0

Al Fatihah!! Anak Rini AF Meninggal Dunia

Gambar Rini (kanan) dan bayinya, Maryam Joanna Johanis.


SETELAH empat hari kritikal, anak sulung penyanyi program realiti Akademi Fantasia (AF7), Rini meninggal dunia di Kajang, tengah hari tadi.

Maryam Joanna Johanis, yang dilahirkan pada 9 Ogos lalu disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang.

Maryam dibawa ke hospital selepas terjatuh dari katil secara tertiarap.

Berita pemergian Maryam disahkan oleh rakan Rini yang juga penyanyi, Isma menerusi laman Twitternya.

Menurut Isma ketika menziarahi arwah, Rini dalam keadaan stabil dan redha dengan ketentuan Illahi.

"Walapun beberapa hari sebelum Syawal tiba, namun Rini kelihatan cukup tenang berbanding di awal insiden beberapa hari lalu," kata Isma.

Zass Sinar Harian cuba menghubungi Rini, namun gagal.

Rini melahirkan Maryam di Hospital Putrajaya jam 9.34 pagi 9 Ogos lalu dengan berat 4.25 kilogram secara pembedahan.

OLEH AKMALIAH RAZAK
0

Fasha Sandha Dan Suami Sambut Aidilfitri Di Luar Negara

Jelas terpancar kebahagiaan pasangan sama cantik sama padan ini.

MENEROPONG jauh ke dalam matanya, jelas terpancar sebuah kebahagiaan yang dikecapinya. Meskipun tidak pernah diucap dengan kata-kata, namun meneliti pada gerak tubuh dan gurau senda pasangan sama cantik sama padan ini, tiada apa yang mampu memisahkan mereka lagi.

Bagi pelakon terkenal, Nur Fasha Sandha Hassan yang kini hamil dua bulan lebih selepas diakad nikah bersama suami tercinta, Rizal Ashram pada 27 April lalu, setiap saat yang berlalu dalam perkahwinan yang dibina adalah kenangan manis antara mereka berdua.
sebelum   selepas
 
Mengenalinya lama dulu dan tidak sekali ketinggalan mengikuti kisah cinta yang ada pada dua insan rendah diri ini yang mula menyemai rasa sayang sejak tujuh tahun lalu, tiada apa yang mustahil untuk menyatukan mereka.

Lantas, ikatan yang ada ketika ini, suami isteri dengan episod manis apabila disahkan bakal menjadi ibu dan ayah, Fasha bersama suaminya juga ahli perniagaan berjaya berusia 36 tahun ini sepakat ingin menikmati kesemua detik bersama agar rasa cinta yang ada kekal hingga ke akhir hayat.

“Saya bahagia dan sentiasa bersyukur dengan apa yang sudah diberikan kepada saya ketika ini. Perkahwinan yang menjadi impian sekian lama, seorang isteri yang memahami dan tidak henti menyokong serta perjalanan kerjaya yang kian cemerlang dan sempurna,” celah Rizal membuka bicara.

Menyatukan suami isteri ini untuk satu sesi fotografi bukanlah kerja mudah kerana masing-masing terikat dengan jadual kerja yang padat. Si isteri yang masih sibuk menjiwai skrip drama siri Runtun Qalbu di lokasi setiap hari dan suaminya pula penuh dengan komitmen perniagaan dan latihan untuk persiapan mewakili Malaysia dalam pasukan Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia bagi kejohanan The Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia.





Usik Fasha, pelakon popular berusia 28 tahun kelahiran Johor Bahru ini, ini adalah pertama kali jadual kerja dan tanggungjawabnya begitu padat hingga tidak mampu memenuhi undangan sesi fotografi media dan temubual televisyen.

“Status isteri itu sudah saya rasai. Bayangkan, sepanjang Ramadan saya begitu sibuk kerana terikat dengan jadual penggambaran setiap hari dan terpaksa membahagikan masa untuk bersama suami. Alhamdulillah setiap hari saya berpeluang untuk berbuka puasa bersama Rizal walaupun ada kalanya kami terpaksa terkejar-kejar untuk pulang ke rumah atau bertemu di mana-mana.

