0

Hajat Din Beramboi Terajui Filem 'Along Bukit Beruntung' Tak Kesampaian


Ketika pengebumian jenazah Din Beramboi di Tanah Perkuburan Tman Ehsan, semalam.
PENGARAH Afdlin Shauki yang juga rakan baik kepada Allahyarham Din Beramboi atau nama sebenar Mior Ahmad Fuad Mior Badri menyatakan rancangan untuk mengarah filem barunya dengan menampilkan arwah sebagai teraju utama tidak kesampaian.
Filem yang berjudul Along Bukit Beruntung itu telah dirancang sejak dia dan arwah Din terbabit dalam rancangan Aha beberapa tahun lalu.
"Saya dah lama berhajat untuk jadikan dia hero, ini juga adalah niat dia yang sudah lama terpendam. Jalan cerita dan skrip kami siapkan bersama.
"Malah dia terlalu teruja sehingga sudah mengambil cuti dari Era FM untuk penggambaran filem tersebut. Mengikut perancangan kami akan mula pada akhir tahun ini. Namun kita hanya mampu merancang tetapi tuhan yang lebih mengetahuinya," jelasnya.
Perkenalan lebih 10 tahun dengan arwah menjadikan hubungan tersebut lebih dari rakan baik, malah menurut Afdlin setiap projek yang dijalankan pasti akan melibatkan pelawak itu.
"Dulu ketika awal kemunculan saya bersama-sama dengannya, cuma rezeki saya naik dahulu. Tapi saya tidak lupakan dia, setiap projek saya akan panggil dia sekali.
"Apa yang saya tahu dia seorang yang baik hati, suka membantu orang dan kuat kerja. Dia bekerja untuk keluarga demi mencari rezeki, bukan untuk mencari populariti." jelasnya.
Dalam pada itu, Afdlin menyifatkan pemergian Din sebagai kehilangan sebutir permata yang sangat berharga dalam industri hiburan tanah air.
"Dia pergi ketika dia sedang berada di puncak kerjayanya. Saat rezekinya tengah murah, namun semuanya adalah ketentuan dari Allah. Kita hanya mampu berdoa agar rohnya dicucuri rahmat," jelasnya.
0

Din Beramboi Meninggal Dunia

http://vrempire.com/Image/BlogImg/20090724-AznilDin/AznilDinRiuh.jpg

Pelawak popular dan penyampai radio Era, Mior Ahmad Fuad Mior Badri meninggal dunia di Hospital Selayang, lewat malam tadi.
Allahyarham yang dikenali sebagai Din Beramboi menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) pukul 12.30 malam.
Menurut adik Allahyarham, Rozana Mior Badri, semua ahli keluarga berada di sisi Allahyarham kecuali ayahnya yang tidak dapat hadir.
Katanya, Allahyarham meninggal dunia akibat demam denggi berdarah yang menyebabkan beberapa organ badannya gagal berfungsi.
‘‘Jenazah abang saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong di sini sebelum solat Jumaat,’’ katanya ketika ditemui di hospital itu, malam ini. – Utusan
0

Din Beramboi Koma Terkena Virus Kencing Tikus

Din Beramboi Koma
Din dikatakan telah terkena virus rats pee atau virus kencing tikus yang berbahaya semasa penggambaran beberapa hari lalu.
PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio ERA FM, Mior Ahmad Fuad atau Din Beramboi dimasukkan ke Hospital Selayang semalam dan berada dalam keadaan koma.
Bagaimanapun, pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki ketika dihubungi mStar Online memberitahu bahawa doktor masih lagi menunggu sehingga 24 jam bagi melihat perkembangan Din sama ada stabil atau tidak.
"Doktor mengesahkan Din telah terkena virus kencing tikus, namun masih lagi mencari punca air kencing tersebut dari mana, sama ada dari pemakanan, jangkitan ataupun secara langsung.
"Saya difahamkan ketika itu, Din sedang melakukan penggambaran untuk programnya bersama binatang di Zoo baru-baru ini.
"Saya juga difahamkan berlaku pendarahan dalaman dan buat masa ini dia masih lagi dalam keadaan koma dan kritikal," jelasnya.
Sementara itu, menurut jurucakap Airtime Management Programme (AMP), pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca sebenar penyampai itu dikejarkan ke hospital.
"Kita akan memberitahu pihak media jika ada apa-apa perkembangan mengenai Din.
"Sama-sama kita doakan supaya beliau kembali sihat," katanya.
Begitu juga beberapa rakan DJ turut mengesahkan yang mereka juga menerima berita mengenai keadaan Din Beramboi.
Mereka menyatakan rasa terkejut dan sedih.
DJ Suria FM, Lin melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada mStar Online menyatakan bahawa mereka semua berhasrat untuk menziarahi Din Beramboi di hospital esok.-mstar
0

