0

Acha Septriasa Terkilan Kerana Tidak Terima Kad Undangan Perkahwinan Irwansyah


HANYA tawa kecil kedengaran tatkala diusik siapa insan bertuah yang bertakhta di hatinya kini selepas namanya tidak terlepas dikaitkan dengan beberapa jejaka popular, apatah lagi bekas kekasihnya, Irwansyah, juga sudah mendirikan rumah tangga.

Bagi Acha Septriasa, kegagalan cinta masa lalu membuatkan dirinya lebih matang mengatur langkah, malah tanpa berselindung mengakui masih menanti cinta yang diharap hadir tanpa dipaksa.

Biar ditebak pelbagai persoalan termasuk hubungan lalu, penyanyi dan pelakon popular Indonesia itu mengakui tidak membataskan pergaulan, sebaliknya sedia berkawan dengan mana-mana lelaki asalkan ikhlas.

Begitupun, Acha yang juga penuntut tahun tiga Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya, mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajiannya yang bakal selesai setahun lagi, sebelum mengejar cinta.

“Ya, saya senang begini, solo, tetapi kehidupan saya tidak pernah sunyi kerana sentiasa dikelilingi teman. Bagusnya apabila berada di kuliah, selain belajar kita juga berpeluang berjumpa ramai jejaka hebat,” seloroh si manis yang sememangnya gemar berjenaka itu.

Pertemuan dengan Acha atau nama sebenar Jelita Septriasa, 22, yang diatur Broadway Media bersempena pelancaran saluran baru Astro, Bintang 141 dan Pelangi 142, tidak dilepaskan wakil media begitu saja untuk mengetahui perkembangannya.

Bintang Heart dan Love Is Cinta itu dibawakan khas ke majlis berkenaan berikutan beberapa filem pecah panggung lakonannya bersama Irwansyah antara senarai produk yang bakal mengisi slot saluran baru berkenaan.
Masih kekal dengan sikap peramah dan mudah tertawa, Acha juga tidak menolak untuk berkongsi soal perasaan selepas kekasih yang sudah menjalin cinta dengannya selama tiga tahun selamat bergelar suami orang awal tahun ini.

Jika dikatakan sebaik berpisah mereka tidak lagi bertegur sapa, sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dinafikan kerana katanya mereka masih bertanya khabar dan bertegur sapa walaupun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu.

“Waktu itu saya masih muda, mahu mengejar cita-cita dan kerjaya, manakala Irwansyah pula ingin membawa hubungan kami ke fasa lebih serius, iaitu perkahwinan. Daripada membiarkan dia terus menunggu, lebih baik kami meneruskan haluan sendiri.

“Memang agak pahit melalui semua itu, tetapi kami harus kuat selain percaya jika ada jodoh, kami akan dipertemukan semula. Nyata takdir tidak menyebelahi apabila dia bertemu jodoh dengan gadis lain. Biar apa pun, saya mendoakan mereka dari jauh,” luahnya penuh makna.

Hanya kesyukuran yang mampu diucapkan apabila insan yang pernah disayangi dilingkari kebahagiaan, cuma dirinya agak terkilan apabila tidak menerima kad undangan perkahwinan untuk hadir pada hari bersejarah itu.


Katanya lagi, ketika masih solo memang kerap mereka berhubungan, tetapi selepas Irwansyah bergelar suami, Acha cuba menjauhkan diri bagi mengelakkan ada hati yang terluka.

Jadi isteri presiden

ENGGAN membiarkan nostalgia menggugat emosi, ceritanya berbalik kepada kuliah yang pernah direhatkan seketika tahun lalu demi memberikan komitmen terhadap kerjaya seninya.

Bukan meletakkan pelajaran ke tepi, sebaliknya penyanyi lagu Berdua Lebih Baik itu terpaksa mengambil cuti sepanjang tahun lalu sebelum kembali menyudahkan pengajiannya sebaik semester awal tahun ini bermula.

