0

Anggota-Anggota Kumpulan Ruffedge, VE dan Innuendo Kini Tampil Dengan Imej Berketayap Dan Berjubah

http://www.gosipsensasi.co.cc


JANGAN terkejut jika anda terserempak dengan anggota Ruffedge, VE dan Innuendo yang tampil berketayap dan berjubah serba putih kerana Pot, Azan, Zaff, Ameer dan Lah kini memang sudah melangkah ke satu fasa baru dalam hidup mereka.

Tidak ketinggalan dua lagi teman mereka yang tidak hadir pada malam itu iaitu Mode dan Taj.
Pada mulanya penulis menyangka mereka bergaya begitu kerana memenuhi undangan stesen televisyen TV AlHijrah. Membuak-buak rasa ingin tahu adakah mereka benar-benar sudah berhijrah dan tidak mahu lagi bergaya seperti dulu.

Bagaimanapun jelas Azan mewakili teman-temannya yang lain, mereka masih seperti dulu. Cuma mereka akan bergaya sebegitu jika bergerak dalam kumpulan yang diberi nama Al Mawlid.

Dari jauh anak muda ini bersama rakan-rakannya melontarkan senyuman ikhlas. Tanpa banyak bicara masing-masing memperkenalkan diri kerana mungkin menyedari penampilan mereka kali ini dilihat agak ketara sehingga menimbulkan kekeliruan.


Al Mawlid disifatkan mereka sebagai satu pertemuan yang cukup hebat. Menariknya, perubahan ke semua mereka berlaku tanpa dirancang. Pertemuan di majlis ilmu secara tidak sengaja mencetuskan penyatuan mereka dalam sebuah kumpulan yang digerakkan dengan nama Al Mawlid.
Mengakui semakin tenang dengan jalan yang dipilih sekarang, namun perjuangan mereka pada muzik tidak pernah padam. Pesanan guru yang tidak menghalang mereka daripada meneruskan kerjaya dalam bidang muzik sedikit sebanyak melegakan lima sahabat ini.

“Guru kami berpesan, jadilah apa pun, asalkan kami menjadi umat yang mencintai Rasulullah. Sebenarnya sudah lama kami menantikan cahaya hidayah seperti ini yang mana, kami dipertemukan semula dalam majlis ilmu. Sebagai manusia, kami hanya menanti tiupan hidayah. Tetapi bila masa dan ketikanya hidayah akan tiba bukanlah kuasa kami, kerana Allah lebih tahu segala-galanya,” katanya.

Daripada perbualan dengan Azan ini, ternyata dia tidak sedikit pun mengungkit perjalanan hidupnya sebagai anak seni dan menganggap semuanya itu sebagai satu pengalaman hidup, bukan sahaja pada dirinya tetapi juga pada setiap manusia.

“Kami sedar, kami banyak dosa malah pernah hanyut satu ketika dulu. Semua orang tidak kiralah dalam apa industri sekalipun pasti pernah hanyut, bukan industri hiburan saja. Setiap kesalahan kita, Allah sudah susun tetapi pesan Rasulullah, kesalahan tidak boleh ada kali kedua.

“Perubahan ini sebenarnya kami anggap sebagai ujian. Adakah kami mampu untuk memikulnya dan mampukah kami terus kekal begini? Bagi memastikan pendirian kami kekal, banyak perkara yang kami lakukan bersama.

“Contohnya menghadiri kelas ilmu, menganjurkan majlis bersama-sama, buat lagu juga kami lakukan bersama,” kata Azan mewakili sahabatnya yang lain.

                                                                 VE

                                                           Ruffedge


                                                          Innuendo

Jangan takut imej kami

Azan juga berkata, biarpun semakin tenang dengan Al Mawlid, hubungan dengan Ruffedge masih baik. Malah dia tidak pernah terfikir untuk membubarkan kumpulannya itu kerana tiada sebab untuk perjuangan kumpulan itu dihentikan.

Disebabkan ketiga-tiga kumpulan asal mereka membawakan muzik bergenre R&B, genre yang dibawakan Al Mawlid juga banyak dipengaruhi genre itu. Bagi mereka, apabila sudah berubah, tidak bermakna muzik mereka juga perlu berubah.

