0

Rozita Che Wan Tidak Abaikan Anak Walaupun Sibuk

 Rozita Che Wan bersama anaknya Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14.


Nama Rozita Che Wan antara selebriti tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Bukan sahaja terkenal dengan kejelitaan, tetapi peranan ibu kepada dua anak remaja tidak pernah sesekali diabaikan.

Wanita berstatus ibu tunggal ini juga turut dikenali kerana lakonan mantapnya dalam beberapa drama hebat seperti Kiah Perkasam, Sesuci Cinta Sofia, Anissa, Iparku Diva dan Goyang Syafiq.

Malah, biarpun ramai pelakon pelapis membanjiri industri, Rozita masih mempunyai tempat dan populariti tersendiri. Nyata, ibu kepada Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14, ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Semakin sibuk dengan kerjaya, aktres yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini mengakui bersyukur kerana masih diterima dalam dunia seni tanah air.

Jelas wanita yang usianya telah pun menginjak ke angka 41 tahun ini, rezeki yang diterima tidak pernah putus sejak bergelar pelakon.

“Alhamdulillah, saya selesa dengan kehidupan kini, saya tidak mempunyai masalah untuk menguruskan kehidupan dan membesarkan anak-anak. Yang penting makan dan minum mereka sentiasa ada.

“Sekarang pun, baru sahaja habis satu penggambaran, sudah ada tawaran lain yang menanti. Bagaimanapun, selain berlakon saya juga tidak lupa memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan. Harapan saya, keduanya mampu berjalan dengan seimbang,” ujarnya ramah ketika dihubungi Zass.

Berbicara mengenai karier dan anak, Rozita menegaskan, komitmen yang diberikan kepada karier bukanlah alasan dia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

Jelas aktres popular ini, anak tetap menjadi keutamaan dalam kehidupannya.

“Saya telah berkecimpung dalam bidang seni agak lama, malah sejak kecil anak telah biasa dengan kerjaya saya. Jadi, faktor tanggungjawab tidak pernah timbul.

“Sepanjang membesarkan mereka saya sentiasa memberikan yang terbaik, saya mahu mereka tahu saya sentiasa menyayangi mereka.

“Doa saya, hubungan dengan anak-anak kekal mesra, lagi pun setakat ini saya tidak pernah ada masalah dengan mereka,” katanya.

Diusik dengan pertanyaan adakah dia masih mempunyai waktu untuk bersama anak, jelas Rozita kesibukan bekerja tidak pernah membatas waktu untuk bersama anaknya.

“Memang saya sibuk dengan pelbagai penggambaran drama dan acara-acara lain. Bagaimanapun, saya masih berkesempatan berjumpa mereka.

“Selalunya, habis sahaja penggambaran saya akan terus pulang ke rumah. Jadi dapatlah saya meluangkan masa dengan mereka.

“Bila ada masa terluang atau cuti panjang, saya akan membawa makan malam selain bermain boling,” katanya.

Jelasnya juga, dia turut mengamalkan menyuap makanan kepada anak-anak untuk mengeratkan hubungan mereka.

“Anak saya memang macam tu, walaupun sudah berusia belasan tahun tetapi mereka tetap mahu disuapkan. Kalau tak suap nanti merajuk pula,” katanya mesra.

Tegas dengan anak

Tugas yang digalas sebagai seorang ibu dan pelakon tidak pernah meletakkan Rozita untuk menjadi ibu yang sambil lewa terhadap kehidupan seharian anaknya.

Menurut Rozita, apa sahaja yang dilakukan anaknya perlu mendapat keizinannya terlebih dahulu. Malah, Rozita mengakui sangat tegas apabila berhadapan dengan anak-anak.

“Memang saya manjakan mereka. Apa sahaja yang diminta pasti saya berikan. Bagaimanapun, masih ada batasnya.

“Saya tidak mahu mereka berasa terlalu mudah untuk mendapatkan sesuatu. Setiap yang saya berikan perlulah ada balasannya.

“Misalnya, saya letakkan syarat supaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Jika tidak, jangan berharaplah untuk meminta apa-apa daripada saya. Bukan hendak lokek dengan mereka, tetapi biarlah berpada-pada,” katanya.

Mahu anak jadi pilot

Bercerita mengenai masa hadapan Ammar dan Aniq, Rozita mengakui sebagai ibu, dia sentiasa mengharapkan yang terbaik bagi kedua anaknya itu.