“Bekerja dan belajar dua perkara berbeza, namun masih memerlukan komitmen jitu. Perlu berkejar merentas lautan membuatkan saya harus membuat keputusan bijak iaitu bercuti setahun.

“Justeru sepanjang tahun lalu masa saya diperuntukkan sepenuhnya untuk lakonan, nyanyian dan tidak ketinggalan memenuhi siri kempen produk,” katanya yang turut disambar sebagai duta jenama produk penjagaan rambut serta sabun di Indonesia.

Bukan menyepi, jauh sekali mahu meninggalkan arena nyanyian atau lakonan, gadis bertubuh kecil molek yang punya jiwa besar itu masih kerap pulang ke Jakarta dua bulan sekali bagi memenuhi segala tawaran.

Walau undangan pentas, sinetron dan layar perak tidak serancak dulu, hakikatnya Acha mendambakan karya yang benar-benar meninggalkan kesan atau dalam erti kata mudah biarlah kemunculannya dirasai lebih bersandarkan kualiti, bukan disebabkan kuantiti.

“Saya tidak nafikan ramai bakat baru muncul, muda dan lebih segar. Ini semua persaingan sihat kerana apabila wujudnya perlumbaan, kita akan berusaha menonjolkan hasil kerja terbaik, malah sentiasa ingin mencuba perkara baru.

“Harapan saya, biarpun hanya satu filem setahun impaknya meninggalkan kesan kepada khalayak apatah lagi kini masa saya lebih banyak di Kuala Lumpur berbanding Jakarta,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Australia sebaik menamatkan Ijazah Sarjana Muda akhir tahun ini.

Adakah Acha mahu melarikan diri jauh dari Indonesia atau Malaysia? Sambil tersenyum katanya, adiknya yang belajar di negara kanggaru itu mahu dia menemaninya apatah lagi keinginan untuk belajar setinggi yang boleh tidak pernah padam.

“Sebenarnya saya masih berkira-kira mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau menumpukan perhatian terhadap pembikinan album penuh. Apa pun saya akan memperhalusi segala-galanya kerana hujung tahun ini juga saya akan ke lokasi penggambaran filem,” katanya.

Bercakap soal filem, kongsinya lagi pada November ini dia akan sibuk semula di lokasi sebuah filem sejarah berkisar kehidupan presiden Indonesia yang terawal, Soekarno dan isterinya, Utari. Dia dilamar membawakan peranan sebagai wanita pertama bagi filem berjudul Nine Reason yang juga memaparkan kisah sembilan isteri mantan presiden terbabit.

“Sudah pasti watak dan filem ini antara cabaran terbesar saya memandangkan ia sebuah naskhah berkaitan sejarah negara kelahiran saya sendiri. Saya sendiri teruja sebaik diajukan peranan terbabit.

“Bagaimanapun, saya belum boleh lagi bercerita lanjut atau berkongsi kronologi kisah. Kita tunggu saja nanti tetapi saya sendiri akan membuat kajian sebelum turun ke lokasi,” akuinya yang tidak mampu menyembunyikan debar di hati.[BH]


Biodata Acha Septriasa

NAMA SEBENAR: Jelita Septriasa Sagitta Ahimsha.

TARIKH LAHIR: 1 September 1989.

ASAL: Jakarta.

KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik.

PENDIDIKAN: Komunikasi Massa Multimedia & Penyiaran, Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya (tahun ketiga).

FILEM: Heart, Love Is Cinta, In The Name Of Love, Apa Ertinya Cinta? dan Love.

DRAMA: Andai Ku Tahu, Sakinah dan Salwa.

ALBUM RUNUT BUNYI: Heart (2006), Love Is Cinta (2007) dan In The Name Of Love (2008).

