0

Istana Cinta Hafiz Dan Adira Akhirnya Berkecai



PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, akhirnya membuka mulut menjelaskan hubungan cintanya dengan Adira (AF8) sudah berakhir.
Hafiz berkata, hubungan cinta yang dibina hampir setahun itu retak disebabkan isu kontroversi yang membabitkan mereka sebelum ini yang turu mengganggu kerjaya masing-masing.
"Walaupun tidak lagi berhubungan, kami masih lagi berkawan. Keputusan ini dibuat kerana kami ingin memberi fokus kepada kerjaya yang baru beberapa tahun kami bina.
"Disebabkan banyak kontroversi yang melanda kami selama ini, keadaan tersebut telah memberi kesan kepada perhubungan yang kami bina. Ia tiada kaitan dengan orang ketiga.
"Emak saya pernah berkata, sebelum menyayangi orang lain, sayangi diri sendiri dahulu. Dan itulah yang saya lakukan, di mana saya mahu kerjaya saya sebagai penyanyi stabil terlebih dahulu," katanya.





Hafiz ditemui pada sidang media Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) di Bentley Music Auditorium, Wisma Bentley Music, di sini, Khamis.
Tambah Hafiz, dia berharap agar tiada lagi kontroversi yang membabitkannya dengan penyanyi jelita itu pada masa akan datang.
Pada pertengahan tahun lalu, Hafiz dikatakan telah bertindak kasar terhadap seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus pentas dengan menolaknya sehingga mengakibatkan kecederaan ketika rakaman sebuah program hiburan.
Insiden berkenaan dikatakan berpunca daripada sikap cemburu Hafiz apabila wanita tersebut dipercayai cuba menjalinkan hubungan sejenis dengan Adira.
Sementara itu, Hafiz yang bakal muncul dengan lagu terbaru tidak lama lagi kini sedang sibuk dengan persiapan AJL26. Dia akan membawakan lagu Awan Nano yang akan berlangsung pada 29 Januari ini.
Katanya, persaingan sengit barisan penyanyi yang akan bertanding pada malam anugerah tersebut seperti Yuna, faizal Tahir, Tiga Suara, Projek Pistol dan Aizat ternyata mendebarkan dirinya.
"Setakat ini, saya masih lagi sibuk mengubah sedikit susunan muzik Awan Nano agar ia kedengaran berbeza dengan lagu yang ada pada album.
“Semoga saya dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada semua nanti," ujarnya yang pernah memenangi vokal terbaik dalam AJL25 pada tahun lalu menerusi lagu Noktah Cinta.
0

Gambar Nazmi Faiz Mansor Dengan Teman Wanitanya Tengku Fiella



Pemain bola sepak Malaysia Nazmi Faiz dikatakan sudah ada kekasih baru bernama Tengku Fiella. Nazmi Faiz memang dikatakan popular kerana popularitinya setanding dengan Khairul Fahmi (Apek).

Oleh tu, semua gosip mengenai kisah cinta Nazmi jadi tumpuan setiap wanita. Kat bawah ni adalah gambar terbaru Nazmi Faiz sudah berambut pendek. Bukan main mesra lagi dengan Tengku Fella ni.

Kepada wanita dan gadis-gadis yang menaruh hati tu kecewa sedikitla. Sedikit jer kecewa sebab belum kahwin lagi. Baru kawan-kawan, belum kawin-kawin. masih ada harapan. Cuma kena pasang strategi lebih lagila. hehehe

Apa pun diharap Nazmi Faiz tak hilang fokus setelah menjadi selebriti sukan Malaysia sama seperti Apek. Main bagus memang orang akan sanjung selagi tak buat masalah.

Harap Nazmi Faiz akan jaga status dan terus bermain dengan cemerlang dan awek die tu jadila pendorong, jangan jadi peruntuh dan pemusnah kerjaya Nazmi Faiz sebagai pemain ternama satu hari nanti.
0

Rozita Che Wan Yang Ajak Zain Saidin Bercuti Ke Genting Highlands



JIKA dulu Rozita Che Wan lebih bersikap terbuka dan mengaku mempunyai hubungan cinta dengan penyanyi Akademi Fantasi (AF8), Shahir, dan akhirnya hubungan tersebut terputus begitu sahaja, kini pelakon Kiah Pekasam itu mengambil jalan selamat untuk tidak terlalu berkongsi mengenai kisah peribadinya. Terkini, ramai yang sudah menghidu mengenai bibit percintaan di antara Rozita bersama adik kepada Shasha Elite iaitu Zain Saidin sehinggakan Zain sanggup menemani Rozita dan anak-anaknya iaitu Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 12, ke Genting Highlands, Pahang pada hari Selasa lalu sempena musim cuti persekolahan anak-anak Rozita.
Malah, khabar yang sampai ke telinga Kosmo! mengatakan Zain sanggup mengenepikan semua urusan pada hari itu semata-mata untuk menunaikan kehendak Rozita yang ingin pelakon drama Gemersik Kalbu itu mengikutinya bersama anak-anak bercuti ke Genting Highlands.


