0

Filem seram 'KHURAFAT' arahan Syamsul Yusof menjadi



FILEM seram pertama daripada pengarah muda, Syamsul Yusof, dilihat sebagai percubaan yang berjaya. Selepas menunjukkan kemampuan dalam pengarahan filem bercorak aksi, kini tiba giliran anak produser Datuk Yusof Haslam ini menyerlahkan kebolehannya dalam filem bergenre lain pula.

Khurafat di bawah arahannya hadir sebagai sebuah judul yang membanggakan.
Pendek kata, ia sebuah kisah seram yang menjadi. Bukan sekadar disokong oleh jalan cerita yang dianggap kukuh, ia turut menampilkan kesan bunyi yang baik, yang membantu menguatkan lagi elemen seram filem ini. Sebenarnya, kesan bunyi itulah yang menolong membuatkan penonton lebih merasai elemen menakutkan dalam judul ini. Walaupun sesetengah pihak menganggap kesan berkenaan dibuat secara berlebihan, tetapi sedikit sebanyak ia menyokong Khurafat muncul sebagai judul yang membuatkan peminat tidak senang duduk sepanjang tayangan.

Syamsul juga dikira cemerlang dalam menyediakan jalan cerita yang di luar jangkaan. Kejutan dihidangkan olehnya menerusi filem ini memperlihatkan dirinya sebagai pembikin filem yang sentiasa berfikir dan cerdik. Namun, penonton tentu tidak dapat lari daripada menyamakan filem ini dengan filem The Sixth Sense (1999) arahan M Night Shyamalan, dek elemen hampir sama diterapkan di dalamnya.

Walaupun diselit kejutan, tetapi peminat masih boleh mengikuti ceritanya dengan mudah, yang menjadi markah bonus buat Khurafat.

Manakala pelakonnya, Sabrina Ali, pula muncul sebagai bintang yang harus diberikan perhatian menerusi wataknya yang bertindak di luar sedar. Jika diberikan lebih banyak peluang, tentu sekali pelakon ini mampu meningkatkan lagi persembahannya, seterusnya menjadi barisan pelapis yang akan terus mewarnai dunia perfileman tempatan.
Khurafat yang mula menemui penonton pada 13 Januari lalu mengisahkan mengenai perjanjian terlarang - satu daripada bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam - di antara manusia dan syaitan. Namun begitu, manusia tanpa mengira akibat, membelakangkan Tuhan, disokong pula dengan nafsu dendam serakah akhirnya hanyut dek bisikan syaitan.


Sinopsis Filem Khurafat

Khurafat mengisahkan perjanjian terlarang dan salah satu bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam diantara manusia dan syaitan, sesuatu yang amat ditegah dalam agama suci kita. Tapi manusia tanpa mengira akibat .. membelakangkan Allah, disokong dengan nafsu dendam serakah akhirnya hanyut dengan bisikan syaitan. Kisah bermula dengan Johan, seorang pemuda yang bekerja sebagai Pembantu Hospital.



Sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri bernama Aishah. Pasangan ini diawal perkahwinan hidup aman dan bahagia namun tanpa disangka trauma melanda dipertangahan jalan. Mereka sering diganggu oleh lembaga aneh. Bermacam-macam usaha telah dilakukan namun gangguan itu tetap berterusan. Ini amat menakutkan mereka lebih-lebih lagi Johan. Kehadiran seorang perempuan tua misteri ... ditambah dengan munculnya bekas teman wanita Johan bernama Anna yang bersiakp pelik dan menakutkan menambahkan lagi episod trauma paangan ini... Anna sentiasa menganggu Johan walaupun ketika Johan bersama Aishah. Ini menyebabkan Johan bertambah runsing. Tidak lama selepas itu Anna ditemui mati bunuh diri dengan mayatnya tergantung. Kematian Anna adalah kemuncaknya perkara-perkara aneh yang berlaku dalam hidup Johan. Bayangan Anna mula menganggu Johan mahupun Aishah.



Hidup Johan semakin tertekan. Setelah diasak pelbagai kejadian aneh akhirnya barulah terungkap segala misteri. Johan akhirnya akurdengan kesilapan silamnya... perbuatan Khurafat yang diamalkan kini menuntut haknya dan Johan terpaksa membayarnya dengan harga yang amat tinggi. Kesimpulannya Khurafat adalah satu amalan yang mengalih pergantungan manusia daripada Khalik (pencipta/Allah) kepada makhluk (yang dicipta). Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada Allah dan menolak kepercayaan terhadap yang selainnya bagi mendapat kebaikan dan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan keyakinan hanya Allah. KepadaNya seluruh makhluk bergantung. Akhirnya apakah kesudahan KHURAFAT?