“Kami masih selesa dengan genre R&B dan bagi kami tidak salah jika kekal dengan genre itu walaupun kami memilih untuk berubah. Kami tidak mahu apabila sudah berhijrah, lagu-lagu kami turut mengalami perubahan.

“Kalau boleh kami mahu terus kekal dengan genre yang dulu kerana kami mahu menarik peminat Ruffedge, VE dan Innuendo untuk mendengar lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah dan Rasulullah yang disampaikan dengan konsep R&B.

“Al Mawlid bukanlah kumpulan nasyid. Kami sebenarnya adalah sebuah komuniti. Kami tidak hanya menyanyi saja tetapi kami juga mempunyai program majlis ilmu yang diadakan setiap Jumaat di Surau Al Hidayah, AU3 Keramat. Manakala sebulan sekali, pada Jumaat pertama setiap bulan pula, kami akan menganjurkan majlis Maulud Nabi.

“Kami anggap usaha kami kecil ini untuk menghidupkan kembali konsep selawat dengan gaya R&B dan acapela. Kami cuba melaksanakan apa yang termampu secara perlahan-lahan. Tetapi jangan pula takut melihat imej kami. Imej ini sebenarnya tidak ada apa-apa, sebenarnya kami bergaya begini untuk mengenali dengan lebih dekat kekasih Allah,” kata Al Mawlid.
 Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

0

Saida Enggan Pergi Umrah Bersama Suami

http://www.gosipsensasi.co.cc

KUALA LUMPUR: Penyanyi Saida menolak pelawaan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri untuk melakukan umrah bersama selain masih bertekad dengan keputusannya untuk bercerai.
"Saya minta maaf, bukan mahu melengahkan. Saya tidak dapat menerima pelawaan suami untuk mengerjakan umrah bersama," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.
Dia juga memberitahu bahawa masih berniat untuk meneruskan permohonan perceraian secara baik yang difailkannya dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan.
Permohonan itu difailkan pada 6 Oktober 2010.


Peguam syarie Ahmad Nazib Johari juga memaklumkan mahkamah bahawa hakam yang dilantik untuk mencari jalan penyelesaian dalam masalah rumah tangga penyanyi tersebut menemui jalan buntu.
Prosiding pada Rabu, berjalan tanpa kehadiran Mohd Ghazali seorang ahli perniagaan yang pernah bergelar jurutera kaji bumi yang dikatakan masih bersedih dengan kematian ibunya pada 4 Jun lalu.
Perkara itu dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguam syarienya, Amli Embong.
“Saya masih menunggu surat kematian daripada anak guam. Saya ada menasihatkan Mohd Ghazali untuk hadir, namun dia masih dalam keadaan tidak stabil berikutan fikiran terganggu," katanya.
Amli seterusnya memberitahu yang dia mendapat arahan daripada Mohd Ghazali, 40, agar diberi peluang untuk mengerjakan umrah bersama Saida, 35.
“Sebelum ini anak guam saya cuba dapatkan persetujuan plaintif, bagaimanapun gagal selepas dimaklumkan Saida terbabit dengan aktiviti teater yang berakhir pada 6 Jun lalu.




"Mengerjakan umrah ini adalah cubaan anak guam untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. Defendan masih mahu teruskan hasrat itu. Oleh itu mohon tetapkan tarikh sebutan lain,” katanya.
Selepas mendengar permohonan tersebut, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi memerintahkan kedua-dua pihak bertemu dengan hakam yang dilantik oleh mahkamah dalam tempoh dua minggu bermula Rabu.
Beliau juga menetapkan laporan hakam tersebut dikemukakan di mahkamah pada 20 Julai depan.
Mohd Suhaily juga menggalakkan anak-anak pasangan tersebut untuk hadir ke mahkamah bagi menyaksikan apa yang sedang berlaku kepada ibu bapa mereka.
Pada prosiding itu, Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza hadir dengan ditemani oleh kakak iparnya, Rozie Abdul Razak.
Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.
0

Gambar-Gambar Percutian Salih Yaacob Bersama Isteri-Isteri Dan Anak-Anak Di China

http://www.gosipsensasi.co.cc

Pengacara dan pelawak, Salih Yaacob, 48, yang berlepas ke China seminggu selepas melangsung perkahwinan dengan isteri keempatnya, mengakui percutian kali ini meninggalkan kenangan yang cukup manis buat mereka sekeluarga.

