0

Penganjur AIM 18 Melakukan Kesilapan Paling Bodoh Dalam Sejarah Muzik Negara


ANUAR ZAIN (kiri) bersama Edry Abdul Halim menerima trofi Lagu Terbaik daripada Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim


INI memang senario paling lucu dalam industri hiburan tempatan sebelum tahun 2011 melabuhkan tirai. Bertambah lucu apabila ia datang daripada sebuah anugerah yang dianggap paling berprestij untuk mengiktiraf karyawan sebalik tabir dan pelaku muzik tanah air, Anugerah Idustri Muzik (AIM) - tersilap beri anugerah dan pengiktirafan!
Jika ingin dilihat secara kasar, memang tidak masuk akal langsung apabila AIM yang tahun ini sudah masuk usia 18 tahun boleh melakukan kesilapan paling bodoh untuk jenama besar mereka.
AIM 18 tersilap memberi pengiktirafan kepada kategori Lagu Terbaik yang dimenangi oleh karya penuh Yuna, Penakut. Anugerah itu kini telah bertukar tangan kepada komposer Edry Abdul Halim dan penyanyi Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih.
Padahal, sewaktu majlis sidang akhbar berlangsung usai AIM 18 berakhir lebih seminggu lalu, memang sudah kecoh tentang kemenangan lagu Penakut. Bagaimana sebuah lagu yang tidak menang dalam salah satu subkategori boleh diangkat juara.
Sedangkan mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur, pemenang Lagu Terbaik mestilah merupakan salah satu pemenang bagi empat anugerah subkategori sama ada Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik atau Lagu Nasyid Terbaik.
Namun pihak penganjur menangkis dan menepis soalan media. Barangkali media cuba membunuh anugerah yang semakin mula nampak banyak kepincangannya ini, penganjur dengan yakin menjawab semua lagu berhak untuk menjadi juara dan seharusnya ia tidak boleh dipertikai kerana ia diadili oleh badan yang cukup profesional.
Apabila pihak penganjur sudah berkata demikian, siapalah media untuk mempersoalkan lagi walau memang diakui, jawapan yang diberikan tidak logik. Malah siapa juga Yuna atau pelaku muzik lain untuk mempertikaikan penjurian profesional.
Baru ingin melupakan kontroversi tersebut, AIM 18 membakar termometer mereka sendiri. Umpama sudah ludah dan menjilat semula, mereka menarik balik pengiktirafan terhadap Yuna. Kata mereka, terdapat kesilapan teknikal yang berlaku terhadap penjurian.
Maka anugerah Lagu Terbaik yang dimenanginya pun dipulangkan. Sesudah dipulangkan, ia kemudian diberi kepada pemenang yang lebih layak mengikut penjurian profesional mereka, Sedetik Lebih.
Yuna yang merupakan mangsa utama terhadap kecelaruan penjurian AIM 18 memberitahu, dia sendiri agak hairan apabila lagu Penakut diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik ketika acara kemuncak yang berlangsung pada 12 November yang lalu.



YUNA akan tetap menyokong AIM namun meminta agar kesilapan yang sama tidak berulang demi menjaga maruah dan kreadibiliti anugerah tersebut serta karyawan seni.

"Walaupun saya masih baru dalam industri ini, tetapi saya sudah memahami tentang kriteria untuk acara anugerah seperti AIM. Setahu saya untuk merangkul anugerah Lagu Terbaik mestilah berdasarkan kepada pemenang salah satu kategori utama.
"Namun bila memikirkan kembali tentang banyak pembaharuan yang dilakukan oleh penganjur, jadi saya merasakan keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan kepada salah satu pembaharuan tersebut," ujarnya yang hadir pada sidang akhbar tergempar yang diadakan di Hotel Maya, Kuala Lumpur kelmarin.
Tambah Yuna, apabila dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) beberapa hari lalu tentang kesilapan yang telah berlaku, dia mengakui agak terkejut dan tidak menyangka akan berlaku kesilapan dalam sebuah acara yang cukup berprestij.
Ujarnya, kesilapan besar sebegitu dilihat boleh mencalarkan sedikit kredibilitinya, namun tetap menerima dengan hati yang terbuka apabila kemenangannya itu ditarik semula.
"Apa yang saya tahu perkara ini sudah pun menjadi perbualan ramai sehingga menimbulkan pelbagai persepsi yang buruk tentang penganjuran AIM pada kali ini.
"Meskipun saya adalah mangsa terhadap kesilapan yang berlaku, tetapi saya yakin ia tidak akan memberi impak yang lebih besar terhadap kerjaya dan maruah saya sebagai penyanyi pada masa akan datang," ujarnya.
Pada masa yang sama, penyanyi yang mula popular menerusi lagu Dan Sebenarnya itu turut memuji tindakan pihak penganjur yang mengadakan sidang akhbar khas bagi merungkai permasalahan serta kontroversi yang timbul.
Ujarnya, dengan langkah segera yang diambil oleh RIM ini, ia dilihat sebagai salah satu langkah yang berkesan untuk memperbetulkan segala kesilapan agar orang ramai tidak terus memandang serong terhadap kredibiliti pihak penganjur yang sudah tercalar.


