0

Pekida Mahu Saman Penerbit Dan Pengarah Filem Kongsi Dan KL Gangster

http://www.gosipsensasi.co.cc


PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) berhasrat menyaman penerbit dan pengarah filem Kongsi dan KL Gangster kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka.
Ketua Ahli Majlis Negeri Pekida Wilayah Persekutuan, Shikin Begum berkata antara dialog dalam kedua-dua filem berkenaan telah menggunakan kata kunci pertubuhan tersebut yang selama ini dianggap rahsia.
"Kami melihat filem Kongsi dan yang terbaru ini KL Gangster telah melampaui batas apabila menggunakan kata laluan dan kod rahsia Pekida.
"Mereka juga telah membuka banyak rahsia Pekida dengan menerbitkan filem bercorak gengster yang sebenarnya hanya memalu dan menjatuhkan martabat bangsa Melayu sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Shikin berkata, pihaknya kecewa kerana penerbit filem tersebut iaitu Skop Production dan Metrowealth yang tidak sensitif dengan perkara melibatkan pertubuhan tersebut.
Kedua-dua filem itu juga dilihat telah menjejaskan imej masyarakat Melayu apabila mengaitkan golongan Melayu dalam kumpulan gengster.
"Saya kecewa kerana kedua-dua pengarah iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif dengan perkara ini. Jika mereka mahu menghasilkan filem seumpama itu, mereka harus meminta nasihat kami terlebih dahulu.
"Mereka seperti mempermainkan perjuangan pertubuhan ini dan tidak menghormati kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kami sedar ramai yang masih tidak tahu perjuangan Pekida namun mereka seharusnya ada rasa hormat," ujarnya kesal.
Tambahnya, dia memahami kedua-dua pengarah muda ini mempunyai perjuangan dalam memeriahkan industri filem tanah air, namun tidak seharusnya mengambil jalan dengan menjatuhkan imej pertubuhan tersebut.
"Kedua-dua filem itu bukan sahaja tidak menghormati kami, malah memberi pandangan buruk kepada masyarakat tentang perjuangan sebenar Pekida.
"Kami pada awalnya berdiam, namun kemunculan filem KL Gangster membuatkan kami seperti dicabar untuk bangkit mendapatkan penjelasan selain mengambil tindakan," jelasnya.
Sehubungan itu, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula.
Pertemuan itu kata Shikin telah diaturkan di pejabat LPFM di Putrajaya, Jumaat (hari ini) pada pukul 4 petang.
0

Rabecca Nur Al-Islam Keguguran Anak Sulung

http://www.gosipsensasi.co.cc


Rabecca bersama suami dan anaknya. 
PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rabecca Nur Al-Islam, 25, menganggap keguguran kandungannya yang baru mencecah usia dua bulan sebagai tiada rezeki.
Dia yang pada mulanya mengalami pendarahan dan sakit perut dikejarkan ke Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.
“Pada malam kejadian saya sakit di bahagian bawah perut dan berlaku pendarahan. Suami saya bawa ke hospital dan apabila diperiksa bayi dalam kandungan sudah tidak bernyawa.
“Kemudian doktor melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi. Kata doktor bayi tersebut sudah beberapa hari meninggal dunia tanpa saya sedari,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Tambah Rabecca, dia masih lagi berasa terkejut, kecewa dan sedih dengan kejadian yang menimpanya.
“Ketika mendapat tahu perkara tersebut saya tak henti menangis, mungkin saya terlalu berharap untuk mendapatkan bayi.



“Alhamdulillah, suami saya sentiasa berada di sisi dan memberi sokongan agar tidak terlalu bersedih dengan apa yang sudah berlaku itu,” katanya yang dijangka keluar pusat perubatan berkenaan Khamis.
Rabecca telah mendirikan rumah tangga bersama seorang peguam Nor Azam Sulaiman pada 15 Januari lalu dan mempunyai seorang anak angkat bernama Nor Adam Danie yang kini berusia tiga tahun.
Katanya, sejak mengetahui dirinya mengandung, dia sudah menolak semua tawaran berlakon untuk berehat buat sementara waktu.
0

Neelofa Yang Panas Dan Penuh Kontroversi!!


ENTAH di mana silapnya, tiba-tiba saja nama bintang baru ‘ciptaan’ sutradara Aziz M Osman, Neelofa, 22, menjadi sebutan kebanyakan wartawan gara-gara sikapnya sejak kebelakangan ini yang dikatakan terlalu gemar menjaja kisah peribadi lebih-lebih lagi cerita cintanya dengan beberapa pemuda hebat termasuk VIP dan kerabat diraja.
Neelofa atau Lofa dianggap bertuah kerana memiliki pakej seorang pelakon yang menjadi buruan pengarah filem dan drama, sepatutnya dia menggunakan kelebihan itu untuk memantapkan kerjaya, bukannya meraih publisiti murahan atas kecantikannya sehingga ada yang mendakwa beliau sanggup mereka cerita kononnya beberapa jejaka berstatus elit sanggup meninggalkan kekasih mereka kerana memburu cintanya.

