0

Aliff Aziz Minta Maaf Isu Cium

Dalam menjalani ibadah puasa ini, tiba-tiba industri hiburan dikejutkan dengan berita panas yang cukup mengejutkan. Semuanya gara-gara penyebaran gambar ‘terlampau’ Aliff Aziz di internet dengan seorang wanita yang tidak dikenali. Kepada yang masih tidak tahu, gambar itu mempamerkan aksi Aliff bercium dengan seorang wanita yang kelihatan agak berusia daripadanya.

Pasti ramai yang tidak sangka penyanyi kelahiran Singapura yang nampak seperti budak baik ini boleh terlibat dengan perkara sebegitu. Jadi, hendak tahu apa reaksi Aliff dengan penyebaran gambar-gambar tersebut? Ketika dihubungi, Aliff mengakui gambar-gambar tersebut memang dirinya dan dia berasa cukup menyesal dengan apa yang telah terjadi.

“Saya akui yang saya telah melakukan kesilapan yang cukup besar. Sejujurnya, saya berasa amat menyesal dengan apa yang telah terjadi. Memang sukar untuk saya gambarkan betapa menyesalnya saya dengan luahan kata-kata, tetapi saya amat berharap semua pihak yang tersinggung dapat memaafkan saya,” luah Aliff dengan nada cukup kesal.
Apabila ditanya tentang wanita di dalam gambar tersebut, Aliff enggan mengulas lebih lanjut.
“Sebenarnya saya tidak mahu menjelaskan perkara ini secara terperinci kerana saya tidak mahu panjang-panjangkannya. Siapa wanita dalam gambar itu tidak penting. Lagipun saya juga tidak begitu mengingati di mana dan bila gambar ini diambil. Mungkin dua atau tiga bulan lepas. Apa yang pasti ia berlaku di Singapura.
“Selain itu, saya juga tidak mahu menyalahkan sesiapa dengan penyebaran gambar-gambar itu. Saya tidak mahu cakap sama ada ini adalah sabotaj atau kerana sifat dengki seseorang. Saya yang bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang terjadi. Sebab itulah, saya benar-benar kesal dan mengharapkan peminat-peminat saya dapat memaafkan diri ini.
“Sebagai manusia biasa, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Insiden ini pasti akan saya ingati sampai bila-bila. Saya akan jadikannya pengajaran dan pastikan perkara sebegini tidak akan berulang. Ini adalah yang pertama dan terakhir,” janji Aliff lagi.
Diharapkan dengan penjelasan Aliff ini, peminat-peminat di luar sana dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya. Untuk pengetahuan semua Aliff sekarang ini sedang berada di Kuala Lumpur kerana sedang sibuk dengan proses pembikinan album terbarunya.

Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang, Aliff ingin menyampaikan salam Aidilfitrinya kepada semua dan berharap sempena bulan yang mulia ini semua pihak dapat memaafkan dirinya dan sentiasa menyokong karier seninya.