ALBUM MINI: Hikayah Ramadan (2007) dan Keputusan Hati (terbaru)

LAGU TERBARU: Tentang Kita, Maunya Apa Lagi?, Keputusan Hati, Salahku Kau Selingkuh.
0

Penjelasan Nurul AF2 Tentang Pernikahannya Di Thailand

 
Nurul AF2 bersama suaminya Mohd Munzil Muhamad.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul (AF2) atau nama sebenar Nurullah Zawawi,29, yang baru sahaja melangsungkan pernikahannya dengan seorang pensyarah, Mohd Munzil Muhamad tidak pernah membelakangi keluarga sehingga mengambil keputusan bernikah di Narathiwat, Thailand.
Jelas Nurul, dia dan suami sebelum ini sudah berusaha untuk berjumpa keluarga kandungnya beberapa kali namun gagal atas sebab-sebab tertentu.
"Kami sudah mencuba berbagai cara termasuk meminta bantuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menghubungi keluarga kandung saya namun tidak mendapat kerjasama.
"Kami sekeluarga telah ke Kuching dan pergi ke rumah penghulu kampung tersebut tetapi usaha itu tidak mendatangkan hasil," ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini, Rabu.
Nurul dan suaminya memberi penjelasan mengenai isu yang dikeluarkan oleh sebuah program hiburan popular yang mendakwa mereka telah membelakangkan keluarga kandung dan bernikah tanpa diwalikan bapa Nurul.
Bagaimanapun, Nurul berjanji akan menyelesaikan masalah keluarganya dan bertemu mereka selepas ini.
"Kini saya lebih berani untuk berhadapan dengan mereka kerana sudah mempunyai suami dan mahu menjernihkan keadaan.
"Secara jujur memang selama ini saya tidak pernah berjumpa dengan mereka dan hanya mengenali wajah kedua ibu bapa kandung ketika disiarkan di rancangan tersebut.
"Ini masalah keluarga dan bapa angkat yang banyak mengetahui cerita sebenar pula sudah meninggal dunia," ujarnya kesal.
Sementara itu, Nurul juga menafikan telah menukar nama sebenarnya Nurullah Zawawi kepada Nurullah Abdul Hamid dalam setiap urusan rasminya.
"Saya tidak pernah tukar nama sebenar saya dan menggunakan nama bapa kandung dalam segala urusan.
"Saya hanya gunakan nama tersebut untuk tujuan komersial sahaja selepas ini saya mahu dikenali dengan nama Nurullah Abdul Hamid @ Zawawi," ujarnya yang kesal dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan namanya.
Sementara itu, Munzil menjelaskan pernikahannya berlangsung pada 23 April lalu dan bukan 23 Mei seperti dilaporkan media.
"Ada media yang tersilap lapor bahawa kami bernikah pada 23 Mei tetapi sebenarnya 23 April. Disebabkan perkara itu, kami menerima pandangan negatif daripada masyarakat yang menganggap kami bersekedudukan.
"Saya harap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan dan situasi kami sebagai suami isteri yang sah," katanya.
Ketika ditanya mengapa perlu melakukan pernikahannya tersebut di negara jiran sedangkan masih boleh mendapatkan wali hakim dan bernikah di negara ini, jika perkara itu di laksana, ia bakal mengambil masa yang panjang.
"Ya, memang boleh untuk mendapatkan wali hakim dan melangsungkan pernikahan di Malaysia tetapi prosedur tersebut terlalu lama.
"Jika kami ingin menunggu prosedur itu, ia akan menyebabkan majlis persandingan yang sudah ditetapkan terpaksa ditangguhkan," katanya.
0

Nadia Mustafar Tampil Beri Penjelasan Untuk Bersihkan Namanya


Nadia Mustafar (kanan) tampil memberikan penjelasan untuk membersihkan namanya selepas sekian lama mendiamkan diri tentang kes saman fitnah oleh Lisdawati. 
KUALA LUMPUR: Sekian lama mendiamkan diri, pelakon Nadia Mustafar, 35, tampil memberikan penjelasan untuk membersihkan namanya atas segala tuduhan berhubung kes saman fitnah dengan pelakon Lisdawati sebelum ini.
Dia akui lega apabila kes tersebut telah selesai pada 27 Jun lalu setelah Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali meminta Lisdawati menarik semula saman itu ekoran beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes itu.

