0

Neelofa Sedia Maafkan Anzalna Tetapi Dengan Bersyarat

Neelofa bersedia memaafkan Anzalna dengan syarat-syarat tertentu. 

PETALING JAYA: Pelakon jelita Neelofa yang kini hangat "berperang" dengan seorang lagi artis tempatan bernama Anzalna Nasir bersedia menerima permohonan maaf secara terbuka daripada bintang baru itu tetapi dengan beberapa syarat.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, dia sudah menghantar sepucuk surat melalui Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi pada Jumaat yang antara lain meminta Anzalna, 24, memenuhi syarat-syarat berkenaan.

"Saya bersedia menerima permohonan maaf terbuka daripada Anzalna kerana kenyataan fitnahnya terhadap saya. Namun sebelum itu, dia perlu menandatangani sepucuk surat yang menyatakan persetujuan terhadap beberapa syarat yang saya tetapkan.

"Surat itu sudah saya serahkan kepada Presiden Seniman, Zed Zaidi pada hari ini (Jumaat). Saya merancang untuk mengadakan sidang media mengenai isu ini pada Ahad," katanya secara eksklusif kepada mStar Online.

Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk "Anzalna Bidas Neelofa" menerusi akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Jun lalu.

Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya.

Anzalna

Baru-baru ini, Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata kepada media, dia bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa.

Sementara itu Neelofa berkata, beberapa syarat yang ditetapkan kepada Anzalna dalam surat tersebut adalah sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa.

"Saya tidak boleh dedahkan secara terperinci butiran surat itu atas nasihat peguam tetapi antara syaratnya dia tidak boleh menyebut nama saya dalam mana-mana kenyataan di media selepas ini.

"Saya mahu perkara ini berlaku secara ringkas agar dia memohon maaf secara terbuka dengan ikhlas dan belajar sesuatu daripada kejadian ini. Yang penting, nama dan maruah saya dibersihkan semula," katanya.

Ditanya pandangannya mengenai kenyataan seorang lagi bintang baru iaitu Tasha Shilla terhadap dirinya sebelum ini, Neelofa berkata dia tidak berkecil hati dan menghormati pendapat aktres itu.

"Saya tidak mempunyai sebarang isu dengan Tasha. Saya tidak terasa hati kerana dia juga ada hak untuk menyuarakan pendapatnya.

"Malah saya menghormati pendekatannya yang berdiam diri selepas pelbagai kontroversi antara kami bertiga mendapat liputan meluas di media," katanya.

Presiden Seniman Zed Zaidi yang dihubungi mStar Online memberitahu yang beliau telah menerima surat berkenaan dan akan berbincang dengan Anzalna sama ada dia bersetuju atau tidak dengan syarat-syarat yang diberikan itu.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Irma Hasmie Dan Reza Syah Azmeer Selamat Diijabkabulkan


BAGAI PINANG DIBELAH DUA… Pelakon Irma Hasmie,30, akhirnya bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan Reza Syah Azmeer Datuk Mohd Redzuan,31, dengan sekali lafaz dalam satu majlis sederhana. Mereka diijabkabulkan di Dewan Persidangan, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Jumaat yang dihadiri kira-kira 300 tetamu, terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua mempelai. Pada majlis itu pihak lelaki memberikan tiga dinar emas (RM2,222) sebagai mas kahwin sementara wang hantaran dirahsiakan. Perkahwinan ini amat bermakna buat Irma selepas kegagalan cintanya yang lalu bersama pelakon Farid Kamil dan pelawak Nabil.



PUTRAJAYA: Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie, 30, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Reza Syah Azmeer Mohd Redzuan, 31, dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan mereka diadakan di Dewan Persidangan, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini kira-kira pukul 3.50 petang, Jumaat.

Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Irma iaitu Ibrahim Othman di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd Redza Ahmad.

Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga pengantin kedua-dua belah pihak dan wakil media.





Pengantin perempuan menerima tiga dinar emas (RM2,220) sebagai mas kahwin sementara wang hantaran dirahsiakan jumlahnya daripada pengetahuan umum.

