0

Fiza 'Elite' Curang Terhadap Suami

 

PERGOLAKAN rumah tangga yang melanda bekas anggota Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 29, yang juga seorang dramatis, semakin goyah apabila suaminya, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 30, tampil membuat pendedahan mengenai sikap yang dianggapnya sebagai kecurangan seorang isteri. 


Farriq yang juga seorang ahli perniagaan sebelum ini sekadar mendiamkan diri. Kini, dia perlu tampil menceritakan situasi sebenar apabila sudah banyak pendedahan menerusi media massa sejak kebelakangan ini yang boleh mencalar imejnya, sekali gus dia tidak mahu terus dilabel sebagai suami dayus.
Kemuncak kemarahan Farriq bermula apabila Fiza keluar rumah tanpa kebenarannya pada 17 September lalu untuk bersama ‘kekasih gelapnya’, Malek Marwi, 35 yang juga seorang jurukamera apabila mereka dipercayai pergi bercuti ke dua destinasi - Pulau Langkawi dan Pulau Perhentian.
Sebelum ini juga media melaporkan, Malek yang juga bapa kepada pelakon remaja popular, Erin Malek, 16, dikatakan meninggalkan isterinya, Harryzah Hassan atau Liza, 35, dan anak-anaknya selama beberapa hari tanpa sebarang perkhabaran. Fiza pula rela meninggalkan dua puterinya, Ferra Aryanna, dua tahun lapan bulan dan Feeya, setahun empat bulan di rumah mentuanya semata-mata dikatakan untuk bersama Malek. Pasangan itu dipercayai hanya pulang ke Kuala Lumpur pada 28 September lalu apabila memberikan alasan terbabit dengan penggambaran drama sepanjang tempoh ‘kehilangan’ mereka.

Pun begitu, Farriq yang ditemui B*POP baru-baru ini sempat menunjukkan bukti rakaman menerusi CCTV (rakaman kamera litar tertutup) bahawa Fiza menjemput Malek di kediamannya di Pandan Mewah Heights pada 17 September lalu kira-kira jam 1.50 petang dan kedua-duanya beredar dari situ beberapa minit kemudian.

“Sebagai suami, saya akui gosip didedahkan media massa mengenai kecurangan Fiza bersama Malek sejak akhir-akhir ini adalah benar! Bagi saya, Fiza menipu dan menduakan suaminya adalah satu kesalahan. Kepercayaan saya membenarkan Fiza untuk terus berlakon disalah guna. Sebelum ini saya hanya mendiamkan diri, tapi lama kelamaan, perangai Fiza semakin teruk! Namun, saya akui sudah keluar rumah hampir empat bulan lalu, tapi tindakan saya bersebab kerana perangai Fiza yang semakin menjadi-jadi!

“Sudah beberapa kali saya berjaya menghidu kecurangan Fiza bersama beberapa lelaki termasuk bukti SMS. Bukan setakat itu saja, ibu Fiza juga masuk campur tangan urusan rumah tangga kami sehingga dia pernah tertonyoh hidung saya! Saya ambil keputusan keluar rumah, tapi saya tidak ke mana-mana, sebaliknya menetap bersama ibu dan ayah saya di Gombak, Selangor untuk sementara waktu. Namun, segala perbelanjaan Fiza bersama anak-anak saya sediakan, termasuklah pembayaran ansuran bulanan kereta Fiza dan rumah kami di Damansara, saya jelaskan.
“Sebagai suami, saya menunggu Fiza minta maaf kerana dia pernah melakukan kesalahan beberapa kali. Seorang isteri perlu mentaati suaminya setiap hari. Fiza boleh menemui saya di Gombak dan minta maaf, sebaliknya dia tidak berbuat begitu. Terbaru, Fiza menjalin hubungan dengan seorang jurukamera bernama Malek. Sudah beberapa kali saya berjaya mengesan pergerakan mereka berdua. Pada Ramadan lalu, kedua-duanya dilihat sering keluar bersama dan Fiza menghantar Malek pulang ke rumahnya sekitar jam 3 atau 4 pagi beberapa kali!

“Fiza pula sanggup jadi driver Malek sedangkan kereta itu saya bayar ansurannya untuk kemudahan dia bersama anak-anak, bukannya bersama Malek ke hulu ke hilir. Fiza mahupun Malek sering menganggap perbuatan mereka itu tidak salah kerana sekadar keluar makan bersama, tapi kalau sudah bercuti bersama, apa cerita? Apabila isteri keluar rumah tanpa izin suami, hukumnya berdosa besar, inikan pula sewenang-wenangnya melabel semua perbuatan itu tidak salah!

“Sebagai isteri, Fiza sering mempertikai statusnya kerana saya sudah keluar rumah empat bulan dan kerap memaksa supaya dirinya diceraikan. Tapi, segala-galanya terpulang kepada saya, talak di tangan saya. Apa saja keputusan, saya akan pastikan untuk memperoleh hak penjagaan anak. Biarlah mahkamah tentukan sama ada berlaku nusyuz atau sebaliknya. Saya tak mahu dilabel sebagai dayus!

