0

Ucapan takziah untuk keluarga Shamrin Fotograf


Balu Shamrin membantu anaknya menyiram air di pusara Shamrin di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ, Subang Jaya. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
BERITA kematian penyanyi kumpulan Fotograf, Shamrin atau nama sebenarnya Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, mengejutkan ramai pihak yang mengenalinya.
Sebelum ini penyanyi yang terkenal menerusi lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an ini tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mengalami penyakit serius.
Antara ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat Shamrin yang menghadiri upacara pengebumian.
Tiba-tiba sahaja, pada petang Khamis lalu Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya setelah rebah di padang bola ketika bermain bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Doktor mengesahkan Shamrin meninggal dunia akibat sakit jantung.
Mungkin, sudah tiba ajalnya dan Tuhan lebih menyayangi Allahyarham yang disifatkan oleh rakan-rakan artis sebagai seorang yang periang dan penyabar.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ Subang Jaya, Selangor selepas solat Jumaat.
Ahli keluarga dan rakan Allahyarham ketika menunggu giliran untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah di Masjid Al-Falah USJ 9.
Shamrin yang berasal dari Kajang, Selangor telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989.
Setelah kejayaan album itu mereka menghasilkan lima buah album penuh 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).
Fotograf pernah memenangi Lagu Pop Terbaik, pertandingan Juara Lagu 1992 untuk lagu Di Alam Fana Cintamu.
Antara ahli keluarga dan rakan artis yang menunggu di perkarangan masjid.
Antara lagu yang mempopularkan mereka ialah Nafas Kekasih , Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan dan Luka Seribu Rindu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Jazriatul Akma Abu Saman,29, bersama tiga orang anak iaitu Akmal Danish,5, Akmal Shamim, 18 bulan dan Siti Najwa,17, iaitu anak daripada perkahwinan terdahulu.
Jazriatul Akma Abu Saman sekarang ini sarat mengandung sembilan bulan.
Jazriatul tabah dan tenang walaupun menghadapi kematian suaminya dalam keadaan sedang sarat sembilan bulan.
Shamrin bawa anak beli mainan
Siapa yang tidak sedih apabila kehilangan suami tersayang, namun riak wajah balunya, Jazriatul tampak tenang. Biarpun sedang sarat mengandung, wanita ini kelihatan tabah dan menerima kenyataan bahawa suaminya sudah tiada lagi.
Bagaimanapun dia tidak pasti bagaimana hendak menerangkan kepada anak keduanya, Shamim yang rapat dengan Allahyarham suaminya.
Malah, anak sulungnya juga seakan tidak menunjukkan apa-apa reaksi apabila memberitahu bahawa bapanya sudah tiada lagi.
“Allahyarham kelihatan seperti biasa sahaja sepanjang seminggu lalu. Namun, kelmarin sebelum kali terakhir kami anak-beranak berjumpa, dia nampak lain sangat.
“Saya berasa hairan kerana sebelum ini biasanya dia tidak membawa anak-anak membeli alat permainan tetapi sebelum kejadian itu, dia sempat membawa anak-anak keluar jalan-jalan.
“Dia juga tidak sempat membelikan barangan bayi yang akan saya lahirkan dan hanya meninggalkan duit untuk saya membeli sendiri kerana terlalu sibuk dengan kerjanya.