Ujarnya, sudah menjadi lumrah hidup setiap ibu di dunia menginginkan anak mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing.

“Saya juga seperti ibu lain yang ingin melihat anak berjaya. Buat masa sekarang saya lihat mereka sangat berminat untuk menjadi juruterbang dan saya sendiri gemar dengan cita-cita mereka.

“Mungkin selepas tamat persekolahan, saya akan menghantar mereka untuk mendapatkan pendidikan yang lebih khusus dalam bidang itu,” katanya.

Ditanya adakah dia membenarkan anaknya untuk melibatkan diri dalam bidang seni, Rozita berkata, dia tidak pernah menggalakkan anak-anak untuk menjadi sepertinya.

“Terus-terang saya katakan biarlah anak terlibat dalam karier yang lebih profesional. Bukan tidak bagus menjadi artis namun sebagai lelaki mereka memerlukan satu kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan.

“Kalau anak perempuan, saya tidak kisah. Kerana perempuan boleh hidup dan bergantung kepada suami, sebaliknya lelaki tidak. Sampai bila mereka hendak bergelar pelakon. Itu pegangan saya,” katanya.

Anak tahu siapa saya: Rozita

Kontroversi yang melanda Rozita tidak kurang hebatnya. Bahkan ada sahaja khabar angin mengenai dirinya sejak terbabit dalam bidang ini. Pun begitu, dia dilihat cukup tabah dan tenang menghadapi kontroversi yang berlaku.

Namun bagaimana pula penerimaan kedua anaknya? Ditanya berkenaan perkara itu, tegas Rozita Ammar dan Aniq tahu siapa ibu mereka.

“Alhamdulillah, anak-anak sentiasa percayakan saya. Saya tiada sebarang masalah hendak menerangkan kepada mereka. Lagi pun, apa yang saya lakukan saya kongsi bersama mereka.

“Sepanjang bergelar selebriti memang ada perkara yang boleh melukakan hati dan perasaan mereka. Bagaimanapun saya lihat mereka tenang dan dapat menerimanya dengan baik.

“Saya yakin mereka sudah matang dan tahu apa yang benar. Lagi pun, sebagai anak mereka sentiasa menyokong saya. Cuma, saya harap anak-anak tabah berdepan dengan khabar angin dan gosip yang didengar mereka,” katanya.
0

Siti Sarah Kurang Yakin Untuk Rakam Lagu Selepas Bersalin

 Siti Sarah Raisudin

PETALING JAYA: Sejak melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni, pada Disember tahun lalu, penyanyi Siti Sarah Raisuddin mengakui dia kurang yakin untuk merakamkan lagu baru buat masa ini.

Sarah berkata, dia merasakan vokalnya kurang mantap seperti sebelum ini dan hal itu mungkin terjadi kerana kesan daripada melakukan pembedahan ketika melahirkan Uwais.

"Buat masa ini, saya belum bersedia untuk menyanyi walaupun bakal muncul dengan 'single' lagu terbaru yang masih lagi sedang dalam pembikinan oleh komposer Aidit Alfian.

"Memang saya rasa vokal kurang mantap. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana rasanya ketika merakamkan suara, tak macam dulu. Perut saya seperti berangin saja.

"Walaupun orang kata menjadi perkara normal untuk seorang wanita yang lepas bersalin, salah tanggapan itu kerana vokal yang bagus mampu bertahan sehingga usia 63 tahun jika tahun teknik penjagaannya," katanya.

Tambah Sarah, dia berharap vokalnya kembali mantap sebelum merakamkan lagu tersebut.

Sementara itu, ditanya bagaimana kehidupannya sejak lima bulan bergelar ibu, Sarah cukup bahagia dan seronok menjaga anak kecilnya itu bersama suami, Shuib (Sepah).

"Setiap kali melihat wajah Uwais, saya rasa bersyukur sangat kerana memilikinya. Malah walaupun masih kecil lagi, dia sudah pandai mengambil hati saya dan Shuib.

"Selamatlah, dia tidak banyak ragam apabila saya dan Shuib sibuk bekerja, tetapi apabila dia bersama saya, bukan main lagi dia nakkan perhatian," seloroh pelakon filem Man Sewel Datang KL ini.

Man Sewel Datak KL bakal menemui penonton bermula 31 Mei ini.

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK
0

Hafiz AF Disantau Dalam ‘Mania’??