“Dalam perbualan kami sebelum ini, Fiza mahupun Malek pernah membuat pengakuan mereka menyayangi antara satu sama lain, tapi sebagai seorang kawan, biarlah mahkamah buat penilaian sewajarnya sekiranya perkara ini berlarutan. Saya cabar Fiza dan Malek tampil membuat pengakuan kerana selama ini kedua-duanya terus mendiamkan diri. Saya tak takut kerana saya di pihak yang benar,” kata Farriq.

Fiza pula ketika dihubungi tidak mahu memberikan sebarang komen.

Oleh Zubir Mohd Yunus

0

Jimmy Shanley Resah Kahwin Anak Datuk






MENJELANG hari pernikahan, sebelum munculnya tanggal keramat 1 Oktober lalu, segudang perasaan meribut di jiwa bekas pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley, 31. Dia tahu, melafaz nama Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24, pada acara akad nikahnya, transisi baru sebagai kepala keluarga pasti menunggu di haluan depannya.
Bukan tidak menyiapkan diri seawal mungkin untuk menempuh hidup baru bersama si penangkap hatinya yang merupakan puteri tunggal daripada tiga beradik itu. Jimmy sebaliknya membayang beragam emosi lain turut dirasai oleh setiap bakal mempelai sebelum munculnya hari berbahagia dipertauliahkan gelaran sebagai sang suami.
Tanpa berselindung, penama lengkap Jimmy Shanley Norjahan Saleh itu membuka cerita, entah kenapa dirinya berasa resah gelisah dan gementar malam sebelum diijabkabulkan. Bayangkan, Jimmy sempat melayangkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu pengantin perempuan, Datin Muniroh Kassim gara-gara tidak sempurna lelap tidurnya.
“Kononnya saya hantar SMS kepada ibu Suhaila sebab hendak meluah perasaan selepas pulang menghantar kad jemputan kepada seorang teman sekitar 2 pagi. Tapi, dia tidak membalas pula sebab barangkali sudah tidur pada waktu itu. Kerana itu, saya melayan sendiri kebimbangan dalam diri selang beberapa jam sebelum bernikah.


JIMMY mencium tangan ibu mertuanya, Muniroh.



“Rasa berdebar sampai tidak boleh tidur. Malah, saya sempat fikir, ini menjadi malam terakhir tidur seorang diri. Jadi, saya semahunya menikmati saat ini kerana malam seterusnya sudah ada isteri,” kata Jimmy ketika ditemui usai majlis pernikahannya di kediaman Suhaila di Bandar Sunway Rahman Putra, Sungai Buluh, Selangor Sabtu lalu.
Tidak mencuri waktu panjang menyambung bicara, hos bersama Akademi Fantasia 8 (AF8) itu sekali lagi menghantar SMS kepada Muniroh. Tiada lain diinginkan, dia sebolehnya mahu merawat kekecewaan dialami dengan bertebar cerita kononnya Jimmy bernikah dengan Suhaila atas dasar harta.
“Saya tahu ada sebilangan pihak buat spekulasi kurang enak sebelum ini. Dan kerana itu, saya menerangkan semula kepada ibu Suhaila bahawa perkahwinan ini terjalin atas dasar cinta ditambah sudah lama sebenarnya saya memendam hasrat untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka.
“Ingatkan dapat jadi anak angkat saja, rupa-rupanya tanpa disangka jadi menantu pula,” jawab Jimmy tertawa nakal sambil diperhatikan Suhaila yang lebih banyak mengerling manja belahan jiwanya itu daripada membuka mulut sementelah tidak terbiasa berdepan dengan pihak media.
Ditebak tentang perasaannya selepas melalui tiga kali lafaz akad nikah untuk memperisterikan Suhaila, anak jati Ipoh, Perak itu terang-terangan memperlihat reaksi lega. Biar bibirnya mengungkap kelegaan itu, hakikatnya senyuman terpancar dari anak mata Jimmy, ternyata mengisytiharkan segala-galanya.


SITI NURHALIZA tidak ketinggalan menepung tawar pasangan pengantin pada majlis respesi di Kuala Lumpur Convention Centre, Ahad lepas.