"Insya-Allah, saya dijangka akan bersalin pada awal Disember ini di Hospital Serdang, Selangor,” katanya selepas selesai upacara mandi dan solat jenazah Shamrin di Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Jumaat.
Noreda memberikan sokongan kepada Jazriatul.
Memandangkan Jazriatul dijangka akan melahirkan bayi lelaki, dia akan menamakan anak itu sempena nama Shamrin.
Bekas Isteri Pertama Beri Sokongan Kepada Jazriatul
Anak pertama Allahyarham dengan bekas isteri pertamanya, Siti Najwa.
Dalam pada itu, bekas isteri pertama Shamrin, Noreda Mohd Ramli, 45, turut hadir melawat jenazah dan memberikan sokongan kepada Jazriatul.
Kelihatan riak wajah Noreda turut menyimpan perasaan sedih dan bersimpati dengan nasib balu bekas suaminya itu.
Noreda turut ditemani oleh anaknya, Siti Najwa yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
“Saya tahu anak saya sangat sedih setelah menerima berita kematian ayahnya tetapi saya cuba memberi kekuatan kerana dia bakal menempuhi SPM nanti.
“Kami sangat terkejut kerana dia masih muda dan tidak mempunyai sebarang penyakit. Minggu lepas, Allahyarham ada menghubungi Najwa untuk mengucapkan semoga berjaya dalam SPM dan berjanji untuk membawa bercuti bersama-sama selepas SPM," katanya.
Sementara rakan artis yang turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah penyanyi Nash (Lefthanded), Lah Ahmad, Nasser Wahab, Aris Ariwatan, Zura (The Girls), Hairi (Kool), Ali (Mpire), Zamani (Slam), pelakon Ayu Raudhah, Accapan, Abon dan bekas pemain bass Fotograf, Amran Abu Sidek.
Hairi (Kool).
Apa kata rakan-rakan artis:
Hairi (Kool)
“Semasa Shamrin meninggal dunia, saya dan beberapa rakan artis lain berada bersamanya. Sejak tumpang tidur di rumah Riot semalam, dia sudah nampak letih dan tak cukup tidur.
“Riot ada bercerita kepada saya, semasa Allahyarham di rumahnya semalam, Riot menyuruhnya berehat terlebih dahulu kerana Allahyarham kelihatan letih.
Amran Abu Sidek (bekas pemain bass Fotograf).
“Namun Allahyarham menjawab tak boleh tidur, bahaya, nanti tidur terus.”
Amran Abu Sidek (bekas pemain bass Fotograf)
“Minggu lepas, saya ada berborak dengan dia, merancang untuk memperjuangkan band tempatan yang dipinggirkan.
“Kami mahu lakukan bukan sebab duit semata-mata tetapi mahu tegakkan hak anggota band seperti kami. Selepas dia tiada, saya rasa tidak akan teruskan perancangan ini.
Opie (Bloodshed).
“Mengenali Allahyarham, dia merupakan seorang yang sangat berbakat dan sudah dilahirkan untuk bergelar penyanyi. Saya berani katakan yang dia merupakan penyanyi paling terbaik dalam industri hiburan ini.”
Opie (Bloodshed)
“Saya rapat dengan dia sejak zaman sekolah lagi. Saya pernah menerbitkan album Fotograf berjudul Fokus dan Juara Mimpi.
Shamsul Bahrin (bekas pengurus Fotograf).
“Minggu lepas, saya mengajak Allahyarham pergi buat show di Melaka dan dia beria-ia untuk menyanyi. Jadi, saya rasa terkejut kerana sepanjang mengenalinya, dia tidak pernah sakit dan aktif bermain bola sepak.”
Shamsul Bahrin (bekas pengurus Fotograf)
“Sebagai kawan, Allahyarham sangat prihatin dengan Ringgo (Fotograf) yang kini di tahan di penjara di Venezuela. Dia sanggup menunggu Ringgo pulang ke Malaysia untuk menerbitkan album terbaru tetapi nampaknya niat itu tidak kesampaian.”
Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri rahmat.
0

