0

4 Kumpulan Mara Ke Final 'Raja Lawak 6'

Kumpulan Zero berjaya mara ke peringkat akhir Raja Lawak musim ke enam dengan markah 27.6 peratus. 
 
KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya dalam sejarah program Raja Lawak, empat finalis bakal berentap pada pentas akhir musim keenam yang bakal berlangsung pada 16 Mac ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kejutan itu diumumkan pada gelanggang separuh akhir (minggu kesembilan) di Pusat Penyiaran Asia, Astro, Bukit Jalil, di sini, malam Jumaat.
Empat peserta yang bersaing pada minggu separuh akhir adalah kumpulan 2Yol, Cuit, Shiro dan Zero.
Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro Nizam Sani, berkata pemilihan empat finalis mara ke peringkat akhir adalah format baru yang diperkenalkan pada musim ini.
"Ia (pemilihan empat finalis) adalah format yang sudah dirancang sejak awal musim ini lagi.
"Sebenarnya, kami turut memperkenalkan beberapa pembaharuan pada musim ini seperti pentas dan format penyingkiran yang berbeza," katanya ketika ditemui selepas siaran langsung program itu, di sini.
Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.
 

 
 
Nizam berkata persaingan empat finalis itu dijangka akan menyuntik kemeriahan dan variasi pada pentas akhir berdasarkan latar belakang dan stail komedi mereka yang berlainan antara satu sama lain.
"Mungkin momentum persembahan peserta pada malam ini (Jumaat) yang agak menurun berpunca daripada faktor keletihan, kekeringan idea atau perasaan gementar.
"Namun, perbezaan latar belakang dan komedi mereka akan menjanjikan pertandingan akhir yang meriah dan berwarna-warni," katanya.
Pada persaingan malam Jumaat, Shiro mendahului peratus undian dengan 31.3 peratus, diikuti Zero (27.6), Cuit (21) dan 2Yol (20).
Para peserta dikehendaki melakukan dua tugasan yang bertemakan 'Zaman Kanak-kanak' dan ‘Kalau Aku.'
Kumpulan 2Yol yang mendapat undian terendah mengakui mereka tidak menyangka dapat bertahan sehingga ke peringkat akhir.
Kumpulan Shiro turut mara ke peringkat akhir.

Kumpulan dari Johor itu disertai oleh Azlan Abdullah, 40 dan Rohaizat Samin, 35.
"Kami bersyukur kerana ada juga penonton yang memandang bakat kami walaupun kami adalah peserta yang paling berusia.
"Sukar hendak percaya dapat bertahan sejauh ini dan kami bersyukur atas peluang ini," kata Azlan yang menyifatkan Shiro sebagai saingan terkuat pada malam akhir nanti.
Malam kemuncak RL6 dijangka berlangsung selama dua jam di mana setiap finalis akan diberikan dua tugasan termasuk tema muzikal.
Para peserta mendapat bimbingan pengarah filem Ahmad Idham selaku Cif Besar dan tiga Cif Kecik iaitu Yus, Angah dan Tauke.
Para peserta musim ini diadili tiga pengkritik tetap iaitu produser David Teo, pelawak Sathia dan produser dan pelakon Sheila Rusly.
RL6 diterajui pasangan pengacara Johan dan Zizan dan disiarkan pada setiap Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132).
Paparan aktiviti mingguan para peserta pula disiarkan dalam Kapsul Raja Lawak pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 9.55 malam di saluran yang sama.


0

Fasha Sandha Tolak Sebarang Tajaan Untuk Majlis Perkahwinannya

 Fasha bakal bernikah dengan Jejai bulan depan.

PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Fasha Sandha mengambil pendekatan untuk tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak apabila enggan menerima sebarang tajaan bagi majlis perkahwinannya dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli yang dirancang pada bulan depan.
Fasha berkata, segala kelengkapan perkahwinan termasuk empat persalinan busana untuk majlis itu akan dibayar sendiri oleh bakal suaminya yang sejak awal-awal lagi memaklumkan agar tidak mengharapkan penaja.

"Saya dan bakal suami tidak akan menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak kerana bakal suami ingin mengeluarkan sendiri perbelanjaan untuk majlis perkahwinan kami nanti.