                                                      Lisdawati 

 "Sebelum ini saya rasa lebih baik berdiam diri tetapi setelah kes ini selesai, peguam Siti Noor Julaini Mohd Shahar nasihatkan saya untuk membersihkan nama jika saya rasa berada di pihak yang benar.
"Saya akui sebelum ini saya kurang ilmu undang-undang tetapi selepas melalui kes ini, banyak perkara yang saya pelajari dan lega kerana semuanya telah berakhir," katanya dalam satu sidang media di Redbox, Pavilion, di sini, Isnin.

Nadia bahagia bersama-sama keluarganya.
Jelas Nadia yang turut menafikan muflis seperti yang didakwa, biarpun telah memenangi kes tersebut tidak bermakna dia mahu mendabik dada sebaliknya berharap tiada lagi kes melibatkan mahkamah.
Malah pelakon filem Senario Asam Garam dan Jangan Tegur ini juga sanggup menerima maaf daripada Lisdawati sekiranya wanita itu menghulurkan salam perdamaian.
“Saya tiada masalah jika dia mahu berdamai semula dan tentang hutang dia dengan saya boleh dibawa berbincang kerana saya tidak terlalu menagih hutang itu.
“Tetapi jika dia ingin memfail semula kes ini ke Mahkamah Tinggi, saya hanya mampu membela diri,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini.
Kehadirannya di situ turut ditemani oleh anak-anaknya iaitu Mia Qaisara, 3, Qaliff Izham, 2, Qaiem Quzey Izham, 5 bulan, dan suaminya Hazil Izham Ismail, 37.
Sepanjang berhadapan dengan kes tersebut, Nadia akui tidak tertekan dan hanya menjalankan kerjanya seperti biasa.
“Saya masih menerima tawaran berlakon dan menjalankan perniagaan kedai makan di Central Market pada awal tahun ini.
“Baru-baru ini, saya baru sahaja menyelesaikan penggambaran drama Suria Di Cordoba yang turut dilakonkan oleh Lisdawati tetapi kami tidak bertemu dalam babak yang sama,” katanya.
Tambahnya: “Bagaimanapun, kami berjumpa dalam satu majlis selepas selesai penggambaran drama tersebut pada dua minggu lalu dan bersalam-salaman sebagai tanda hormat antara satu sama lain.”
Dalam akhbar sebelum ini melaporkan Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa, Nadia dengan niat jahat telah memberikan wawancara yang mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.
Wawancara tersebut didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Nisdawati mendakwa, majalah berkenaan telah menyiarkan wawancara itu dalam keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005.
Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud bahawa dia telah meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan.
Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan bahawa artikel tersebut tidak mempunyai unsur ftnah, sebaliknya meminta agar orang yang berhutang untuk menjelaskan hutangnya.
Nadia juga menyatakan bahawa dia tidak pernah sekali-kali menyebut nama Lisdawati dan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai tidak munasabah, mengaibkan, remeh dan menyalahgunakan kuasa mahkamah.
Sehubungan itu, Nadia memohon agar mahkamah menolak saman tersebut dengan kos.
0