Di awal kemunculan Lofa dalam industri hiburan, dirinya sudah pun terpalit dengan kontroversi apabila didakwa menjadi orang ketiga percintaan antara aktor baru Shahz Jaszle dengan pelakon seksi Maria Farida, sekali gus dia menerima publisiti meluas di dada akhbar dan majalah hiburan meskipun bakat lakonannya belum lagi teruji, namun itulah kelebihan beliau apabila kisah sensasi seumpama itu berjaya melonjakkan lagi namanya.







Kini, Lofa dilihat seakan-akan memerlukan publisiti sepanjang masa apabila dia dikatakan rela ‘memalu kompang’ memberitahu orang di sekelilingnya, dia adalah puteri jelita yang menjadi idaman putera raja. Tidak keterlaluan apabila ada pihak yang melabel Lofa sebagai ‘pemburu perhatian’ yang mahu dirinya terus menjadi tumpuan media massa sekalipun terpaksa menjaja kisah dongeng.

Sikap Lofa yang dikatakan berangan hebat itu pastinya tidak disenangi beberapa individu yang bekerja dengannya. Daripada risikan, seorang artis senior kini menahan sabar dengan sikapnya itu. Lofa kononnya cuba melakukan provokasi terhadap artis berkenaan dalam usahanya meraih perhatian wartawan, namun tidak mendapat balasan pelakon itu.

Mulut Lofa juga dicanang lancang, khabarnya seorang pengarah hebat nyaris kehilangan aktor popular daripada produksinya gara-gara keceluparan dia berkata-kata. Itu belum cerita Lofa yang kini sudah berani datang lewat ke lokasi penggambaran. Dia dikatakan menimbulkan kemarahan beberapa artis dan kru baru-baru ini apabila tidak mematuhi call time yang diberikan kepadanya. Disiplin kerja Lofa dikhabarkan amat mengecewakan.

Wah! Hebat sungguh kisah negatif Lofa yang disampaikan ke telinga penulis. Sukar hendak mempercayai segala dakwaan yang dilemparkan kerana sejak mengenali Lofa awal tahun ini, dia sentiasa menampilkan sisi terbaik dirinya apabila bertemu, namun apabila disogok dengan pelbagai cerita tidak enak daripada sumber wartawan sendiri, kepercayaan penulis kepadanya mula goyah, namun sangat berminat untuk mengetahui sejauh mana kesahihannya.

Di awal perbualan, Lofa lebih cenderung untuk menjelaskan tahap disiplinnya yang dikatakan semakin merudum. Katanya, dia baru selesai membintangi drama bersiri 13 episod, Kitab Cinta arahan Erma Fatima. Dia yakin, cerita kononnya beliau lewat ke lokasi penggambaran sebenarnya tercetus ketika pembikinan drama berkenaan. Tambahnya lagi, dalam masa sama, dia juga terbabit dalam penggambaran filem King Kapchai terbitan KRU Studios.

“Bukan masalah jadual drama dan filem bertembung, sebaliknya produksi menempah jadual saya untuk lima hari penggambaran, namun mereka minta satu hari tambahan kerana penggambaran belum selesai. Call time saya untuk Kitab Cinta jam 11 pagi, manakala King Kapchai sebelah malam, jadi saya perlu selesaikan penggambaran sebelum jam 4 petang.

“Saya hadir ke lokasi drama sebelum jam 11 pagi. Tapi, ada kru yang membawa mulut kononnya saya lambat kerana call time sebenarnya 8 pagi. Apabila artis dan kru produksi lain dapat tahu, mereka bengang kerana menganggap saya benar-benar lewat ke lokasi sehingga mereka terpaksa menunggu lama. Justeru, gara-gara mulut seorang kru, saya dikatakan tidak berdisiplin, gagal patuhi call time” jelasnya memperbetulkan keadaan.

Sebelum ini berkali-kali Lofa membuat penafian, dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan Shahz Jaszle, sekadar teman rapat sesama rakan artis saja, tapi ada mata sudah terpandang kelibat Shahz menjemput Lofa di lokasi Kitab Cinta. Apa penjelasan Lofa dalam hal ini, adakah dia seorang yang gemar berdolak-dalik ketika memberikan kenyataan asal saja beliau memperoleh publisiti?

“Saya ada kereta sendiri, lengkap dengan GPS (Global Positioning System). Saya juga tak ada pembantu peribadi mahupun pemandu peribadi, ke mana saja saya pergi seorang diri. Jadi, cerita kononnya Shahz (Jaszle) pernah menjemput saya di lokasi Kitab Cinta, ternyata dakwaan itu tidak benar sama sekali,” ujar Lofa memperbetulkan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.