Dalam pada itu, pihak perempuan menerima 11 dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas 13 dulang.Selain sebentuk cincin, antara barang hantaran lain yang diberikan Redza kepada Irma termasuklah sirih junjung, manisan, jam tangan, tas tangan, coklat dan set mandian.

Manakala Irma membalas sirih junjung, sebentuk cincin, Al-Quran, sejadah, kurma dan komputer riba.

Majlis resepsi kedua-dua mempelai akan diadakan pada 1 Julai ini di Dewan D2, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pukul 8 malam.


Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
0

Raja Azmi Terima ‘Hadiah’ Dari Allah Kerana 'CUAI'

Raja Azmi melambaikan tangan kepada pihak media selepas prosiding perceraian selesai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap perceraiannya dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu adalah satu hukuman kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Penerbit filem ...Dalam Botol itu turut reda dengan “hadiah” yang diberikan Allah sempena ulang tahun kelahirannya ke-53 yang jatuh pada hari sama talak dilafazkan.

"Saya percaya perceraian ini adalah hadiah daripada Allah bersempena sambutan hari lahir saya pada hari ini (Rabu). Saya terima hukuman Allah di dunia ini kerana kesilapan saya.

“Semoga saya tidak dihukum di akhirat nanti," luahnya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah di sini, Rabu

Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek,49, melafazkan talak satu terhadap Raja Azmi di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.

Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan selama ini.

Raja Azmi berkata, dia atau bekas suami tidak menetapkan tarikh tertentu bagi permohonan perceraian berkenaan sebaliknya tarikh itu adalah secara kebetulan kerana ia ditentukan oleh pihak mahkamah.

Penulis novel itu turut berkata, perceraian yang berlaku dibuat atas persefahaman bersama bagi membolehkan hubungan dia dan bekas suami terus akrab dan baik seperti sebelum ini.

"Kami bercerai dengan persetujuan bersama dan anak-anak memahami serta menerimanya. Hubungan saya dan Jalani akan terus baik seperti biasa selepas ini.

"Malah, kami sekeluarga baru berkumpul pada malam semalam (Selasa) bagi meraikan hari jadi saya. Selepas pulang dari mahkamah, kami akan berbincang mengenai hal anak-anak dan beberapa urusan keluarga," katanya.

Hasil perkahwinan selama 28 tahun, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18.

Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya.

Raja Azmi sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung.

Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Sasha Saidin Enggan Dedah Punca Cerai

MEMORI manis Shasha Saidin dan Salyo Priyanto Nutosoemarsono pada majlis resepsi perkahwinan mereka pada 1 Disember 2007 selepas menjalani akad nikah pada 11 November di Jakarta, Indonesia.

TANGGAL 25 Jun lalu, kehadiran pelakon dan penyanyi Sasha Mohamad Saidin, 35, bersama ibunya ke Mahkamah Syariah Gombak Timur telah menarik perhatian segelintir pihak media yang sedang membuat liputan satu kes khalwat seorang pelakon.

Ketika itu Sasha yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite dilihat berbaju kurung dan berselendang hitam telah memasuki kawasan yang menempatkan Jabatan Agama Islam daerah Gombak Timur sebelum masuk ke mahkamah rendah bersama ibunya.

Apabila ditanya oleh pihak media mengenai kehadirannya di situ, ternyata artis jelita kacukan Melayu-Inggeris itu agak terkejut. Namun, dia sekadar memberi alasan mempunyai urusan berkenaan hal keluarga.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Kosmo! semalam, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu telah membuat pendedahan yang pastinya cukup mengejutkan ramai pihak terutamanya pengikut perkembangan dunia seni.

Kosmo!: Semalam beberapa orang wartawan melihat kehadiran Sasha dan ibu ke Mahkamah Syariah Gombak Timur. Apakah tujuan Sasha hadir ke mahkamah tersebut?