 Zain berkongsi cerita mengenai percutian bersama Rozita dan anak-anaknya Genting Highlands baru-baru ini.
Kosmo!: Dengar cerita awak bercuti bersama Rozita Che Wan ke Genting Highlands baru-baru ini?
Zain: Ya. Saya ada pergi bercuti dengan dia dan anak-anaknya ke Genting Highlands. Dia minta saya untuk temankan dia dan anak-anaknya ke sana. Dia juga minta saya memandu kenderaan miliknya, dan saya menerima pelawaan dia.
Kenapa dia minta anda menemani dan memandu ke Genting Highlands? Bercuti bersama anak-anak dia pula. Sememangnya kelihatan anda begitu istimewa di hati Rozita. Komen anda?
Saya dan dia memang berkawan rapat. Semuanya bermula selepas kami berlakon bersama dalam drama Kiah Pekasam. Saya juga rapat dengan anak-anak dia dan boleh bergurau senda dengan mereka. Tapi, hubungan kami sekadar teman rapat sahaja.
Berapa lama anda berdua bercuti ke Genting? Dan adakah destinasi percutian lain yang anda berdua pergi?
Kami pergi ke Genting sehari sahaja. Balik hari. Kami hanya pergi ke Genting sahaja dan kami tidak ada pergi ke tempat percutian lain.
Adakah anda memang menyukai wanita yang lebih berusia?
Saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Tak kira muda atau tua. Sememangnya saya senang berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk Rozita.
Kalau sudah ditakdirkan jodoh anda bersama Rozita bagaimana?
Kalau sudah jodoh saya dengan dia, secara automatik saya terima.
Beralih cerita mengenai diri anda. Apa yang sedang anda lakukan sekarang?
Saya sekarang tengah sibuk penggambaran drama 13 episod untuk RTM iaitu Bermulanya Di Sini. Dalam drama itu saya digandingkan bersama Miera Liana. Selain itu, ada juga tawaran lain tetapi masih belum ada perjanjian hitam dan putih. Drama lakonan saya Gemersik Kalbu juga kini sedang ditayangkan di slot Akasia TV3 pukul 7 petang setiap hari Isnin hingga Khamis.
Selain berlakon apa lagi perkara yang anda lakukan? Menyanyi atau mengacara?
Selain fokus berlakon saya juga sekarang sedang sibuk menghasilkan tiga single lagu rap yang bakal dikeluarkan tak lama lagi. Lagu rap yang dihasilkan sendiri oleh saya ini akan dikeluarkan serentak. Tiga tajuk lagu single itu adalah Transformasi, Cerita Cinta dan Niat Khalifah.
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
0

Pakej Kontroversi Izreen Azminda

 
BIARPUN dipalit dengan pelbagai tohmahan, fitnah dan gosip, pemilik nama Muhamad Riza Baharudin atau Riza, 29, tenang menutur kata menjawab satu demi satu persoalan yang dilontarkan pihak media. Seakan sudah bersedia dengan jawapan, Riza tidak kekok berhadapan dengan gerombolan wartawan biarpun ‘watak’ dirinya sebelum ini sekadar individu di belakang tabir dunia glamor iaitu sebagai jurukamera bebas produksi filem.
Itu lelaki yang kini bergelar tunang Izreen Azminda Aznam, 27, pelakon baharu yang diketahui umum sudah mempunyai pakej kontroversinya sendiri gara-gara mendakwa bercinta dengan aktor Johan Asaari yang bergandingan dengannya dalam drama bersiri popular, Juvana, sedangkan Johan pula tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut!
Justeru apabila perancangan Izreen dan Riza untuk bertunang dicium pihak media, timbul pula kontroversi di pihak Riza. Seperti biasa laman web internet menjadi medan yang kononnya cuba membogelkan kisah sebenar Riza, sekali gus dilihat sebagai percubaan dalam menghalang pertunangan mereka.
Kononnya dalam salah sebuah blog gosip ada individu tertentu yang didakwa menghantar e-mel yang menampilkan kenyataan pencetus daripada seorang pengurus produksi yang hanya dikenali sebagai Rafeda. Dakwa Rafeda dia merupakan tunangan Riza dan Izreen pula dilabelkan sebagai perampas tunang orang dan dalam kes ini tunang Rafeda!
Tidak cukup dengan itu, Riza juga didakwa pernah berkahwin dengan bekas isteri pelakon Badrul Muhayat, Julia Daud yang mana kes Badrul dan Julia juga pernah menjadi isu panas apabila Badrul meninggalkan Julia yang ketika itu sedang sarat mengandung anak pertama mereka.
Rafeda juga mendakwa dia dan Riza pernah bercuti ke luar negara dan masih menyimpan segala bukti yang berupa gambar-gambar dan rakaman video sepanjang percutian mereka itu. Malah, ada yang lebih kontroversi,
Rafeda turut didakwa pernah mengandung anak luar nikah daripada benih Riza tetapi Riza telah mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan Rafeda kerana ketika itu Riza masih bergelar suami kepada Julia!
Lengkap sudah pakej sebuah kontroversi yang cukup sesuai dijadikan skrip drama atau filem. Namun, seolah-olah kalis segala tohmahan, tuduhan dan fitnah itu, Izreen dan Riza akhirnya membuktikan keutuhan cinta mereka apabila selamat menjalani acara pertunangan pada hari pertama tahun 2012 ini di kampung halaman Izreen di Alor Setar, Kedah.
Riza sanggup buat ujian DNA
Apa yang jelas, Riza berjaya mencairkan hati gadis yang memerankan watak Cikgu Zakiah dalam drama Juvana itu dengan meniupkan semangat.

