan tak dirancang yang terjalin di Doha, Qatar.
"Kami bertemu di Doha sewaktu saya selesai menunaikan umrah di Mekah. Farah pula transit dari London. Kami berkenalan dan hanya selepas dua minggu, saya menghubunginya. Pertemuan demi pertemuan selepas itu, saya rasa jodoh kami kuat dan Allah menemukan kami," ceritanya bernyanyi mempamerkan gembira dan bersyukur anaknya Adam Iman, 11, sangat serasi dengan isteri baharunya.
"Saya harap peminat doakan kami. Semoga perkahwinan kami bahagia dan doa juga agar kami dapat menunaikan umrah bersama-sama pada tahun hadapan," Hattan mengakhiri perbualan dan menutup pertanyaan ramai terhadap perkahwinan keduanya.
Kredit: Sumber

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...