Sasha: Sebenarnya tujuan saya hadir ke mahkamah tersebut kerana mahu membuat permohonan cerai. Saya mengaku yang ketika ini saya memang mahu bercerai dengan suami saya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono.

Sebelum ini tiada sebarang cerita kontroversi yang membabitkan Sasha dan suami. Jadi, kenapa tiba-tiba mahu bercerai pula?

Buat masa sekarang, saya membuat keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan atau menceritakan mengenai perkara yang sebenar sehingga saya membuat keputusan untuk bercerai. Mungkin kalau sudah tiba masa yang sesuai nanti, barulah saya akan mendedahkan tentang permasalahan yang berlaku antara kami berdua. Namun, sekarang ini lebih baik saya berdiam diri sahaja terlebih dahulu.

Adakah Sasha akan membuat sidang akhbar khas dengan media untuk menceritakan permasalahan yang berlaku?

Saya tidaklah terfikir untuk membuat cara yang sebegitu. Cuma saya mahu segala yang berlaku dapat diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang boleh saya nyatakan, keputusan untuk bercerai ini merupakan keputusan kami bersama.

Bagaimana pula dengan perkembangan terkini kerjaya Sasha?

Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Natrah pada bulan lepas dan akan disiarkan di saluran RTM sebanyak 13 episod. Drama berkenaan diarahkan oleh Along Kamarudin dan saya memegang watak Adeline Hertogh yang merupakan ibu kepada Natrah.

Ketika konsert sempena sambutan ulang tahun KRU yang ke-20 baru-baru ini, Sasha dan anggota kumpulan Elite yang lain seperti Azza, Linda dan Watie turut membuat persembahan. Jadi, adakah Sasha tidak teringin untuk kembali menghasilkan semula album bersama Elite?

Kalau diikutkan sehingga kini hubungan saya dan anggota Elite yang lain masih lagi rapat. Namun, untuk kembali membuat kemunculan bersama-sama dengan menghasilkan album baharu agak sukar kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga.

Namun, saya sangat gembira semasa mengadakan persembahan semasa konsert tersebut apabila mereka yang datang turut menyanyi bersama-sama lagu yang kami nyanyikan iaitu GIG, Trauma dan Manisnya Senyumanmu.

Adakah Elite pernah mendapat tawaran untuk menghasilkan album?

Tidak dinafikan tawaran tersebut masih lagi ada dan saya sendiri memang sangat teringin melahirkan album terbaharu bersama Elite. Bagaimanapun, kalau boleh kami mahu album baharu tersebut mendapat sentuhan daripada KRU. Lagipun KRU yang membentuk Elite sehingga kami menjadi antara kumpulan wanita yang dikenali ramai.

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
0

Jalani Sidek Dan Raja Azmi Sah Bercerai Talak Satu


Raja Azmi dan Jalani keluar dari mahkamah sambil ditemani anak, semalam.Raja Azmi redha dengan hadiah lafaz cerai dari suaminya yang di terima pada hari ulangtahun kelahiran beliau semalam.

KUALA LUMPUR: Ikatan perkahwinan selama 28 tahun antara penerbit filem terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek akhirnya menemui noktah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.

Jalani atau nama sebenarnya Mohd Jalani Mohd Sidek, 49, melafazkan talak satu itu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Raja Azmi petang kelmarin.

Raja Azmi memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Bagaikan babak sedih dalam filem, pasangan itu bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Jalani melafazkan cerai. Secara kebetulan semalam adalah hari ulang tahun Raja Azmi yang ke-53.