“Mujur suami memahami dan kami saling menerima antara satu sama lain. Jika ada kelapangan, saya pasti akan masak untuknya namun sekiranya kesuntukan masa, kami hanya akan berbuka di luar saja. Namun sahur adalah kewajipan kami berdua setiap pagi. Syukur suami seorang yang ringkas dan tidak cerewet.

“Dalam pada sibuk, kami berdua masih berpeluang untuk berbuka puasa bersama keluarga kedua-dua belah pihak. Itu lebih manis dan memberikan saya pengalaman baru. Kali ini, saya sudah tidak boleh meletak sepenuh fokus pada keluarga sendiri saja seperti sebelumnya, sebaliknya kali ini saya sudah mempunyai suami dan keluarga mentua pula.

“Inilah yang dikatakan tanggungjawab dan saya begitu seronok melaluinya,” katanya memandang manis sambil membetulkan butang baju suami di sisi.

Lebih menariknya yang menjadi topik utama pertemuan kami petang itu adalah sambutan Aidilfitri pertama mereka sebagai suami isteri.

Bagai bisik orang-orang lama, cinta itu perlukan pengorbanan dan jika benar seseorang itu sayangkan kamu, dia akan buat apa saja walau terpaksa berenang di lautan api sekalipun.

Jelas ungkapan itu melekat pada pelakon yang juga pemegang enam kali anugerah Pelakon TV dan Filem Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang mana pertama kali dalam hidupnya, Aidilfitri bukan lagi untuk bergaya sakan dengan persalinan baru dan bertemu sanak saudara, sebaliknya ia akan hanya disambut berdua di trek lumba.

“Saya akan menemani Rizal dalam perlumbaan The Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia pada raya pertama ini di Ordos, China kerana dia mewakili negara dalam kejohanan itu. Inilah pertama kali saya beraya di luar negara dan jauh dari keluarga namun sisi lainnya, saya akan bersama suami tersayang di sana.

“Rizal akan berlumba pada Sab�tu (esok) dan Ahad nanti. Jadi kiranya, raya pertama saya adalah di trek lumba bersamanya. Rasanya ini akan menjadi satu pengalaman manis buat kami berdua kerana pertama kali menyambut Syawal sebagai suami isteri di luar negara. Namun raya kami di sana bukanlah langsung tidak dirasa kerana kami masih dibekalkan dengan pelbagai juadah raya oleh keluarga.

“Mama membekalkan rendang dan lauk-pauk untuk kami di sana dan mummy (ibu Rizal) pula akan membawakan kami juadah lain pula. Sekurang-kurangnya kami masih lagi menyambut raya berdua walaupun tidak meriah seperti di sini. Namun saya tidak merungut kerana apa yang penting dan menjadi keutamaan adalah suami.
Saya akan sokong dan setia menemaninya.

“Memang sedih jika difikirkan kerana terpaksa berjauhan dari keluarga lebih-lebih lagi saya tidak pernah berenggang dengan mereka ketika raya, namun dilihat dari perspektif lain, inilah erti sebuah perkahwinan. Saya menyokong suami dan sudah tentu kedudukan saya adalah setia di sisinya,” katanya.

Usik Rizal yang memahami perasaan si isteri sekelumit timbul rasa sedih meninggalkan keluarga, apa yang penting mereka berdua sentiasa bersama. Walau tiada keluarga dan jauh dari kemeriahan Syawal di tempat sendiri, kelibat isteri di sisi menemaninya penting bagi memberikan semangat.

“Soal berjauhan dengan keluarga dan menyambut raya di luar negara bukanlah asing bagi saya. Tiga tahun ketika belajar di Amerika Syarikat dan kemudiannya empat tahun lagi ketika di England, saya memang tidak menyambutnya. Hanya berpeluang bersembahyang di pagi raya di Malaysian Hall dan kemudiannya menjalankan rutin harian seperti biasa.

“Namun saya faham akan situasi Fasha. Pasti dia rasa kekok kerana pertama kali namun saya bersyukur kerana dia sendiri yang ingin menemani saya selama seminggu di sana. Saya percaya, raya kami akan tetap meriah kerana apa yang penting, kami masih bersama berdua dan menyambutnya secara sederhana.