0

Rabecca Nur Islam selamat diijabkabul



AMPANG: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam, 25, mengakhiri zaman bujangnya apabila selamat diijabkabulkan dengan seorang peguam, Nor Azam Sulaiman, 43,Jumaat.
Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang, Muhammad Ibrahim pada majlis ringkas yang berlangsung di kediaman mereka di Ukay Perdana, di sini kira-kira pukul 9.40 malam.

Pasangan pengantin tiba pada pukul 9 malam bersama 13 dulang hantaran bagi pihak lelaki dan 15 dulang dibalas oleh pihak perempuan.
Rabecca yang menjalinkan hubungan percintaan sejak tiga tahun lalu itu melangsungkan acara pertunangan setengah jam lebih awal sebelum diijabkabulkan.
Dia turut menerima mas kahwin RM333.33 manakala wang hantaran dirahsiakan.
Kedua-dua mempelai mengenakan pakaian berwarna putih rekaan pereka fesyen terkenal Calvin Thoo manakala solekan dan dandanan oleh Saidatulnisa Aminuddin.
Pasangan mempelai itu akan berbulan madu di London dan Paris selama dua minggu pada 14 Februari depan.

Majlis pernikahan mereka dihadiri kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ibu bapa, keluarga dan sanak saudara terdekat kedua-dua belah pihak.
Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan pada Sabtu (hari ini ) untuk rakan-rakan dan pihak media di Hotel Flamingo, Ampang berkonsepkan Inggeris.
Sementara majlis resepsi untuk keluarga pula akan diadakan di Menara Kuala Lumpur pada Ahad (esok).
0

Fasha Sandha Belum Mohon Maaf Kerana Mungkir Janji


                                                                                      Baju rekaan Hazree Wahid yang digayakan oleh Fasha Sandha di Anugerah Skrin 2010
 
PETALING JAYA: Pereka fesyen Hazree Wahid, 29, masih belum menerima permohonan maaf daripada pelakon Fasha Sandha yang gagal mengayakan baju rekaannya pada Pertunjukan Fesyen Cheongsam Green, yang diadakan Selasa lalu.
Kata Hazree, sehingga kini, dia masih menunggu Fasha meminta maaf mengenai perbuatannya itu untuk memperbaiki semula persahabatan mereka.
“Saya masih menunggu kata-kata maaf daripada dia agar boleh perbaiki hubungan kami, tapi belum ada apa-apa lagi mesej daripada dia.
“Malah dia pula seperti marah kepada saya dan membuang saya dari dalam senarai rakan BBM telefon Blackberry miliknya.

                                                                   Hazree Wahid
 “Sejak kejadian Selasa lalu dia langsung tidak menghubungi saya, segala urusan berkaitan dengannya hanya diserahkan kepada pengurusnya sahaja.
“Pagi semalam (Rabu), dia menyerahkan baju Anugerah Skrin 2010 yang digayakannya melalui pemandunya sahaja,” ujar Hazree yang membelanjakan hampir RM1,500 untuk menghasilkan pakaian Ceongsam tersebut.
Dalam pada itu, kata Hazree dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kepada dirinya memandangkan dia sudah biasa berurusan dengan Fasha selama ini.
“Sebelum ini dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah ketika bekerjasama dengan saya, dia juga merupakan artis yang saya hormati kerana berdisiplin.
“Saya juga sudah beberapa kali bekerjasama dengan dia, malah saya sentiasa menyangkal pendapat segelintir orang yang menganggap artis ini bermasalah,” katanya.
Biarpun agak kecewa dengan tindakan artis tersebut, Hazree tidak menolak kemungkinan untuk memaafkan dan bekerjasama dengan pelakon Chinta itu lagi.
“Saya tidak terlalu menyalahkan dia kerana mungkin dia mempunyai alasan tersendiri, jika dia minta maaf dengan ikhlas dan bukan melalui pengurus atau orang lain saya akan memaafkan dan bekerjasama semula dengannya,” kata Hazree.