Raja Azmi yang memakai baju bercorak batik dan berselendang hitam tidak dapat menahan sebak apabila Jalani mengucup pipinya. Shaiful Azli kemudian mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama daerah Gombak Timur dan sijil nikah dibatalkan. Pada prosiding itu, Jalani tidak diwakili peguam manakala Raja Azmi diwakili peguam Roslizam Rahim. Mereka hadir bersama-sama ditemani anak perempuan kedua, Puteri Suaida dengan menaiki sebuah kereta pada jam 3 petang sebelum prosiding itu selesai 30 minit kemudian. Terdahulu ketika prosiding bermula, Roslizam memaklumkan mahkamah pihaknya menyerahkan saman kepada Jalani selaku plaintif jam 2 petang semalam dan defendan bersetuju dengan tuntutan plaintif. Berdasarkan fakta kes, Roslizam berkata pasangan itu sudah tidak mempunyai persefahaman di dalam perkahwinan dan wujudnya shiqa’ (perbalahan) berpanjangan. “Pelbagai spekulasi melanda pihak-pihak menyebabkan tiada persefahaman. Wujud shiqa’ antara mereka. “Pihak-pihak telah berbincang dan mengambil masa yang lama untuk mencapai persetujuan ini (bercerai). Mereka bermuafakat bahawa mereka boleh terus berkasih sayang sebagai kawan dan bukan sebagai suami isteri,” katanya.

“Perceraian ini tiada kena mengena dengan orang ketiga,” kata bekas jaguh beregu badminton negara, Mohamed Jalani Mohamad Sidek, 49, selepas sah bercerai dengan Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, petang semalam.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Jalani berkata, perceraian itu disifatkannya sebagai keputusan terbaik yang boleh memberi keadilan kepada bekas isterinya itu.

“Saya setuju bercerai dengan Raja Azmi kerana perlu bersikap adil padanya yang cukup tertekan dengan apa yang berlaku selama ini. Kami juga sudah tidak bahagia. Jadi, buat apa kami terus hidup bersama dan inilah takdirnya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Menurutnya, pelbagai konflik dan fitnah melanda rumah tangga mereka terutama kebelakangan ini termasuk dia dituduh sebagai suami dayus.

“Begitupun, saya bersyukur Allah menjadikan saya seorang yang penyabar. Bagi saya, pengemudi rumah tangga harus kuat untuk menghadapi segala dugaan yang datang.

Sebelum membenarkan permohonan itu, mahkamah memuji sikap pasangan itu yang akan terus hidup dengan aman walaupun sudah bercerai.

Raja Azmi dan Jalani bernikah di Kamunting, Perak, pada 22 Disember 1984. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak, Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18, serta seorang cucu, Mohd Akid Mohd Shadan, 1.
0

Raja Azmi Dan Jalani Sidek Bercerai


KUALA LUMPUR: “Selepas difikirkan masak-masak, hanya perceraian jalan terakhir untuk membersihkan nama suami saya daripada terus dicemuh,” kata produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, mengenai perceraiannya dengan suami, Jalani Sidek, 48, yang akan difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini, hari ini.

Raja Azmi berkata, perceraiannya dengan bekas pakar beregu badminton negara itu dilakukan secara baik atas persetujuan bersama, malah mereka akan diwakili peguam  sama, Roslizam Rahim.

“Saya tak sanggup lagi mendengar tohmahan masyarakat yang menuduh dan menghina suami  sebagai dayus. Fitnah juga tidak putus-putus melanda rumah tangga kami hingga hubungan kami  suami isteri tidak lagi seperti dulu.

“Jadi, pada masa ini perceraian adalah penyelesaian terbaik untuk kami,” katanya ketika ditemui Harian Metro, petang semalam.

SAAT BAHAGIA...perceraian Jailani dan Raja Azmi dijangka difailkan hari ini.



Raja Azmi berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia dan Jalani kerap menjadi mangsa fitnah pihak tertentu dan kesannya benar-benar menjejaskan reputasi bukan saja  mereka berdua, malah keluarga.

Oleh Roslen Fadzil
0

Sasha Saidin Ambil Borang Bagi Memfailkan Perceraian

 Sasha Saidin tenang ketika disoal mengenai tujuannya ke mahkamah syariah.


KUALA LUMPUR: Penyanyi Sasha Saidin,36, dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa untuk mengambil borang bagi memfailkan perceraian.

Bekas ahli kumpulan Elite itu hadir mengenakan baju kurung hitam dipadankan dengan tudung berona sama ditemani ibunya, kira-kira pukul 10 pagi.