IBU Riza, Zainon Baba menyarungkan cincin di jari manis Izreen sebagai tanda sudah sah ikatan pertunangan antara Riza dan Izreen.

“Saya banyak beri semangat kepada Izreen apabila banyak orang hentam dia. Semangat itu menguatkan Izreen dan agar dia tidak jatuh,” tutur Riza yang ditemui usai acara pertunangan yang disempurnakan dengan Riza membawa lima dulang hantaran dibalas tujuh dulang hantaran oleh Izreen.
Namun, bagaimana pula dengan Riza sendiri yang datang dengan pakej lengkap kontroversi itu? Apakah jawapannya terhadap segala dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah itu?
“Saya tidak pernah bertunang dengan (perempuan bernama) Rafeda!,” tegas Riza. Tambahnya: “Keluarga pun terkejut, saya bertunang tak jemput mereka. Kalau nak tuduh biarlah. Mereka boleh cakap semahu hati. Alhamdulillah, jika itu yang mereka cakap.
Menurut Riza lagi, dia sudah menceritakan segala kisah silamnya kepada Izreen. Malah, Riza dengan terbuka mengakui dia pernah berkawan dengan Rafeda dan pergi bercuti bersama gadis itu, namun, dia enggan bercerita lebih lanjut mengenainya.
“Cukup kalau saya beritahu saya sudah cerita kisah silam saya kepada Izreen. Memang saya ada berkawan dan pergi bercuti dengan Rafeda di luar negara tetapi hubungan kami sudah putus tetapi kami tidaklah sampai bertunang,” tegasnya lagi.
Tambah Riza: “Dakwaan saya ada anak luar nikah, gugur bayi, itu semua tak betul. Perkara itu saya tidak buat tetapi orang tuduh saya. Orang yang bercakap itu, sepatutnya tampil dan kemukakan bukti. Kalau ada anak itu, saya sanggup buat ujian DNA,” katanya.
Namun apa yang menarik, Riza mengakui pernah mengenali Julia selain berterus terang bahawa dirinya pernah dan berkahwin serta mempunyai seorang anak. Sememangnya Riza yang tidak mahu menyembunyikan hakikat status dirinya yang sudah bergelar duda itu.
“Saya pernah berkahwin, tetapi bukan dengan Julia Daud seperti yang didakwa. Memang saya ada berkawan dengan isteri pelakon Badrul Muhayat itu kira-kira lapan tahun lepas, tetapi hubungan itu tidak lama. Ia cerita lama tetapi dibangkitkan semula, saya pun terkejut,” ujar Riza.
Menjelaskan isu perkahwinan pertamanya Riza memberitahu, dia berkahwin dengan wanita biasa tetapi hanya bertahan selama dua tahun.
“Saya dikurniakan seorang anak lelaki yang kini dijaga bekas isteri. Saya rasa kecewa sebab keluar benda yang tidak betul. Orang buat cerita, mahu memburukkan saya. Macam saya jahat sangat, macam saya yang buat, sedangkan saya tidak buat,” tutur Riza.
Pasrah dengan segala tohmahan, Riza mahu membuka buku baharu dengan cinta baharunya, Izreen. “Orang yang buat (fitnah) itu bukan tuju kepada Izreen tetapi kepada saya. Saya pula bertunang dengan Izreen, jadi tempias itu turut terkena kepada Izreen.
“Harapan saya moga tidak ada orang nak burukkan saya, saya nak mulakan hidup baharu, selepas perkahwinan pertama gagal,” ujar Riza.
Izreen enggan ambil tahu
Izreen yang berada di sisi Riza dalam pada itu menegaskan dia tidak mahu terbawa-bawa dengan kisah silam Riza dan yakin dengan pilihan hatinya itu.