Ijazah Palsu, Fazley Letak Jawatan Pengarah Eksekutif Fazley International Collage (FIC)


PETALING JAYA: Penyanyi Fazley Yaakob (gambar) membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif, Fazley International Collage (FIC) ekoran pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berhubung kelayakan akademik penyanyi itu.
Fazley menerusi akaun Twitter miliknya berkata, peletakan jawatan itu semata-mata untuk menjaga hubungan baik FIC dengan University of Wales, United Kingdom.
“Betul... saya telah meletakan jawatan demi hubungan baik dengan Wales (University of Wales),” katanya, Rabu.

Dalam Twitter berkenaan Fazley turut menjelaskan dia akan memberi kenyataan berhubung perkara itu dalam waktu terdekat selepas segala perbincangan dilakukan dengan Ahli Lembaga Pengarah FIC dan juga peguamnya.
Peletakan jawatan Fezley itu dibuat apabila University of Wales menggantung kerjasama dengan FIC selepas penyanyi itu dikatakan mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.
Laporan BBC turut menyebut Fazley mendakwa mempunyai kelulusan daripada European Business School tetapi ia sebenarnya adalah palsu.
University of Wales telah menandatangani perjanjian dengan FIC pada tahun 2007 dan terpaksa menggantung hubungan berkenaan sehingga satu siasatan dijalankan.
Fazley dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo, Rabu berkata dia sudah lama tidak menggunakan gelaran Dr selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan tempat dia menerima ijazah berkenaan.
0

Rita Rudaini nekad 'lawan' suami di mahkamah


 KUALA LUMPUR 6 Nov. - Pergolakan rumah tangga Rita Rudaini Mokhtar, 34, yang sebelum ini menunjukkan tanda-tanda perdamaian, kembali 'panas'.
Ini berikutan pelakon itu akhirnya mengetahui secara sahih bahawa suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, ada membuat dua tuntutan mahkamah terhadapnya pada awal Oktober lalu.
Pelakon terkenal itu pergi sendiri ke Mahkamah Syariah Seremban dan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan pada 2 November lalu, bagi mengambil notis berkenaan.
Menurut Rita, pemain bola sepak negara dan Negeri Sembilan itu telah membuat tuntutan hadanah iaitu hak penjagaan kekal terhadap anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin, 15 bulan.
Satu lagi tuntutan yang dibuat oleh Aidil adalah perintah isteri kembali taat (nusyuz) yang turut difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
"Sebelum ini saya hanya mengetahui mengenai tuntutan itu melalui akhbar dan saya fikir ia tidak serius kerana suami tidak pernah memberitahu atau berbincang mengenai hal ini.
"Walaupun selalu ada di rumah, suami tidak pernah buka mulut tentang tuntutan yang telah dibuat ini dan saya juga tidak pernah menerima sebarang surat daripada mahkamah kerana diberitahu notis tuntutan berkenaan dihantar ke kampung kelahiran saya di Perlis.
"Hanya setelah datang sendiri ke mahkamah pada Selasa lalu, saya begitu terkejut apabila mengetahui bahawa ada dua tuntutan sekali gus dibuat oleh suami terhadap saya," beritahu Rita kepada Mingguan Malaysia.
Dia berasa begitu kecewa apabila membaca notis tuntutan berkenaan memandangkan sebelum ini hubungan mereka sudah pulih dan Aidil juga selalu pulang ke rumah kelamin mereka di Damansara dekat sini.
"Sekarang nampaknya suami memang serius dalam membuat tuntutan itu dan ia bukan 'main-main' lagi.
"Jadi, saya perlu melantik peguam untuk membuat pembelaan. Oleh kerana suami saya sendiri nekad untuk membawa kes ini ke mahkamah, saya juga perlu mempertahankan hak walau dengan apa cara sekali pun," katanya.