“Lagipun keluarga Fasha dan ibu saya sendiri banyak mengirimkan kami juadah istimewa raya buat kami berdua. Sekurang-kurangnya ada juga rasa raya di sana nanti,” katanya berseloroh dan meletak sepenuh tumpuan kepada kejohanan itu.

Rizal yang sebelum ini berjaya mencatatkan kedudukan cemerlang di tempat kedua dalam perlumbaan di Fuji, Jepun akan meneruskan lagi kejohanan itu ke Zhuhai, China pada awal September depan sebelum ke Pan Bay, Taiwan pada Oktober dan pusingan terakhirnya di Shanghai pada 10 dan 11 November depan.

Oleh Murshid Eunos
0

Cahaya Malaika Jadi Penyeri Aidilfitri Mawi & Ekin

Gambar Mawi dan Ekin bersama permata hati,Cahaya Malaika.

DARI jauh lagi sudah kelihatan pelantun lagu Aduh Saleha ini melayan keletah puteri sulungnya, Cahaya Malaika, yang kini berusia 5 bulan ketika Zass tiba di banglo miliknya yang terletak di Bangi.

Bagi Asmawi Ani, 31, atau Mawi, dan isterinya, Nor Asikin Rahmat (Ekin), kemeriahan Aidilfitri tahun ini pastinya lebih dirasai dengan kehadiran Cahaya lebih-lebih lagi tahun ini merupakan tahun pertama mereka meraikan hari raya bersama cahaya mata tercinta.

Mengakui Ramadan dan Syawal tahun ini lebih bermakna, Mawi berkata, dia bersyukur kerana kehadiran Cahaya mengubah kehidupan mereka.

"Alhamdulillah, meriah betul rasanya tahun ini. Ke mana-mana sahaja pergi pasti ramai yang bertanyakan mengenai Cahaya.

"Yang penting, saudara-mara juga sudah tidak sabar menunggu kepulangan kami ke kampung kerana hendak bertemu Cahaya. Rasanya, inilah perbezaan yang sangat ketara sejak memiliki cahaya mata," ujar Mawi di rumahnya sempena majlis berbuka puasa bersama pelakon dan krew telefilem Siapa Dapat Lisa, arahannya.

Ekin pula berkata, sebagai ibu sudah pasti dia antara insan yang paling gembira kerana dapat meraikan Aidilfitri tahun ini bersama Cahaya.

"Memang seronok bila dah ada anak. Sebelum ini asyik melayan anak orang sahaja. Jadi bila dah ada anak sendiri, saya memang teruja.

"Nampaknya tahun ini giliran saya pula kutip duit raya untuk anak," katanya mesra.

Persiapan sakan untuk Cahaya

BERCERITA perihal persiapan raya, jelas Ekin, dia, seperti ibu-ibu lain, sentiasa mendahulukan anak.

"Rasanya tak terkira baju raya Cahaya yang ada dalam simpanan. Selain lima pasang telah dijahit oleh emak, saya juga tidak menang tangan membelikan untuknya.

"Saya sebenarnya rambang mata melihat baju-baju yang dijual untuk kanak-kanak. Lagi pun koleksi baju untuk mereka banyak pilihan dan semuanya cantik-cantik. Bagaimanapun, baju-baju ini bukan sahaja boleh dipakai ketika raya, malah hari biasa juga," katanya, yang tidak kisah berbelanja lebih untuk Cahaya.

Ditanya mengenai persiapan hari rayanya pula, menurut Ekin, dia lebih selesa bersederhana.

"Biasanya bila raya memang tak banyak persiapan yang dibuat, apa-apa pun saya lebihkan untuk membeli baju raya sahaja. Buat masa sekarang saya sudah mempunyai enam pasang baju, begitu juga dengan Mawi.

"Bagi pemilihan warna pula, kami tetap berpakaian sedondon, coraknya sahaja berbeza," katanya ceria.