CINCIN bertatah berlian tanda Izreen kini sudah menjadi tunang Riza.

“Sepanjang kenal Riza, dia memang lelaki bertanggungjawab, saya tidak mahu ambil tahu kisah silamnya. Saya sedia terima Riza sebagai orang baharu dalam hidup saya,” katanya.
Menurut Izreen lagi, apa yang dilihatnya sekarang pada diri Riza semuanya elok belaka.
“Apa yang berlaku sebelum ini dalam hidup Riza saya tidak mahu ambil pusing sebab semua orang ada kisah silam sendiri. Apa yang penting, sepanjang mengenali Riza semuanya elok,” jelas Izreen.
Namun bagi Izreen yang mula rapat dengan Riza sejak September tahun lalu, dia tidak boleh menipu dirinya daripada dihantui dengan kisah silam Riza namun dia menegaskan mahu menerima hakikat tersebut dengan hati terbuka.
“Memang (kisah silam Riza) ada menghantui diri saya. Kalau nak cakap apa-apa, perlu ada bukti, gambar percutian Riza dan Rafeda yang tersebar di internet itu, memang saya tahu sebab Riza ada cakap,” akui Izreen yang mengakui teruja menanti tarikh pernikahannya yang dijangka menjelang 31 Ogos tahun ini.

Kredit: Sumber
0

Aaron Aziz Bukan 'Mata Duitan'

Gambar Aaron Aziz bersma isteri dan anaknya.

SHAH ALAM: Pelakon kacak, Aaron Aziz menolak anggapan sesetengah pihak dia bersikap mata duitan kerana membolot semua tawaran berlakon yang diberikan walaupun filem itu tidak sesuai dengannya.
Aaron berkata, meskipun terdapat beberapa filem lakonannya gagal mendapat perhatian di pawagam, dia sebenarnya tidak melihat kepada tema sesebuah filem itu sebaliknya kepada watak yang diberikan.
"Saya akui ada sesetengah filem temanya tidak bersesuaian tetapi saya lebih memberi tumpuan kepada watak yang ditawarkan kepada saya.
"Soal membolot dan mata duitan tidak sepatutnya timbul kerana ini adalah punca rezeki saya dan seharusnya saya bekerja kuat untuk memberi nafkah kepada keluarga.
"Bagaimanapun saya akui ada sesetengah filem temanya tidak bersesuaian tetapi tumpuan saya adalah kepada watak yang ditawarkan sama ada sesuai atau pun tidak," ujarnya kepada mStar Online.
Antara filem lakonan Aaron sepanjang 2010 dan 2011 ialah Syyhh... Dia Datang, Evolusi KL Drift 2, Suaka, 2 Alam, Datin Ghairah, KL Gangster dan Ombak Rindu.
Mengikut rekod Finas, filem lakonan Aaron iaitu 2 Alam mencatat kutipan paling rendah iaitu sebanyak RM440,000 sementara filem KL Gangster meraih kutipan RM11.74 juta.
Dalam pada itu, Aaron berkata, dia akan lebih selektif terhadap filem dan watak yang ditawarkan kepadanya selepas ini kerana ingin memastikan karya tersebut berkualiti dan dapat diterima penonton.
Ujarnya, itu bukan bermakna dia sudah mulai “demand” atau berlagak tetapi tidak mahu peminat menuduhnya sebagai artis ‘tangkap muat’.
"Kegagalan sesebuah filem bukan dapat dijangka kerana kita sebagai pelakon telah melakukan terbaik dalam kerjaya kita tetapi saya ingin lebih selektif dan berhati-hati sebelum menerima sesuatu watak," ujarnya.
Sementara itu, Aaron yang bakal berangkat ke Tokyo, Jepun pada 10 Januari ini berkata, dia bakal muncul dengan filem terbarunya iaitu KL Gangster 2 dan Taikon pada tahun ini.
Selain itu, Aaron memberitahu dia baru sahaja menerima tawaran berlakon filem berjudul Kerat 14 bersama pelakon Siti Saleha dan akan menjalani penggambaran dalam masa terdekat.
"Kerat 14 adalah sebuah karya yang baik dan saya cukup teruja untuk memulakan penggambaran dan berharap hasilnya disukai oleh penggemar filem tempatan.
Dalam perkembangan lain, Aaron cukup gembira dan bersyukur dengan kejayaan filem Ombak Rindu dengan kutipan melebihi RM11 juta dan terkejut dengan sambutan peminat terhadap karya Osman Ali itu.
"Kadang-kadang sampai ada orang panggil saya Hariz dan sambutan luar biasa ini cukup merubah kerjaya seni saya," ujarnya.
0