"Selepas ini, mana-mana pihak yang terbabit dalam penganjuran anugerah sebegini haruslah memikul tanggungjawab yang diberikan dengan lebih baik supaya tiada lagi sebarang kontroversi yang timbul.
"Saya sangat yakin segala masalah yang berlaku ini adalah di luar jangkaan. Cuma saya berharap masalah yang sama tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang," tegasnya.
Terus sokong
Menjadi mangsa kepada kelemahan sistem penjurian dalam sebuah acara yang berprestij, tidak bermakna Yuna sudah merajuk dan tidak mahu menyertai AIM lagi selepas ini.
Biarpun sedikit terasa dengan masalah yang timbul, penyanyi berkenaan menyatakan tidak ada sebab untuk dia memboikot acara anugerah tersebut selepas ini.
"Sebagai seorang pemuzik di Malaysia, sudah tentu saya akan terus memberi sokongan dan terus menyertai AIM pada acara akan datang.
"Lagipun industri muzik di negara ini bukanlah besar dan saya rasa tidak seronok pula kalau mahu merajuk atas apa yang terjadi kepada diri saya sekarang ini," jelasnya.
Menurutnya lagi, pihak penganjur juga telah memberi satu pengiktirafan yang sangat besar iaitu menerusi Anugerah Kembara, meskipun pembabitannya dalam bidang nyanyian masih dikira agak baru lagi.
"Menerusi Anugerah Kembara yang diterima ini juga saya anggap ia sebagai satu pencapaian tertinggi yang pernah diraih sepanjang bergelar seorang penyanyi," ujarnya.


BERDAMAI. Dari kiri, wakil Ernst & Young, Ahmad Zahirudin, wakil RIM, Adrian Lim, Rosmin Hashim, Yuna, Anuar Zain dan Edry Abdul Halim.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim menjelaskan segala permasalahan yang timbul adalah disebabkan kesilapan yang telah dilakukan oleh juruaudit luar rasmi yang dilantik iaitu Ernst & Young.
Jelas Rosmin, setelah pihak penganjur menyemak kembali kriteria untuk penganugerahan tersebut, mereka telah membuat keputusan untuk menobatkan Sedetik Lebih sebagai Lagu Terbaik.
"Pihak Ernst & Young sendiri telah mengakui kesilapan yang dilakukan dan kami segera mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan supaya kredibiliti sebagai penganjur tidak terus tercalar.
"Kami juga ingin menekankan bahawa pembetulan yang dilakukan ini bukanlah bermaksud untuk menafikan pencapaian Yuna, tetapi kesilapan yang berlaku tidak dapat dielakkan dan amat kami kesali," jelasnya.
Menurutnya lagi, kekeliruan tentang penjurian sebenarnya bermula apabila penjurian untuk subkategori dan Lagu Terbaik telah dinilai menerusi dua penjurian yang berbeza.
Sementara itu, wakil Ernst & Young, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim menjelaskan pihaknya mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan ia berlaku disebabkan petugas yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas tersebut kurang faham dengan kriteria penjurian.
Ujarnya, ia berlaku kerana petugas yang mengendalikan audit tersebut baru kali pertama melakukannya dan pihaknya sendiri tidak sangka akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar atas kesilapan yang dilakukan.
"Apa pun kami tetap mengaku telah melakukan kesilapan dan terserah kepada pihak penganjur sama ada mahu terus menggunakan khidmat kami atau tidak pada tahun hadapan," ujarnya.
Kredit: Sumber
0

Que Haidar Nafi Dikongkong Linda Jasmine

Que Haidar dan Linda Jasmine bersama anak-anak  mereka,Muhamad Qalis dan Tengku Ratu Haidar.