Justeru menurut Rita, dia secara mental sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan yang timbul dalam rumah tangga mereka selepas ini, termasuk berhadapan dengan suami sendiri di mahkamah.
"Bila kes sudah dibawa ke mahkamah, maknanya dia memang bermaksud untuk memanjangkan permasalahan.
"Meskipun sebelum ini Aidil telah berjanji untuk sama-sama menjaga rumah tangga dengan baik, sementelah kami bakal menerima anak kedua tahun depan, ia tidak lebih sekadar janji.
"Saya menganggap, bila suami sanggup bawa kisah 'dalam kain sendiri' ke mahkamah, maknanya dia sudah tidak sayang kepada saya, rumah tangga, anak sulung kami dan anak yang bakal lahir ini.
"Jadi, saya kena kuat. Saya perlu hadapi semua ini sendirian dan bersedia untuk dibicarakan di mahkamah mengikut undang-undang yang ada," katanya yang kini hamil anak kedua.
Mengenai tuntutan balas terhadap suaminya itu, Rita juga sedang berbincang lebih lanjut dengan peguamnya, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain.
"Sebagai isteri, saya juga ada hak untuk membuat tuntutan terhadap apa yang saya tak puas hati selama ini.
"Kalau dia memilih untuk menyelesaikan masalah di mahkamah, saya juga tidak teragak-agak untuk mengikut apa yang dia lakukan terhadap saya dan menuntut apa juga hak yang selayaknya sebagai seorang isteri daripada suami," katanya.
Mengenai campur tangan keluarga mertuanya dalam kemelut rumah tangga yang tidak berkesudahan itu, Rita tidak berhasrat untuk mengulas panjang.
"Bagaimanapun bagi saya, Aidil sepatutnya perlu lebih bijak menangani segala permasalahan memandangkan dia sudah mempunyai keluarga sendiri.
"Dalam banyak keadaan, kita tidak boleh terlalu mengikut telunjuk pihak lain, kalau kita mahu bahagia dengan kehidupan berumah tangga yang baru dibina," katanya dalam nada serius.
Rita dan Aidil bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008, setelah hubungan mereka tidak mendapat restu daripada keluarga pihak lelaki.
Setelah lebih dua tahun bernikah, hubungan antara Rita dengan keluarga Aidil belum pulih, walaupun ada usaha untuk mendamaikan mereka dibuat.
Peguamnya, Mohd Zaidi mengesahkan kehadiran Rita Rudaini ke Mahkamah Syariah Seremban dan Mahkamah Tinggi Seremban pada Selasa, 2 November lalu adalah untuk menyempurnakan wakalah pelantikan peguam bagi mewakili pelakon itu dalam kes tuntutan yang dibuat oleh suaminya.
"Pada hari itu juga kita telah mengambil saman dari mahkamah berkenaan dengan kes tuntutan kembali taat yang dibuat oleh Aidil.
"Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Seremban, kita membuat semakan tentang status kes penjagaan anak secara kekal atau hadanah yang difailkan oleh Aidil," katanya.
Menurut peguam syarie yang banyak mengendalikan kes berprofil tinggi itu, Rita juga telah diserahkan salinan notis kehadiran majlis sulh yang akan diadakan pada 16 Disember 2010 yang mana sebelum ini tidak pernah diterimanya.
"Setelah meneliti pernyataan tuntutan kes kembali taat, saya telah menerima arahan daripada anak guam untuk mengemukakan pembelaan kerana tuduhan yang dibuat terhadap beliau adalah tidak berasas sama sekali," katanya.
Selain itu juga, menurut Zaidi, beliau juga diminta oleh Rita untuk bersedia bagi membuat tuntutan balas terhadap Aidil yang akan difailkan dalam waktu terdekat.
"Anak guam saya sedang menimbangkan secara serius untuk failkan tuntutan balas terhadap suaminya itu.
"Ia adalah bagi nafkah anak dan nafkah isteri yang diabaikan selama ini," katanya.
Walau bagaimanapun menurut Zaidi, demi masa depan bersama, anak guamnya bersedia untuk membuka ruang perbincangan jika pihak suami berubah fikiran dan berhasrat untuk menyelesaikan kes ini secara baik.-utusan
0