Chef Wan Tak Jadi Tutup Akaun Facebook



KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Chef Wan yang terkenal dengan sikap suka menegur secara terbuka mengambil keputusan untuk tidak menutup laman Fan Page Facebook miliknya setelah membaca ribuan komen-komen peminat yang memujuk dan menyokongnya.
Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail berkata, komen-komen positif dari peminat-peminat yang setia dan sentiasa berdiri di belakang beliau di laman ‘Chef Wan Fan Club’ itu menjadi faktor utama untuk beliau tidak sampai hati untuk berbuat demikian.
“Alhamdulilah after reading all your comments i tak sampai hati nak tutup this fan club especially for all the loyalty and kindness as well as understanding that u have shown me through out our friendship here.”
(Alhamdulillah, selepas membaca semua komen saya tak sampai hati nak tutup fan club ini terutamanya apabila melihat kepada kesetiaan dan kebaikan yang kamu (peminat) tunjukkan kepada saya di sepanjang persahabatan ini),” katanya di laman Facebook miliknya itu.
Beberapa hari sebelum tahun baru, Chef Wan mengumumkan akan menutup akaun Fan Page Facebook miliknya itu pada tahun 2012, kerana rasa kecewanya terhadap segelintir pihak yang tidak dapat menerima kritikannya secara terbuka dan menghinanya menerusi laman sosial itu.
Menurut Chef Wan lagi, beliau tidak akan mempedulikan kehadiran komen-komen buruk yang diterimanya dan akan memadamnya dari lama facebooknya itu.
“Just ignore all this Langaus sudah lah…hee hee i can hear they are coming now!Mereka ni sudah tentu suka jaga tepi kain orang and jadi batu api and will always remained with that attitude pun.
“Kita delete sahaja lah. Lagi pun when they hear this good new lagi la berulat hati mereka sampai bertarung lagi nak tengok i jadi ke tidak tutup fan club ini. Hee hee to them always remember u are trap! The wiseman will always have the last laugh! Peace Ya!,” katanya lagi.
Selebriti masakan yang terkenal dengan pengalamannya yang luas itu sebelum ini mengkritik majlis resepsi perkahwinan Norman Hakim – Memey yang dikatakan tidak sepadan dengan kosnya yang melibatkan lebih RM12 juta.
Seterusnya, kritikan-kritikan pedas Chef Wan itu terus menjadi perbualan hangat apabila beliau dilantik menjadi juri pengkritik tetap Maharaja Lawak Mega 2011 (MLM 2011) dan beliau dianggap sebagai juri yang paling ‘ditakuti’ para peserta program realiti anjuran Astro itu.
Kontroversi kritikan Chef Wan itu tiba dikemuncaknya apabila Adlin Aman Ramli mengisytiharkan ‘perang Facebook’ terhadapnya ekoran tidak berpuas hati dengan kritikan yang diberikan pakar resipi itu kepada pesembahannya di MLM 2011 yang berakhir baru-baru ini.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN
0

Gambar Fasha Sandha Dan Jejai Berpesta Sambut Tahun Baru 2012

 
KUALA LUMPUR -  Kehangatan sambutan malam tahun baru 2012 masih terasa ekoran kekecohan di blog-blog hiburan terkenal tanahair mengenai pasangan kontroversi, Fasha Sandha dan Jejai, yang berpesta bersama malam itu.
Menghangatkan lagi, pasangan itu turut memuat turun gambar-gambar yang merakamkan detik-detik mesra mereka di laman sosial masing-masing sekaligus menunjukkan mereka tidak lagi menyembunyikan rahsia hubungan serius mereka kepada peminat.
Sebelum ini, pasangan itu sering menyembunyikan rahsia hubungan mereka dari media dan pendedahan hubungan cinta mereka ini menjadi tumpuan Rotikaya.com dan Beautifulnara.com untuk menghebahkan berita itu di laman web masing-masing.
Jejai atau nama sebenarnya Rizal Ashram Ramli yang juga merupakan bekas suami kepada pelakon jelita, Nora Danish, tanpa segan silu lagi menggunakan ayat-ayat romantis kepada Fasha Sandha di laman Twitter miliknya.
“Are you ready sayang? ignore the haters, see u for new years eve. 2012 will bring us happiness (Sayang sudah bersedia? Usah pedulikan mereka yang membenci, jumpa nanti pada malam tahun baru. 2012 akan membawa kegembiraan kepada kita),” kata Jejai kepada Fasha Sandha di laman Twitternya.
Laman Twitter milik anak bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib itu pernah mencetus tanda tanya apabila wujud dakwaan nakal bahawa ia adalah akaun palsu yang didaftarkan Fasha Sandha untuk menyakitkan hati bekas isteri Jejai.