KUALA LUMPUR: “Bukan isteri mengongkong karier sebagai pelakon, tapi ini keputusan saya. Saya bertekad mengundur diri daripada dunia lakonan kerana mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada keluarga dan perniagaan milik mentua,” kata pelakon, Tengku Iskhan Tengku Haidar atau Que Haidar, 32.
Sehubungan itu, dia menolak dakwaan pihak tertentu yang menuduh isterinya, Linda Jasmine Hashim, 38, sebagai punca dia meninggalkan dunia lakonan yang selama ini menjadi sumber pendapatannya.
Terbaru apabila pelakon berkenaan tidak menghadiri prebiu tayangan filem, ‘Misteri Jalan Lama (MJL)’ di Cathay Cineplax e@Curve menyebabkan Que Haidar didakwa dikongkong isterinya yang dikatakan cemburu melampau selain diberikan banyak syarat termasuk tidak melakonkan adegan cinta bersama pelakon wanita lain.

Gambar kontroversi Linda Jasmine. 




“Saya sudah lali dengan isu ini, isteri tak pernah mengongkong, tapi apa yang berlaku keputusan sendiri. Sebelum berkahwin saya sudah berniat meninggalkan dunia lakonan kerana bagi saya keluarga lebih utama.


“Bukan niat saya tak hadir tayangan prebiu filem MJL, namun ketika itu terpaksa berulang-alik ke Johor melawat saudara yang sakit akibat kanser,” katanya.

Semoga kenyataan Que Haidar ini mampu meredakan berbagai spekulasi sehingga membabitkan nama Linda Jasmin.Semua pihak harus menghormati keputusan pelakon itu untuk meninggalkan dunia lakonan dan menumpukan kepada perniagaan dan keluarga.Semoga Que dan Linda terus berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi.
0

Fauzi Nawawi Hilang Wang RM118,000



KUALA LUMPUR: “Saya tawarkan RM5,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat hingga tertangkapnya pencuri itu,” kata pelakon popular yang juga pengarah, Fauzi Nawawi.
Beliau berkata selepas geram dengan tindakan seorang pekerjanya warga Bangladesh berusia 20-an yang melarikan RM118,000 wang hasil perniagaan dan peruntukan perbelanjaan restoran berasaskan makanan Iran miliknya di Jalan Liew Weng Chee Off Jalan Yap Kwan Seng, di sini, yang diusahakan bersama seorang rakan berasal dari Iran.

Kehilangan wang dan suspek disedari kakitangan restoran berkenaan jam 5 pagi kelmarin sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.
Menceritakan semula kejadian itu, Fauzi berkata, dia dan rakannya itu mengambil alih restoran berkenaan hampir dua bulan lalu daripada pemilik asal yang menghadapi masalah kewangan.

“Sebelum memulakan perniagaan, saya membayar tunggakan gaji tiga bulan kepada semua pekerja dan mengambil semula mereka bekerja dengan saya.

“Ini bertujuan melancarkan urusan perniagaan kerana semua pekerja sudah terlatih,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang mencuri wang berkenaan ditugaskan menjadi juruwang dengan gaji RM2,000 sebulan dan disebabkan itu dia tahu tempat wang perniagaan disimpan.

“Pekerja lain menyedari kehilangan wang dalam peti simpanan itu jam 5 pagi selepas membuat kiraan sebelum menutup restoran. Manakala, suspek sudah menghilangkan diri sejak jam 3 pagi.
“Mereka (pekerja) memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek sudah meninggalkan kawasan restoran,” katanya.

Fauzi berkata, beberapa pekerjanya bergegas ke kediaman suspek di Keramat, di sini sebelum hampa apabila dia sudah keluar dari rumah itu.

“Saya yakin wang yang dicurinya itu masih berada dalam simpanannya. Malah, perasaan saya kuat mengatakan dia masih berada di ibu kota,” katanya. Fauzi berkata, sesiapa yang mengenali lelaki terbabit atau terserempak dengannya boleh menghubungi balai polis terdekat atau pekerjanya, Ong Bak di talian 013-2244386.
Kredit: Sumber
0

Koleksi Gambar Artis di Acara Karpet Merah Festival Filem Malaysia ke-24

Setiap kali berlangsungnya sesebuah majlis anugerah, para artis dan selebriti tidak akan melepaskan peluang untuk melaram dan bergaya di acara karpet merah. Dengan tema Eksklusif dan Elegan berserta tema warna hitam dan emas, barisan penggiat seni tanah air tampil anggun dan segak di karpet merah Festival Filem Malaysia ke-24 yang berlangsung dengan penuh meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Ahad lalu.
Amanda Imani
Jika sebelum ini Amanda tampil santai di karpet merah ASK 2011, namun penyanyi lagu ‘Selamilah Cinta’ ini tampil glamor dan berkilauan dengan gaun labuh berwarna emas rekaan Leslie Variyan dari Variante.


Neelofa
Neelofa tampil anggun dan klasik dengan gaun ‘off-shoulder’ rekaan Hazwani Osman.