Salih yang berlepas ke Beijing pada 5 Jun lalu bersama empat isterinya iaitu, Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42, Norfara Wahida Sulaiman, 32, dan Samihah Sheikh Ali, 25. Namun hanya tujuh daripada 11 anaknya menyertai percutian berkenaan berikutan urusan kerja dan belajar.

Selain membawa keluarga,50 peminat dari Johor Bahru turut menyertai percutian selama enam hari itu.

“Alhamdulillah kerana kami selamat pergi dan pulang. Memang sudah lama kami nantikan percutian seperti ini memandangkan kami jarang dapat berkumpul bersama berikutan saya mempunyai masa lapang terhad.

“Sukar untuk merancang percutian beramai-ramai dengan semua isteri saya kerana ada yang sibuk bekerja dan belajar serta tidak dapat memohon cuti bersama,” katanya kepada Zass.

Salih berkata, dia sekeluarga memilih negara China kerana banyak tempat yang boleh dilawati selain mengikut pesanan Rasulullah SAW yang mahu setiap orang Islam menuntut ilmu hingga di negara China.

“Sebelum ini ada juga yang mempelawa saya ke sana, tapi saya tidak berminat. Tapi selepas saya sendiri pergi, baru saya sedar keindahan di China.

“Bagi saya percutian ini bukan setakat meluangkan masa bersama-sama. Tetapi dalam masa sama, kami dapat melihat peninggalan sejarah serta banyak maklumat yang ada di sana.

“Saya begitu kagum dengan tahap disiplin mereka di sana, malah cara kehidupan mereka. Bagi saya jika benda yang elok tidak salah rasanya kita sebagai rakyat Malaysia menjadikan mereka sebagai contoh,” katanya.

Selain itu, Salih mengakui begitu teruja dan kagum melihat tempat-tempat menarik yang terdapat di sana seperti Tembok Besar China, Kuil Syurga dan Kota Larangan di Tiananmen, Stadium Nasional Beijing.

“Saya paling suka ketika berada di Tiananmen melihat tempat kediaman maharaja-maharaja Dinasti Ming dan Dinasti Qing.

“Selain itu tempat ini yang turut dikenali sebagai Kota Larangan menempatkan Muzium Istana yang mengandungi koleksi seni Cina. Jadi sedikit sebanyak, ada maklumat yang saya ketahui semasa ke sana,” katanya.

Selain melawat tempat menarik, ada perkara lucu dan menggelikan hati mereka sekeluarga apabila berjumpa dengan jiran yang tinggal satu blok dengan mereka semasa di Beijing.

“Kami memang jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk, tapi saya tidak sangka akan bertembung dengan dia di sana. Tapi kami faham kekangan masa memang menjadi sebab utama kami jarang berjumpa,” katanya yang berharap dapat ke luar negara sekali lagi bersama keluarga besarnya.

Memang terserlah kemesraan, kebahagiaan dan keakraban kesemua isteri-isteri dan anak-anak Salih Yaacob semasa pergi bercuti ke China baru-baru ini.Percutian yang boleh dikatakan sebagai bulan madu untuk isteri barunya iaitu Emi,demi keadilan dan kesaksamaan Salih Yaacob telah membawa kesemua ahli keluarga yang lain untuk sama-sama menyertai percutian ini.


Ternyata Salih Yaacob mampu menjadi seorang suami yang adil kepada keempat-empat isterinya.Dengan kekuatan ekonomi yang mantap beliau telah berjaya mengemudi bahtera keluarganya dengan sempurna.Semoga kebahagiaan keluarga beliau akan  berkekalan dan berbahagia sehingga akhir hayat.
Untuk Bro SY..GUA TABIK SPRING SAMA LU!!














0

Usop Wilcha Hangatkan Slot Pagi Hot FM

http://www.gosipsensasi.co.cc
  Usop Wilcha popular setelah usia hampir mencecah setengah abad


KEBANYAKAN orang berpendapat, mereka yang hendak memulakan kerjaya seni pada usia yang lewat sukar untuk popular. Hanya artis muda yang cantik dan tampan saja mampu pergi jauh dan menjadi perhatian peminat.
Namun apa yang terjadi kepada Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail, 46, agak berbeza. Dia yang terkenal dengan watak Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) baru hendak 'berasa' popular setelah usia hampir mencecah setengah abad.
Tahun ini, mungkin tahun lelaki yang dikenali dengan nama Shy8 ini. Namanya tiba-tiba meletup gara-gara filem arahan Mamat Khalid itu. Kemunculannya pada acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 di Arena of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini menambahkan lagi rencah populariti kepada anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini.