 
Bagaimanapun, Jejai menafikan dakwaan itu dan gambar-gambar yang dimuat turun olehnya di Twitter tersebut membuktikan bahawa akaun tersebut memang miliknya sejak Julai tahun lalu.
Selain itu, Fasha Sandha turut memuat turun beberapa keping gambar sambutan malam tahun baru 2012 bersama kekasihnya itu di laman Facebook miliknya, We Love Fasha Sandha.
Sebelum ini, Fasha Sandha dikatakan pernah menyerang Tiz Zaqyah yang menghubungi kekasihnya pada jam 4 pagi untuk keluar bersama dan memberi amaran kepada pelakon drama Nur Kasih itu agar tidak mengganggu kekasihnya.
Dengan menyiarkan gambar-gambar mesra bersama kekasih dan tidak lagi menyembunyikan hubungan cinta mereka kepada khalayak umum, Fasha Sandha dan Jejai dicadangkan agar mengekori jejak langkah beberapa selebriti yang mengumumkan akan mengakhiri zaman bujang mereka tahun ini.
“Abang Nara doakan semoga Jejai dan Fasha cepat-cepat mendirikan rumah tangga di tahun baru 2012 ini,” kata Abang Nara, pemilik blog hiburan terkenal Beautifulnara.com.
0

Neelofa Mempunyai Pakej Cantik Dan Pintar


PERJALANAN Noor Neelofa Mohd Noor cukup hijau dalam bidang seni tanah air. Namun, limpahan publisiti yang diterima oleh aktres kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini cukup luas dan besar sehingga dia mampu melonjakkan namanya ke tahap tinggi dalam tempoh kurang dua tahun bergelar pelakon.
Semuanya bermula selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan pencarian Dewi Remaja 2010, kembara seni Neelofa menyusur dengan baik dan penuh warna-warni. Menjadi selebriti yang cantik dan digilai ramai adalah cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh gadis berusia 22 tahun ini kerana sering terkena tempias kontroversi.





Namun, Neelofa dilihat sebagai muka baru yang berani dan tegar menghadapi pelbagai gosip liar dan tohmahan yang dilemparkan. Kini, pelakon yang bakal muncul dengan filem Azura 2012 pada tahun ini boleh menarik nafas lega kerana sudah berjaya mengukuhkan namanya sebagai pendatang baru yang popular dan berjaya.
APAKAH YANG ADA DALAM BENAK FIKIRAN ANDA SEKARANG?
Memikirkan banyak masalah yang berlegar di fikiran.
SIAPA MANUSIA YANG PALING ANDA KAGUMI?
Ibu saya Noor Kartina.
APAKAH YANG PALING ANDA TAKUTI?
Menjadi buta kerana mata adalah anggota yang paling penting.
APAKAH SIFAT-SIFAT YANG PALING MENONJOL DALAM DIRI ANDA?
Peramah dan bertolak-ansur.
APAKAH SIFAT-SIFAT YANG ANDA TIDAK SUKAI PADA ORANG LAIN?
Tidak menepati masa.
PERKARA PALING HEBAT YANG PERNAH ANDA LAKUKAN?
Memandu bersendirian ke Seremban, Negeri Sembilan tanpa merujuk pada alat Global Positioning System (GPS).
PERNAHKAH ANDA MEMBENCI SESIAPA?
Pernah.
PERNAHKAH ANDA DIBENCI? OLEH SIAPA?
Tentulah pernah tetapi saya mahu rahsiakan.
BAKAT APAKAH YANG PALING ANDA INGINI?
Menyanyi.
JIKA ANDA DAPAT MENUKAR SATU PERKARA TENTANG DIRI ANDA, APAKAH YANG AKAN ANDA TUKAR?
Sikap suka melengah-lengahkan sesuatu kerja atau urusan.
APAKAH PENCAPAIAN ANDA YANG PALING BESAR?
Keputusan yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (5A), Penilaian Menengah Rendah (8A) dan Sijil Pelajaran Malaysia (10A), menjuarai pertandingan Dewi Remaja 2010 dan menggalas watak Azura dalam filem Azura 2012.
PADA SITUASI BAGAIMANAKAH ANDA MENGANGGAP DIRI ANDA GAGAL?
Apabila saya mengalah atau berundur sebelum mencuba.
KERJA YANG PALING HEBAT YANG PERNAH ANDA LAKUKAN?
Menjayakan watak dalam filem pertama saya iaitu Azura.
PERKARA YANG PALING ANDA HARGAI YANG ADA PADA SEORANG KAWAN?
Cukup sekadar menjadi pendengar yang baik dan setia kepada masalah saya.
SIAPAKAH PENULIS KEGEMARAN ANDA?
Tiada.
SIAPAKAH HERO FIKSYEN ANDA?
Tiada.
BAGAIMANAKAH ANDA MAHU DIINGATI/ DIKENANG?
Menerusi nama baik dan disiplin yang saya amalkan sepanjang terlibat dalam bidang seni.
MOTTO KEHIDUPAN ANDA.
Permulaan yang buruk pasti ada ruang untuk memperbaikinya agar berakhir dengan penghujung yang baik.
0