Tuah satu negeri

BERAYA di kampung tahun ini, Mawi dan Ekin sebenarnya sangat bertuah kerana mereka berdua berasal dari negeri yang sama iaitu, Johor.

Berkongsi mengenai perkara itu, jelas Mawi, dia akan pulang ke kampungnya, Pulai sehari lebih awal.

"Biasanya memang sehari sebelum raya saya dah balik. Bukan apa, selain hendak bertemu sanak-saudara terlebih dahulu, saya juga mahu memastikan keperluan raya sudah siap.

"Selepas beraya di rumah pada sebelah pagi, petangnya baru saya dan Ekin akan pulang ke kampungnya, Skudai.

"Lagi pun Pulai dan Skudai tidak jauh, dalam masa 20 minit sahaja boleh sampai. Jadi hendak beraya di mana terlebih dahulu tidak pernah menjadi masalah kepada kami," kata Mawi, yang tidak ketinggalan menyediakan duit raya untuk anak buahnya setiap tahun.

Siapa dapat Lisa?

DITEMUI di majlis berkenaan, Mawi sempat berbicara mengenai telefi lem Siapa Dapat Lisa, yang bakal disiarkan pada hari raya kedua di saluran Astro Prima, 105.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan telefilem itu tercetus selepas pihaknya mencipta single bagi album terbaru Sepahtu berjudul Siapa Dapat Lisa.

"Apabila saya sampaikan hasrat ini kepada pihak Astro, mereka menerimanya dengan baik. Jadi tanpa membuang masa, perbincangan dibuat untuk memilih pelakon dan lokasi penggambaran.

"Walaupun ianya percubaan kedua saya dalam bidang pengarahan, saya bersyukur kerana ramai membantu merealisasikan pembikinan telefilem ini," katanya.

Telefilem terbitan MW Entertainment milik Mawi ini turut dibintangi Sepahtu (Shuib dan Jepp), Didie Alias serta Yasmin Hani sebagai pelakon utama.

OLEH MARINA SAHABUDIN
0

Daphne Iking Jahit Baju Raya Sendiri

IMAN DANIELLA IKING AZMI kini berusia tujuh bulan. Daphne menjahit sendiri baju raya dia dan anak-anaknya.

KEDATANGAN Aidilfitri tahun ini sungguh bermakna buat Daphne Eleanor Mozes Iking atau nama Islamnya Dahlia Daphne Eleanor M Iking.

Tiada istilah kekok untuk meraikan hari kebesaran umat Islam itu meskipun tahun ini merupakan tahun kedua dia menyambut Aidilfitri sebagai seorang Muslim selepas memeluk agama Islam pada Disember 2010.

Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan pengurus dan juga rakan perniagaannya, Azmi Abdul Rahman pada 8 Januari tahun lalu, ibu kepada Isobel Daniella, 5, anak hasil daripada perkahwinannya sebelum ini dan juga Iman Daniella Iking Azmi, tujuh bulan, buah cintanya bersama Azmi membuatkan Aidilfitri Daphne lebih bermakna.

"Tahun ini sangat istimewa. Tahun lalu saya meraikan Aidilfitri di Bangkok kerana urusan kerja bersama suami dan ketika itu saya sedang mengandungkan Iman.

"Jadi, tahun ini kali pertama saya akan meraikan Aidilfitri bersama Iman walaupun saya berkemungkinan besar hanya akan pulang ke Malaysia pada hari raya pertama kerana urusan kerja di Vietnam," ujarnya yang mungkin pulang ke kampung halaman suaminya, di Kuala Kangsar, Perak.

Walaupun sibuk bekerja, kata Daphne, 34, dia tidak sabar menanti kedatangan Aidilfitri kerana pengalaman menunaikan solat tarawih bersama suami dan berpuasa sungguh indah.

"Sebenarnya tahun lalu saya tidak merasai sangat suasana raya kerana mengandungkan Iman dan banyak hari tidak boleh berpuasa kerana alahan.

"Berbeza dengan tahun ini, saya dapat merasai sepenuhnya nikmat berpuasa dan menunaikan solat tarawih bersama suami.