0

Pelakon Terbakar : Emma Akma Bimbang Wajah Kekasihnya Menjadi Buruk


 
Emma Akma melihat kesan melecur pada badan kekasihnya, Raffi yang masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
 
PETALING JAYA: Pelakon drama Emma Akma Yunus,42, amat bimbang melihat wajah kekasihnya, Raffi Husin,24, menjadi buruk akibat melecur gara-gara insiden kebakaran ketika penggambaran filem Bara Jiwa Selasa lalu.
Emma berkata, Raffi mungkin mengalami kesan melecur di keliling badan, tangan serta muka dan mahu pihak produksi, Nuansa Production, bertanggungjawab membuat pembedahan plastik pada wajah Raffi jika ia diperlukan.
"Kalau boleh saya nak wajah Raffi kembali seperti asal, tiada kesan luka sana sini. Mungkin orang nampak perkara ini remeh tetapi wajah merupakan aset utama sebagai seorang pelakon.
"Sudahlah dia baru nak mulakan kariernya, tiba-tiba jadi begini pula. Bagaimanapun setakat ini Nuansa memberitahu untuk menanggung segala kos rawatannya malah Julian (penerbit) kerap bertanyakan khabar dan perkembangan kesihatan Raffi," katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.
Walaupun pihak produksi berjanji akan menanggung kos rawatan pelakon baru itu, Emma tetap membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga jika janji yang dibuat itu tidak dikotakan.



Kesan kebakaran pada badan Raffi di jangka kering dalam masa dua minggu.
 
Bagaimanapun, Emma agak kesal dengan pihak produksi filem itu kerana tidak teliti mengenai keselamatan pelakon-pelakon ketika melakukan adegan aksi tersebut.
"Memang perkara ini tidak boleh nak salahkan sesiapa pun tetapi mereka sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap perkara walaupun babak aksi yang dilakukan itu kecil.
"Bayangkan ketika insiden tersebut berlaku, memang pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada di situ tetapi mereka tidak ada gunting untuk menggunting baju Raffi yang terbakar.
"Sebaliknya baju Raffi digunting menggunakan gunting jurusolek pula. Setakat ini kami tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan," katanya.
Raffi kini sedang dirawat di wad surgeri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan difahamkan kesan melecur pada tubuh pelakon itu akan kering dalam masa dua minggu lagi.
Dalam kejadian di Taman Seputeh, Kuala Lumpur Selasa lalu, Raffi mengalami kecederaan pada badan, muka dan tangan semasa hendak menyelamatkan diri dalam adegan kebakaran melibatkan sebuah gerai.
Selain Raffi, filem arahan Osman Ali itu turut dilakonkan Diana Danielle, Fizz Fairuz, Bront Palarae dan Remy Ishak.
0

Penyanyi Aman Shah Didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah berkhalwat



PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon era 80-an, Aman Shah dihukum denda RM3,000 selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang ibu tunggal kepada dua orang anak, tahun lalu.
Aman Shah popular dengan lagu 'Kepulangan Yang Dinanti' dan 'Adikku Pandai Menari'.
Turut mengaku bersalah ialah wanita terbabit, Rohana Awang yang juga dihukum denda RM3,000 bagi kesalahan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Abu Zaky Mohammad semasa menjatuhkan hukuman pada Rabu, mengarahkan supaya pasangan terbabit menjalani hukuman penjara selama tiga bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Pada penghakimannya, Abu Zaky berkata, Aman Shah sepatutnya menjaga akhlak dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam perbuatan sebegitu, yang dapat menyebabkan kerjayanya diragui oleh masyarakat.
“Sepatutnya di penghujung usia, seharusnya kamu memikirkan tentang kematian yang semakin dekat.
“Kamu berdua harus memuhasabahkan diri dan bertaubat serta cuba mengelak daripada berlaku lagi perbuatan sebegini,” katanya.
Beliau juga mengingatkan kedua-dua tertuduh bahawa hukuman bagi kesalahan berzina untuk mereka yang telah berkahwin mengikut hukum syarak ialah direjam sehingga mati.
Aman Shah atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim, 53, dan Rohana, 32, terdahulu mengaku salah berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak atau berkhalwat pada pukul 12.15 tengah malam, 26 September 2010.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah Blok C1, tingkat 2 unit 5, Presint 15 Fasa 15-12B, di sini.
Berdasarkan fakta kes, Aman Shah didakwa telah mengambil masa selama 23 minit untuk membuka pintu selepas kediaman tersebut diserbu oleh peguatkuasa agama.
Sementara itu, dalam rayuan untuk meringankan hukuman ke atas dirinya, Aman memberitahu, dia memohon ampun daripada Allah dan mahkamah.
“Kejadian itu berlaku semasa saya mempunyai masalah. Saya nekad untuk tidak melakukan kesalahan yang sama di masa akan datang,” katanya menambah agar tidak dikenakan hukuman penjara.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Hafiz Idris manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam syarie.
Aman hadir dengan memakai baju T warna hitam berkolar manakala Rohana mengenakan baju dan seluar merah dan berselendang hitam.
0

