0

'Bubu' Kekasih Syahrini Bukan Cucu Sultan Selangor

Syahrini bersama Bubu yang mendakwa dirinya cucu kepada Sultan Selangor.



SHAH ALAM – Kerabat Diraja Selangor mengesahkan Raja Mohammad Syazni Raja Mohammad Rashid, kekasih artis Indonesia Syahrini bukan cucu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah seperti didakwa.

Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj berkata, dakwaan tersebut tidak benar memandangkan Sultan Sharafuddin dikurniakan dua puteri iaitu Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah serta seorang putera iaitu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang hampir sebaya Raja Mohammad Syazni.

"Saya mengesahkan bahawa Raja Mohammad Syazni Raja Mohammad Rashid bukan cucu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj," katanya kepada Sinar Harian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.



Terdahulu, Syahrini melalui portal hiburan Indonesia, detikhot. com mendakwa menjalinkan hubungan dengan seorang Kerabat Diraja Selangor, iaitu Raja  Mohammad Syazni atau lebih dikenali sebagai Bubu.

Beliau berkata, mereka bercinta sejak dua tahun lalu selepas berkenalan ketika bertemu sempena sambutan tahun baru di Kuala Lumpur pada Disember 2010. Manakala Bubu pula mengesahkan dirinya merupakan Kerabat Diraja  Selangor dan bukan berasal dari Bogor dan berketurunan Batak sebagai mana yang dihebohkan media Indonesia sebelum ini.

“Saya ada dengar berita yang tidak menarik mengenai saya. Saya bukan orang Bogor atau Batak. Berita yang anda dengar itu adalah tidak benar.

“Saya keturunan raja, saya adalah cucu Raja Selangor. Nama saya Raja, tak semua orang di Malaysia boleh menggunakan nama itu,” kata Bubu.
0

Lufya 'Hadiahkan' Lagu Ketuhanan Kepada Zarina Anjoulie



KUALA LUMPUR: Penyanyi Lufya Omar, yang terlibat dengan kontroversi pergaduhan bersama Zarina Anjoulie Lavocah telah mendedikasikan lagu single terbarunya, Doaku, bagi tujuan berdamai.

Lufya berkata, dia mahu Zarina menghayati lagu yang berbentuk ketuhanan itu dan dapat memaafkan antara satu sama lain, bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba pada 21 Julai depan.

"Sebelum ini, terlalu banyak perkara yang berlaku antara saya dan dia. Saya agak malu dengan kejadian itu semua namun tidak pernah membalasnya sebab tak nak besarkan isu.

"Apa-apapun, saya ambil perkara ini sebagai benda positif, dan bagi tujuan berdamai, saya tujukan lagu 'Doaku' untuknya," kata penyanyi itu lagi.

Pada pertengahan April lalu, sebuah blog hiburan menyiarkan kenyataan Lufya di mana ada peminat yang tersalah anggap dirinya adalah Zarina dan hal tersebut menyebabkan dia pernah diraba oleh seseorang sambil dipanggil 'Anju' yang jelas merujuk kepada pelakon itu.

Kemudian, Zarina melancarkan 'perang' terhadap Lufya sebagai respons terhadap artikel berkenaan menerusi akaun Twitter miliknya dan mengejek penyanyi berkenaan dengan panggilan yang tidak enak didengar.

Tambah Lufya, walaupun dikutuk hebat oleh pelakon seksi itu, dia menerima dengan tenang dan ia juga sebahagian daripada promosi untuk dirinya kepada peminat-peminat yang baru ingin mengenalinya.

Mengenai lagu Doaku, ia merupakan lagu ciptaan pertamanya selepas single pertama, Diam, yang dikeluarkan pada tahun lalu.

"Lagu ini teramat istimewa buat saya kerana ia merupakan ciptaan sepenuhnya oleh saya dengan bantuan penyusun muzik, Rafikconcept.

"Idea lagu tersebut adalah berkonsepkan ketuhanan juga datangnya dari saya di mana saya ingin menceritakan perasaan diri yang mahukan petunjuk ke arah yang diredhai.

"Alhamdulillah, setakat ini saya menerima respons yang positif apabila meletakkan lagu tersebut di laman Youtube," tuturnya.

Dalam pada itu, Lufya berkata, memandangkan dia ingin memberi sepenuh perhatian terhadap karier nyanyiannya itu, dia terpaksa berehat seketika daripada aktiviti lakonan.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
0

Artis Wanita Popular Baru Balik Dari Umrah Ligat Clubbing


Di dalam laman blog hiburan sensasi rotikaya, terpampang kisah seorang selebriti wanita popular di dakwa masih menjejakkan kaki ke kelab hiburan. Mungkin ada yang beranggapan apa salahnya dengan tindakkan tersebut lagipun itu adalah hak individu-biarlah, kenapa nak sibuk?