"Malah, anak sulung saya, Isobel juga sudah mula belajar berpuasa dan bersolat secara perlahan-lahan, perkembangannya membuatkan saya cukup gembira," tuturnya.

Sedondon

Sungguhpun sibuk dengan kerja, pelakon filem Belukar itu tetap ligat membuat persiapan raya. Membuat tinjauan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) mencari pakaian raya untuk dirinya dan keluarga menjadi agendanya tahun ini.

Bagaimanapun, disebabkan tiada pakaian yang berjaya memikat hatinya dan sukar untuk mencari warna mustard Afrika yang merupakan warna tema buat Daphne sekeluarga, pengacara program Bella itu nekad menjahit pakaiannya sendiri.

"Saya dan suami sudah ronda satu Jalan TAR, tiada satu yang sesuai dan mengikut warna tema kami sekeluarga tahun ini. Jadi, saya beli kain dan jahit sendiri.

"Setiap malam sebelum tidur, saya akan jahit perlahan-lahan, kecuali baju suami saya, dia akan menghantarnya kepada tukang jahitnya sendiri.

"Memang nampak klise memilih pakaian sedondon, tetapi saya inginkan sebuah gambar keluarga yang cantik. Seronok juga sekali-sekala berpakaian sedondon," katanya.

Akui Daphne, anak sulungnya cukup menghargai jika ibunya menjahitkan sendiri pakaiannya.

"Isobel berbeza dengan saya, dia cukup suka jika saya jahitkan pakaiannya, baginya ibunya seorang yang cukup hebat sebab pandai menjahit.

"Berbeza pula dengan saya sewaktu kecil, kehidupan susah membuatkan ibu saya menjahitkan pakaian saya sendiri, tetapi saya selalu sangkakan ibu saya kedekut kerana tidak mahu membeli pakaian di kedai.

"Selepas menjadi seorang ibu, baru saya tahu perasaan ibu saya ketika menjahitkan pakaian untuk anaknya sendiri. Walaupun penat, tetapi saya cukup bahagia apabila melihat hasil tangan saya tersarung di badan Isobel dan dia memuji pakaian itu cantik," luah wanita berketurunan Kadazan Dusun itu.

Beza budaya

Daphne sebenarnya sering meraikan Aidilfitri di kampung halamannya di Penampang, Sabah, sebelum dia memeluk agama Islam lagi.

Meskipun ketika itu, Daphne masih seorang yang beragama Kristian Katolik, beritahunya, ramai saudara-mara di kampung halamannya beragama Islam dan mereka sering meraikan Aidilfitri bersama.

"Aidilfitri bukan perayaan yang asing untuk saya sejak dahulu lagi. Saudara-mara dan rakan-rakan saya ramai yang beragama Islam.

"Jadi, saya selalu sambut raya setiap tahun. Cuma apabila memeluk agama Islam, sambutan itu lebih bermakna kerana saya lebih memahami erti sambutan Aidilfitri itu sendiri," ucapnya.

Tambahnya, jika pulang ke kampung halamannya apa sahaja perayaan akan diraikan bersama, cuma terdapat meja yang akan membezakan hidangan keluarga yang beragama Islam dan mereka yang bukan beragama Islam.

"Sejak daripada kecil lagi, keluarga saya cukup menghormati agama dan budaya lain. Kami selalu meraikan setiap perayaan bersama, jadi apabila saya memeluk agama Islam bukan satu masalah untuk mereka meraikan Aidilfitri bersama saya sekeluarga," luahnya.

Bercakap mengenai rumah terbuka, kata Daphne, dia mungkin membuat rumah terbuka, tetapi hanya untuk keluarga dan teman rapatnya sahaja.

"Mungkin buat rumah terbuka untuk keluarga dan rakan-rakan rapat yang berkumpul di Kuala Lumpur. Bab masakan saya akan serahkan kepada suami sebab dia lebih handal memasak daripada saya," kata Daphne sambil tersenyum memandang suaminya.
0

Neelofa Tidak Berkecil Hati Dengan Teguran Datuk Yusof Haslam

Neelofa


PETALING JAYA: Pelakon Neelofa menganggap teguran penerbit filem Datuk Yusof Haslam terhadapnya seperti yang disiarkan sebuah akhbar pada Ahad lalu bukanlah satu isu besar sebaliknya ia adalah nasihat daripada bapa kepada seorang anak.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata dia tidak berkecil hati dengan teguran yang diterima daripada orang yang berpengalaman seperti Yusof, lebih-lebih lagi hubungan mereka akrab seperti sebuah keluarga.