Sejak kemunculannya berkerusi roda bersama Johan Raja Lawak membawa keputusan Bintang Paling Popular, Shy8 atau Usop tidak semena-mena menjadi popular, gerakan tangan dan ayat 'Kita Bakor' yang diucapnya menjadi ikutan. Begitulah besarnya impak Usop Wilcha kepada Shy8. Sedangkan 15 tahun yang lalu, dia pernah mencuba nasib dalam bidang nyanyian, tetapi mungkin pada ketika itu rezeki masih belum berpihak padanya.

Selepas kemunculan dalam ABPBH lalu, dia mula menerima pelbagai undangan daripada stesen televisyen dan radio. Masing-masing berebut-rebut mengundang Shy8 menjayakan program mereka. Mungkin mereka berpendapat, pengaruh artis ini kepada penonton sangat besar.



                   Usop Wilcha bersama Faisal dan Fara di konti Hot FM.

Dek kerana Usop Wilcha juga, rezekinya bertambah murah apabila dia dilamar pula stesen radio Hot FM untuk memeriahkan lagi slot Hot FM Am Krew yang kini sudah pun mempunyai tiga penyampai iaitu Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG.
Bermula esok, suara Shy8 akan mula berkumandang di stesen radio Hot FM menemani pendengar setia stesen berkenaan. Sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka oleh bapa kepada seorang cahaya mata ini apabila dilamar sebuah stesen radio popular.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk dikenali pada usia yang begini lewat. Banyak perkara yang tiba lewat dalam hidup saya. Mungkin Allah sengaja hendak menduga kerana dia mahu saya matang terlebih dulu, sebab itu Dia kurniakan populariti setelah saya berusia. Malah saya juga berkahwin pada usia yang lewat. Perkahwinan saya baru berusia tiga tahun.




"Rezeki untuk dikenali, Allah yang aturkan, cuma saya perlu berbaris menunggu giliran. Apabila peluang itu tiba, saya tidak harus persiakan. Allah sudah membuka jalan untuk saya, jadi saya perlu gunakan sebaiknya. Saya mengaku amat terkejut apabila popular secara tiba-tiba.

"Saya akan bersedia dengan perjalanan yang bakal dilalui. Apa pun badai yang menimpa, saya kena tempuh. Saya tidak mahu menjadi insan yang cepat mengalah. Kita harus berjalan, kemudian baru kita nampak apa yang menanti di hadapan," kata Shy8 yang mengakui menerima tawaran daripada Hot FM bukan untuk mengejar kemasyhuran.

Jika benar dia gilakan glamor, kata Shy8, sudah tentu dia tidak fikir panjang dengan menerima saja tawaran daripada tiga produser filem yang menjanjikan watak utama kepadanya. Namun, tidak mahu dirinya terlalu terkehadapan, Shy8 menolak ketiga-tiga tawaran berkenaan. Lagipun kata Shy8 dia suka bercakap, jadi tawaran sebagai penyampai radio umpama pucuk dicita ulam mendatang.

'Mereka serius hendakkan saya'

SELAIN Hot FM, Shy8 mengakui turut menerima tawaran daripada beberapa stesen radio lain, tetapi mereka tidak memberikan sebarang kata putus, tidak seperti stesen radio milik Media Prima ini yang benar-benar menunjukkan kesungguhan untuk melamarnya.

"Hot FM melamar saya kira-kira sebulan yang lalu. Selepas berfikir masak-masak mengenai peluang yang hanya datang sekali seumur hidup ini, saya bersetuju menerima tawaran mereka. Memang sudah lama saya impikan untuk bergelar DJ, jadi apabila mendapat tawaran ini kenapa tidak saya mencuba saja.

"Lagipun Hot FM serius mahukan saya. Bila lagi saya nak dapat peluang bergandingan dengan Faizal, Fara dan AG? Saya juga tidak mahu tawaran yang hanya sekadar cakap kosong. Hot FM pula, selepas beberapa sesi pertemuan, saya nampak kesungguhan mereka untuk mendapatkan saya.

