0

Gambar-Gambar Majlis Pernikahan Norman Hakim Dan Memey...




PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, pelakon Norman Hakim, 35, telah selamat dinikahkan dengan pasangannya, pelakon Memey Suhaiza, 23, di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor pada pukul 5.10 petang, Sabtu.
Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah mukim Kambau, Kota Tinggi, Zulkifli Tarmizi berwalikan bapa Memey, Suhaimi Sawarni, 49.
Pada majlis tersebut, Memey turut menerima mas kahwin berjumlah RM22.50 dan lima dulang hantaran termasuk wang hantaran RM24,000, sistem pengesanan global (GPS), rantai, cincin berlian, kek buah berbentuk beg tangan Gucci, sirih junjung dan al-Quran.
Sementara Norman menerima tujuh dulang hantaran daripada Memey iaitu iPad 2, cincin, coklat, buah-buahan, sirih junjung, kek lapis Sarawak dan al-Quran.
Keseluruhan hantaran kedua-dua belah pihak dianggarkan berjumlah RM40,000 yang digubah oleh Iezla Bridal merangkap perunding perkahwinan.
Memey dan Norman kelihatan sama cantik sama padan mengenakan baju pengantin berwarna mengikut kulit rekaan Ezuwan Ismail.






  
Selain keluarga kedua-dua belah pihak, majlis ini turut dihadiri dan disaksikan oleh 1,000 tetamu termasuk dua anak Norman iaitu Mohamed Danish Hakim,8, dan Marissa Dania Hakim,6.
Menurut Norman, dia akan membawa Memey berbulan madu di Paris dalam masa yang akan ditetapkan kemudian dan seterusnya dijangka ke Mekah untuk mengerjakan umrah pada tahun depan.
Pada malam Sabtu, pasangan ini akan melangsungkan majlis malam berinai di rumah pihak perempuan di mana Memey mengenakan baju busana berkonsepkan kontemporari berwarna peach manakala Norman dengan baju tradisional berwarna hitam yang disediakan oleh Iezla Bridal.
Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan akan dilangsungkan di rumah pihak perempuan pada Ahad dengan berkonsepkan perkahwinan dalam taman. Pakaian persandingan direka oleh Hatta Dolmat manakala untuk upacara memotong kek direka oleh Rizman Ruzaini.
Pada 28 September depan pula, majlis perkahwinan yang bernilai RM12 juta, akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.
Tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan Kosmopolitan dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.
Menariknya Memey akan menyarungkan gaun pengantin pereka tersohor dunia, Vera Wang pada majlis perkahwinannya pada 28 September itu.
Menurut perancang perkahwinan mereka, Billbora, gaun yang menjadi pilihan selebriti Hollywood seperti Kim Kardashian, Mariah Carey dan Invanka Trump itu telah dibeli oleh Rafflesia, menerusi sebuah agen di Hong Kong.
Memey akan mengenakan dua gaun pengantin pada majlis tersebut dan salah satunya daripada rekaan Vera Wang yang berkonsepkan Bohemian. Bagaimanapun ia bukanlah ditempah khas sebaliknya dibeli oleh pihak Rafflesia yang inginkan kelainan pada majlis tersebut.
Sepasang lagi gaun yang akan dikenakan pula direka khas oleh tiga pereka tempatan daripada Rafflesia dengan bertatahkan mutiara gred A yang bernilai RM500,000.
Bagi pakaian pengantin lelaki pula, Norman akan mengenakan dua pasang sut tradisional Inggeris rekaan Lord's Taylor bernilai RM10,000 setiap satu.
Menarik lagi, keempat-empat gaun dan sut pengantin tersebut akan dipamerkan untuk satu acara istimewa di Muzium Negara pada 26 November hingga 31 Disember depan.
Selain Rafflesia, Lord's Taylor dan Vera Wang, Profesor Datuk Jimmy Choo juga akan menghasilkan dua pasang kasut khas buat Memey yang bernilai RM300,000.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Memey manakala yang kedua bagi Norman.
Norman pernah berkahwin dengan pelakon Abby Abadi pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak termasuk Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
0

Nabil 'Raja Lawak' Dan Nazirah Akan Bernikah Pada 30 September Ini...



KUALA LUMPUR, 21 SEPTEMBER 2011: Pelakon dan pelawak terkenal, Ahmad Nabil Ahmad, 28 bakal diijab kabulkan bersama pilihan hatinya Nazirah Ayub, 23 pada 30 September ini di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya.