Ya betul. Tetapi apa yang tidak manisnya, figura tersebut dilaporkan baru saja pulang dari tanah suci selepas menunaikan umrah baru-baru ini. 

Memetik kenyataan di laman terbabit, dua keping foto yang difahamkan kiriman e-mail daripada seseorang itu memperlihatkan selebriti ini sedang asyik melayan khayalnya. Kalau diambil sedikit masa dalam seminit dua meneliti gambar tersebut, semacam ramai yang boleh meneka siapakah dia. 

Siapa sangka imej baik yang cuba tonjolkannya sekarang ini sekadar bayangan gurauan untuk menjayakan drama. Dan, bukan niat kami mahu menyalahkan mana-mana pihak cuma kami rasa pelik dengan strategi pemasaran beberapa produksi Malaysia yang berfikir imej baik dapat di’tonjolkan dengan hanya menghantar mereka untuk menjalani penggambaran sambil menjalankan ibadah Umrah. Astagfirullah.


0

Aishwarya Rai Dikritik Kerana Tembam

Ramai yang terkejut melihat kemunculan Aish selepas bersalin.


Gelaran Ratu Cantik Dunia 1994 yang pernah dianugerahkan kepadanya sedikit masa dahulu kini dipertikaikan.

Mana tidaknya, rupa paras serta susuk tubuh yang dulu layak menerima gelaran wanita tercantik dunia itu kini berubah menjadi wanita tembam yang mengalami kesukaran menurunkan berat badan selepas melahirkan anak sulungnya, Aaradhya November lalu.

Mungkin jika Aishwarya Rai atau mesra disapa Aish dulu bukan pemenang Ratu Cantik Dunia, hal ini tidak akan dijadikan isu besar.

Tetapi disebabkan sang ratu ini dikenali di peringkat antarabangsa, maka masalah berat badannya ini dipandang sebagai perkara penting buat peminatnya juga rakyat di India.

Malah, aktres ini juga dikritik kerana gagal dapat kembali potongan asal badannya seperti selebriti lain yang pernah melahirkan anak.

Hampir enam bulan masih lagi kekal dengan tubuh badan berisi, Aish mula dikritik peminat apabila gambarnya yang ketika itu dengan dagu berlapis tersebar di internet.


Foto yang terpampang di laman sesawang itu kini dilihat sebanyak 500,000 kali dengan pelbagai komen negatif dan kecaman terhadap kemunculan terbaru aktres itu.

Tidak kurang juga salah seorang peminat meninggalkan komen yang bertulis, “Sebagai aktres Bollywood adalah menjadi tugasnya untuk tampil menarik dan cantik.”

Penghantar komen turut membandingkan aktres itu dengan beberapa selebriti Hollywood lain seperti Angelina Jolie, Victoria Beckham dan Beyonce yang berjaya mendapatkan susuk tubuh asal selepas melahirkan anak dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, ada yang mendesak Aish mengupah pelatih profesional yang dapat membantu mengembalikan potongan badan asal seperti zaman bujangnya.

Memaluka negara?

Sebagai ratu cantik juga, Aish dianggap memalukan negaranya kerana hadir di khalayak ramai dengan potongan badan sebegitu.

Baru-baru ini, Aish yang merupakan duta Longines dijemput menyampaikan anugerah Most Elegant Lady yang dimenangi Carolyn Coe di acara Dubai World Cup.

Tindakannya yang hadir ke acara-acara penting tanpa sebarang rasa malu membuatkan ramai peminat memperkatakan mengenai aktres ini.

Namun, aktres berusia 39 tahun ini juga seperti tidak menghiraukan cakap-cakap orang mengenai dirinya dengan tampil di khalayak ramai.

Terbaru, Aish juga dijangka bakal memeriahkan Festival Filem Cannes 2012 yang kini berlangsung di Perancis Biarpun belum lagi berjaya menurunkan berat badan, namun undangan daripada pelbagai pihak yang menjemputnya hadir ke acara-acara
penting tidak berkurangan.

Berpegang kepada prinsip tidak mahu tertinggal menikmati saat bergelar ibu, Aish terbuka menerima kritikan.

Malah, Aish membalas komen peminat dengan memberitahu dia kini sedang menikmati saat-saat bahagia bergelar ibu.

Sementara itu, seorang yang pakar dalam industri hiburan di India, Shohini Ghosh berkata, masyarakat di India dibesarkan dengan pemikiran untuk menikmati kehidupan mereka bergelar ibu.

Namun, terdapat perbezaan antara wanita biasa dengan kehidupan aktres di negara itu.

“Ramai orang keliru kerana mereka tidak tahu sama ada untuk menyanjung Aishwarya yang ingin merasai kehidupan barunya bergelar ibu atau pun mengutuk kerana dia (Aish) gagal menunjukkan contoh yang baik sebagai role model,” katanya.

