0

Jimmy Shanley Tidak Mahu Selesai Kes Di Luar Mahkamah


Nursuhaila Eliani Suhaimy

  
KUALA LUMPUR: Isteri kepada pengacara, Jimmy Shanley iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy telah bertemu dengan suaminya secara peribadi untuk berbincang bagi menyelesaikan kes penceraian mereka supaya dapat diselesaikan di luar mahkamah secara baik.
Suhaila, 25, berkata, dalam pertemuan yang diadakan baru-baru ini, dia telah mencadangkan kepada Jimmy agar dapat berpisah dengan baik selain hubungan mereka kekal menjadi seperti sahabat.
"Saya tidak mahu lagi kes kami berdua berpanjangan dan saya telah berjumpa dengan Jimmy untuk menyelesaikan masalah kami berdua secara berhemah.
"Saya juga menjelaskan, mungkin saya dan dia sudah tiada jodoh dan berharap kami dapat berkawan baik demi kepentingan anak yang bakal berusia setahun pada 24 Jun ini," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Amal Seni Premier V3 di sini pada Rabu.
Bagaimanapun kata Suhaila, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana Jimmy masih tetap dengan keputusannya untuk menyelesaikan kes itu di mahkamah.
Dalam pada itu, Suhaila mempersoalkan tindakan Jimmy yang ingin menuntut hak penjagaan anak mereka iaitu Zahrah Shanley sedangkan dia tidak pernah menghalang suaminya itu daripada menjenguk kanak-kanak itu.
 
Jimmy dan Suhaila. 


Suhaila mendakwa, Jimmy jarang berkunjung ke rumahnya di Sungai Buloh, dekat sini untuk bertanya khabar mengenai anak tetapi ibunya iaitu Datin Muniroh Kassim yang sering membawa Zahrah bertemu dengan Jimmy.
"Pintu rumah saya sentiasa terbuka luas untuk Jimmy. Dia boleh datang menjenguk anak tetapi hanya sekali, dua sahaja dia berbuat demikian. Namun tidak dinafikan saya memang tidak membenarkan anak bermalam dengan Jimmy kerana dia masih menyusu badan," ujarnya.
Sementara itu, Suhaila berkata, dia tidak dapat menghalang Jimmy daripada mengeluarkan pelbagai kenyataan sama ada di dalam mahkamah atau kepada media mengenai rumah tangga mereka.
Suhaila memberitahu, dia tidak akan membalas sebarang kenyataan Jimmy kerana enggan mengaibkan suaminya itu dan akan terus berdiam diri.
"Seperti yang saya katakan saya tidak mahu perkara ini berpanjangan dan dia boleh kata apa sahaja mengenai diri saya," katanya.
Jimmy atau nama penuhnya, Jimmy Shanley Norjahan Salleh dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh.
Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah.
Kes melibatkan kedua-dua pasangan ini sedang berlangsung di Mahkamah Syariah dengan permohonan permohonan nusyuz terhadap Suhaila selain hak penjagaan anak (hadanah).


0

Rita Rudaini Kemukakan Bantahan Perintah Kembali Taat

RITA RUDAINI di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Pelakon sensasi, Rita Rudaini memfailkan bantahan awal di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bagi menolak permohonan perintah kembali taat yang dikemukakan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.

“Saya berasa tak susah pun dengan semua ini (prosiding mahkamah) dan mengikut saja kerana Allah sentiasa bersama saya dan keluarga,” kata aktres popular, Rita Rudaini Mohamad@Mokhtar ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Rita yang baru pulang daripada mengerjakan umrah pada 3 Jun lalu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Aidil Zafuan Abd Razak, 25, yang tidak hadir pada prosiding bagi sebutan permohonan kembali taat terhadapnya yang dikemukakan suaminya itu, bulan lalu.

“Saya sanggup melalui tempoh masa yang lama turun naik mahkamah demi anak-anak. Tak rasa susah pun, semua ini kerana Allah sentiasa memberi semangat buat saya dan keluarga,” katanya.


Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36, memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mendapat arahan daripada anak guamnya untuk mendapatkan tarikh sebutan bagi memasukkan bantahan awal berkenaan.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian menetapkan sebutan kes pada 9 Julai depan untuk memberi peluang kepada Rita Rudaini (defendan) memasukkan bantahan awalnya berhubung permohonan perintah kembali taat difailkan Mohamad Aidil Zafuan (plaintif) pada 15 Mei lalu.

Terdahulu Rita Rudaini hadir ke mahkamah pada pukul 9 pagi, manakala Aidil Zafuan dan peguam syarienya, Ahmad Nazib Johari tidak hadir, namun mewakilkan seorang peguam dari Tetuan Ahmad Nazib & Associates.
0

Pakaian Seksi Katy Perry Cetuskan Kontroversi







PAKAIAN yang dipakai Perry semasa membuat persembahan pada Anugerah MuchMusic di Toronto kelmarin.

TORONTO, Kanada - Bintang pop Katy Perry mencetuskan kontroversi semasa dia membuat persembahan pada Anugerah MuchMusic di sini, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Penyanyi itu muncul dengan memakai pakaian ketat dan jarang.

Perry, 27, memakai pakaian seksi tersebut ketika dia menyanyikan single terbarunya, Wide Awake.

Dia memenangi dua anugerah termasuk Artis dan Kumpulan Antarabangsa Pilihan pada majlis berkenaan yang berlangsung kelmarin.

Selain Perry, anugerah berkenaan turut membariskan beberapa artis popular seperti Carly Rae Jepsen, Justin Bieber, Selena Gomez, Miley Cyrus dan kumpulan LMFAO.

Jepsen merangkul tiga anugerah iaitu Video Terbaik, Video Paling Kerap Ditonton dan Video Pilihan untuk lagu popularnya, Call Me Maybe.

Bieber yang banyak memberi sokongan kepada penyanyi senegara dengannya itu turut memuji kejayaan Jepsen.

Jepsen juga menyanyi bersama Flo Rida dalam majlis tersebut.

Bieber turut menyanyikan lagu All Around the World dalam anugerah itu.

Dia turut memenangi anugerah muzik video terbaik menerusi lagu Boyfriend.

LMFAO merancakkan lagi acara berkenaan apabila beraksi lincah di pentas selepas mereka menerima Video Antarabangsa Terbaik untuk Artis Berkumpulan bagi lagu popular mereka, Sexy And I Know It. - Agensi