SHAH ALAM: Penyanyi Hafiz Suip (Akademi Fantasia 7) menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya dia disantau ketika bersaing dalam program Mania beberapa minggu lalu sehingga menjejaskan prestasi persembahannya.

Pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, ini berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak berasas kerana dia percaya semua peserta yang bertanding dalam program tersebut bersaing secara sihat dan tidak melibatkan sebarang taktik kotor.

“Saya nafikan dakwaan itu. Saya tidak fikir ia (santau) berlaku sama sekali. Alhamdulillah, keadaan saya baik dan tiada apa-apa yang pelik dialami.

“Mungkin orang melihat prestasi saya agak merosot beberapa minggu lalu kerana tekanan yang dihadapi dalam pertandingan Mania tetapi ia tiada kaitan dengan perbuatan khianat pihak tertentu,” jelasnya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Awan Nano itu berkata, sebagai umat Islam dia sentiasa berserah dan berlindung kepada Allah dalam mencari rezeki dan dia percaya sebarang penganiayaan hanya akan berlaku dengan keizinan-Nya.

“Kalau benar ada yang berniat jahat untuk melakukan begitu, adalah lebih baik dihentikan saja. Bukan saja perkara itu berdosa, malah ia tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa pun.

“Saya tidak ada hak untuk membalas, biarlah Tuhan saja yang membalasnya. Saya percaya setiap perkara hanya berlaku dengan izin-Nya,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata dia semakin merasai tekanan menjelang persaingan minggu separuh akhir (minggu kesembilan) Mania pada malam Sabtu ini.

Katanya, pada peringkat ini cabaran bukan saja melibatkan aspek pemilihan lagu dan persembahan, bahkan ia turut bergantung kepada tuah seseorang penyanyi itu berdasarkan undian peminat.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pertandingan ini menjadi lebih mencabar kerana ia tidak diadili oleh juri profesional, sebaliknya bergantung kepada penilaian penonton yang mengundi.

“Menerusi kaedah begini, apa keputusan pun boleh terjadi. Yang bagus boleh tersingkir jika nasib undian tidak menyebelahi,” terangnya.

Oleh: WAHIDUZZAMAN
0

Saiful Apek Tuntut RM200,000 Dari David Teo


KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Saiful Apek, 43, melancarkan ‘perang’ terhadap produser, David Teo dengan mendakwa penerbit filem terkemuka terbabit gagal melunaskan pulangan pelaburan RM200,000 filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali kepadanya selepas dia yang membintangi kedua-dua filem berkenaan melaburkan wang hasil lakonannya RM100,000 sejak 2005.

Katanya, selain isu berkenaan perkara lain dibangkitkan adalah kegagalan David menyiapkan album nyanyiannya sedangkan kontrak dimeterai setahun ditandatangani pada tahun yang sama.
sebelum   selepas

Menurutnya, berikutan tidak berpuas hati dan tidak mempunyai saluran memperjuangkan haknya, dia tampil membuat kenyataan di laman sosial facebook dan twitter sehinggalah menyedari menerima kritikan hebat pengguna rangkaian sosial berkenaan.

Saiful berkata, Ahad ini jam 2 petang, dia dan lebih 50 selebriti yang mahu menuntut hak masing-masing terhadap David dengan mengadakan sidang media bersama bukti dan dokumen yang pernah ditandatangani bagi menerangkan keadaan sebenar.

Katanya, pada 2005, dia ditawarkan membintangi filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali dengan bayaran RM100,000 sebelum wang itu dilaburkan semula dalam kedua-dua filem berkenaan.

Oleh: Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
0

Gambar Fasha Sandha Dan Jejai Berbulan Madu Di Pulau Redang


Ramai artis yang memilih destinasi luar negara untuk berbulan madu.

Contohnya seperti Awal dan Scha yang berbulan madu di New York.

Lisa dan Yusry yang pergi berjalan-jalan sekitar Eropah.

Namun berbeza bagi Fasha dan Jejai yang memilih destinasi untuk berbulan madu mereka hanya di dalam Malaysia iaitu di Pulau Redang.















Pasti Fasha dan Jejai pun sangat gembira dapat menghabiskan masa menikmati keindahan Pulau Redang dalam suasana romantis di sana,sambil di sulami dengan aktiviti memancing yang menyeronokkan.

Jom terjah beberapa keping gambar berbulan madu Fasha dan Jejai yang penuh romantik di Pulau Redang.