Ditanya mengenai tujuan ke mahkamah berkenaan, Sasha berkata, dia ingin menggunakan saluran mahkamah bagi menyelesaikan hal peribadi keluarga.

"Saya hadir ke sini bagi menyelesaikan hal peribadi. Selebihnya, saya enggan komen lebih lanjut.

"Diharap anda (pihak media) faham dengan permintaan saya. Ia sangat peribadi untuk dijelaskan," katanya.

Sasha yang turut ditanya adakah kehadirannya itu berkenaan masalahnya dengan suami iaitu Salyo Priyanto,37, dia bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak mengulas mengenai perkara itu tetapi bersedia memberi kerjasama kepada pihak media.

Sasha dan Salyo yang merupakan warganegara Indonesia telah berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, berusia tiga tahun.

Sebelum perkahwinan itu Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
0

Daphne Iking Jadi GRO, Dilanggan Bekas Suami?


   
Pengacara televisyen sensasi, Daphne Iking akan mendedahkan kepincangan dalam rumah tangganya termasuklah pelbagai tuduhan yang dilemparkan melalui pementasan Super Kam & The League of Extraordinary Femmes.

Memetik kenyataan di mStar, Daphnie berkata, selama ini ramai pihak yang tidak tahu apakah sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangganya sehingga menyebabkan hatinya benar-benar pedih dan terluka.

“Ya, hati saya pedih apabila bekas suami menyaman lelaki lain kerana mengurat saya tetapi saya cuba melupakan peristiwa itu dengan ketawa.

“Ramai yang tidak tahu cerita sebenar tentang masalah dalam rumah tangga saya tetapi menuduh saya yang bukan-bukan, jadi saya mahu menggunakan pentas teater untuk mendedahkan semua itu,” katanya.

Teater komedi itu bakal dipentaskan di Black Box @ MAPS KL, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur bermula dari 28 Jun hingga 1 Julai depan, pukul 8.30 malam.

Ia mengambil ilham daripada kes mahkamah yang membabitkan bekas suaminya dan seorang tokoh korporat yang didakwa menggoda Daphnie.

Pementasan itu turut diterajui oleh pelawak handalan iaitu Joanne Kam Poh Poh, Jo Kukathas, Joanna Bassey, Maya Tan dan Shamaine Othman.

Dalam pementasan itu beliau akan memegang watak wanita idaman lelaki (wet dream girl) yang akan diterjemahkan dalam sebuah komedi spontan.

Daphnie atau nama Islamnya Dahlia Eleanor Iking telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan iaitu Azmi Abdul Rahman pada 8 Januari 2011 dalam satu majlis ringkas yang diadakan di rumah keluarganya di Penampang, Sabah.

Menyedari akan kritikan yang bakal diterima terutama selepas memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Melayu, Daphne berkata; "Saya tidak peduli apa yang orang lain akan kata. Allah tahu siapa sebenarnya diri saya."

Sementara itu Joanne mengakui turut simpati dengan tohmahan yang terpaksa ditanggung oleh teman rapatnya itu sehinggalah dia terpanggil untuk menjadikan kisah tersebut sebagai bahan jenaka melalui pementasan terbabit.

"Saya suka menggunakan kisah peribadi sebagai bahan jenaka. Sebagai sahabat, saya banyak menggunakan Daphne sebagai 'mangsa' lawak jenaka saya.

"Untuk pementasan kami kali ini, saya mahu Daphne menjadi gadis GRO yang dilanggan bekas suaminya," ujarnya sambil ketawa.

Diterbitkan oleh ToniQ Creative, Super Kam & The League of Extraordinary Femmes turut memaparkan sketsa yang menyentuh isu-isu politik dan sosial semasa.

Tiket-tiket berharga RM58 dan RM68 boleh diperoleh dengan menghubungi TicketPro hotline di talian 03-7880-7999, atau layari www.ticketpro.com.my


- mD
0

Ada Apa Dengan K-Pop?