"Ramai yang tidak tahu bahawa keluarga saya dan uncle (panggilan buat Yusof) saling kenal mengenali dan kami mempunyai hubungan yang agak rapat.

"Selama ini pun saya banyak minta tunjuk ajar daripadanya dan apa saja teguran atau nasihat yang diberi, saya terima kerana dah anggap beliau macam bapa sendiri. Sebab itu saya selesa memanggilnya uncle.

"Rasanya, berita tentang teguran uncle yang dikeluarkan Ahad lalu sengaja diperbesarkan oleh pihak ketiga," katanya yang dihubungi mStar online di sini, Isnin.

Datuk Yusof Haslam

Ahad lalu, sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan teguran Yusof terhadap sikap Neelofa yang dikatakan enggan memberi kerjasama mempromosikan filem Saya Amat Mencintaimu (S.A.M) terbitan Skop Production selain tidak hadir ke pelancaran filem itu.

Dalam artikel tersebut, Neelofa turut dikatakan tidak mengendahkan tawaran watak utama dalam sebuah filem baru terbitan produksi tersebut.

Dalam pada itu, tambah Neelofa, ketiadaannya ketika majlis pelancaran filem S.A.M pada 16 Julai lalu itu bukan sengaja dibuat-buat sebaliknya ketika itu dia berada di tanah suci Mekah menjalani penggambaran drama Kau Yang Terindah.

Sementara itu, Yusof yang dihubungi mStar Online pada Isnin berkata, dia tiada niat mahu memburukkan pelakon itu yang sudah pun dianggap seperti anak sendiri.

Sebaliknya kenyataan tersebut dibuat ketika beliau “berborak kosong” dengan wartawan akhbar berkenaan.

"Sebenarnya ia sekadar perbualan biasa antara saya dengan wartawan dan saya tak mahu perkara seperti itu diperbesarkan.

"Mengenai teguran tersebut, ia juga bukan niat saya untuk menjatuhkan atau memalukan Neelofa. Saya lihat dia mempunyai potensi besar untuk bergelar bintang. Apabila dilihat ada beberapa perkara yang tidak kena, saya tegurlah.

"Diharap, teguran itu diterima dengan positif. Sebagai orang muda, bukan sahaja Neelofa, sebaliknya semua artis perlu bersikap positif untuk menerima teguran dengan hati terbuka jika hendak berjaya,” katanya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
0

Aweera Tidak Meniru Cara Nyanyian Awie

     

"Memang saya minat Awie. Sejak dari sekolah lagi saya minat dia. Apa yang saya maksudkan ialah saya mengidolakan dia. Saya bukan tiru dia," Saya cuma menjadikan dia sebagai idola.  saya", itu kata vokalis kumpulan Mojo, Aweera, 21, kepada MD ketika di temui sewaktu previu tayangan filem Leftwings, baru-baru ini.

Sekaligus menjawab isu berhubung dia didakwa sengaja meniru penyanyi Rock, Awie. Baru-baru ini tercetus kontroversi ekoran laporan sebuah akhbar mingguan minggu lalu, telah disalah erti sehingga menimbulkan salah faham dikalangan peminatnya dan penyanyi rock terbabit.

Pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham ni turut menegaskan yang dia tidak pernah memberitahu meniru cara nyanyian Awie ketika ditanya mengenai persamaan yang berlaku di antara mereka sebaliknya mengagumi dan menjadikan penyanyi itu sebagai idola sejak dari zaman persekolahan lagi.

Di samping itu anak kelahiran Kangar, Perlis, ni berkata dia tidak pernah berniat untuk menimbulkan kontroversi dengan kenyataannya itu sebaliknya sekadar menjawab soalan wartawan apabila ditanya pelbagai soalan.