Kredit Gambar: Facebook We Love Fasha Sandha & Rotikaya.Com
0

Jamal Abdillah Akui Pernah Mencipta Lagu Mengenai Ganja



Tahniah kami ucapkan pada Jamal Abdillah kerana masih lagi mewarnai industri hiburan tanahair dan juga kerana singlenya yang berjudul “Aku Maafkan Kamu” bersama Malique telah mencatat jumlah tontonan yang mengejutkan di laman Youtube.

Untuk pengetahuan, Jamal Abdillah telah meraikan hari lahirnya yang ke-53 pada 7 Mei lepas dan semalam, dia telah dikejutkan dengan parti harijadi yang dirancang oleh pihak Warner Music di Restoran Dareen, Solaris Mont Kiara. Kejutan ini turut diserikan lagi dengan persembahan mantap oleh beberapa orang peminat setia Jamal Abdillah.

Dalam pertemuan OHBULAN! bersama penyanyi yang cukup dikenali dengan vokalnya yang mantap ini, Jamal Abdillah telah mendedahkan beberapa perkara yang kami pasti bukan setakat umum tidak tahu malahan peminat dan orang yang juga rapat dengan dirinya.

Terkejut juga kami apabila mendapat tahu bahawa Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah pernah mencipta lagu berinspirasikan marijuana atau lebih dikenali sebagai ganja. Jamal yang pernah menjalani pemulihan dadah selama 5 tahun di Rumah Pengasih telah mengakui bahawa dia ada menyimpan lirik lagu berjudul “Kuhidu Bunga Berbisa” yang merujuk pada daun ganja.

“Tajuk lagu ini adalah berkenaan dengan sejenis bunga popi (opium) yang ditukar oleh manusia menjadi sesuatu yang beracun,” jelas Jamal Abdillah mengenai tajuk lagu tersebut.

Walaubagaimanapun, Jamal masih belum berfikir samada lagu itu akan dilancarkan secara rasmi kepada umum atau hanya akan disimpan secara peribadi olehnya.

Dalam pada itu, Jamal turut memberitahu bahawa dia tidak akan bersara dari dunia muzik walaupun umurnya semakin meningkat.

“Harapan saya, saya ingin berada di persada seni ini sehingga bila-bila. Saya tak mahu bersara,” tegas Jamal Abdillah.

Semoga Jamal Abdillah akan terus menghiburkan para peminat dengan lagu-lagunya yang sentiasa menjadi siulan ramai.

Kredit Sumber: www.ohbulan.com
0

Nurul Pilih Lelaki Perancis Sebagai Calon Suami

Nurul sedang membilang hari untuk menempuh detik bahagia.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab tidak melihat kelainan budaya antara beliau dengan bakal suami iaitu Eric Daniel Depp sebagai satu halangan untuk mereka mengecap bahagia.

Nurul berkata, dia menerima Eric seorang warganegara Perancis kerana ketulusan dan kriteria yang diinginkan daripada lelaki berusia 47 tahun itu.

"Saya tidak meletakkan bangsa atau warna kulit dalam memilih seorang lelaki sebagai calon suami tetapi memandang kepada ketulusan dan ciri-ciri yang saya cari.

"Eric juga seorang yang faham mengenai budaya, agama Islam dan sentiasa hormat budaya kita di Malaysia. Soal itu langsung tidak pernah menjadi masalah kepada saya," ujarnya kepada mStar Online pada Rabu.

Nurul ditemui selepas melancarkan album mini terbarunya di sini.

Tambah Nurul, dia tidak perlu risau mengenai soal budaya atau tanggungjawab bakal suaminya itu kerana sifat-sifat yang diinginkan daripada seorang lelaki ada pada Eric.

Nurul memberitahu, pengalaman Eric selama 10 tahun tinggal di Asia telah banyak mengajarnya mengenai budaya dan cara kehidupan masyarakat di sini.

"Aspek budaya atau tanggungjawab tidak menjadi isu kerana apa yang penting saya perlu memainkan peranan dalam soal kerohaniannya sebagai mualaf.

"Tanggungjawab saya sebenarnya yang lebih besar dalam memastikan bakal suami faham mengenai agama Islam dengan lebih baik," ujarnya.



Pasangan itu bakal bernikah pada 6 Jun depan di Duchess Palace dekat sini pada pukul 11 pagi.

Kira-kira 200 tetamu bakal dijemput pada hari bahagianya itu yang dibuat secara kecil-kecilan.