Ash dan Sherry Merlis Selamat Diijabkabulkan



Ash dan Sherry kini sah bergelar suami isteri. Foto ihsan daripada ROTIKAYA.COM

PETALING JAYA: Selepas enam bulan bercinta, akhirnya vokalis kumpulan Gabba Gabba iaitu Ash atau nama sebenarnya, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid, akhirnya sah bergelar suami kepada pelakon Sherry Merlis, pada pagi Ahad.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Madrasah Islahiyah Addiniyah, Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur dan tiada sebarang majlis persandingan dilakukan untuk kedua-dua belah pihak.
Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Sherry iaitu Wan Zainal Abidin kira-kira pukul 10 pagi dengan disaksikan oleh 100 orang tetamu.
Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan sejumlah wang hantaran yang dirahsiakan dan mas kahwin berjumlah RM200 beserta tiga dulang hantaran yang terdiri daripada sirih junjung, cincin dan manisan.
Ia dibalas lima dulang hantaran oleh pihak perempuan yang terdiri daripada sirih junjung, sebuah kitab Al-Quran, manisan, cincin dan kek.
Menurut Ash, 29, dia bersyukur kerana akhirnya pernikahan mereka berjalan dengan lancar dan berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat.
"Saya berdoa hubungan kami kekal selamanya. memandangkan ini merupakan perkahwinan kedua saya dan Sherry, kami memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang resepsi, sebaliknya hanya majlis nikah diikuti dengan jamuan kecil-kecilan.
"Walaupun jarak usia kami agak jauh, Alhamdulillah, masing-masing boleh memahami sesama sendiri. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Sherry ialah keperibadiannya dan paling penting, matanya," kata Ash yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.
Tambah Ash, selain mengusahakan syarikat rakamannya sendiri, Babugusto Records, dia dan Sherry turut merancang untuk membuka sebuah perniagaan produksi.
Pada majlis nikah itu, pasangan merpati sejoli itu mengenakan busana rekaan Lagenda Dan Rizal inspiration manakal wajah Sherry disolek oleh Asmara Andaman.
Pasangan ini mula berkenalan apabila sama-sama terlibat dalam produksi drama Cita dan Cinta, arahan Azma Aizal Yusoof yang diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd.
Sebelum ini Ash pernah mendirikan rumahtangga dengan pengacara Melodi, Khaidirah Abu Zahar atau Dira, 28, dan telah dikurniakan seorang anak perempuan bernama Tengku Anggun Deandra, 3.
Begitu juga dengan Sherry, 40, yang pernah berumah tangga sebelum ini dan memiliki dua orang anak iaitu Habib Daniel, 18, dan Harith Daniel, 17, hasil perkahwinannya dengan Esma Daniel.
0

Izreen Azminda Selamat Bertunang Dengan Muhamad Riza



                 Izreen bersama tunangnya, Muhamad Riza di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Pelakon drama Tentang Dhia yang memegang watak Melly, Izreen Azminda Aznam memulakan tahun baru 2012 semalam dengan mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya seorang jurukamera bebas, Muhamad Riza Baharudin.
Majlis pertunangan yang diadakan di Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar di sini itu, berlangsung dalam suasana sederhana tetapi penuh bermakna bagi Izreen, 27, yang mahu menutup kontroversi yang melandanya sepanjang tahun lalu.
Pada majlis itu, Izreen anak kedua daripada tiga beradik kelihatan anggun dengan persalinan berwarna merah jambu rekaan Shanelle Harun.
Majlis bermula dengan perbincangan wakil kedua-dua belah pihak serta persetujuan mengenai jumlah wang hantaran sebanyak RM19,001 dan mas kahwin RM999.
Ibu Muhamad Riza, Zainon Baba, 55, kemudian menyarungkan cincin emas putih bertatah berlian ke jari Izreen sebagai tanda pertunangan pasangan itu.
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
0