Agensi bakat Korea membelanjakan jutaan ringgit untuk membentuk kumpulan K-Pop yang memberikan persembahan terbaik kepada peminat mereka.

Bayangkan, artis seperti Girl Generations mendapat tontonan lebih 77 juta orang di Youtube. K-Pop menerjah seluruh dunia dengan kehadiran Super Junior, Big Bang, SNSD, Wonder Girls, Beast dan ramai lagi yang tumbuh seperti cendawan. Jelas, K-Pop telah memecahkan tembok bahasa. Aliran muziknya telah mewujudkan obsesi dalam jiwa anak muda. Namun, apakah keistimewaan muzik mereka? Berbahayakah kepada budaya Malaysia? Sama-sama kita mencari jawapannya dalam Bicara Isnin hari ini.

BULAN lalu, Himpunan Jutaan Belia dianjur kerajaan menyaksikan pelbagai persembahan oleh kumpulan pop Korea, atau lebih popular sebagai K-Pop.

Tetapi pemakaian dan aksi kumpulan-kumpulan tersebut, terutama anggota wanita yang tidak sesuai dengan budaya negara ini dipersoal banyak pihak, menyebabkan kerajaan memohon maaf.

Tapi selang beberapa hari, parti pembangkang pula menjadi sasaran isu yang sama apabila majlis Malam Bersama PKR di Bertam turut dimuatkan dengan persembahan gadis berpakaian seksi.

Apa lagi, berlakulah sesi balas membalas antara pemimpin dan penyokong kerajaan serta pembangkang tanpa mengambil kira penjelasan yang diberikan kedua-dua pihak.

Tetapi apa yang ingin difokuskan di sini adalah pengaruh K-Pop itu sendiri, sehingga ia turut dihidangkan dalam acara kerajaan dan parti politik.

Apa sebenarnya K-Pop ini?

Jika dilihat secara definisi, K-Pop adalah sejenis genre muzik menggabungkan unsur tarian, elektronik, hip hop, rock dan R&B yang berasal dari Korea Selatan.

Namun kita dapat lihat K-Pop ini bukan lagi sekadar muzik, tetapi seakan menjadi budaya popular dalam kalangan remaja di seluruh dunia.
Buktinya, fesyen dan gaya penyanyi K-Pop menjadi ikutan ramai.

Walaupun pengaruhnya nampak begitu kuat sejak akhir-akhir ini, K-Pop sebenarnya bukanlah genre baru, tetapi bermula lebih 20 tahun lalu iaitu pada 1992, apabila muzik rap dan tarian mula dikenali melalui populariti kumpulan K-Pop terawal, iaitu Seo Tai-ji & Boys.

Kumpulan itu menggabungkan unsur rap, rock dan tekno dalam muzik mereka dan ia dianggap sebagai saat permulaan K-Pop.

Kemudian, penubuhan agensi bakat terbesar Korea Selatan, SM Entertainment pada 1995 oleh usahawan Lee Soo Man melahirkan lebih ramai artis K-Pop.

Tetapi apa yang membuatkan K-Pop begitu popular sehingga dikenali di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini? Tentu sekali dengan bantuan Internet. Kewujudan laman peminat Facebook, profil Twitter dan video muzik di YouTube membolehkan K-Pop tersebar kepada lebih ramai pendengar, mencetus anjakan besar dalam populariti genre itu.

Apa yang menarik, K-Pop dilihat sebagai eksport budaya Korea yang sangat berjaya. Menurut indeks ‘Gelombang Korea’ dikeluarkan Yayasan Pertukaran Budaya Antarabangsa Korea pada 2010, antara negara yang menerima pengaruh budaya K-Pop terbesar adalah Taiwan,

Japan, China, Thailand, Vietnam, Malaysia dan Filipina. Bukan sahaja di Asia, K-Pop juga mula melebarkan pengaruhnya ke pasaran luar termasuk di Amerika Utara sehinggakan pada 2011, carta muzik Billboard di Hollywood merasmikan Carta 100 Korea K-Pop Terhangat, iaitu carta kedua dikhaskan untuk muzik dari Asia selepas Carta Japan 100. Pada 2009, Wonder Girls, salah satu kumpulan muzik Asia paling berjaya yang menjual jutaan album menjadi satu-satunya kumpulan K-Pop yang menduduki carta Billboard Hot 100 di Amerika Syarikat (AS) dan membuat persembahan di rancangan televisyen AS seperti So You Think You Can Dance (United States) dan The Wendy Williams Show.