Rumah Siap Pahat Berbunyi,Juri AJL25 Bertelagah


 
Lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Raffali dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-25.
KUALA LUMPUR: Ketika ketua juri Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) M.Nasir mempertahankan keputusannya memilih lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Rafalli sebagai pemenang pertandingan itu, salah seorang panel juri melihat keputusan berkenaan sebagai kurang tepat.
Komposer Azmeer berkata, dia sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan itu dan secara tidak langsung menandakan Ana Raffali tidak layak untuk diangkat sebagai pemenang.
“Secara jujurnya saya tidak bersetuju dengan kemenangan itu. Siapakah artis yang saya rasa layak menjadi pemenang biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini Isnin.
Dalam AJL25 malam Ahad lalu, Ana Rafali yang turut mencipta dan menulis lirik lagu Tolong Ingatkan Aku diumumkan sebagai juara AJL25 yang melayakkannya menerima wang tunai RM35,000.

 
Lagu Hanyut nyanyian Faizal Tahir disebut-sebut sebagai juara AJL25   namun sekadar meraih anugerah persembahan terbaik.
Kemenangan itu menimbulkan perdebatan sehingga ramai penonton di stadium meninggalkan kerusi masing-masing sebaik sahaja keputusan diumumkan.
Ketika diminta mengulas kenapa lagu berkenaan tidak boleh diangkat sebagai juara, Azmeer enggan memberi sebarang komen sehinggalah apabila dia mendengar pendapat M.Nasir dalam Imbasan AJL25 pada malam Selasa (malam ini).
Sorotan mengenai pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 pukul 11 malam.
Selain M.Nasir dan Azmeer, juri kali ini terdiri daripada Habsah Hassan, Acis, Pacai, Amy (Search) dan Andy (Flop Poppy).
Penyanyi Amy Search pula berkata, dia hanya terlibat menilai dari aspek vokal dan bukannya melibatkan lagu yang dipertandingkan.

 
Lagu Cinta Sempurna nyanyian Yuna berjaya menyentuh jiwa penonton dengan persembahan memukau.
Bagaimanapun secara peribadi Amy turut terkejut dengan keputusan itu kerana dia lebih mengharapkan penyanyi Yuna yang membawa lagu Cinta Sempurna diangkat sebagai juara dengan alasan lagu berkenaan menusuk hati.
Bersifat jujur - M.Nasir
Sementara itu M.Nasir pula berkata lagu nyanyian Ana Raffali itu bersifat sensitif, peribadi dan jujur.

 
Persembahan lagu Pelita daripada kumpulan A.P.I turut berjaya menarik perhatian penonton.

“Lagu itu mempunyai rasa. Itu yang penting dan yang kita cari sebenarnya. Sama ada betul atau salah, keputusan itu dibuat dengan penuh kesedaran, penuh pengetahuan muzik, cita rasa dan pembaharuan.
“Lagu ini dikategorikan sebagai lagu terbaik tetapi mungkin penonton rasa lagu ini tidak ‘besar’. Saya melihat kepada kekuatan lirik dan lagunya. Ada kebanyakan lagu yang lemah pada lirik atau lagu dan kedua-duanya,” kata M. Nasir pada sidang media selepas acara itu di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, malam Ahad lalu.
Biarpun keputusan sudah dilakukan, M. Nasir sedar pasti ada pihak yang akan membuat pertikaian.
“Saya suka pesona melodi dan kejujuran lagu ini berbanding lagu lain. Lirik lagu Tolong Ingatkan Aku lain dari yang lain dan bagus.
“Sebagai ketua juri, saya memilih lagu dan lirik yang bagus dan bukan yang popular,” ujarnya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan yang ditemui berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat kerana segala-galanya adalah terletak di tangan juri.
“Semua kena tanya M.Nasir," katanya
0

