Wednesday 21 December 2011

Raisuddin Hamzah Akui Sayang Isteri Mudanya

SHAH ALAM 20 Dis. - Penyanyi era 1980-an, Raisuddin Hamzah mengaku masih tinggal bersama isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi walaupun Mahkamah Tinggi Syariah di sini dua tahun lalu memerintahkan pasangan itu tinggal berasingan sehingga perkahwinan mereka disah dan didaftarkan.
Raisuddin hanya menjawab setuju apabila peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie mencadangkan dia masih tinggal bersama Siti Fatimah, semasa memberi keterangan dalam prosiding permohonan bapa mertuanya, Suberi Abdullah, 51, untuk membubarkan perkahwinan mereka secara faraq.
"Saya ada dengar tentang perintah faraq tetapi tidak ditunjukkan surat. Setuju saya masih tinggal bersama dengan defendan pertama (Siti Fatimah)," kata Raisuddin di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Bagaimanapun tiada sebarang reaksi daripada pihak mahkamah berhubung pengakuan pelanggaran perintah tersebut.


Pada 21 Disember 2009, Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad memerintahkan Raisuddin, 54, dan Siti Fatimah, 23, tinggal berasingan sehingga perkahwinan mereka disah dan didaftarkan.
Perintah sementara yang berkuat kuasa pada tarikh tersebut dikeluarkan selepas beliau membenarkan permohonan Suberi untuk menghalang pasangan itu daripada tinggal serumah memandangkan kes pengesahan pernikahan pasangan itu masih belum selesai.
Sementara itu, Raisuddin dalam keterangannya hari ini turut menafikan bahawa terdapat sebarang perancangan untuk menjodohkan Siti Fatimah dengan anak lelakinya sebagaimana yang didakwa oleh Suberi dalam keterangannya sebelum ini.
Menurut bapa kepada penyanyi Sarah Raisuddin itu, beliau juga langsung tidak tahu bahawa Siti Fatimah akan dijodohkan dengan seorang doktor sebelum mereka berkahwin di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007.
"Tidak benar. Saya tidak tahu apa-apa tentang dakwaan bahawa Siti Fatimah akan dijodohkan dengan anak lelaki. Saya juga tidak tahu Siti Fatimah akan dijodohkan dengan seorang doktor.
"Saya ada dua anak lelaki, Ahmad Firdaus dan Ahmad Yazid, kedua-dua mereka tidak kenal Siti Fatimah. Saya hanya tahu dakwaan itu semasa perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Masa itu saya sudah bernikah dengan Siti Fatimah," jelas beliau semasa disoal oleh peguam syarie yang mewakilinya, Nor Azmi Mohd. Arif.
Raisuddin juga mengakui tidak setuju dengan permohonan faraq yang difailkan oleh Suberi kerana beliau amat yakin perkahwinannya dengan Siti Fatimah sah dari segi hukum syarak selain tiada alasan munasabah untuk memisahkan mereka.
Keyakinan beliau disokong oleh surat nikah yang dikeluarkan oleh Islamic Commitee of Songkhla, Thailand, surat daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla serta surat pengesahan nikah mereka daripada Pejabat Agama Islam Gombak Timur.
"Saya mahu teruskan perkahwinan sebab kami telah berkahwin secara sah. Perkahwinan kami juga atas dasar suka sama suka dan kami hidup sebagai pasangan suami isteri.
"Jika faraqkan perkahwinan kami, ia akan mendatangkan mudarat sebab saya sayangkan Siti Fatimah. Daripada hari pertama kami kahwin sampai ke hari ini, rumah tangga kami rukun damai," katanya.
Semasa disoal oleh Roshdan yang mewakili Suberi, Raisuddin mengatakan tidak setuju bahawa beliau tidak pernah cuba meminta izin daripada Suberi dalam apa jua keadaan untuk menikahi Siti Fatimah.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak pernah berjumpa Suberi untuk berbuat demikian pada bila-bila masa sebelum mengambil keputusan bernikah di Thailand.
Raisuddin juga berpendapat Suberi telah hilang kelayakan sebagai wali kepada Siti Fatimah kerana beliau dan isteri berkahwin di luar kawasan.
Bagaimanapun semasa ditanya oleh Hakim Syarie, Zainor Rashid Hassin siapa yang sebenarnya meninggalkan kawasan, Raisuddin mengaku beliau dan Siti Fatimah yang bertindak demikian dan bukan Suberi.
Perbicaraan bersambung pada 11 Jun tahun depan.
Kredit: Sumber

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...