0

Lisa Surihani Pandai Pikat Hati Yusry...

Lisa dan Yusry ketika majlis rumah terbuka KRUStudios di rumah Norman Abdul Halim di Cyberjaya.


PETALING JAYA: Hubungan cinta pelakon Lisa Surihani dan pengarah filem Yusry Abdul Halim semakin kuat dan kukuh, namun pasangan itu belum merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.
Sementelah hubungan mereka masih baru berputik dan dalam proses saling memahami antara satu sama lain, Lisa pandai memikat hati Yusry dengan menempah kain samping khas.
“Yusry tidak gemar memakai baju Melayu dengan samping kerana dia tidak suka membetulkan samping yang mudah longgar dan melindungi poket seluarnya.
“Jadi, sebab itu saya memberitahu idea kepada pereka fesyen untuk menjahit samping yang ada zip dan poket khas untuknya. Semuanya ada tiga pasang dan berlainan warna dan corak,” kata Lisa di samping Yusry sewaktu majlis rumah terbuka KRU Studios di rumah Norman Abdul Halim di Cyberjaya baru-baru ini.
Diusik tentang hubungan cinta mereka yang semakin rancak, kedua-duanya yang tampil baju raya warna sedondon akui sudah beraya di rumah keluarga masing-masing.
“Kami tidak pernah menyembunyikan hubungan kami dan saya sudah membawa Lisa berhari raya dan bertemu saudara-mara saya di Gopeng pada Hari Raya kedua lalu.
“Begitu juga dengan saya yang ada mengikut Lisa berhari raya di rumah sepupunya di Ampang, Selangor pada malam Hari Raya pertama,” ujar Yusry.
Tambahnya lagi: “Saya memang serius dengan Lisa dan tidak berdolak-dalik apabila ada yang bertanya tentang hubungan kami. Cuma tentang tarikh perkahwinan yang digembar-gemburkan akan berlangsung pada tahun 2012 adalah tidak benar.
“Kami belum merancang apa-apa kerana masing-masing sangat sibuk dan belum sempat berbincang tentang perkara itu. Percayalah, memang tiada agenda tersembunyi…”
Menyentuh tentang karier seni masing-masing, Lisa bakal bertolak ke Istanbul pada Oktober ini selama 20 hari dan dijangka pulang pada penghujung bulan itu untuk menjayakan lakonan sebuah filem romantik komedi arahan Bernard Chauly berjudul Istanbul, Aku Datang.
Filem terbitan Red Communications Sdn Bhd itu turut dilakonkan oleh Tomok dan Beto Kusyairi dan akan menjalani 100 peratus penggambaran di negara itu.
Selain itu, dia sedang menunggu kemunculan filem terbarunya berjudul Ombak Rindu dan Papa, I Love You di pawagam.
Sementara itu, Yusry sedang sibuk dengan proses penggambaran filem Vikingdom yang bakal menggunakan khidmat pelakon Hollywood.

0

Panas!! Pelakon Zarina Ann-Julie Kutuk Awal Ashaari Dalam Twitter...



KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari,30, memberitahu kurang senang dengan tindakan pelakon Zarina Ann-Julie yang menghinanya dengan kata-kata kurang enak di laman Twitter baru-baru ini.
Awal berkata, dia tidak tahu apakah kesalahannya menyebabkan Zarina sanggup mencaci dia serta ibu dan bapanya di laman sosial itu.
"Sejujurnya saya tidak mengenali siapa dia (Zarina) dan tidak pernah bertemunya di mana-mana majlis hiburan sebelum ini. Sebab itu saya tidak faham mengapa dia memburuk-burukkan saya di laman Twitter miliknya," kata Awal ketika ditemui pada majlis pelancaran drama "Cuak" di sini, Selasa.
Zarina dikatakan mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadap Awal apabila mengaitkan penahanan pengacara lelaki itu oleh pihak polis dengan Scha Al-Yahya di sebuah kelab hiburan tidak lama dulu.
Antara kata-kata Zarina dalam laman Twitter miliknya.
Ia dipercayai berpunca apabila Awal kononnya dikatakan telah menyentuh satu perkara yang menyebabkan Zarina terasa dalam program hiburan Fuhh! terbitan TV3 yang dikendalikan Awal.
Sementara itu, Awal memberitahu selepas insiden itu dia telah menonton kembali lima episod terdahulu program berkenaan untuk mengetahui jika ada kata-katanya yang menyebabkan pelakon tersebut terasa.
Awal tidak tahu punca sebenar kemarahan Zarina terhadapnya.
"Saya sudah tengok kembali lima episod program itu tetapi tiada satu episod pun yang mengaitkannya. Malah saya turut bertanyakan pihak penerbit mengenai hal berkenaan dan mereka juga terkejut,” katanya.
Awal berkata, Zarina mungkin bertindak sedemikian kerana ingin mencari publisiti murahan selain berusaha mendapat perhatian ramai.
Sebagai artis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni, Awal menjelaskan dia enggan melayan perkara remeh seperti itu.
"Saya tidak mengenali dia (Zarina) dan tidak pasti apakah sebenarnya isu dia terhadap saya. Jadi saya rasa saya tidak perlu layan dan cari gaduh dengan sesiapa," ujarnya.
0

Mamat (Sepah) Bengang Dengan Tuduhan Bekas Kekasihnya...


Mamat bersama kekasih barunya, Fida.
PETALING JAYA: Bekas anggota Sepah, Mohd Noor Murad atau Mamat menganggap tuduhan yang dibuat oleh bekas kekasihnya Nur Syuhada atau lebih dikenali sebagai Adda mengenai kisah cinta mereka sebagai melampau batas dan mempunyai agenda tertentu.
Kata Mamat, dia berani menjunjung kitab suci Al-Quran dan bersumpah bahawa kenyataan yang dibuat oleh vokalis kumpulan Butterfly itu adalah tidak benar.
"Saya mengaku meninggalkan dia dalam keadaan yang dia sangat sayangkan saya dan begitu juga saya terhadapnya. Namun ada perkara lain yang saya tidak boleh terima dalam hubungan itu sehingga membuatkan saya mengambil keputusan memutuskan hubungan.
"Biarlah saya dan dia sahaja yang mengetahui perkara tersebut kerana jika saya buka mulut ia tidak beri faedah kepada sesiapa pun, malah memburukkan lagi keadaan," katanya kepada mStar Online, di sini, Isnin.
Mamat diminta mengulas kenyataan Adda dalam sebuah akhbar mingguan yang mendakwa dia telah memutuskan hubungan cinta mereka tanpa sebarang alasan.
Adda bekas kekasih Mamat - Foto daripada akaun Twitter Adda
Malah dalam kenyataan tersebut juga, Adda mendakwa Mamat sebagai individu yang menjadi punca perpecahan kumpulan Sepah.
Bagaimanapun, Mamat akui dia sedar perkara sebegini akan berlaku dan menasihatkan Adda agar tidak membesarkan lagi perkara ini.
"Saya tahu kekecohan ini terjadi disebabkan tindakannya yang mahu memperbesarkan perkara itu. Dia pernah beritahu saya tentang hajat berkenaan tetapi saya sudah mengingatkannya supaya tidak meludah ke langit, takut terkena muka sendiri.
"Tentang cincin yang saya telah berikan, memang saya minta semula daripadanya kerana itu adalah tanda ikatan sebuah hubungan, namun saya terus buang kerana tidak sanggup mengenangnya lagi," katanya kesal.
Dalam pada itu, mengenai perpecahan kumpulan Sepah yang dikatakan berpunca daripadanya, Mamat berkata keputusan berkenaan adalah persetujuan daripada ketiga-tiga pihak.
"Perkara itu sudah dijelaskan dan keputusan itu adalah daripada kami bertiga buka kerana saya seorang," tuturnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas reaksi kekasih barunya iaitu pelakon Fida, Mamat berkata, pelakon Kasih Alia itu seorang yang profesional dan berfikiran terbuka.
"Fida menyuruh agar saya tidak melatah kerana ini adalah asam garam kehidupan sebagai artis dan dia sangat memahami situasi saya sekarang," ujarnya.