"Tambahan pula kami tidak mahu terhutang budi dengan mereka yang ingin berbuat demikian dan biarlah apa yang ada nanti datang daripada kami sendiri," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Wajah Inspirasiku TV3 di sini.

Tambah Fasha, dia dan Rizal atau lebih dikenali dengan panggilan Jejai juga tidak mengimpikan sebarang majlis besar-besaran tetapi hanya berpuas hati dengan acara yang serba sederhana.
"Saya tidak mengimpikan gelaran weeding of the year sebaliknya berpuas hati dengan majlis sederhana kerana lebih mudah untuk menyapa dan bertemu dengan tetamu.

"Sebarang sidang akhbar juga tidak akan diadakan untuk hebahan mengenai perkahwinan ini kerana menghormati permintaan bakal suami," ujarnya.

Dalam pada itu, Fasha memberitahu dia dan Jejai yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib itu akan bernikah di rumah pasangan tersebut di Ampang, dekat sini.
Fasha berkata, pada hari tersebut turut diadakan resepsi pertama bagi meraikan hari bahagia mereka sebelum mengadakan dua lagi majlis di Perlis dan di sebuah destinasi yang masih dirahsiakan lokasinya untuk kenalan terdekat.

Bagaimanapun pelakon itu masih enggan mendedahkan tarikh sebenar pernikahan mereka.
"Majlis resepsi di Kuala Lumpur akan diadakan selepas akad nikah di rumah yang dibelikan oleh Jejai kepada saya dan dua acara lagi menyusul di Perlis dan sebuah lokasi luar Malaysia untuk kenalan terdekat.
"Tarikh untuk tiga acara itu tidak dapat didedahkan lagi buat masa ini tunggulah selepas kad kahwin diedarkan," katanya.

Sementara itu, Fasha memberitahu persiapan perkahwinannya masih berjalan dan tidak mengkhususkan sebarang tema untuk hari bahagianya itu nanti.

Fasha memberitahu, cuma majlis di Perlis bersama-sama ahli keluarganya akan berkonsepkan tradisional atas keinginannya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Fasha memberitahu dia dan bakal suaminya akan berbulan madu di Pulau Redang selepas perkahwinan mereka dan mengakui menerima lamaran Jejai selepas kali kedua lelaki itu berbuat demikian.

Jejai sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Nora Danish pada 2006 tetapi hubungan mereka hanya bertahan selama dua tahun. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki Putera Rayqal Ramli yang kini berusia lebih dua tahun.
0

Fasha Sandha Sahkan Akan Berkahwin Dengan Jejai Tahun Ini



PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha mengesahkan bakal menamatkan zaman bujangnya tahun ini sekaligus mengesahkan perhubungan kontroversinya dengan kekasihnya, Jejai atau Toh Muda Rizal Ashram Ramli.
Fasha dalam laporan Harian Metro pada Selasa dipetik sebagai berkata, dia sudah pun menerima lamaran Jejai yang juga anak Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
"Alhamdulillah saya terima lamarannya dan dia sudah bertemu keluarga saya untuk merisik", katanya.
Pelakon berusia 28 tahun kelahiran Johor Bahru itu mengulas pelbagai desas-desus terbaru mengenai persiapan perkahwinannya termasuk gambar mereka menghadiri kursus kahwin di Setiawangsa dekat sini minggu lalu yang mula tersebar di Internet.

 
“Memang saya dan Jejai menghadiri kursus kahwin minggu lalu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan ia satu pengalaman yang baru buat saya.
“Saya akur dengan gambar yang tersebar kerana status sebagai selebriti membuatkan saya tidak boleh lari. Namun, perkara baik seperti ini tiada apa yang perlu disembunyikan lagi.”
“Insya-Allah jika tiada aral melintang dan diberikan rezeki, kami berkahwin dalam tahun ini,” ujarnya.
Selain gambar pasangan itu mengikuti kursus persediaan perkahwinan, turut tersebar di Internet dan disiarkan di portal hiburan ialah gambar mereka mencuba busana pengantin di sebuah butik.
Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut mengenai tarikh dan lokasi perkahwinan, Fasha enggan memberitahu kerana belum bersedia dan menanti waktu sesuai untuk diumumkan.