Fasha Tak Kisah Berlakon Babak Panas


Fasha melakonkan watak Frieda dalam drama 13 episod Spa Qistina yang akan disiarkan di Astro Box Office Movies Tayangan Hebat (saluran 953) mulai 5 April ini. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
WATAK Frieda, seorang pelacur kelas atasan yang dapat dipertontonkan menerusi drama 13 episod Spa Qistina mungkin akan mendatangkan cemuhan kepada aktres Fasha Sandha.
Belum pun ia disiarkan di Astro Box Office Movies Tayangan Hebat (saluran 953) mulai 5 April ini, Isnin, pukul 9 malam, Fasha sendiri sudah merasai impak yang akan diterimanya nanti.
“Saya agak mesti orang melihat watak Frieda lakonan saya dengan persepsi buruk. Saya tak kisah kalau orang mengata yang bukan-bukan kepada saya selepas ini.
“Apa sahaja kata-kata mereka, saya akan terima asalkan saya dan produser berpuas hati dengan lakonan itu,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Maya, Ampang, semalam.
Frieda merupakan seorang pelajar universiti yang bijak dan berlagak baik tetapi sebenarnya mempunyai agenda jahat untuk menghancurkan hidup Qistina termasuk menggoda suami Qistina, Fahmi lakonan Ijoy Azhari. Dia memilih jalan untuk melacur diri untuk membalas dendam.
Segala-galanya tercetus apabila salah seorang ahli keluarga Qistina melakukan kejahatan kepadanya sehingga dia dipulaukan oleh orang kampung.
Tanpa berselindung, Fasha mengaku terdapat beberapa aksi panas yang dilakonkan olehnya sehingga terpaksa mengulang lakon semula disebabkan gagal mengikut kehendak yang diinginkan.
“Saya rasa kekok melakonkan babak-babak panas bagi memenuhi watak Frieda kerana saya takut persepsi masyarakat nanti.
“Boleh dikatakan babak itu agak daring sehingga saya perlu minta kebenaran dengan Abang Ijoy sebab dia sudah berkahwin. Misalnya, apabila saya perlu ulang penggambaran apabila terkurang daring. Saya fikir sebab kerja, jadi akhirnya saya lakukan juga,” jelasnya.
Biarpun apa orang kata, ada yang akan membenci, pelakon filem Anak Halal itu tetap berpegang kepada matlamat asalnya iaitu kerana bekerja dan menghasilkan kualiti lakonan yang boleh dibanggakan.
Dia tidak menafikan, sehingga kini kebanyakan watak yang dilakonkan semuanya baik-baik belaka. Sebolehnya, Fasha mahu meneroka lakonan yang lebih mencabar kemampuan dirinya.
“Saya tak boleh hanya memegang watak baik. Saya terpaksa memilih watak jahat walaupun terpaksa membuatkan penonton membenci saya. Kalau penonton betul-betul membenci saya, maknanya lakonan itu menjadi.
“Kalaupun orang melabelkan saya dengan perkara negatif selepas ini, orang akan tahu juga siapa saya yang sebenarnya. Saya tahu, ada juga antara peminat yang masih menyokong saya,” beritahunya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Atilia dan komitmen dengan filem 4 Madu.
Kisah Spa Qistina akan dimulakan dengan perkahwinan Dafi (Fazren Dafi) dan Maya (Tiz Zaqyah), perkahwinan yang berasaskan cinta dan penuh dengan kebahagiaan.
Sementara perkahwinan Qistina (Nanu Baharudin) dan Fahmi (Ijoy) yang telah berusia dua tahun pula telah mula menghadapi tekanan.
Rata-rata masalah mereka adalah disebabkan jurang usia 15 tahun di antara mereka, yang membuatkan mereka sering tidak sehaluan di dalam melayari bahtera perkahwinan.
Spa Qistina boleh ditonton dengan hanya melanggan pakej Astro Box Office Movies Tayangan Hebat (saluran 952 & 953) sepanjang bulan April ini dengan harga RM9.95 setiap bulan.-mstar
0

