Sunday 2 August 2009

Hairi juara sulung Anak Wayang



Program realiti pencarian bakat lakonan, Anak Wayang melabuhkan tirainya apabila berjaya menobatkan Mohd Hairi Safwan Aznan, 21, sebagai juara sulung rancangan tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam kelmarin. Pengumuman itu dibuat pasangan pengacara Rusdi Ramli dan Fazura.

Hairi, penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Kuala Lumpur, mengatasi saingan penuntut Universiti Multimedia, Hafiz Halim, 21, dengan peratusan undi SMS yang dikumpul sebanyak 58 peratus.

"Saya rasa bersyukur sangat kerana menjadi juara sulung rancangan ini. Tahniah juga kepada Hafiz kerana beliau pesaing yang hebat kerana mempunyai kelebihan memori yang kuat. Kami selalu berkongsi idea untuk memantapkan bakat lakonan masing-masing. Terima kasih pada tenaga pengajar dan semua krew penerbitan Anak Wayang,” kata-kata yang terbit dari mulut anak jati Kedah itu selepas diumumkan sebagai juara.

Persembahan akhir Pentas Anak Wayang dimulakan dengan persembahan bertenaga penyanyi wanita popular tanah air, Ning Baizura menerusi lagu Drama. Kemudian, gimik pengacara rancangan tersebut, Rusdi Ramli yang tampil menyanyikan lagu Kasih Tercipta begitu mengagumkan apabila berjaya mencuri tumpuan setiap tetamu yang hadir pada malam tersebut. Lagu yang dipopularkan oleh Faizal Tahir itu berjaya disampaikan bak penyanyi profesional oleh Rusdi yang sebelum ini ditempelak hebat sepanjang mengacarakan Pentas Anak Wayang.

Kedua-dua peserta menyempurnakan tiga tugasan yang diberikan dengan cemerlang sehingga menarik perhatian ketiga-tiga juri profesional pada malam tersebut iaitu, Rashid Sibir, Nasha Aziz dan Erra Fazira yang diundang sebagai juri jemputan.

Selain itu, Farhan, Ella, Stacy dan Muslee Ramlee turut diundang untuk memeriahkan majlis dengan beberapa persembahan yang menarik. Pentas akhir Anak Wayang tersebut dipancarkan secara langsung menerusi Astro Ria selama tiga jam bermula jam 10 malam.

Selaku juara Hairi membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi, kereta Honda Jazz bernilai RM109,800, berpeluang berlakon menerusi 60 episod drama di Astro Prima, selain menerima dua tiket penerbangan ke Los Angeles, Amerika Syarikat, kamera Canon dan rawatan kecantikan di Aster Spring selama setahun manakala Hafiz menerima RM5,000, trofi, televisyen LCD dan kamera Canon.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...