Fasha Sandha Bakal Berkahwin Di Bali Pada 29 April Ini



Seperti yang telah dipaparkan di laman web rasmi Anugerah Bintang Popular Berita Harian, aktres popular, Fasha Sandha dan pasangannya, Rizal Ashram Ramli, 36, akan melangsungkan perkahwinan mereka di Bali, Indonesia, pada 29 April ini. Berita eksklusif tersebut disiarkan dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Sumber tersebut berkata, persiapan majlis yang bakal dihadiri 100 tetamu termasuk keluarga, rakan terdekat dan wakil media itu hampir selesai, malah busana pengantin serta jurusolek pilihan juga sudah ditempah sejak awal tahun.

“Walau sebelum ini ramai meneka mereka akan melangsungkan pernikahan di Jakarta, Indonesia, ia tidak benar. Sebaliknya pulau peranginan eksotik iaitu Bali menjadi pilihan kerana mood romantis yang wujud di pusat peranginan terkenal itu.

“Mengikut perancangan, busana pengantin mendapat sentuhan pereka tempatan popular, Rizman Ruzaini, manakala kepercayaan untuk menyolek wajah bakal pengantin pula diberikan kepada jurusolek kegemaran ramai artis ternama, Tiar Zainal,” katanya kepada wartawan Berita Harian.

Bagaimanapun, finalis Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, genap berusia 28 tahun pada 28 Mac ini tidak dapat dihubungi kerana sibuk di lokasi penggambaran drama berjudul Seindah Sakura.
0

Gempar!! Rumah Penyanyi 'Adele' Berhantu

 
London-Penyanyi Adele enggan menetap sendirian di rumah yang baru disewanya di Sussex dengan alasan ia berhantu dan sering mendengar pelbagai bunyi pelik.Jelas Adele, dia sering mendengar bunyi orang berlari di hadapan pintu depan rumah yang bernilai  £7 juta itu

Berikutan itu, Adele telah mengupah seorang pemandu wanita yang bertindak sebagai pengawal peribadinya bagi menemaninya di rumah berkenaan sepanjang masa.

Wanita berkenaan dilaporkan dibayar gaji oleh Adele sebanyak £100,000 setahun bukan sahaja untuk menemaninya di rumah malah ke mana-mana sahaja beliau pergi.

Penyanyi yang merangkul enam anugerah Grammys itu turut mengupah dua lagi pengawal keselamatan sepenuh masa di banglonya itu.

 
Banglo tersebut yang mempunyai dua kolam renang, pernah menjadi gereja persendirian.
Dalam pada itu, seorang rakannya memaklumkan, sebelum ini Adele begitu gembira kerana dapat menyewa banglo berkenaan, namun ia bertukar menjadi sesuatu yang menakutkan baginya.

“Adela tahu banglo itu berhantu dan mengetahui sejarahnya. Ia merupakan sebuah rumah yang amat besar, namun pada malamnya, ia bertukar menjadi sesuatu yang menggerunkan,” katanya.
0

Norish Karman Akui Pernah Lakukan Kesilapan



PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman atau Norish mengakui dia pernah menangis secara bersembunyi tanpa pengetahuan anak-anaknya kerana tidak tahan membendung kesedihan daripada pelbagai dugaan dan tohmahan yang menimpa dirinya.

Wanita yang kini berjinak-jinak dalam bidang nyanyian itu berkata walaupun pada mata kasar dia kelihatan tabah dan tidak tergugat dengan kisah-kisah duka yang silih-berganti, dia juga tidak boleh lari atau menyangkal perasaan sedih dan terkilan.

“Saya tidak terjejas secara luaran dan orang nampak seperti saya kuat untuk menghadapi kisah keruntuhan rumah tangga dan pelbagai fitnah yang mengaibkan, tetapi saya juga manusia biasa yang mempunyai rasa sedih dan kecewa.

“Saya pernah berduka dan menangis di belakang anak-anak tetapi Tuhan itu sentiasa ada untuk memberikan kekuatan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
 
Norish berkata dia lebih selesa untuk mengambil pendekatan positif terhadap apa yang berlaku. Katanya, kedukaan dalam hidup sebelum ini lebih mematangkan diri dan memberikan semangat untuk dia terus melangkah.

“Seperti yang pernah saya katakan, orang boleh menuduh apa sahaja tetapi tidakkah mereka fikir perasaan anak-anak dan keluarga saya?