"Walaupun peminat tak dapat melihat wajah saya, sekurang-kurangnya melalui Hot FM mereka boleh mendengar suara saya. Saya akan berkongsi pelbagai pengalaman saya bersama peminat. Mungkin saya perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru ini. Maklumlah saya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penyampaian radio sebelum ini. Bagaimanapun saya yakin dengan sokongan teman seperjuangan, insya-Allah saya dapat menyesuaikan diri dalam tempoh seminggu dua ini," kata Shy8.

Dia yang bertugas sebagai Pengurus Kanan, Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Tanjung Offshore Berhad ini tidak menganggap Hot FM cuba mengambil kesempatan di atas popularitinya untuk menarik kembali pendengar Hot FM Am Krew. Shy8 menganggap tiada istilah ambil kesempatan, sebaliknya kedua-dua pihak saling memerlukan atau dalam erti kata lain, menang-menang.

Biarpun sudah semakin meniti puncak populariti, Shy8 tidak akan sesekali melepaskan jawatan tetapnya di Tanjung Offshore. Malah dia menyifatkan dirinya amat beruntung apabila majikan memberikan kelonggaran kepadanya untuk meneruskan minat dalam dunia seni. Majikannya tidak menetapkan untuk dia berada di pejabat setiap masa, sebaliknya 10 hingga 15 jam di pejabat dalam seminggu sudah memadai.

Dia hanya akan berada di pejabat sekiranya dikehendaki majikan terutama apabila perlu bertemu dengan pelanggan penting. Jika tidak, segala tugasnya akan diserahkan kepada pembantu.

Tidak rasa tergugat

KEHADIRAN Usop Wilcha tidak dirasakan sebagai cabaran buat dua nama terkenal slot pagi ini. Malah mereka menyambut kehadiran Shy8 dengan tangan terbuka. Bagi Faizal dan Fara, mungkin sudah tiba masanya slot pagi Hot FM diberikan suntikan lebih segar untuk memantapkan lagi stesen berkenaan.
Walaupun semakin ramai penyampai, mereka tidak bimbang soal siapa akan lebih menonjol kerana dengan adanya perancangan yang berkesan, perkara itu tidak akan terjadi.

Lagipun kata mereka, di luar negara, bukan sesuatu yang asing bagi stesen radio apabila sesebuah segmen dikendalikan lima hingga enam penyampai pada satu masa.

"Saya menganggap kehadiran Usop Wilcha di dalam slot pagi akan menyuntik sesuatu yang lebih segar kepada segmen ini. Saya dan Fara sudah lima tahun mengendalikan segmen ini, dan macam-macam perkara sudah kami lakukan. Dengan kehadiran Usop, peminat mungkin boleh mendengar sesuatu yang baru. Kita memang memerlukan satu suntikan berbeza supaya peminat boleh terus setia bersama kami.

"Program luar negara seperti American Idol turut melakukan kelainan kepada programnya selepas beberapa tahun. Apatah lagi kami yang didengar oleh pendengar setiap pagi, lagilah perlu mencari kelainan supaya pendengar akan terus setia. Kita tidak boleh anggap orang baru sebagai pencabar, buat apalah hendak berdengki," kata Faizal.

Bagi Fara pula, sebagai satu-satunya bunga di situ, dia tiada masalah untuk menonjol. Bagaimanapun dari segi peluang untuk bercakap pula, mereka akan berbincang mengenai cara terbaik bagi memastikan setiap penyampai mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

"Dulu kami hanya berdua, jadi tiada masalah siapa yang akan bercakap dulu dan siapa bercakap kemudian. Tetapi apabila sudah ada empat orang, kami kena rancang siapa yang akan bercakap dulu supaya tidak kelam kabut," kata Fara. 
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