Shaheizy Sam
Pelakon Lelaki Terbaik FFM24 ini hadir di karpet merah dengan gaya ala-ala ahli silap mata. Sam tetap kacak walaupun dengan gaya rambut yang ‘messy’ dan jambang.


Fazura
Pelakon ‘Tahajjud Cinta’ ini tampil cantik bak puteri dengan gaun kembang berona biru muda dan kelabu rekaan Rizman Ruzaini.


Diana Danielle
Diana tampil elegen dengan gaya rambut klasik serta busana cantik berwarna ‘peach cream’.


Remy Ishak dan Tiz Zaqyah
Walaupun hadir dengan rambut dan jambang yang kusut, namun Remy tetap segak dengan sut berwarna kelabu. Kekasihnya pula kelihatan anggun dengan gaun hitam elegen rekaan Yadotsa.


Marsha
Penyanyi dan pelakon, Marsha mencuri tumpuan lensa kamera apabila memakai gaun labuh berwarna hijau dengan perincian jed di bahagian dada. Walaupun nampak tertutup di bahagian depan, namun Marsha tampil seksi di mana bahagian belakang gaunnya terdedah sehingga paras pinggang. Bahagian depannya juga seksi dengan belahan sehingga paras peha.


Hafiz AF
Penyanyi Awan Nano ini tampil dengan sut moden berwarna kelabu dari Roy Busana Anggun. Hafiz juga tampil berani dengan gaya rambut ala ‘Trojan’ sentuhan Carl Saloon.

Disertakan juga fesyen artis-artis yang turut terlibat memeriahkan acara karpet merah di FFM 24 :


Scha Alyahya

Intan Ladyana

Diana Amir

Maya Karin

Siti Sharizah (Eja)

Kredit: Sumber
0

Yuna Sahkan Kemenangan Lagu 'Penakut' Ditarik Balik


PETALING JAYA: Penyanyi Yuna mengesahkan kontroversi mengenai penarikan balik trofi Lagu Terbaik menerusi Penakut yang dimenangi di Anugerah Industri Muzik 18 (AIM18) baru-baru ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu mengesahkan menerusi laman Twitter miliknya tengah hari tadi.
"Ya ia benar. Tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyukai lagu tersebut," ujarnya.
Terdahulu, akhbar pada Rabu melaporkan, berlaku kesilapan pada pemilihan pemenang bagi kategori itu sehingga Penakut dinobatkan sebagai lagu terbaik secara keseluruhan walaupun ia tidak memenangi dalam kategori Lagu Pop Terbaik pada anugerah itu.
Turut dilaporkan, anugerah itu akan diserahkan kepada komposer Edry Abdul Halim dan Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih yang memenangi dalam kategori Lagu Pop Terbaik.
Difahamkan, pihak penganjur iaitu RIM dan AIM akan mengadakan sidang akhbar khas di Hotel Maya pada Khamis bagi menjelaskan kekeliruan itu.
Yuna dalam satu mesej lain di laman Twitter memberitahu dia tidak mahu menjawab sebarang pertanyaan dan memohon supaya ia diajukan kepada pihak penganjur.
Pada anugerah itu, Yuna menggondol tiga anugerah iaitu Persembahan Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu (Penakut) dan Anugerah Kembara atas pencapaian cemerlangnya di Amerika Syarikat selain Lagu Terbaik (Penakut).
0

Siapakah Pemenang Sebenar Anugerah Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 2011 ??



Dengarnya... Trofi Yuna akan ditarik balik?


NAMPAKNYA, bulan ini memang bulan kontroversi. Yalah, kalau ada saja acara anugerah, pastinya ada kontroversi menyusul. Ibaratnya, anugerah dan kontroversi itu sungguh sinonim sekali, bagai isi dengan kuku.

Belum habis orang ramai bercerita mengenai kemenangan tiba-tiba lagu Penakut ciptaan dan dendangan Yuna pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 yang dijulang sebagai Lagu Terbaik, timbul pula ketidakpuasan hati sesetengah pihak apabila nama Jurey Latiff Rosli diangkat sebagai Pengarah Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24 yang baru berlalu.
Kononnya, mereka mempertikaikan bagaimana pula Jurey yang juga Presiden GAFIM, boleh bertanding dalam anugerah yang mereka anjurkan sendiri? Sedangkan, kalau kuiz sekalipun, syarikat penganjur, kakitangan dan keluarga mereka pun tak boleh ikut serta sekali. Inikan pula acara besar seperti FFM. Entahlah, Cik Normah pun sudah jadi pening mengikuti cerita dalam industri seni kita ini. Tidak habis cerita Jurey, tiba-tiba telinga Cik Normah dihembuskan dengan khabar yang mengatakan, kontroversi membabit lagu Yuna itu belum berakhir. Trofi dimenangi penyanyi bertudung pada AIM lalu itu khabarnya akan ditarik balik. Trofi berkenaan, dengar ceritanya, akan diserahkan kepada pencipta serta penyanyi lagu Sedetik Lebih, Edry Abdul Halim dan Anuar Zain.