Nabil menerusi pengurusnya, Latip Ahmad ketika dihubungi portal murai.com.my berkata, pasangan berkenaan bakal dinikahkan selepas solat Jumaat di masjid berkenaan kerana berhampiran dengan kediaman keluarga sebelah perempuan, di Klang.
Dia juga berkata, sebuah majlis resepsi penuh warna-warni berkonsepkan 'fairy tale' bakal diadakan di I-City, Shah Alam pada tanggal 2 Oktober ini, sekitar jam 8 malam.
"Konsep fairy tale dan persandingan dalam taman sememangnya konsep yang diidamkan Nabil dan Nazirah. Mereka sengaja memilih I-City kerana lokasi berkenaan melengkapi konsep impian perkahwinan mereka.
" Pada majlis resepsi berkenaan, mereka akan mengenakan persalinan moden di mana Nabil dengan tuxedo, manakala Nazirah bersama gaun moden," katanya.
Nabil dan Nazirah telah mengenali satu sama lain sejak enam tahun lalu, bagaimanapun dia mengakui tidak pernah berhubung apatah lagi bercakap dengan bekas pramugari AirAsia Berhad itu.
Namun, hubungan mereka kembali akrab sejak awal tahun ini kerana pasangannya itu merupakan teman rapat kepada adik iparnya.
Menafikan keputusannya mendirikan rumah tangga itu sebagai langkah terburu-buru, Nabil bagaimanapun mempunyai alasannya tersendiri kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali sebagaimana perpisahannya bersama Irma Hasmie selepas lebih dua tahun bercinta.
Kredit: Sumber

0

Ashraf Muslim dan Dayana Hanya Bercinta Selepas Berkahwin

Ashraf dan Dayana sewaktu majlis persandingan di pihak perempuan di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, Gombak.

GOMBAK: Pelakon Ashraf Muslim, 30, akui sedang mencari keserasian dengan isterinya, Noor Dayana, 24, memandangkan mereka bercinta selepas berkahwin pada 30 Ogos lalu.
Pasangan ini bernikah di Dataran Kaabah, Mekah yang dihadiri oleh 10 orang kaum keluarga kedua-dua belah pihak serta jemaah umrah.
"Kami dinikahkan oleh bapa Dayana. Selepas nikah, kami melakukan solat sunat nikah, tawaf sebanyak tujuh kali dan berdoa.
"Alhamdulillah, selepas berkahwin, saya rasa perkahwinan saya lebih teratur dan semua kerja dilakukan bersama-sama.
"Dia selalu menceriakan saya dan saya menyenangi tutur kata, layanan serta tanggungjawab yang diberikan. Kami juga saling berkongsi masalah bersama-sama," ujarnya yang mengenali Dayana sejak setahun lalu.
Mempelai ketika upacara memotong kek.
Menyentuh tentang tempat tinggal, Ashraf dan Dayana terpaksa berpisah buat sementara waktu memandangkan isterinya sedang belajar di sebuah pusat pengajian di Melaka sehingga Mac tahun depan.
"Saya akan menetap di Kuala Lumpur manakala Dayana terpaksa tinggal di Melaka demi menghabiskan pengajiannya," kata Ashraf lagi yang pernah mensasarkan untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun.
Walaupun isterinya sangat pandai memasak terutama masakan Barat, Ashraf tetap mengharapkan agar Dayana belajar masakan kampung.
"Setakat ini saya sudah merasa lasagna yang dimasak olehnya, ujar Ashraf lagi.
Selain masakan, Ashraf akui tertarik dengan imej wanita solehah yang diingini selama ini.
Menyentuh tentang percutian bulan madu, pasangan ini belum merancang untuk melakukan aktiviti tersebut pada masa terdekat ini.
"Kami sudah sepakat memilih New Zealand sebagai lokasi percutian tetapi masanya akan ditetapkan kemudian selepas habis belajar," kata Ashraf yang sudah lama tidak berlakon.
Bukan sudah bersara dari lakonan, tetapi kerana sibuk dengan kariernya sebagai pengamal perubatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, di Kampung Sungai Pusu, di sini.
Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan dilangsungkan pada 24 September ini, pukul 12 tengah hari di Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka dengan konsep Islamik Taman Raudhah.