0

KL Gangster Kutip RM5 Juta Dalam Masa Tiga Hari

http://www.gosipsensasi.co.cc

PETALING JAYA: Filem arahan Syamsul Yusof, KL Gangster, berjaya mendapat kutipan sebanyak RM5 juta dalam masa tiga hari.
Kutipan tersebut dikira bermula pada tarikh tayangannya iaitu 9 Jun hingga 11 Jun lalu.
Menurut Syamsul, dia bersyukur dengan pencapaian yang luar biasa itu dan bangga kerana mampu mencapai jumlah kutipan tiket yang sama seperti filem-filem Hollywood yang sedang rancak ditayangkan.
"Ini satu perkara yang luar biasa bagi saya dan saya menganggap ia menjadi sebuah fenomena baru apabila filem-filem Melayu kita mula diberi perhatian oleh masyarakat.
"Maklumlah, dulu agak sukar untuk para penonton mempercayai karya-karya filem Melayu yang dihasilkan. Saya percaya, jika kena dengan caranya, sesebuah filem itu pasti boleh berjaya," katanya yang dihubungi mStar Online.
                                                       Syamsul
Tambah Syamsul, dia berharap agar KL Gangster mampu mencapai kutipan yang lebih daripada filemnya sebelum ini, Khurafat yang telah meraih kutipan sebanyak RM8.08 juta.
"Kalau boleh saya mahu mencipta satu rekod baru dalam industri perfileman tempatan.
"Apa-apa pun, yang penting, saya mahu penonton-penonton yang hadir berpuas hati dan berbaloi mengeluarkan wang sebanyak RM10 seorang menyaksikan KL Gangster," tuturnya.
Bagaimanapun, Syamsul berkata, dia sebenarnya kurang gemar apabila membicarakan perihal jumlah kutipan filem-filemnya kepada umum kerana itu bukanlah satu perkara penting dalam penghasilan sesebuah filem.
"Terus-terang, saya kurang selesa membicarakan tentang sambutan filem yang diperoleh, walaupun kebanyakan produser suka mendedahkan perkara tersebut.
"Bagi saya, kita perlu berfikir bagaimana mahu memuaskan dan mengikuti citarasa penonton setiap kali menghasilkan filem," tegasnya.
Sementara itu, Syamsul kini sedang merancang untuk menghasilkan filem prekuel KL Gangster pula pada hujung tahun ini.


0

Gambar-Gambar Konsert Akhir AF9: Hazama Dinobatkan Sebagai Juara Akademi Fantasia

http://www.gosipsensasi.co.cc



PUTRAJAYA: Pelajar Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 26, dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini, malam Ahad.
Dengan kemenangan itu, Hazama membawa pulang wang tunai sebanyak RM200,000 beserta sebuah piala sumbangan Astro.
Dia turut menerima sebuah kamera Sony Handycam bernilai 3,299 sumbangan Sony serta hamper dan wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Power Root.
Pelajar kelahiran Perak ini telah diundi masuk pada konsert AF9 minggu ketiga, selepas pelajar Aida dan Amir digugurkan dalam program itu.
Pada konsert akhir itu, Hazama telah membawakan dua buah lagu iaitu Pukau, nyanyian Tomok dan Cinta Teragung.
Selepas diumumkan kemenangannya, bekas peserta prelude AF4 itu berterima kasih kepada para pengundi yang memberi peluang kedua kepadanya untuk terus bersaing di AF8 sekali gus menjadi juara.




Sementara itu, Lena (Lenaber Haidir), 22, yang menjadi naib juara AF8 menerima wang tunai berjumlah RM50,000 beserta sebuah piala sumbangan Astro.
Dia turut membawa pulang sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 sumbangan Sony serta hamper dan wang tunai sebanyak RM2,000 sumbangan Power Root.
Lena mendendangkan lagu Dunia, nyanyian Bunkface dan lagu baru, Sisa Kisah Kita, ciptaan Kucidemak.
Sebagai pemenang tempat ketiga, Fina atau nama sebenarnya ialah Nur Shafinaz Jebat, 18, menerima wang sebanyak RM20,000 beserta sebuah piala sumbangan Astro.
Selain itu, Fina menerima sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 sumbangan Sony serta hamper dan wang tunai sebanyak RM1,000 sumbangan Power Root.
Fina membawakan lagu barunya, Menangis Lagi, ciptaan Edrie Hashim dan Satu Harapan , nyanyian Jaclyn Victor.
Bagi Mohamad Azri Abdullah (Azri), 23, yang mendapat tempat keempat pula, dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000 beserta sebuah piala sumbangan Astro serta sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 sumbangan Sony.
Azri menyanyikan lagu Ku Tak Bisa, nyanyian Slank dan lagu baru, Niskala, ciptaan Omar K dan Zel.