Gambar seksi Fasha Sandha memakai bikini ketika bercuti di Bali


KUALA LUMPUR - Pelakon Fasha Sandha memulakan tahun 2011 dengan kontroversi apabila gambarnya memakai bikini ketika bercuti di Bali, Indonesia sempena sambutan tahun baru tersebar di Internet.
Gambar percutiannya tersebar dengan menampilkan Fasha hanya memakai bikini dengan menyarungkan pario berwarna hijau muda.

Difahamkan Fasha bercuti bersama beberapa rakan wanitanya di pulau peranginan tersohor itu sempena sambutan tahun baru selama beberapa hari.

Nampaknya azam tahun baru 2011 Fasha Sandha untuk mengurangkan imej seksi tidak kesampaian .Sebagai seorang artis sensasi yang penuh kontroversi tindak tanduk Fasha Sandha sentiasa menjadi tumpuan.Bagi penulis walau apapun yang diperkatakan tentang Fasha Sandha beliau tetap merupakan Pelakon hebat dan berbakat besar satu dalam seribu.



0

Ayu Raudhah Mula Edar Kad Kahwin


PETALING JAYA: Aktres jelita, Ayu Raudhah (gambar) akan mengedarkan kira-kira 300 keping kad jemputan perkahwinannya yang akan berlangsung pada 21 Januari ini di Alor Setar, Kedah.
Ayu, 26, dan pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 24, akan diijabkabulkan di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada tarikh itu pukul 3.30 petang, selepas Solat Jumaat.



Menurut Ayu, seramai 600 hingga 700 orang akan diundang untuk menghadiri majlis resepsi selepas nikah yang akan berlangsung di Taman Mawar, Jalan Tun Abdul Razak, Alor Setar pada pukul 7.30 malam hingga 11 malam, hari yang sama.
“Antara tetamu yang diundang termasuklah beberapa rakan artis tetapi mereka belum membuat pengesahan kerana faktor jarak yang agak jauh dari Kuala Lumpur,” katanya yang sedang menjalani penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki.
Bercerita lanjut tentang persiapan menjelang perkahwinan, Ayu akui fikirannya agak runsing setelah memikirkan ada beberapa perkara yang belum diselesaikan.
Di tambah pula dengan jadual lakonan yang padat, dia terpaksa mencuri masa pada waktu malam untuk mencuba pakaian pengantin.



Katanya lagi, tunangnya, Zaquan juga sibuk dengan sesi latihan bola sepak. Jadi, sebab itu mereka sukar mencari masa luang bersama–sama.
Pelakon drama Nur Kasih dan Manjalara ini akan mengenakan pakaian pengantin rekaan pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Qudyn, Calvin Thoo dan Man Kajang. Selain itu, wajah jelitanya akan diserikan dengan solekan oleh Amy Janz.
Sementara majlis sambut menantu (sebelah lelaki) dijangka berlangsung pada 30 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.
Pasangan itu secara rasmi bertunang pada 17 Oktober 2010 dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya, Selangor.
0

Ana Raffali Juara AJL 25




KUALA LUMPUR: Lagu Tolong Ingatkan Aku dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-25 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.
Dengan kemenangan Tolong Ingatkan Aku ciptaan sepenuhnya dan nyanyian oleh Ana Raffali telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.
Tolong Ingatkan Aku telah berjaya mengalahkan 13 buah lagu lain iaitu Cinta Sempurna nyanyian Yuna dan ciptaan dia sendiri, Berlari (Tomok/ Tomok & Shazee Ishak/ Tomok), Pelita (A.P.I/ Loque), Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahir/ Edry Abdul Halim), Noktah Cinta (Hafiz/ Ajai/ Sheikh Qalam), Drama King (Meet Uncle Hussain & Black/ Taja/ Tun Teja).
Turut bertanding adalah lagu Selamat Malam (Faizal Tahir/ Audi Mok/ Faizal Tahir), Ku Ada Kamu (Adira/ Edry Abdul Halim), Extravaganza (Bunkface/Sam Bunkface/ Bunkface), Sofea Jane (Black/ Sham Kamikaze & Iswandy/ Farril), Hanyut (Faizal Tahir/ Audi Mok/ Faizal Tahir), Jahat (Stacy/ Edry Abdul Halim) dan Mencari Konklusi (Hujan/ Noh Hujan).