Tetapi kejayaan hebat mereka ini bukan kerana tuah. Jangan terkejut kalau diberitahu yang artis K-Pop ini bukanlah muncul begitu sahaja tetapi dibentuk sejak awal. Agensi bakat Korea akan mengambil beberapa pelatih sebelum membentuk karier mereka.

Dalam tempoh dua tahun atau lebih, pelatih akan menjalani latihan suara, mempelajari tarian profesional, membentuk tubuh badan melalui senaman dan mempelajari beberapa bahasa dan semua ini dibuat semasa sedang di bangku sekolah lagi.

Tidak hairanlah kalau produk Korea ini sangat berjaya kerana pelaburan setinggi AS$400,000 (RM1.2 juta) dikeluarkan untuk melatih dan melahirkan seseorang artis baru.

Lihat bagaimana Korea memastikan mereka hanya mengeluarkan produk terbaik untuk dipasarkan di seluruh dunia, dan tentunya memberi pulangan mewah.

Mungkin kita juga boleh mula mengikut jejak langkah ini. Bukan sekadar untuk pulangan kewangan, tetapi pengeksportan bakat Malaysia penting dalam usaha mempromosi budaya penuh kesopanan kita.

Kredit: Sumber
0

Saiful Apek Bebas Dari Pertuduhan Dadah

 Saiful Apek bersama peguamnya, Mohd Fadly.


PETALING JAYA - Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret daripada tuduhan menggunakan dadah, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Saiful Apek atau nama penuhnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff.

Saiful Apek dan tiga rakannya didakwa menggunakan ganja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Ahmad Solihin membebaskan Saiful Apek dengan mengemukakan lima alasan utama penghakiman.

Menurutnya, pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dengan mengemukakan isu berkenaan percanggahan tarikh di label botol sampel air kencing; penyimpanan sampel yang terlalu lama; mempunyai dua borang ujian pengesanan air kencing serta gagal membuktikan elemen kalibrasi dan kawalan kualiti dalam ujian pengesanan.

Mahkamah juga mendapati kegagalan pendakwaan mengemukakan botol sampel air kencing telah melonggarkan kes pendakwaan.

"Pendakwaan dengan ini gagal membuktikan kes (prima facie). Tertuduh dilepas dan dibebaskan," katanya.

Sementara itu, Saiful Apek ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa terharu terhadap keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai bukti bahawa dia di pihak yang benar.

Beliau berterima kasih kepada peguam Mohd Fadly Hashim dan Zamri Idrus yang banyak membantu serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

"Saya percaya kepada undang-undang dan perlembagaan. syukur rezeki tetap ada," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

OLEH KHALILAH GUSTI HASSAN
0

Aaron Aziz Kini Sah Menjadi Penduduk Tetap Malaysia

Aaron Aziz dan isterinya, Diyana Halik serta anak-anak.

POPULARITI ada habuan kepada pemiliknya. Baik atau buruk, populariti menjadikan seseorang artis itu berada di satu tempat istimewa berbanding artis yang kurang popular. Seperti yang berlaku kepada Aaron Aziz, 36, sejak memenangi hati rakyat Malaysia sehingga bergelar Artis Paling Popular 2011, apa sahaja cerita terbaharu dirinya akan mendapat perhatian ramai.

Isu artis luar yang dibangkit oleh Zed Zaidi, kini Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) serta status permohonan Taraf Penduduk Tetap (PR) selama ini menjadi dua cerita yang saling berkait dengan Aaron. Namun, perkara itu barangkali bukanlah lagi satu beban yang merunsingkan buat Aaron. Persoalan tentang status PR Aaron yang selama ini dibangkitkan bukan lagi satu tanda tanya.