0

Penyanyi Siti Nordiana Sudah Mula Memakai Tudung Sejak Ramadan Lalu



SEPANJANG bergelar anak seni, kisah mengenai penyanyi Siti Nordiana Alias sering kali menjadi perhatian. Biarpun namanya tidak terlalu gah berbanding beberapa penyanyi yang lain, namun dia mempunyai peminat tersendiri dan masih lagi mampu bertahan sehingga kini.
Sudah lumrah menjadi seorang artis, apa sahaja yang dilakukan pastinya akan dinilai oleh peminat. Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap penyanyi yang bergelar ibu tunggal ini.
Biarpun jarang terpalit dengan kontroversi hangat, namun namanya pernah sedikit terjejas gara-gara penampilannya ketika hadir pada majlis yang dianjurkan oleh sebuah majalah pada tahun lalu.
Pada majlis berkenaan dia telah mengejutkan ramai pihak apabila tampil dengan gaya yang cukup seksi, sedangkan selama ini dia dikenali sebagai artis yang sering tampil dengan gaya yang sopan.
Gambar-gambarnya pada majlis itu telah tersebar di laman-laman blog sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak yang seolah-olah tidak dapat menerima imej yang ditampilkannya itu.
Bagaimanapun, berkesempatan menemui penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Nana itu dalam sebuah majlis, sekali lagi mengejutkan ramai pihak terutama yang hadir pada majlis berkenaan.
Pada kali ini, penyanyi berkenaan tidak lagi tampil dengan gaya seksi seperti sebelum ini. Sebaliknya, kini Nana lebih kelihatan anggun dan menarik apabila dilihat sudah memakai tudung.
"Sebenarnya saya sudah mula memakai tudung sejak bulan puasa yang lalu. Keputusan saya memakai tudung ini bukanlah disebabkan fesyen semata-mata, tetapi ini adalah imej terkini saya dan berharap ia akan kekal sampai bila-bila.
"Lagipun perubahan imej yang saya lakukan ini adalah satu kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai seorang wanita muslim. Malah, ini juga adalah langkah awal untuk saya berubah ke arah menjadi seorang insan yang lebih baik," jelasnya.



SITI NORDIANA atau Nana kini selesa dengan imej baharunya, bertudung.

Menurutnya lagi, dia sebenarnya sudah lama mempunyai niat untuk bertudung memandangkan anaknya iaitu Mohamad Rayyan Nakhaie semakin membesar. Namun, hanya pada bulan puasa yang lalu hasratnya itu dapat direalisasikan.
Sementara itu, ketika ditanya apakah yang membuatkan pintu hatinya terbuka untuk memakai tudung, Nana menjelaskan kesedaran tersebut bermula apabila dia banyak membaca majalah yang berbentuk islamik.
"Dalam kebanyakan majalah yang dibaca, saya sebenarnya cukup tertarik ketika membaca kisah-kisah mengenai saudara baharu. Walaupun baru memeluk Islam, tetapi saya lihat saudara baru terutama yang perempuan tidak keberatan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim.
"Selepas itu baharulah timbul kesedaran dalam diri sehingga saya mengambil keputusan untuk bertudung. Saya akui yang saya ini bukanlah terlampau baik, tetapi saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya berubah sedikit demi sedikit," ujarnya.

Memandangkan kini dia sudah tampil dengan imej yang baharu, Nana menjelaskan tidak bermakna selepas ini dia akan terus berhenti daripada bidang nyanyian. Ujarnya, karier seni masih lagi tetap diteruskan seperti biasa.
"Saya akui pasti ada tanggapan yang mengatakan tawaran untuk saya membuat persembahan akan berkurangan apabila bertudung. Walaupun ada kebenarannya, namun saya sendiri tidak kisah kalau ia benar-benar berlaku.
"Kalau dah rezeki saya tidak lagi di bidang nyanyian, mungkin rezeki saya di bidang yang lain pula. Lagipun bertudung bukanlah satu masalah yang besar kerana peminat sekarang pun sudah terbuka dan mereka tetap boleh terima penyanyi yang bertudung," ujarnya.

Pada masa yang sama, penyanyi berkenaan memberitahu bahawa syarikat rakamannya iaitu FMC Music Sdn. Bhd. turut menerima dengan terbuka perubahannya dan kini mereka sedang mencari lagu baru yang sesuai untuk imej barunya itu.
Ditanya mengenai projek terbarunya ketika ini, Nana berkata, dia akan terbabit untuk membuat persembahan di beberapa buah negeri dalam siri jelajah yang dibuat oleh syarikat Fablous Global Sdn. Bhd.
"Alhamdulillah, meskipun sekarang saya sudah tampil dengan imej bertudung tetapi rezeki untuk menyanyi masih lagi ada. Saya juga sangat berterima kasih kepada pihak Fablous Global kerana sudi mengundang saya untuk sama-sama menjayakan siri jelajah mereka yang akan bermula pada bulan Oktober ini," ujarnya.
Selain Nana, antara artis-artis yang turut menjayakan siri jelajah syarikat jualan langsung yang diterajui oleh Datuk Sarimah Ahmad ialah Pian Cecupak, Mama Rina, Din Belon dan Boy Iman.
Kredit: Sumber