"Tiada siapa yang boleh tandingi nyanyian juga kredibiliti dia. Saya cuma menjadikan dia sebagai idola. Kalau nak kata saya tiru suara dia, saya ada minta pendapat peminat-peminat saya dan mereka kata, mereka dapat bezakan suara kami", ujarnya yang turut menyatakan rasa terkilan dan kecewa dengan kecaman yang diterima namun tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

Pun begitu dia mengakui, sikapnya yang suka bergurau mungkin telah menyebabkan salah faham dengan apa yang dikatakannya sehingga dipandang serius oleh sesetengah pihak.

"Bukan nak salahkan sesiapa tetapi memang tiada niat untuk cetuskan apa-apa kontroversi sebegini dan perkara ini juga saya sudah dijelaskan kepada wartawan yang menulis artikel itu. Saya juga telah memberi penjelasan di Facebook saya. saya harap peminat Awie dapat menerimanya," kata bekas peserta One In Million (OIAM3) ini lagi.

Dalam perkembangan lain, Aweera yang akan pulang beraya di kampung halamannya selama seminggu, bakal muncul dengan filem pertamanya berjudul Leftwings yang akan ditayangkan pada 30 Ogos ini.

Oleh Farahanim Rahim  
0

Datuk Yusof Haslam Tegur Neelofa Supaya Tidak Lupa Diri

Neelofa


Kenapa Neelofa ditegur? Siapa yang tegur Neelofa? Jangan terkejut kerana Datuk Yusof Haslam yang menegur Lofa supaya tidak lupa diri. Pasti ada sebab tertentu mengapa Datuk menegur Lofa sedemikian.
Rupa-rupanya Lofa ditegur kerana Lofa dikatakan tidak memberikan kerjasama bagi mempromosikan filem terbaru yang bakal ditayangkan di pawagam iaiti S.A.M (Saya Amat Mencintaimu) arahan Syafiq Yusof.
Ketika majlis pratonton filem berkenaan, Lofa langsung tidak menunjukkan diri.

Datuk Yusof bukan sahaja dikatakan marah namun beliau berasa kecewa dengan sikap Lofa kerana baru setahun jagung di dalam industri ini tetapi lagaknya kalah Primadona Filem Melayu, Erra Fazira. Sesiapa sahaja pasti akan marah dengan situasi seperti ini kerana Lofa apabila cuba dihubungi, tetapi tidak dilayan oleh Lofa. Sms juga tidak berbalas.

Datuk Yusof Haslam

Adakah Lofa sudah besar kepala? Adalah lebih baik kita tunggu sahaja penjelasan Lofa. Mungkin dia ada alasan yang kukuh atas kejadian ini. Dengar cerita juga, ada sumber yang mengatakan bahawa Lofa tidak hadir kerana dia cuma memegang watak kecil sahaja di dalam filem S.A.M. Betul ke?

Kebenarannya hanya Lofa yang tahu. Kita jangan terus menghentam Lofa. Kita tunggu sahaja penjelasan dia. Adakah dia sengaja tidak hadir kerana dia perasan diva ataupun kerana dia mempunyai alasan yang kukuh.

Bagi peminat filem tanah air, nantikan kemunculan filem arahan Syafiq Yusof, S.A.M yang akan menemui peminat di pawagam bermula hari khamis ini 16 Ogos ini menerusi tayangan tengah malam, diikuti tayangan serentak seluruh Malaysia pada 1 Syawal.
0

Hidup Scha Al Yahya Lebih Teratur Selepas Menjadi Isteri

Scha Al Yahya berasa tenang menjadi isteri Awal.



PETALING JAYA: Alam perkahwinan yang dilalui aktres Scha Al Yahya sejak Mei lalu membuatkan dia lebih tenang dan mempunyai rutin hidup yang teratur.

Scha atau nama sebenar Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, perubahan yang dialami selepas tiga bulan bergelar isteri kepada pengacara Awal Ashaari menjadikan dia insan yang lebih baik dan bertanggungjawab.

“Selepas tiga bulan menjadi isteri Awal, saya dapat rasai satu perubahan besar dalam diri berbanding zaman bujang dulu. Saya semakin tenang dan bahagia dengan kehidupan hari ini.