 
“Bagi saya, fitnah dan tohmahan adalah resam dunia artis. Saya memilih jalan ini, jadi saya mesti hadapinya walaupun perit dan berat. Saya sedih apabila anak-anak yang terkena tempiasnya,” katanya.
Ibu kepada tiga anak ini berkata walaupun segelintir pihak tidak menyukainya dan menuduh pelbagai perkara tanpa mengetahui kesahihan sesuatu dakwaan itu, dia enggan ambil peduli dan lebih mengutamakan individu yang menyayanginya dengan ikhlas.

“Kalau ada tujuh orang yang tidak suka dan hanya ada tiga saja yang suka, itu sudah menjadi kekuatan buat saya. Saya kini hidup hanya untuk orang-orang yang mengambil berat dan menyayangi saya seadanya.
“Mengapa orang perlu menghakimi saya kerana saya tidak pernah menjatuhkan hukum pada orang lain? Saya akui pernah melakukan kesilapan dan belajar untuk menjadi lebih baik. Kebahagiaan saya kini adalah Tuhan, keluarga dan muzik saya,” katanya.
0

Filem 'BUNOHAN' Bakal Cetus Fenomena



Biarpun hanya akan muncul di pawagam 8 Mac ini, filem arahan Dain Said berjudul Bunohan sudah pun menjadi buah mulut orang ramai.
Sewaktu tayangan perdananya Rabu lalu, ramai sungguh penggiat seni hadir dan memuji filem yang mengangkat kisah tiga adik-beradik lelaki ini.

Di laman Twitter dan Facebook, Bunohan adalah topik yang hangat diperkatakan kini.

Bukan saja jalan cerita dan sudut pengarahannya menerima pujian melambung, malah lakonan pelakon utamanya iaitu Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim juga keluar dari kepompong biasa.

Selain mereka bertiga, barisan pelakon lain terlibat tidak kurang hebatnya seperti Bront Palarae, Soffi Jikan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi dan Jimmy Lor.

Sesuatu yang istimewa mengenai filem bergenre drama aksi ini ialah kesemua pelakonnya adalah lelaki dan satu-satunya watak perempuan ditampilkan ialah Mek Yah lakonan peragawati terkenal, Tengku Azura.




Kejayaan di luar negara

Tak dapat dinafikan, salah satu faktor membuatkan Bunohan ditunggu-tunggu kerana filem ini terlebih dahulu meraih perhatian di festival filem luar negara.

Sebagai wakil Malaysia, Bunohan telah ditayangkan kepada masyarakat antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Toronto, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam dan Festival Filem Antarabangsa Palm Springs.

Lebih membanggakan, Bunohan turut merangkul Anugerah NETPAC di Festival Filem Taipei Golden Horse yang diberikan bagi menggalakkan pengkarya filem Asia mengetengahkan karya luar biasa.

Kemenangan Bunohan bertepatan dengan kriteria filem ini yang menggunakan cara paling kreatif dan unik di samping menggunakan bahasa sinematik dan menangani pelbagai isu kontemporari Asia.

Selepas ini, pastinya Bunohan akan dikenali di seluruh dunia apabila Universal Pictures bersetuju untuk mengedarkan filem ini di beberapa negara luar termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.


Sokongan penonton tempatan

Sebagai pengarah, tiada yang lebih diharapkan Dain melainkan agar Bunohan diterima baik oleh peminat filem tempatan.

Maklumlah, filem ini mungkin sudah berjaya di luar negara tetapi tiada gunanya jika peminat negara sendiri tidak menyokong. Lebih-lebih lagi filem pertama arahan Dain, Dukun tidak dapat ditayangkan di negara ini atas beberapa faktor.

Sekiranya Bunohan mendapat sambutan hebat, sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan Dain dan peminat yang ternanti-nanti tayangan Dukun.

Zass percaya, ‘kuasa’ cerita dari mulut ke mulut tentang kehebatan Bunohan pasti akan membantu untuk menarik penonton menyerbu panggung.



OLEH: SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
0

Gambar-Gambar Siti Nurhaliza Di Majlis Pernikahan Adik Bongsunya



Pada 3hb Mac,2012 telah berlangsung Majlis Pernikahan adik bongsu penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza iaitu Mohd Hafiz Taruddin.Jom kita layan gambar-gambar disekitar majlis pernikahan tersebut.