Nurul Alis (Kiki) kahwin lagi untuk kali ketiga





APABILA cerita perkahwinan senyap-senyap tanpa undangan rasmi tiba ke meja media, bekas selebriti sukan RTM yang popular digelar Kiki itu tidak berniat menyembunyikan perkahwinan kali ketiganya.
Dua tahun menjanda setelah kegagalan perkahwinan kedua pada September 2008, pemilik nama sebenar Nurul Alis Aidil Akhbar, 35, itu selamat dimiliki James Mitchell, 40, pada 30 Oktober lalu.
Cerita perkahwinan Kiki yang hanya dihadiri teman-teman serta keluarga terdekat itu cuma tersebar di Internet. Pasangan tersebut diijab kabul di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Di sebalik perkahwinan dengan James yang memilih nama Islam Qais Abdullah, ibu kepada Shamal, 14, Sophea, 9, dan Sonya, 6, itu menyimpan gejolak rasa yang cukup mendalam.
Menjalani tempoh solo selama dua tahun, hatinya ibarat dedaun kekeringan setelah lapan tahun mahligai bersama suami kedua roboh ekoran tiada persefahaman.
Hampir-hampir dia menolak cinta dan perkahwinan seterusnya dalam hidup. Fokus Kiki hanyalah kepada perlumbaan kereta, karier pengacaraan dan anak-anak yang sedang memerlukan perhatian.
Sementelah pula, lelaki baru itu bukan daripada bangsa sendiri. Skeptikalnya mendaki tinggi. Mampukah lelaki yang baru mengenal Islam itu memimpin dirinya menjadi isteri terbaik di dunia dan akhirat?
Sensasi Bintang: Kenapa anda berahsia tentang hari bahagia bersama Qais Abdullah?
NURUL ALIS: Sebenarnya saya memang tidak mahu kelihatan beria-ria sangat mahu berkahwin. Seganlah, lagipun ini perkahwinan ketiga buat saya. Saya sendiri tidak merancang apa-apa untuk perkahwinan ini. Sudah lama saya terfikir nak kahwin lagi tapi asyik tertunda sahaja sebab sibuk dengan jadual kerja dan aktiviti sukan anak-anak.
Untuk perkahwinan ini, saya serahkan semua urusan di tangan orang lain, tapi kami gembira. Yang paling gembira ialah Qais. Dapat juga dia merasa diarak dengan kompang dan bersanding ikut adat Melayu.
Mana-mana perkahwinan pun ada risiko tetapi berkahwin dengan lelaki yang baru memeluk Islam serta berbeza budaya sangat berisiko.

CINTA DI LITAR LUMBA. Selepas berkahwin, Kiki dan Qais mahukan sebuah kehidupan yang seimbang, perlumbaan dunia dan perlumbaan hari selepas mati.



Bagaimanakah Kiki mendapat keyakinan diri?
Saya pernah jadi lembik, trauma dan serik untuk berkahwin selepas bercerai dengan bekas suami kedua dulu. Hati saya kering, tertekan mental dan fizikal hingga saya hilang berat badan daripada 49 kilogram (kg) kepada 43kg.
Lepas jumpa Qais, saya tak berharap kami akan berkahwin sebab saya pasang prinsip, jodoh jangan dicari tetapi Qais membuatkan saya tersentuh dengan kesungguhannya.
Kesungguhan yang bagaimana?
Saya kenal dia di litar go-kart di Shah Alam, sejurus selepas habis edah. Tidak lama kemudian, dia dipindahkan ke Kuwait untuk bertugas di sana.
Dari situ Qais berfikir, kenapa dia didekatkan dengan Islam, kenal wanita Muslim dan kemudian dihantar kerja di negara Muslim. Dia sanggup tinggalkan peluang karier di sana untuk balik di Malaysia dan berdekatan dengan saya.
Satu lagi sebab dia bersungguh-sungguh mahu memeluk Islam adalah kerana tertarik dengan budaya dan cara hidup orang Islam.
Dia peluk Islam pun di rumah saya sambil disaksikan ibu saya pada malam tahlil arwah untuk bapa saya yang baru meninggal dunia ketika itu.
Qais sudah setahun bergelar Muslim iaitu sejak Julai 2009. Dia sanggup dipulaukan oleh sanak-saudaranya yang rata-rata berbangsa Yahudi di Australia kerana memilih Islam sebagai agamanya.
Dua perkahwinan terdahulu gagal dan kali ini perjuangannya Kiki kelihatan lebih besar.
Ya. Itulah yang saya pernah terfikir. Jodoh pertama saya diatur oleh keluarga, jodoh kedua pula tidak seperti yang dimahukan dan kali ini, pada usia yang semakin bertambah ini, saya harapkan ini perkahwinan yang terakhir.
Qais sendiri sudah ada dua orang anak hasil perkahwinan pertamanya. Saya sendiri ada tiga orang anak, jadi kami merancang banyak perkara.
Kami mahu sama-sama belajar, sama-sama membaiki kesilapan dan saling menuju keseimbangan hidup, bukan lagi untuk dunia tetapi akhirat juga.
Alhamdulillah, saya lihat Qais benar-benar mahu menjadi Muslim yang baik, seboleh-bolehnya dia menjaga solat lima waktu.