                                        Barisan pemenang yang memenangi AJL25.
 
Sementara bagi naib juara dimenangi oleh lagu Drama King ciptaan Taja serta lirik oleh Tun Teja yang dinyanyikan oleh Black dan Meet Uncle Hussain sekaligus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga berjaya dimenangi oleh lagu Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik oleh Sheikh Qalam nyanyian Hafiz yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.
Bagi pemenang persembahan terbaik diraih oleh Faizal Tahir menerusi lagu Hanyut (trofi & wang tunai RM10,000) dan vokal terbaik dinobatkan kepada Hafiz menerusi lagu Noktah Cinta (trofi & wang tunai RM10,000).

                
                      Datuk Siti Nurhaliza turut membuat persembahan 'interlude'.
  
 Persembahan 13 finalis AJL25 diadili oleh juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu pemuzik Acis, komposer Azmeer, penulis lirik Habsah Hassan, komposer Andy Flop Poppy, penyanyi Amy Search, komposer Pacai dan komposer M. Nasir selaku ketua juri.
Seperti tahun sebelum ini, penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak70 peratus yang diadili terlebih awal manakala 30 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.
Pertandingan yang bertemakan Music Mapping atau Pemetaan Muzik ini dihoskan oleh gandingan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar.

 

Tiga pengacara AJL25 iaitu Cheryl Samad, Ally Iskandar dan Faizal Ismail.

Selain menyaksikan finalis-finalis yang bertanding, AJL turut menjemput penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini dan Ziana Zain dalam persembahan interlude selain M.Nasir, Nash, dan Francissca Peter sebagai persembahan pembukaan dengan iringan muzik orkestra bimbingan pemuzik hebat Datuk Ramli MS.
AJL25 yang disiarkan oleh TV3 dan stesen radio Hot FM ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri FaridRidzuan.
0

Wan Sharmila nafi cium mulut dengan Shah Jaszle dalam 'Melodi'






Joyah sebenarnya bukanlah kenal sangat dengan pelakon baru bernama Shah Jaszle ni. Adalah sekali dua pernah terbaca cerita dia keluar di surat khabar.

Kononnya bercinta dengan aktres janda seksi, Maria Farida. Tapi bila ditanya, dua-dua tak mengaku walaupun ada bukti gambar berpeluk sakan dan ucapan sayang Shah Jaszle buat Maria dalam laman sosial Twitter.
Tapi Joyah tak kisah pun dengan cerita skrip ulang tayang dalam dunia hiburan tu. Alih-alih sejak seminggu dua ni, nama Shah Jaszle makin panas pula macam pisang goreng.
Shah Jaszle dikatakan sudah putus cinta dengan Maria. Siap kedua-duanya isytihar perang di Twitter. Semuanya gara-gara Shah Jaszle bercium dengan seorang lagi dramatis janda masa post-parti Anugerah Skrin 2010 baru-baru ni.

Apa lagi, benganglah Maria apabila dapat tau Shah Jaszle curang di belakang. Tak habis dengan cerita curang tu, timbul pula kisah lampau kononnya Shah Jaszle pernah bercinta dengan salah seorang finalis sebuah pertandingan. Anzalna kot namanya. Dah pula gambar peluk mesra mereka tersebar di internet sekarang.
Joyah sebenarnya tak kisah pun kalau macam ni gayanya Shah Jaszle nak mencari glamor dalam dunia hiburan. Tetapi tolonglah, kalau bakat tak ke mana dan belum terbukti, tak macholah bro.
Setakat nak cari publisiti murah dengan dok jaja kisah peribadi di Internet, Joyah nak bagi gelaran 'pelakon terbaik' buat Shah Jaszle pada masa kini. Kasihan Joyah dengan Bront Palarae dan Shaheizy Sam.-utusan
0

Memey cabar saya – Abby


Abby berani tulis status di facebook dakwa Memey tinggal serumah dengan Norman? Ada bukti?
Saya tak kata tinggal serumah, tapi persoalkan kenapa dia angkat telefon waktu tu pukul 7.15 pagi? Sebenarnya Danish yang nak cakap dengan ayah dia kenapa lambat sangat nak datang ambil, maklumlah hari pertama sekolah. Danish guna loud-speaker. Alih-alih dia (Memey) angkat terus jawab, “Kejap, abang tengah siap ni”. Danish terkejut dan tanya saya, kenapa dia yang angkat. Kemudian saya tanya dia, kenapa awak yang angkat? Dia boleh jawab, “Biarlah kenapa awak sibuk”. Dari situ awak boleh nilai jawapan dia sama ada mereka tinggal serumah ke tak? Dia buat apa pagi-pagi Subuh di sana.