Khabar itu juga ada menyatakan, kononnya ada kesilapan pada perkiraan sehingga lagu Penakut diumumkan lagu terbaik keseluruhan AIM18, sedangkan ia tidak pun memenangi lagu terbaik kategori yang ditandingi. Selalunya, Lagu Terbaik akan dipilih daripada pemenang kategori Lagu Pop, Rock, Nasyid mahupun Etnik Terbaik.



  


Jika diikutkan, Lagu Terbaik AIM18 sepatutnya menjadi rebutan antara Sedetik Lebih yang memenangi Lagu Pop Terbaik, Pelita (Rock), Pedoman (Nasyid) dan Joget Tak Senang Hati (Etnik).

Apatah lagi lagu Penakut sebenarnya sudah pun tewas kepada Sedetik Lebih dalam kategori Pop, yang turut ditandingi Beribu Sesalan nyanyian Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, Sungai Lui (Aizat) dan Dengarkanlah (Datuk Sheila Majid).
Cik Normah pun terfikir juga, apakah anugerah itu tidak diserahkan kepada pencipta dan penyanyi Sedetik Lebih pada malam berkenaan kerana ada pihak yang enggan mencetuskan kontroversi, seperti yang berlaku kepada Jurey? Maklumlah, pencipta lagu itu ialah Edry, adik kepada Norman. Sedangkan, Norman ialah Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), pihak yang bertanggungjawab dalam penganjuran AIM18.

Mungkin juga niat murni terbabit akhirnya memakan diri sendiri, apabila topik kemenangan lagu Penakut semakin hangat diperkatakan peminat, terutama di internet?

Tidak mengapalah, mungkin sehari dua ini, akan ada kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan pihak penganjur. Kita sama-sama tunggu dan lihat nanti. Bagi Cik Normah, ia pengajaran terbaik buat semua pihak supaya jika ada kesilapan di mana-mana pun, perkara sama tidak berulang pada masa depan. Dalam hal ini, Yuna yang sememangnya nampak terkejut ketika diumumkan pemenang pada malam itu memang tidak bersalah apa-apa pun. Dia sebenarnya mangsa kepada keadaan, jika betul trofinya itu akan ditarik balik.
Oleh Normah Becok
0

Syamsul Yusof Punya Penangan!!



Pengarah prolifik, Syamsul Yusof sememangnya terkenal dengan sentuhan filem bercorak aksi. Namun percubaan pertamanya menerusi filem komedi romantik, Aku Bukan Tomboy nyata membuahkan hasil yang mengagumkan.

Pendek kata, tidak rugi membuang duit untuk menonton filem yang dibarisi pelakon hebat seperti Scha Al-Yahya, Shaheizy Sam, Syamsul, Salina Saibi, Zarina Zainordin, Sheera Iskandar, Harun Salim Bachik dan Eira Syazira.

Syamsul begitu bijak menyusun plot penceritaan yang berkisar tentang kehidupan seorang wanita berperwatakan kasar iaitu Farisa (Scha) yang digilai dua lelaki dan dua pengkid.



Garapan baik dari plot ke plot, disudahi punchline yang menarik membuatkan filem ini tidak membosan­kan. Meskipun skrip ini ditulis oleh bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syamsul dikatakan banyak mencorakkan filem ini mengikut gayanya yang tersendiri.

Pemilihan Scha sebagai Farisa dilihat sangat tepat kerana Scha bijak menghidupkan karakter Farisa dari segi 'kejantanan' namun masih terselit jiwa kewanitaan. Malah Scha pandai mengawal cara percakapan, riak wajah, intonasi suara, dan permainan mata yang cukup berkesan.

Lakonan Shaheizy Sam juga tidak perlu dipertikaikan lagi. Meskipun sering muncul dengan perwatakan komedi dalam filem lakonannya, komedi yang dibawakan Sam dalam filem ini masih boleh diterima. Malah boleh dikatakan filem ini, adalah antara filem paling ringan buat Sam kerana dia tidak banyak bermain dengan emosi.

Kehadiran pelakon Harun Salim Bachik, walaupun untuk seketika cukup meninggalkan kesan dan menggeletek hati penonton. Begitu juga dengan Salina dan Zarina, yang membawakan watak pengkid. Biarpun hadir hanya untuk beberapa babak, Salina dan Zarina berjaya menghidupkan watak pengkid yang dibawa oleh mereka.