Badrul Muhayat menjadi antara orang paling dikehendaki polis.



AMPANG: Jika dulu dia menjadi idola peminat serta rebutan pengarah untuk membintangi filem dan drama, kini lain pula jadinya apabila pelakon kacak yang pernah mengecapi kehidupan glamor, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 41, menjadi antara orang paling dikehendaki polis.

Pelakon terbabit dikehendaki polis bagi membantu siasatan empat kes masing-masing dua jenayah ugutan dan dua kes pukul yang dilakukan terhadap isterinya, sekali gus memungkinkan dia bakal ditahan di mana-mana tempat.
Malah, Badrul Muhayat boleh dianggap licik kerana setiap kali polis ke rumah untuk menahannya, pelakon terbabit seolah-olah dapat ‘menghidu’ kehadiran pihak berkuasa itu sebelum menghilangkan diri.

Sebelum ini, pelakon terbabit pernah dilaporkan menjadi buruan polis dan terbaru, dia sekali lagi membuat hal apabila didakwa membelasah isterinya selepas menyedari wanita berkenaan mungkin sudah mengetahui dia mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain.

Kejadian Rabu lalu seolah-olah mengulangi kelakuan panas baran Badrul Muhayat kerana dia sebelum ini pernah dilaporkan melakukan perbuatan sama terhadap isterinya.

Dalam kes terbaru ini, isteri pelakon terbabit mendakwa dia diperlakukan dengan kejam apabila dipukul, ditumbuk serta ditendang selain dicekik leher.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata dalam kes terbaru itu, Badrul Muhayat naik angin selepas isterinya mengesyaki dia menghisap dadah dan mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain ketika mereka berada di rumah di Kampung Cheras Baru di sini, kira-kira jam 7 pagi.

“Ketika itu, pelakon terbabit baru pulang ke rumah selepas sekian lama menghilangkan diri dan isterinya yang mengesyaki dia mengambil bahan terlarang cuba bertanyakan perkara itu.

“Selain itu, isterinya terbaca kandungan SMS dan meminta penjelasan sama ada dia mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain,” katanya.


Menurut Abd Jalil, ketika itu berlaku perselisihan faham dan pelakon terbabit yang tidak dapat mengawal kemarahan mula naik angin dan terus memukul isterinya.

“Ketika pergaduhan itu, isteri mangsa terpaksa melontarkan pinggan untuk mempertahankan diri dan keadaan kecoh itu turut didengari jiran.

“Mangsa yang cedera kemudian dibantu dan dibawa jirannya untuk membuat laporan di balai polis,” katanya.

Menurutnya, polis berharap Badrul Muhayat segera menyerah diri dan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, polis berusaha menjejaki pelakon terbabit bagi membantu siasatan kes berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah ternampak suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Harian Metro pernah melaporkan kes membabitkan pelakon terbabit yang berlaku dua tahun lalu apabila dia didakwa pernah mengugut membunuh dan mencederakan isterinya. Selain itu, dia dilaporkan pernah memukul isterinya dan menendang perut wanita terbabit yang ketika itu mengandung sehingga mengalami keguguran.
Oleh Hadzlihady Hassan