20 Kesilapan Dalam Filem 'OMBAK RINDU' Yang Tidak Di Sedari Oleh Penonton

 
Walaupun dipuji melambung oleh peminat-peminat industri hiburan tanahair dan mendapat sambutan hangat dengan jumlah kutipan jualan tiket mencecah RM10.01 juta sehingga 30 Disember lalu, Ombak Rindu tidak terlepas melakukan kesilapan.
Sebuah blog pengkritik filem, Goofspotonfilm.blogspot.com (Goof Spot), menyenaraikan lebih 20 kesilapan filem Ombak Rindu yang mungkin tidak disedari oleh ramai penonton filem tersebut setelah diteliti dari sudut ‘shot’, audio dan visualnya.
Antara kesilapan-kesilapan yang dikenal pasti oleh pemilik blog itu ialah mengenai arah laluan keretapi yang dinaiki Izzah untuk ke Kuala Lumpur adalah bertentangan dengan arah sebenar dan menunjukkan ia menuju ke arah Arau atau Thailand.
“Scene keretapi ini dilakonkan di stesen kereta api Alor Star. Ianya berdasarkan struktur stesen dan kawasan yang dalam pembinaan, yang mana adalah dahulunya adalah bangunan lama. Dalam filem ini, Izzah naik tren nak ke Kuala Lumpur.

“Dalam realitinya, tren yang dinaiki Izzah sebenarnya menuju ke Arau dan seterusnya ke Siam. Untuk ke Kuala Lumpur, tren sepatutnya datang dari arah yang berlawanan. Dan, tren tersebut hanya ada pada waktu malam,” dakwa pemilik blog tersebut.
Menggelikan hati, Goof Spot turut mendedahkan mengenai sikap ambil mudah produksi Ombak Rindu mengenai pakaian yang dipakai hero filem, Haris, yang sekejap basah dan kering begitu cepat sekali.
“Haris yang basah kuyup sebab tolong Izzah masuk ke dalam kelab malam dengan baju putih yang dipakainya tadi semasa menyelamatkan Izzah.

“Peliknya, bajunya kering dan tidak menunjukkan tanda tanda basah sedikit pun (walaupun ada adegan Haris lap mukanya dengan tisu). Sempat plak Haris betulkan rambutnya yang basah tu ek.

“Malah, semasa Haris buka bajunya dan menampakkan singlet. O mai goodness, singletnya tak kelihatan basah dan melekit ke badan pun.

“Malah, baju yang sama, seluar jeans basah dan dengan kasut yang sama juga dipakai sehinggalah dia balik berjumpa mamanya. Nampaknya Haris memang suka pakai baju, seluar dan kasut basah. Ha3,” katanya menyindir tentang logik filem tersebut.

Selain itu, Goof Spot turut mempertikaikan tentang sekeping gambar di dinding bilik yang muncul tiba-tiba di dalam bilik Izzah.
“Sekeping gambar muncul di lajur tengah bawah secara tiba lepas tukar syot,” katanya lagi.

Blog itu turut mempersoalkan mengenai sebuah bakul sampah di dalam bilik air yang ditendang Haris yang gagal dikesan hilang entah ke mana.
“Bakul sampah yang disepak Haris hilang entah kemana walaupun tak ada siapa pun ubah semasa Haris angkat Izzah,” katanya kecewa kerana gagal mengesan bakul sampah itu.

Begitu juga dengan tali yang sepatutnya berada di depan hujung sampan di dalam adegan jam Izzah terjatuh ke dalam sungai, tali itu juga hilang tiba-tiba sebagaimana bakul sampah tersebut.

Pemilik blog itu juga mempertikaikan mengenai pergerakan bibir pada beberapa dialog filem yang tidak sama dengan audio filem yang mungkin disebabkan oleh kelemahan rakaman suara filem Ombak Rindu itu.
“AUDIO PROBLEM / Synchronization: Semasa Afiah cakap ‘I dan Haris tak ada apa2 hubungan’, ucapannya tak sama dengan bibirnya.

“AUDIO PROBLEM / Synchronization: Mulut Izzah masih bergerak walaupun dia dah selesai sebut ‘… sementara Pak Dollah dan Mak Jah balik’ dalam syot selepas itu,” kritiknya lagi.
Goof Spot turut mendedahkan ‘auta’ filem itu pada adegan Haris menghubungi Izzah menggunakan telefon rumah dan nombor yang tertera di telefon bimbit Izzah menunjukkan nombor telefon Haris bermula dengan nombor 010 atau 016.
“FAKTA ATAU AUTA: Haris telefon Izzah guna telefon rumah. Tetapi, di handphone Izzah, korang akan nampak nombor 010 ataupun 016 (which means that panggilan ini dari nombor telefon bimbit).
Malah, nama pemanggil, ‘Abang Haris’ tertera di skrin walhal Haris tidak menggunakan telefonnya untuk call Izzah,” kata pemilik blog itu mendedahkan kelemahan filem itu.
Untuk melihat dan membaca lagi kelemahan-kelemahan filem ‘air mata’ itu, para pembaca boleh melayari blog tersebut di SINI.