Dari teknik sinematografinya pula, sentuhan Syamsul tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun dari segi dialog, filem ini kurang sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak kerana beberapa ayat yang kedengaran agak kasar dalam filem ini.

Namun kesudahan yang sedikit tergantung mungkin mencetuskan rasa tidak puas hati atau rasa teruja penonton untuk menantikan, apakah kesudahan sebenar filem ini.

Filem ini mengisahkan tentang Farisa atau Eisha yang mengubah pendirian dua jejaka terhadap gadis yang berperwatakan lelaki. Kali pertama melihat Farisa di sebalik topeng lelaki, mereka mula jatuh hati dengan gadis itu.

Harry, seorang jurujual jalanan yang terlebih dahulu menjalinkan hubungan mesra dengan Farisa berasa tergugat apabila Burn muncul sebagai saingan yang mencetuskan perebutan.

Dalam masa sama, Farisa berdepan dengan konflik perbezaan darjat dan kedudukan Burn sebagai Eksekutif Junior di syarikat bapanya yang menyukarkan hubungan mereka.

Konflik cinta tiga segi yang berbeza senario telah mewarnai catatan kehidupan Farisa, si gadis tomboy. Persoalan adakah pengorbanan yang dituntut dalam dilema percintaan Farisa?
Oleh : SITI SYAKILA ZAILANI
0

Nadiya Nisaa Menang Dua Trofi Dalam Masa Dua Minggu




GAMBAR kiri, menggenggam trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASK2011. Gambar kanan, bersama trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM24.



KETIKA wanita ini hadir ke Balai Berita untuk memenuhi undangan fotografi dan temubual bersama Hip, dia baru saja beberapa hari habis berpantang selepas melahirkan anak sulung, Omar Saiful Razman.

Saat bertemunya, pelakon Nadiya Nisaa masih kelihatan seperti mengawal pergerakannya. Wajahnya juga kelihatan sedikit pucat, sewaktu menjengah ke studio. Baru beberapa minggu melahirkan cahaya mata sulung, keadaan itu amat difahami. Begitupun, atas dasar kerja dan menghargai undangan akhbar ini untuk merakamkan foto serta cerita terbarunya, Nadiya gagahkan juga diri untuk hadir.

Waktu itu, dia baru saja dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 2011, menerusi filem Cun arahan Osman Ali. Ketika hadir ke studio NSTP, dia juga sedang berdebar menunggu keputusan kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik yang turut menyenaraikan namanya sebagai calon akhir, pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24.


Pada 16 November lalu, dia sekali lagi menaiki pentas menerima trofi yang mengiktiraf lakonannya dalam filem komedi cinta itu. Dua trofi dalam masa sebulan tentu saja memperkenalkan lagi nama wanita berbakat ini kepada peminat dunia seni tanah air.

Sepanjang dua jam lebih bersama dengannya petang itu, Nadiya nyata seorang yang penuh kelembutan dan menjaga pertuturannya dengan cukup baik. Wajahnya cukup manis setiap kali melemparkan senyuman. Apatah lagi dengan wajah yang kembali berseri, hasil sentuhan solekan Syafieq Ayman.

Pada awalnya, sesi temubual sedikit kaku kerana tidak dinafikan wanita ini agak pendiam. Namun, sebaik enjin bicara dihangatkan dengan pelbagai soalan, sifat ramahnya mula terserlah, sehingga suasana kembali ceria.
“Sudah rezeki anak sulung saya, Omar. Kemenangan saya pada ASK baru-baru ini mungkin berkait rapat dengan rezeki untuk anak saya yang lahir pada 28 September lalu itu.

“Selepas kemenangan itu, saya dicalonkan pula sebagai Pelakon Harapan untuk FFM24. Saya sungguh bertuah kerana selamat melahirkan anak dan pada masa yang sama dilimpahi rezeki,” kata Nadiya.

Mengimbas kembali kemenangan lalu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu, ketika hadir ke majlis ASK2011 lalu, dia sebenarnya masih dalam pantang. Maka tidak hairanlah apabila langkahnya di dalam dewan, ketika menuju ke pentas menerima trofi, begitu juga ketika mengatur jejak ke majlis keraian selepas itu disusun seelok mungkin.

“Ketika mengandung sehingga bersalin, boleh dikatakan saya terputus sementara daripada dunia seni. Jadi tidak banyak perkembangan hiburan saya dapat ketahui. Pencalonan saya sendiri pun hanya diketahui pada kira-kira jam 2 petang, pada hari majlis itu berlangsung, apabila dihubungi penganjur yang meminta saya menghadirkan diri memberi sokongan kepada majlis terbabit.