“Siapa saja tidak gembira selepas selamat dinikahkan. Begitupun, ini sekadar permulaan kepada hidup saya dan Suhaila. Biasalah, selepas ini asam garam rumah tangga akan bermula. Dengan saya semakin berusia, harap dapat menjadi lebih matang dalam segala hal. Bahkan, saya kena seimbangkan kehidupan apatah lagi sudah punya isteri.
“Sebaik saja semua selesai termasuk resepsi perkahwinan ini, saya akan membawa Suhaila berpindah ke rumah sendiri di Subang Jaya, Selangor. Cuma, masih terlalu awal untuk saya bercakap tentang perancangan selepas mendirikan rumah tangga,” luah Jimmy yang mahukan lima cahayamata - empat lelaki dan satu perempuan.
Cinta selepas nikah
Dengan tiga kali lafaz, Jimmy selamat bergelar suami Suhaila pada pukul 4.40 petang Sabtu lalu selepas dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah/Jurunikah Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Mustafa Kamal Abu Bakar berwalikan bapa pengantin perempuan, Suhaimy Othman.
Jejaka kacukan Melayu-Australia yang kelihatan kacak dengan sepersalinan baju Melayu rona kelabu ilham Rizman Ruzaini itu memberi mas kahwin dan wang hantaran berjumlah RM31,186. Ia sebagai memperingati hari lahir isterinya yang jatuh pada 31 Januari 1986 sambil membawa sembilan dulang hantaran berbalas 11.
Kisah mereka bermula dengan satu bidikan lensa kamera sebagai selebriti dan peminat di Genting Highlands sekitar empat tahun lalu. Kuasa Yang Maha Esa tiada tolok tandingnya. Kemudian, mereka dipertemukan kembali Januari lalu sebelum kedua pihak mengambil kata putus mahu mengikat tali pertunangan pada 11 Jun 2010.
Dalam masa singkat, mereka kini sah menjadi suami isteri dari segi hukum dan agama. Mengenali antara satu sama lain secara serius sepantas kilat, justeru, Jimmy dan Suhaila mahu menjalin cinta selepas hari bahagia mereka.
Bagai menjadi lumrah apabila ada sesetengah pasangan pengantin baru lebih mendalami sesama sendiri selepas melafaz akad nikah.


PENGANTIN lelaki tiba pada majlis resepsi bersama pengantin perempuan dengan menaiki sebuah kereta mewah.



“Dengan tempoh perkenalan kami yang pantas, banyak lagi saya tidak tahu tentang isteri. Sama juga dengan keadaan Suhaila yang belum kenal secukupnya tentang saya,” akui Jimmy yang bakal berbulan madu di dalam negara tidak lama lagi dan memasang hajat untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada Februari tahun depan.
Dalam pada itu, Suhaila yang merupakan anak pengasas kepada produk kecantikan Natasha berkata, dia meluah kesyukuran kerana selamat bergelar isteri Jimmy. Biarpun nampak sedikit pemalu dan lontaran suaranya menebal dengan dialek Kedah, dia bagaimanapun cuba berkongsi emosi kepada himpunan pihak media yang duduk di depannya.
“Alhamdulillah, semua berjalan seperti dirancang. Tiada sebarang perbezaan walaupun kami telah disatukan. Jimmy boleh meneruskan kerjaya seni tanpa sebarang masalah manakala saya akan terus bekerja dengan famili. Sebagai isteri, sudah tentu saya akan terus menyokong dia dari belakang,” jelasnya yang memuja sikap humor dan menghormati suaminya kepada orang tua.
Pasangan itu mengadakan resepsi persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad, 3 Oktober lalu manakala sebuah lagi majlis untuk sebelah perempuan di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah (9 Oktober) dan diakhiri dengan pihak Jimmy di Ipoh seminggu kemudian.
Oleh FAIZAL SAHARUNI
0

Pergolakan Rumah Tangga Rita Rudaini


PETALING JAYA: Pelakon Ayu Raudhah, 26, mengakui hubungan cintanya dengan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak, 24, tidak terjejas kerana berita pergolakan rumah tangga abang kekasihnya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 24, dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35.
Kata Ayu, dia percaya kepada ketentuan jodoh yang telah ditetapkan dan ingin hubungan tersebut diakhiri dengan ikatan yang sah pada awal tahun depan.
"Saya tiada hak untuk beri pendapat tentang pergolakan rumah tangga mereka tapi secara jujurnya cerita-cerita tersebut tidak menganggu perjalanan hubungan kami dan kepercayaan saya kepada Zaquan.
"Setiap perkahwinan ada risikonya dan saya percaya jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan tuhan. Setiap pasangan suami isteri mesti ada dugaannya tersendiri," ujar Ayu ketika dihubungi mStar Online.
Menurut Ayu, sebagai orang luar dari keluarga tersebut, dia hanya mendoakan yang terbaik agar perkara tersebut tidak berlanjutan sehingga menjejaskan kerjaya kedua-dua belah pihak.
Jelasnya, dia dan Zaquan juga tidak pernah bercerita tentang hubungan rumah tangga pasangan itu dan menganggap ia sebagai masalah peribadi pasangan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ayu memberitahu rombongan merisik daripada keluarga kekasihnya itu masih belum diterima. Justeru dia tidak menafikan jika ia akan di tunda kerana tekanan daripada berita ini.
"Tentang perkahwinan kami, keluarga saya masih menunggu. Mereka beritahu selepas raya ini, namun jika tidak bulan Syawal ini mungkin juga bulan hadapan.
"Saya belum diberitahu tarikh mereka datang lagi. Insya-Allah, perkara baik kebiasaannya Allah akan permudahkan," ujarnya yang sedang menjalani penggambaran drama berjudul Semua Nak A.
Pelakon drama popular Nur Kasih ini mengaku sudah menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu dan sedang merancang mengakhiri zaman bujang mereka dalam masa terdekat ini.