Lofa dikatakan gemar menjaja cerita peribadi, terbaru dia mendakwa seorang duda berstatus VIP sanggup meninggalkan kekasihnya semata-mata menagih cinta daripadanya. Mendengar tuduhan itu, Lofa ketawa besar, sekali gus menafikan perkara itu sekeras-kerasnya apabila dia mendakwa duda berkenaan sehingga kini masih dengan kekasih lamanya.

“Sekiranya benar perkara ini terjadi, kenapa duda atau kekasihnya itu tidak pernah menghubungi saya? Orang sengaja bawa mulut dan mereka-reka cerita. Saya tak tahu, kenapa diri saya sering menjadi sasaran. Saya masih waras, saya tak pernah menjaja cerita kononnya duda berkenaan menagih cinta daripada saya.

“Namun, saya tak nafikan, duda berkenaan adalah kenalan rapat keluarga saya. Jadi, kami pernah keluar makan ramai-ramai. Mungkin apabila orang nampak saya ada bersama duda berkenaan pada masa itu, mereka menganggap kami ada hubungan istimewa, sebenarnya tidak. Saya sumpah semua itu fitnah, kononnya duda berkenaan meninggalkan kekasihnya kerana saya, saya tak pernah menjaja cerita itu,” katanya lagi.

Maaf bukan anak raja!

KINI sudah tersebar cerita di kalangan artis dan wartawan, kononnya Lofa ‘memalu kompang’ mendakwa dirinya sedang bercinta dengan kerabat diraja. Lofa didakwa mereka cerita kepada orang sekeliling, kononnya dia kini menjadi kekasih kepada putera raja, walhal apa yang dicanang itu tidak pernah wujud atau berlaku, sebaliknya beliau berbuat begitu semata-mata untuk meraih publisiti murahan. Lofa didakwa mengalami masalah psikologi.

“Sekarang saya rapat dengan seseorang yang seusia dengan saya, bukan anak raja seperti yang didakwa itu. Lofa tak pernah bercerita, orang yang bercerita kepada press. Justeru, dakwaan saya menjaja cerita kononnya sedang bercinta dengan kerabat diraja itu, adalah satu penipuan!,” tegas Lofa.

Lofa juga dikatakan pernah menghubungi kerabat diraja itu, namun dia tidak berani bersuara selepas panggilannya dijawab. Apa komen Lofa? Katanya: “Buat apa saya telefon dia (kerabat diraja)? Tuduhan itu sama sekali tak betul!”.

Tambah Lofa, dakwaan kononnya dia menjaja cerita duda VIP dan kerabat diraja berkenaan sedang bercinta dengannya, cerita seumpama itu tidak pernah keluar daripada mulutnya. Beliau mendakwa orang lain yang mereka cerita itu.

“Saya sakit hati apabila ada orang lain yang menjaja cerita tak betul mengenai diri saya. Apa yang saya dapat sekiranya benar saya menjaja cerita peribadi, buat malu saja! Saya ada maruah. Saya rasa tak perlu nak tarik perhatian sesiapa. Namun, ingin saya tegaskan sekali lagi, pemuda yang rapat dengan saya ketika ini umurnya sebaya dengan saya, beliau somebody, tapi dia bukan duda VIP mahupun putera raja seperti didakwa,” katanya berkali-kali.

Apabila tersebarnya cerita Lofa gemar menjaja cerita peribadi, dia dikatakan takut untuk bertemu dengan wartawan, khuatir sekiranya persoalan itu dibangkitkan. Tapi, apabila dakwaan berkenaan diajukan kepada Lofa, dia menafikan, sebaliknya menjelaskan beliau sedia memberikan kerjasama kepada rakan wartawan, sekali gus menjawab segala pertanyaan mereka.


Info Neelofa

NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor
TARIKH LAHIR: 10 Februari 1989
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
KELUARGA: Anak ketiga daripada sembilan beradik
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Pakistan-Arab)
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran, Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor
PENCAPAIAN: Juara Dewi Remaja 2010
KOMERSIAL TV: Nokia, Silky Girl, Fair & Lovely dan F&N Fruit Tree
KLIP VIDEO: Kau Bukan Aku nyanyian kumpulan Tilu
FILEM: Azura (versi baru) terbitan Ace Motion Pictures Sdn Bhd, arahan Aziz M Osman
DRAMA: Kasih Najihah, Tahajud Cinta dan Kitab Cinta kesemuanya arahan Erma Fatima
PENGACARAAN: Paparazzi terbitan KRU Studios, boleh diikuti menerusi www.tonton.com.my dan Sekolahku Hebat siaran Astro Ceria (saluran 611)
ARTIS NAUNGAN: KRU Studios mulai 31 Januari lalu selama setahun
 
Oleh Zubir Mohd Yunus
0

Fara Fauzana Dilamar Astro Dengan Kontrak Bernilai RM1 Juta

http://www.gosipsensasi.co.cc

KUALA LUMPUR – Deejay Fara Fauzana kini berada dalam dilema sama ada mahu terus setia bersama stesen radio Hot.FM atau berhijrah ke stesen televisyen Astro selepas dikhabarkan menerima tawaran kontrak mencecah RM1 juta.

Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd. Fadzil, 31, yang kini berkhidmat di stesen radio Hot.FM mengaku menerima lamaran daripada pihak Astro untuk berhijrah ke stesen televisyen berbayar tersebut.
Bagaimanapun, Fara sewaktu dihubungi Kosmo! berkata, dia sedikit terkejut apabila mendengar dakwaan bakal menerima kontrak bernilai RM1 juta sekiranya bersetuju berhijrah ke Astro.





“Ya betul, memang saya mendapat tawaran tersebut daripada pihak Astro tetapi sehingga hari ini, saya masih belum membuat sebarang keputusan. Jika saya sudah membuat keputusan, saya pasti akan mengumumkannya kelak,” kata Fara.

Menjawab tentang habuan RM1 juta yang ditawarkan pula, Fara hanya berkata: “Tak adalah.”
Apabila ditanya tentang kemungkinan dia meninggalkan stesen radio Hot.FM yang telah menjadi ‘rumahnya’ selama lebih lima tahun dan pulang ke ‘rumah lamanya’ di Astro, Fara hanya menjawab: “Tiada komen.”
Deejay itu juga mengulangi bahawa dia masih tidak membuat sebarang keputusan terhadap kontrak yang ditawarkan kepadanya itu.

Fara turut menafikan dakwaan dia kini memandu kereta mewah jenis BMW X6 sebaliknya menyatakan: “Saya masih memandu kereta lama saya jenis Honda. Kalau ada duit banyak, saya pun teringin juga nak pandu BMW X6.”
Oleh MALIAH SURIP dan FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
0

Tidak Mustahil Cinta Nash Dan Betty Bertaut Kembali

http://www.gosipsensasi.co.cc/

KUALA LUMPUR: “Hubungan cinta kami sudah berakhir. Kami berkawan setahun saja dan saya reda dengan ketentuan Tuhan kerana kami memang tiada jodoh,” kata pelakon dan penyanyi, Betty Banafe mengenai hubungannya dengan bekas vokalis kumpulan Lefthanded, Nash.


Menurut Betty, dia dan Nash berpisah secara baik dan enggan mengulas lanjut termasuk punca perpisahan itu untuk menjaga hati banyak pihak.

“Kini, saya ingin mencari ketenangan dan melupakan apa yang sudah dilalui sepanjang kami berkawan rapat dulu,” katanya.

Mereka berdua mula berkawan rapat sebaik saja Nash bercerai dengan bekas isterinya yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.






Betty yang berdarah kacukan Arab-Melayu-Jawa dikatakan menyembunyikan dirinya seketika daripada media ketika hubungannya dan Nash heboh diperkatakan ketika itu.

Sekalipun sudah putus, akui Betty, hubungan mereka masih baik sampai sekarang.

Pelakon dan pelawak terkenal, Zaibo atau Zainal Ariffin Abd Hamid, 55, tidak menyangka jalinan kasih antara Betty Benafe dan Nash berakhir selepas melihat mereka berdua sungguh akrab sebelum ini.

Menurut Zaibo, ketika menghadiri majlis kenduri anak saudaranya tahun lalu, dua selebriti berkenaan kelihatan mesra bersama.





“Betty naik ke pentas dan menghadiahkan dua kuntum mawar putih kepada Nash ketika menyanyikan lagu ‘Doa Buat Kekasih’ dalam majlis berkenaan.

“Anak Nash, Syamir Nasha juga nampak rapat dengan Betty. Yang boleh saya katakan, mereka seakan-akan ada hubungan istimewa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zaibo berkata, mungkin hubungan yang baru terjalin antara Nash dan Betty ‘masih terlalu longgar’, justeru mereka berdua ada alasan sendiri untuk membawa haluan masing-masing.
“Saya tidak berani bertanya lebih lanjut sejauh mana hubungan mereka. Saya juga tidak mahu dianggap terlalu campur tangan dalam hal peribadi orang lain, tetapi jika Nash mahupun Betty mahu bercerita dan bertanya pandangan, saya sedia mendengar,” katanya.

“Mana tahu, jika ada jodoh saya dengan dia, walaupun mungkin sudah berpisah, tidak mustahil kami bertaut kembali,” katanya yang turut menafikan orang ketiga menjadi punca perpisahan dengan Nash.

Nash gagal dihubungi untuk menjelaskan kedudukan sebenar mengenai hubungan mereka.