“Apa lagi, kelam kabutlah saya mencari jurusolek dan pakaian yang sesuai untuk ke majlis seperti itu. Setelah rasa bersedia, saya menghubungi kembali penganjur mengesahkan kehadiran.

"Memang sangat tidak bersedia pada masa itu sehinggalah ketika nama diumumkan, saya masih tidak percaya, terpinga-pinga dan masa ambil trofi itu pun saya rasa terawang-awang,” katanya ketawa kecil sambil memberitahu, dia menjangkakan Sherry Merlis yang akan memenangi anugerah itu, menerusi filem Janin.

Sementara itu, ketika ditemui selepas menerima trofi pelakon harapan FFM24 pula dia berkata, kemenangan yang diraih dua kali berturut-turut sememangnya menyuntik semangat dirinya untuk lebih mendalami bidang lakonan.

“Sebagai orang baru, sudah tentu saya terharu apabila juri nampak potensi dan kesungguhan saya. Awal-awal dulu, saya menceburi bidang lakonan hanya untuk mencuba. Namun dengan kemenangan ini sudah pasti saya melipatgandakan usaha.

“Sedikit sebanyak tentu ada tekanan kerana hasil kerja selepas ini sudah pasti dinilai penonton dengan lebih teliti. Apa pun saya melihat semua ini dari sudut positif terutama dalam meningkatkan mutu lakonan,” katanya.

Kenang jasa Osman Ali

MENYELAK semula lembaran perjalanan kerjayanya, Nadiya yang membawakan watak gadis lembam, Manis, dalam Cun, mungkin dilihat begitu dekat dengan Osman, sutradara yang pernah menghasilkan Puaka Tebing Biru, Anak Halal dan Malaikat Di Jendela.

Ia diakui pelakon filem Dukun dan Karaoke ini sendiri, yang memberitahu, pengarah itu ialah insan seni yang mencungkil bakatnya dan sentiasa menggalakkan dia menjadi pelakon.

“Saya memang minat berlakon. Ketika menghadiri sesi uji bakat untuk Spanar Jaya, saya bertemu Osman yang ketika itu turut berada di lokasi berkenaan. Dari situlah titik perkenalan kami dan selepas itu dia ada menghubungi saya untuk tawaran berlakon filem Cun.

“Pada awalnya saya hampir menolak kerana berasa tidak yakin untuk berlakon filem, apatah lagi membawakan watak Manis. Osman memberikan kata-kata semangat untuk menerima tawaran itu. Jadi, saya meminta sedikit masa untuk berfikir, melakukan kajian dan seterusnya membuat keputusan,” katanya yang memberitahu, dia menjayakan watak Manis dengan menonton filem luar negara seperti What's Eating Gilbert Grape (1993) dan I Am Sam (2001).

Katanya, walaupun watak kebudak-budakan dalam kedua filem itu dimainkan pelakon lelaki, dia cuba mengadun perwatakan itu ke dalam watak Manis.

Nadiya yang sebelum ini pernah berlakon dalam drama Donut berkata, dia berharap selepas memenangi anugerah, peminat seni akan lebih mengenali dirinya dan mendapat tawaran watak yang mencabar.

"Jika ditanya watak impian, saya mahukan watak seperti Manis yang tidak perlu berpakaian cantik, tetapi hidup dalam wataknya sendiri untuk menguatkan jalan cerita.

“Lagipun saya seorang yang terlalu mahukan kesempurnaan. Jadi, dalam menerima sebarang tawaran saya sangat berharap dapat memberikan yang terbaik dalam lakonan. Jika tidak saya rasa bersalah memikul tanggungjawab itu,” kata pemilik nama sebenar Nadiyatul Nisaa Kamaruddin ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Penyiaran, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini turut menegaskan, langkah seninya selepas ini mungkin lebih ligat memandangkan bakatnya sudah membuka sebahagian mata penggiat seni. Sebelum ini, dia tidak begitu aktif kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah agensi kerajaan.
Oleh Nor Hatina Shuib

0

Ezlynn Dan Adam Fahmy Selamat Diijabkabul




Dengan hanya sekali lafaz, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu 'Hi Hi Bye Bye' Ezlynn, 30, kini sah bergelar isteri kepada Adam Fahmy Shamsudin, 35, yang juga pengurus peribadinya tepat jam 5.55 petang tadi.

Ezlynn yang anggun mengenakan busana rekaan Oscar Jeprey menerima wang hantaran sebanyak RM 20,020.20, mas kahwin RM 80, beserta lima dulang hantaran dan membalas dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak perempuan.