Dalam pada itu, Nurul memberitahu, Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan tindakkannya itu telah meyakinkan bahawa lelaki tersebut sesuai untuknya.

Nurul juga tidak pernah menyangka akan bertemu dengan Eric dan seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin selepas lima tahun menjanda.

"Saya telah mengenalinya pada September 2010 dan kami mula serius pada Januari 2011. Sepanjang dua tahun pengenalan kami dia seorang lelaki yang baik dan memahami diri saya dan sentiasa senang bersama dengannya," katanya.

Sementara itu, ditanya kenapa dia sering mengelak apabila ditanya mengenai lelaki sebelum ini, Nurul berkata, dia tidak mahu menjadikan kehidupan peribadinya sebagai satu 'perniagaan' sepertimana dilakukan sebelum ini.

Dia juga banyak belajar daripada pengalaman lalu dan tidak lagi bersedia untuk berkongsi kisah peribadi melainkan perkara penting seperti pengumuman perkahwinan.

"Cukuplah dulu selagi ada kisah dipaparkan dalam akhbar malah hubungan peribadi itu menjadi perniagaan. Bukan mengelak tetapi saya sudah banyak belajar daripada pengalaman lalu," katanya.

Bercerita lanjut mengenai bakal suaminya itu, Nurul berkata Eric adalah seorang duda tetapi tidak mempunyai cahaya mata dan bekerja sebagai konsultan dan jurulatih kesihatan.

Katanya, pihak media hanya akan mengenali Eric pada hari pernikahan nanti kerana bakal suaminya itu merasakan dirinya bukanlah seorang artis.

"Dia bukan sombong tetapi malu nak jumpa orang apatah lagi saya ni seorang artis. Dia rasa tak sesuai untuk berada di sini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nurul memberitahu sebanyak enam individu telah sudi untuk menaja perkahwinannya nanti iaitu Rizman Ruzaini, Bon Zainal, Jakel, Zaha Weeding Planner, Deqsha dan Duchess Place.

Bagaimanapun dia tidak akan mengadakan sebarang majlis resepsi sebaliknya keluarga pihak lelaki akan meraikan perkahwinan mereka dalam sebuah majlis di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan.

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
0

Pertubuhan Islam Indonesia Kecam Kunjungan Lady Gaga


JAKARTA
: Sebuah kumpulan Islam tegar di sini melarang keras kunjungan penyanyi Hollywood, Lady Gaga ke negara ini untuk mengadakan persembahan yang dijangka pada 3 Jun depan.

Barisan Bertindak Islam (BBI) Indonesia telah berikrar untuk menggerakkan kira-kira 30,000 penunjuk perasaan bagi membantah kedatangan Gaga selain menghalangnya “menjejakkan kaki” ke Indonesia, sebuah negara Islam terbesar di dunia.

“Kami akan melarang dia daripada memijak di atas tanah kami. Lebih baik dia tidak menyebarkan fahaman iblis ke negara ini

"Gaya beliau adalah kesat, berimej seks serta berpakaian lucah yang akan memusnahkan moral kanak-kanak. Dia sangat bahaya,” kata Pengerusi BBI Jakarta, Salim Alatas kepada AFP.

Lady Gaga adalah antara bintang Hollywood yang terkenal dengan imej keterlaluan, seksi serta sering tampil membuat persembahan provokatif sehingga mencetuskan bangkangan di negara-negara Asia ketika siri jelajahnya yang dikenali “Born This Way Ball”.

Pada bulan lepas kunjungannya yang bermula di Seoul, Korea Selatan turut mendapat kecaman.

Bagaimanapun terdapat peminat menerusi Facebook kelab peminat Lady Gaga di negara ini menyatakan keterujaan untuk menyaksikan persembahan artis tersebut selain berhasrat memberi penghargaan kepadanya.
0

David Teoh Mohon Maaf Dari Hujung Rambut Hingga Hujung Kaki

  
Salam takziah saya buat seluruh keluarga dan sahabat handai arwah Bob Kuman (Husni Bin Mohd. Rawi). Pemergian beliau sememangnya satu kehilangan buat industri hiburan Malaysia.

Saya sendiri terkejut apabila mendengar berita pemergian beliau namun kita sebagai manusia harus redha dengan segala ketentuan Tuhan.