Neelofa Terus Dihimpit Kontroversi



BAGAI sudah menjadi trend pula, asalkan ada rupa dan berpotensi pasti akan diasak kontroversi melalui gosip-gosip yang muncul berbanding hasil kerja.
Untuk kesekian kalinya, pola yang sama turut berlegar dalam diri pendatang baru Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa).
Belum pun genap setahun bergelar pelakon, gadis yang mesra disapa Lofa ini bagai sudah jenuh dibelit rantaian kontroversi.
Segala macam dakwaan liar hinggap ke tubuh mulusnya termasuklah ditohmah sebagai perampas, penipu, kaki berangan, menagih publisiti murah, gemar bersengketa dan tidak berdisiplin.
Bukan satu dua kata nista yang terpaksa ditelan tetapi menerusi pengakuannya kepada OopStarz! baru-baru ini, Neelofa cukup tenang mendepani kekalutan itu.
“Gosip dan kontroversi yang melanda adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Apa yang terjadi berada di luar kawalan dan bukannya salah saya.
“Saya adalah mangsa keadaan dan hasad dengki orang yang tidak boleh melihat kesejahteraan dan pencapaian orang lain,” terangnya.
Sebagai muka baru, Lofa berkata, bukan dipintanya segala kontroversi melanda diri. Jauh sekali untuk dia menjadikan cerita buruk itu sebagai strategi melonjakkan nama.
“Sering kali orang bertanya sejauh mana kebenaran setiap dakwaan itu namun apa yang boleh dikatakan kenapa pula saya harus mencipta kontroversi semata-mata untuk popular?
“Saya masih lagi waras untuk membezakan tindakan yang wajar dan sebaliknya. Tidak mungkin saya sanggup mencalar maruah dan reputasi hanya untuk dikenali dengan cepat,” katanya.
Hikmah di sebalik gosip
Mendengarkan jawapan itu, pelakon filem Azura 2011 ini lantas diaju pertanyaan apakah dia melihat segala kecaman itu sebagai sesuatu yang adil buatnya?
Jawabnya, “Memang saya pernah terfikir mengapa diri ini kerap diuji dengan cerita-cerita negatif. Namun, apabila saya renungkan dari sudut lain, banyak hikmah yang berlaku pada kerjaya saya yang baru berkembang ini.
“Makin hebat dugaan dan gosip singgah, semakin banyak tawaran dan peluang lakonan pula diterima. Jadi saya menerima ujian ini dengan redha.”
Seoptimis pendiriannya, Neelofa selesa memilih pendekatan untuk bersikap tenang dan bijak mengatasi tekanan yang menghimpit.
“Saya belajar untuk tidak mudah mempercayai orang dan peka serta berhati-hati dengan persekitaran. Walaupun kontroversi itu pedih tetapi ia adalah guru terbaik yang membuka lembaran baru dalam kehidupan saya.
“Selepas enam bulan menceburi bidang ini, percaya atau tidak segala kontroversi ini sebenarnya menjadikan saya lebih kuat dan dapat melihat warna sebenar kehidupan,” katanya.
Shahz Jaszle hanya teman rapat
Diimbas semula enam bulan yang lalu, gosip hubungannya dengan aktor Shahz Jaszle adalah punca awal yang mengheret nama Lofa ke lembah kontroversi.
Susulan daripada jolokan perampas yang dihamburkan kerana menjadi punca keretakan hubungan cinta aktor kacak itu dengan aktres Maria Farida, Lofa terus dihujani pelbagai cerita kurang enak.
Kini, selepas setengah tahun cerita itu meletus, penafian Lofa terhadap hubungannya dengan aktor itu terus dianggap sebagai omong kosong.
Apa yang berlaku depan mata adalah keintiman dan kemesraan mereka di majlis-majlis hiburan dan di khalayak seakan mengiyakan persepsi bahawa mereka sedang menjalin hubungan.
Tika perkara itu diajukan, Lofa dengan gestur bersahaja sempat tergelak sebelum membalas.
“Saya sudah tidak kisah dengan apa juga persepsi dan telahan orang terhadap kisah saya dan Shahz. Saya akui kami rapat sebagai rakan karib kerana keserasian itu.
“Namun, tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang disangkakan. Hanya kami saja yang mengetahui cerita sebenar, jadi terpulanglah kepada orang sama ada untuk mempercayainya atau tidak,” jawabnya.
Tidak akan mengalah
Akuinya lagi, pada fasa ini dia sebenarnya sudah jelak dan bosan dengan tohmahan yang dikaitkan dengan namanya.
Namun, atas niat yang tulus untuk mencanai potensi diri dalam bidang seni serta sokongan keluarga dan peminat, dia takkan mengalah untuk terus berjuang.
Semua cerita yang sudah berlaku atau mungkin berulang pada hari muka tidak akan menggugat objektifnya menceburi bidang seni.
“Saya tidak akan pernah mengalah atau berputus asa. Ini jalan yang saya pilih dan saya benar-benar serius dalam bidang ini.
“Sebenarnya, semua kesulitan itu lebih mudah dilalui apabila saya mengambil pendekatan tidak kisah dan menganggapnya sebagai perkara remeh-temeh.
“Setiap yang berlaku itu ada baik buruknya. Jika benar ada salah saya di mana-mana, saya akan perbaiki. Namun, apabila gosip itu tidak benar, saya hanya mampu pasrah dan berserah saja,” luahnya.
0