Sebenarnya ada lagi beberapa insiden dialog yang berlaku sebelum ni. Tapi saya malas nak panjangkan. Dia sangat tidak hormat saya walaupun saya bukan minta dia sujud dengan saya. Tapi dia boleh bercerita dengan orang yang dia dah minta maaf dengan saya. Padahal lepas saya bercerai, tak pernah pun kami berjumpa. Jauh sekali nak minta maaf.
Abby pun sindir Memey sebagai perempuan gatal, dakwa Memey seolah-olah begitu berbangga kerana mahu menunjuk mereka tinggal serumah. Komen sikit?
Lagi sekali, kalau dia tak ada di situ pagi-pagi Subuh, kenapa dia boleh jawab telefon? Benda ni tak timbul isu kalau dia tak jawab telefon anak saya. Saya malas nak cakap lagi dah. Dah berapa kali saya kena dengan dia. Salahkah anak-anak nak cakap telefon dengan ayah mereka?
Kenapa Abby tak buat laporan kepada pihak berkuasa je masa tu?
Saya tak sampai nak buat laporan. Orang sekeliling yang berhak dan bertanggungjawab buat laporan. Sebelum ni pun dalam suratkhabar dan dari mulut orang, kisah mereka tinggal serumah ni dah jadi percakapan ramai. Ada juga yang kata JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) tak boleh buat tangkapan kedua kerana kes khalwat pertama belum selesai di mahkamah. Saya pun tak faham. Saya tak peduli pun dia nak tinggal serumah tapi pagi tu dia memang cabar saya. Lagi pun, saya telefon bekas suami nak cakap pasal hal anak. Dah berapa kali dia suka masuk campur hal saya dan bekas suami yang masih tak selesai. Dia tak tahu apa-apa pun. Apa pandangan anak-anak bila macam tu?


Maksudnya banyak lagilah kes yang tak selesai dengan bekas suami?
Ingat tau, saya telefon bekas suami bukannya saya nak dia balik. Ni pasal hutang saya dan jumlah hantaran kahwin dulu. Hutang saya baru sikit dia bayar. Jumlah hantaran belum selesai lagi. Tanggungjawab saya pula besar nak besarkan anak-anak. Dia kahwin dan cerai saya, tinggalkan saya, macam tu je. Rumah dan kereta apa pun saya tak dapat. Tapi tak kan belanja harian anak pun saya nak tanggung semua.
Sekarang orang nampak Abby macam tak rasional, sikit-sikit nak luah di facebook. Sangat emosi, betul tak?
Benda ni dah lama berlaku. Berapa insiden dialog yang keluar dari mulut dia sebelum ni, Tuhan saja yang tahu. Kalau saya jahat, dah lama saya buat hal. Ni pula pagi-pagi dia dah cabar saya, dah tu pasal isu anak-anak pula.

Masuk tahun baru, kalau boleh semua orang nak azam baru yang ke arah kehidupan positif? Tapi Abby dan Memey tak sudah-sudah cetus perang?
Masuk tahun baru, masalah lama tak payah selesai ke? Saya bukan tak rasional tetapi saya yang menanggung semua ini. Banyak benda yang tak betul selama ni tapi orang tak tahu. Bukan boleh terus buka buku baru sahaja kalau masuk tahun baru. Habis buku lama macam mana?
Tak kan tak nak berdamai demi anak-anak?
Saya dengan Norman memang baik. Malah dia selalu datang rumah tengok anak-anak. Tetapi dengan dia, untuk apa saya nak berbaik? Awak cakap dengan saya untuk apa? Anak-anak saya tak perlukan dia pun dan anak-anak saya lebih perlukan ayah mereka. Dalam kamus hidup anak-anak saya, nama dia tak pernah ada pun.-utusan