Sebelum diijabkabulkan,terlebih dahulu pasangan yang mula berkenalan sejak 2005 ini disatukan dalam majlis pertunangan yang serba ringkas tepat jam 3.50 petang.



"Alhamdulillah,hari ini saya berasa sangat gembira kerana hari yang dinanti telah tiba dan semuanya berjalan lancar.

" Jujurnya, selepas kami tetapkan hari untuk bernikah, saya sudah tidak sabar untuk bergelar isteri. Ini adalah pencapaian terbaik bagi seorang wanita," ujar Ezlynn seusai majlis pernikahannya.

Majlis pernikahan tersebut disempurnakan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, En Ariffin bin Alang dengan disaksikan oleh Ustaz Muhammad Ridwan Mohd Yunus, Jurunikah Masjid Sg.Penchala.

Majlis pertunangan dan pernikahan Ezlynn diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
0

Selamat Pengantin Baru Untuk Hattan...



Ke mudik sehentak galah, ke hilir serangkuh dayung, satu kata lahir dengan batin, sesuai mulut dengan hati...
PEPATAH Minangkabau tersebut sesuai dengan lafaz nikah Mohd. Shukri Shahabudin atau mesra disapa Hattan kepada pasangan yang dinikahinya, Farah Asyikin Othman, 33, pada tarikh cantik, 11 November lalu.
Dengan sekali lafaz, penyanyi berusia 47 tahun itu menamatkan zaman solonya yang sudah enam tahun dilayari. Begitu juga buat Farah, ibu tunggal kepada dua cahayamata iaitu Nazril, 6, dan Khara Latiesya, 5. Satu lafaz daripada hati yang menyatukan mereka zahir dan batin.
Sewaktu menghubungi Hattan Jumaat lalu, dia sedang enak membawa isteri dan anak-anaknya ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Menghirup bayu laut nan damai sambil merapatkan siratulrahim, Hattan bernyanyi-nyanyi gembira di hujung talian.
"Saya bawa anak-anak dan isteri ke Port Dickson (untuk) bercuti," ujarnya dengan nada gembira. Namun di sebalik gembira itu, dia meluahkan rasa, terkilan dengan segolongan invididu atas nama penulis blog dan penggiat forum yang menuduh dia bernikah secara senyap.
"Saya tidak faham kenapa mereka cakap saya kahwin secara senyap. Saya rasa sebagai orang Islam atau beragama apa pun, tidak elok membuat fitnah. Makan dengan duit haram namanya itu. Kenapa mereka mahu sibuk dengan isteri orang lain?" ujarnya sedikit panas walaupun berada di tepi pantai.
"Saya mengadakan pernikahan di kampung saya di Seri Menanti. Ada khemah dan kugiran mengiringi pernikahan saya. Saya ini orang kampung, berasal dari kampung dan sebab itu saya buat di sana. Saya jemput orang-orang kampung saya.


Hattan hairan dengan sikap penulis blog dan forum yang menyatakan dia kahwin secara senyap-senyap. 
Malah keluarga saya memakai persalinan kuning menunjukkan kami orang lingkungan dan membawa adat diraja," ujarnya yang selamat menjadi suami Farah dalam majlis akan nikah yang dilakukan selepas solat Isyak. Hattan turut mengundang Datuk M. Nasir, Ramli Sarip dan Man Bai untuk berkongsi kegembiraannya.
"Biarlah apa orang mahu kata. Sekarang, saya sangat gembira dan tidak risau. Malah saya beryukur dengan jodoh saya," ujarnya yang menyeru agar orang luar tidak sibuk menyelidik tentang pasangan dan pernikahannya yang diadakan secara santai namun meriah di kampung.
Merasakan jodohnya kuat dengan Farah, dia bercerita tentang pertemuan tak dirancang yang terjalin di Doha, Qatar.
"Kami bertemu di Doha sewaktu saya selesai menunaikan umrah di Mekah. Farah pula transit dari London. Kami berkenalan dan hanya selepas dua minggu, saya menghubunginya. Pertemuan demi pertemuan selepas itu, saya rasa jodoh kami kuat dan Allah menemukan kami," ceritanya bernyanyi mempamerkan gembira dan bersyukur anaknya Adam Iman, 11, sangat serasi dengan isteri baharunya.
"Saya harap peminat doakan kami. Semoga perkahwinan kami bahagia dan doa juga agar kami dapat menunaikan umrah bersama-sama pada tahun hadapan," Hattan mengakhiri perbualan dan menutup pertanyaan ramai terhadap perkahwinan keduanya.
Kredit: Sumber