Allahyarham sebelum ini banyak terlibat dalam produksi saya & beliau sangat komited dengan segala kerja yang dilakukannya. Saya juga sangat menghormati beliau sebagai sahabat dan rakan kerja yang sama sama bekerja dalam industri.

Di kesempatan ini, saya dari lubuk hati yang dalam memohon maaf daripada keluarga Allahyarham sekiranya ada kata-kata atau tindakan saya yang menyinggung perasaan mereka. Bukanlah niat saya untuk mencetuskan sebarang kontroversi.

Saya sedar kata-kata saya dalam rancangan Melodi bertarikh 22 April 2012 saya ada menyebut tentang sumbangan yang telah saya beri di Hospital Tawakal pada tahun 2010 yang lalu semasa beliau sakit.

Dalam kenyataan itu, saya ada menyebut “jika Bob Kuman perlukan sumbangan lebih, saya boleh sedekah”. Di sini saya ingin menjelaskan bahawa kenyataan ini dikeluarkan semasa Arwah masih hidup, BUKANNYA setelah beliau meninggal. Penggunaan perkataan “sedekah” yang saya maksudkan adalah “derma atau sumbangan”.

Apa yang saya faham, “sedekah” bukanlah sesuatu yang hina. Selalu kita dengar “senyum adalah satu sedekah” dan “sedekahkan al-Fatihah” jika ada orang meninggal dunia. Saya anggap perkataan ini sesuatu yang suci tetapi mungkin saya tersalah tafsir.

Saya sedar kata-kata saya ini telah menyinggung perasaan keluarga dan sebilangan masyarakat terutamanya peminat dan penyokong Arwah Bob Kuman. Percayalah, demi Tuhan saya langsung tidak terlintas niat di hati untuk menyakitkan hati mana-mana pihak sedangkan beliau telah saya anggap sebagai sahabat baik saya.

Saya sekali lagi memohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki di atas kertelanjuran saya. Saya bukanlah insan sempurna yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Pengalaman ini akan saya jadikan pedoman untuk menempuh hari-hari yang mendatang dengan lebih berhati-hati.

Kepada semua rakan-rakan artis dan peminat, sama-sama lah kita mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham di-sana. Diharapkan permohonan maaf ikhlas ini dapat diterima dengan hati yang ikhlas juga.

Ikhlas,
David Teo
0

Jimmy Shanley Dakwa Isterinya Akui Mengandung Anak Luar Nikah


SHAH ALAM - Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Rendah Syariah hari ini bahawa isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy mengaku mengandung anak luar nikah dan mengugut mahu menggugurkannya jika kandungan itu benar anak Jimmy.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh, 31, berkata, Nursuhaila membuat pengakuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang 24 Januari 2011 selepas dia menegur isterinya itu, yang didapati masih berjudi.

Jimmy memberi keterangan dalam perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat yang difailkan terhadap Nursuhaila pada 3 dan 27 Januari tahun lalu.

Menjawab soalan peguam syarie Mohd Noor Aizan Mohd Idrus, Jimmy berkata, pengakuan Nursuhaila itu adalah salah satu sebab mengapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

"SMS isteri berbunyi; Kalau I mengandung pun confirm anak you ke? Ni Mr Jimmy, I dah buanglah anak you tu kalau I mengandung.

"Saya balas SMS dan bertanya anak siapa awak mengandung? Dia jawab; Anak haram. Mampus pi lah anak siapapun. Ada aku kisah," kata Jimmy yang membacakan SMS Nursuhaila di hadapan Hakim Syarie, Saharusin Selamat.

Jimmy antara lain memberitahu sudah banyak kali memberikan nasihat kepada Nursuhaila berhubung perkahwinan mereka.

Malah katanya, Nursuhaila pernah bertindak keluar rumah dan hilang selama 16 hari sebagai protes dengan teguran bapa sendiri mengenai rumah tangga mereka.

Dia juga memberitahu ada menghantar SMS merayu isterinya berubah dan meminta ampun kepada ibu bapa.

Pada prosiding hari ini, Jimmy mengemukakan lima alasan utama kenapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

Menurutnya, Nursuhaila mungkir janji sebelum bernikah iaitu berjudi semula; menghilangkan diri selama 16 hari; bercuti di China tanpa izinnya; mendakwa anak yang dikandungkannya sebagai luar nikah dan mengugut mahu menggugurkan kandungan jika mengandungkan anaknya.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran sebanyak RM31,186 bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

OLEH: KHALILAH GUSTI HASSAN