Penantian yang berbaloi

LIMA tahun lalu, dia pernah dinafikan haknya apabila gagal melayakkan diri untuk bergelar pelajar AF4 kerana terkandas sewaktu konsert prelude. Selepas itu, Hazama Mohd Azmi atau Hazama lebih selesa meneruskan kerjaya seninya di luar sekali gus mengumpul pengalaman.

Walaupun aktif dalam gelanggang seni terutama apabila sering diundang menjayakan persembahan bersama kumpulan Meet Uncle Hussain, namun jauh di sudut hatinya, dia tidak menaruh harapan untuk menjadi penghuni sangkar emas AF satu hari nanti.

Ternyata, doanya dijawab Tuhan apabila dia diserap masuk pada minggu keempat bagi menggantikan dua peserta yang disingkirkan menerusi Ops Gugur. Selepas itu, Hazama tidak menoleh ke belakang sehinggalah namanya dinobatkan sebagai juara terbaru AF dan berdiri sebaris dengan Vince, Zahid, Mawi, Faizal,Mila, Stacy, Hafiz dan Shahir.

Dengan memperoleh undian sebanyak 45 peratus, peserta berusia 27 tahun ini jauh meninggalkan pencabarnya iaitu Lenaber Haidir atau lena iaitu 28 peratus, Nur Syafinaz Jebat atau Fina (15%) dan Mohamad Azri Abdullah atau Azri (12%).

"Saya sedar apabila saya masuk ke dalam AF, ramai yang berkata, ala budak ini lagi. Saya masuk AF sebenarnya kerana mahu belajar. Selepas menyertai AF, perkara pertama yang saya pelajari adalah, cara nyanyian yang betul,” kata Hazama yang membawa hadiah wang tunai RM200,000, trofi sumbangan Astro, hamper dan wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Power Root serta sebuah kamera.

Hazama berkata dia mahu memanfaatkan wang kemenangan itu dengan sebaik mungkin.

"Saya akan laburkan ke dalam ASB, beli jam tangan baru dan untuk belanja perkahwinan,” katanya telus. Hazama adalah pemenang pertama yang tidak diberikan kereta sebagai hadiah kemenangan.

Mengulas perkara itu, Azlin mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.

"Lebih baik jika kami berikan wang sebagai ganjaran kerana dengan wang itu mereka boleh beli apa yang mereka ingini," kata Azlin sambil memberitahu jumlah SMS yang diterima untuk musim ini adalah sebanyak 3.74 juta dan meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding tahun lalu.

Komen finalis lain

Lena: Saya tidak kecewa walaupun tewas pada Hazama kerana saya sedar ini semua adalah rezeki yang ditentukan Tuhan. Saya bersyukur dengan kemenangan ini kerana bukan mudah untuk mencapai kedudukan tempat kedua. Sepanjang berada di AF, saya sempat mencipta dua buah lagu dan mungkin saya akan menyanyikan lagu itu selepas ini

Fina: Berada di tempat ketiga sudah cukup membanggakan kerana apa yang lebih penting, tujuan saya menyertai pertandingan ini adalah menunjukkan bakat dan mahu mengangkat nama kumpulan kami adik beradik iaitu Sassu supaya lebih dikenali lagi.

Azri: Kehadiran Hazama sebenarnya saya anggap lebih kepada sebagai satu amaran kerana sebelum ini kami tidak serius. Justeru, apabila dia muncul, kami kena lebih peka dan lebih berusaha untuk mendapatkan apa yang kami inginkan.

                           Gambar-Gambar Sekitar Konsert Akhir AF9


















Lirik Lagu Cinta Teragung – Hazama AF9
Maafkan aku sekiranya tak termampu
Untuk mencurahkan semua isi hatiku
Ternyata tak terkata
Rinduku padamu
Chorus
Ku takkan bisa menjadi lebih
Dari apa yang terdaya
Namun ku tetap berjanji
Akan masih mencuba untuk
Memujuk hatimu
Mencintai aku
Kerna semua yang ada
Hanyalah untukmu
Secebis perasaan ku hamparkan
Membawa sejuta harapan
Menagih cinta
Teragung darimu
Ulang Chorus
Maafkan aku sekiranya
Tak termampu untuk
Mencurahkan semua
Isi hatiku