Pertengahan minggu lepas, satu sumber Sensasi Bintang membongkar status permohonan PR oleh Aaron yang didakwa telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Turut dilampirkan dalam e-mel tersebut ialah salinan kad MyPR milik isteri Aaron, Diyana Halik. Jumaat lalu, Sensasi Bintang berjaya menghubungi Aaron Aziz untuk mendapatkan pengesahan.

Bercakap kepada Sensasi Bintang, kata Aaron mengesahkan dia dan isterinya kini pemegang MyPR.

"Saya minta maaf kepada semua pihak kerana dari awal lagi tidak menghebahkan kelulusan permohonan PR saya kepada umum. Saya fikir, perkara itu tidak perlu dikecoh-kecohkan. Tetapi, apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengirimkan salinan dokumen sulit saya itu kepada umum, barulah saya rasa perkara itu perlu dijelaskan.

"Saya sudah memegang kad MyPR sejak awal Jun. Saya harap pengakuan saya ini akan menjelaskan segala persoalan semua pihak," akui Aaron setelah meneliti semula gambar kiriman e-mel sebelum memberikan keterangan lanjut.

Ditanya mengenai proses permohonan PR olehnya yang cepat mendapat kelulusan kerajaan Malaysia, Aaron menyerahkan perkara itu kepada pihak KDN untuk memberikan penjelasan.

"Saya tidak rasa cepat atau lambat kelulusan permohonan itu akan menjadi satu isu. Saya tiada hak untuk bercakap tentang rasional atau alasan bagaimana permohonan saya diluluskan. Mungkin saya telah menepati syarat yang ditetapkan," katanya.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz turut meluahkan rasa syukur kerana berbekalkan bakat seni yang dimiliki, dia kini boleh bekerja dan menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia. Dia berterima kasih kepada semua pihak atas rezeki dan penerimaan semua terhadap kehadirannya menjadi salah seorang pelakon di Malaysia.

Sebagai rekod, Aaron sebelum ini mendakwa Malaysia dekat di hatinya. Itulah antara sebab mengapa pelakon yang hangat menerusi filem KL Gangster itu memohon PR. Pelakon yang berasal dari Singapura itu memohon taraf penduduk tetap pada Ogos 2011.

Populariti serta aura Aaron semakin mendapat perhatian usai menjulang anugerah tertinggi dalam majlis Anugerah Bintang Popular 2011, April lalu, nama aktor sasa Aaron hangat dengan isu PR yang dipohonnya. Isu itu menjadi kecoh apabila kemenangan Aaron dipertikaikan Zed Zaidi yang ketika itu bercakap atas kerusi Timbalan Presiden Seniman itu meluahkan rasa kurang senangnya kerana pemenang anugerah berdasarkan populariti itu dimenangi pelakon warga Singapura.

Isu itu berlarutan sehingga memaksa Aaron bercakap soal status dan warganegara sehingga terkeluar berita bahawa permohonan PR olehnya sudah mendapat kelulusan dan sedang menunggu waktu untuk diambil daripada KDN. Namun, selepas berita itu disebarkan oleh portal Gua.com, Aaron dalam satu kenyataan menafikan pengakuannya tentang kelulusan status PR berkenaan.

"Sebelum ini orang pernah menyebarkan salinan kad pengenalan palsu saya. Kad itu yang sengaja dicipta untuk memburuk-burukkan saya. Sekarang salinan MyPR saya pula disebarkan. Saya rasa ini kerja orang dalam dan saya tidak tahu apa niatnya menjadi penyebar kepada dokumen sulit pihak lain," kata Aaron sedikit kesal tetapi berterima kasih kepada Kosmo!

Akhiri Aaron: "Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anda dan Kosmo! disebabkan berusaha mendapatkan pengesahan daripada saya sendiri dan tidak menyiarkan gambar kiriman e-mel tersebut tanpa kebenaran daripada saya."-kosmo