“Sebelum ini, saya hanya jalani hidup tanpa rutin dan tanggungjawab tertentu tetapi alam perkahwinan ini banyak mengajar saya mengenai perancangan dan disiplin,” katanya kepada mStar Online.

Pasangan itu bernikah pada 4 Mei lalu di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dekat sini.

Aktres yang mencipta nama menerusi siri Awan Dania ini berkata, status isteri orang yang digalasnya turut membuatkan dia berasa lebih selamat dan tenteram.

Scha dan suaminya, Awal ketika menghadiri sebuah majlis berbuka puasa, baru-baru ini.


“Mungkin inilah kuasa sesebuah perkahwinan. Selain ketenangan, saya akui berasa lebih selamat kerana menggalas status isteri orang.

“Saya dan Awal berkongsi dalam segenap perkara dan tiada apa yang perlu disorokkan, sekali gus menjadikan ikatan kami lebih kuat. Malah, ia menjadikan kami lebih mengenali satu sama lain,” jelasnya yang belum memikirkan soal zuriat.

Ditanya mengenai pengalaman pertama menyambut Ramadan sebagai isteri, Scha berkata, dia hanya terlibat dalam komitmen lakonan pada minggu pertama puasa saja.

“Saya hanya berlakon pada minggu pertama Ramadan. Untuk baki bulan puasa ini, saya tumpukan perhatian pada perniagaan kios Schapoholic yang menjual pakaian dan aksesori wanita di samping suami.

“Selebihnya, saya hanya memenuhi undangan berbuka puasa. Apa-apa pun, keutamaan semestinya pada hal ehwal suami dan rumah tangga,” kongsinya yang baru menamatkan penggambaran filem Dampak.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Rita Rudaini Terima SMS Ugutan Daripada Suaminya

 Rita Rudaini dan Aidil Zafuan bersama anak-anak mereka.(Gambar fail)

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar telah menerima mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berbau ugutan daripada suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak selepas wanita itu membuat kenyataan mengenai rumah tangga mereka dalam Melodi di TV3 pada Ahad.

Rita, 36, dalam mesejnya kepada wartawan mStar Online memberitahu, dia menerima SMS daripada Aidil, 25, yang antara lain berhasrat mahu membalas dendam dengan memalukan Rita dalam rancangan tersebut.

“Dia ada hantar mesej kepada Rita melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Rita dalam Melodi hari ini (Ahad).

"Dia ugut nak malukan Rita dalam rancangan itu juga sebaik sahaja dia pulang daripada menjalani latihan bola sepak di luar negara,” kata Rita pada Ahad.

Menerusi rancangan Melodi itu Rita yang ditemu bual wartawan Azmi Jamsari mendedahkan hatinya sudah tertutup terhadap Aidil selain kecewa dengan sikap suaminya yang dilihat tidak matang dalam menguruskan rumah tangga.

Rita menerima SMS berbau ugutan daripada suaminya, Aidil Zafuan.

Malah Rita juga memberitahu Aidil sebenarnya sudah termakan hasutan pihak ketiga yang akhirnya menyebabkan rumah tangga mereka semakin parah dan tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Rita dalam Melodi itu juga turut menyerahkan kepada takdir bagi menentukan jodohnya dengan suami.

Dalam perkembangan berkaitan Rita menambah, selama ini Aidil juga banyak memberi kenyataan termasuklah melalui rancangan hiburan tersebut tetapi dia mengambil peluang untuk tidak melenting.

Bagaimanapun Rita kecewa apabila kenyataannya pada Ahad mendapat reaksi negatif daripada Aidil sehingga sanggup menghantar SMS berbentuk ugutan.

“Bila dia cakap di Melodi, Rita tak kacau pun tapi bila Rita pula yang bagi kenyataan, kenapa dia nak sakit hati?” soal Rita.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Pada Januari lalu Aidil bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara dekat sini ketika Rita bersama anak-anak pulang ke kampung halamannya di Perlis.

Oleh NIEZAM ABDULLAH