Hattan Sedia Terima Bekas Isteri Jika Ada Jodoh



Hattan tidak menolak seandainya ditakdirkan bersatu kembali dengan bekas isterinya, Arianie selepas enam tahun bercerai.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 46, mengakui tidak kisah seandainya ditakdirkan bertaut kembali dengan bekas isterinya Arianie Mohd Abidin selepas enam tahun bercerai.
Hattan berkata, dia kini telah bersedia untuk berumah tangga semula tetapi masih belum menemui calon yang sesuai untuk disunting sebagai isteri.
"Kesibukan saya dengan perniagaan dan cabang seni menjadi penghalang untuk mencari pasangan. Namun, saya akui sejak kebelakangan ini hubungan dengan bekas isteri menjadi bertambah rapat.
"Kami seperti malu-malu apabila berjumpa macam pasangan baru bercinta pula. Namun, tiada apa yang serius kerana kami tidak pernah berbincang apa-apa," katanya yang turut mendapat restu daripada anak tunggal mereka, Adam Eiman sekiranya mereka menjadi suami isteri semula.
Jelas penyanyi lagu Mahligai Syahdu ini lagi, antara doa utama yang dipohonnya ketika mengerjakan umrah di Mekah baru-baru ini adalah untuk bertemu jodoh.
"Ketika menunaikan umrah baru-baru ini, saya berdoa agar ditemukan seorang isteri yang baik dan solehah. Kalau diizinkan saya mahu berkahwin pada tahun ini.
"Terus-terang saya tidak kisah pun siapa calonnya tetapi masalahnya memang tiada. Seandainya ada jodoh, saya sudah bersedia tetapi seandainya tiada saya reda," katanya.
Hattan dan Arianie berkahwin pada 17 Disember 1996 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman, 13.
Pasangan itu bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Hattan dan Heliza bakal bergabung dalam majlis Makan Malam Amal anjuran Yayasan Bina Insan Malaysia pada 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Beralih ke perkembangan terbaru, Hattan dan penyanyi Heliza (AF5) bakal terlibat dalam projek Makan Malam Amal anjuran Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) pada 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Hattan yang teruja dengan projek tersebut berkata, dia menerima tawaran itu kerana terpanggil untuk bersama-sama membantu mengumpulkan dana untuk golongan yang memerlukan.
"Saya sememangnya sering terlibat dengan aktiviti sebegini cuma ia tidak dicanangkan. Pada majlis YBIM nanti, saya akan membuat persembahan antara 5 hingga 10 lagu bagi mengumpulkan dana.
"Pada usia begini, sudah tiba masanya untuk saya berhijrah pada perkara-perkara kebaikan. Hijrah itu memadailah dalam diri saya iaitu menjaga tanggungjawab sebagai Muslim dan ketua keluarga.
"Saya masih Hattan yang dulu dan tidak perlu berlaku perubahan drastik pada imej pula," katanya yang sudah menghentikan bisnes produk Adam kerana lebih menumpukan perniagaan berkaitan dunia hiburan.