Masih punya peminat setia

Walaupun menerima banyak komen negatif, namun Aish masih disokong peminat-peminatnya yang lain.

“Dia (Aish) seperti perempuan lain yang punya keinginan menjaga anak. Kita seharusnya ambil berat mengenai kesihatan dan kegembiraannya.

“Bukannya seperti negara Barat yang hanya mementingkan penurunan berat badan. Jika dia berdiet, apa akan terjadi kepada bayinya,” kata peminat.

Salah seorang peminat yang lain memuji Aish kerana tidak mementingkan diri semata-mata untuk kecantikan.

“Aish berbeza dengan selebriti di Hollywood kerana tidak mahu ketinggalan rasai pengalaman sebagai ibu dengan menyusukan anak. Negara Barat hanya melihat yang cantik sahaja tanpa ambil kira perasaan orang lain,” katanya.

Aish sebelum ini kerap muncul di karpet merah acara gemilang dengan menggayakan pelbagai fesyen menarik dan mendapat perhatian media.

OLEH NURUL NAZRAH NAZARUDIN
0

Marsha Milan Londoh Dituduh 'Gedik'



PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Marsha Milan Londoh tidak berkecil hati terhadap segelintir pihak yang menuduh dirinya "gedik".

Menurut wanita berusia 27 tahun ini, dia tidak mahu memikirkan hal itu sebaliknya lebih selesa memberi tumpuan kepada dunia seni yang diceburi sejak tujuh tahun lalu itu.

“Kalau hendak diambil kira setiap apa yang orang katakan pada kita, memang pening jadinya. Saya sedar ramai orang yang memandang remeh akan kewujudan saya dalam industri.

“Mereka anggap saya hanya tahu buat gedik selain kewujudan saya dilihat seperti tidak memberikan sumbangan tetapi saya tidak berkecil hati dan enggan memikirkan perkara itu,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.




Pengacara program Propaganza di Astro Ria itu berkata, atas kesedaran tersebut dia sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kerjanya agar dapat meyakinkan khalayak terhadap kebolehannya dalam bidang seni.

“Saya tahu bukan mudah untuk mengikis persepsi orang jika kita sudah diberikan sesuatu jolokan. Sama juga kesnya dengan saya di mana orang akan tetap labelkan saya seorang yang gedik walau apa pun saya lakukan.

“Namun, saya berusaha untuk meningkatkan kualiti dalam apa juga kerja yang diceburi. Saya tidak pernah berputus asa untuk meyakinkan masyarakat terhadap bakat yang dimiliki dan bukan sekadar berperangai gedik dan menggoda semata-mata,” jelasnya.

Ditanya mengenai kehidupannya selepas kontroversi tuduhan dia menelan pil dipercayai bertujuan untuk membunuh diri sebelum ini, Marsha berkata dia mahu melupakan kisah hitam itu.

“Saya semakin bersemangat selepas lapan bulan kes itu berlalu. Saya akui kejadian itu benar-benar membuatkan saya tertekan dan trauma tetapi kini saya sudah stabil.

“Saya berharap agar 2012 akan menjadi tahun yang baik dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Lagipun, pada tahun ini saya mahu mengeluarkan beberapa buah lagu dan kerjaya lakonan juga kian berkembang,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Kenapa Adi Putra Buka Dan Tutup Fail Cerai??

KEMBALI bersama. Adi menegaskan dia tidak pernah melafazkan talak terhadap isterinya, Zuhaida.

Tatkala industri hiburan tanah air masih belum reda dengan pergolakan rumah tangga yang menimpa pelakon cantik, RitaRudaini, kini masyarakat sekali lagi dikhabarkan dengan kes pemfailan cerai aktor, Adi Putra, pada 11 Mei lalu.

Perumpamaan ‘disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, begitu sinonim dengan situasi pergolakan rumah tangga yang berakhir dengan penceraian.

Namun, berlainan pula dengan pergolakan rumah tangga Adi atau Mohamed Hadi Putera, 31, bersama isterinya, Zuhaida Yusof, 37, yang akhirnya menemui jalan penyelesaian dengan menarik semula kes itu Isnin lalu.

Kelmarin, Adi dan Zuhaida mengadakan sidang media di sebuah kafe, Hotel Park Royal bagi menjelaskan mengenai status mereka selepas timbul kontroversi kedua-duanya dikatakan sudah lagi tidak sehaluan.


Sidang akhbar oleh Adi Putra dan isterinya,Zuhaida.

“Saya bersyukur kerana diberi kesedaran menarik semula kes ini sekali gus menyelamatkan hubungan kami sebagai suami isteri.

“Apa yang berlaku sehingga saya ambil keputusan menarik semula kes penceraian terhadap isteri, saya anggap ia satu keajaiban,” jelas Adi.

Menurut Adi, keputusan untuk memfailkan penceraian tidak semestinya berakhir dengan perpisahan, malah apa yang berlaku juga menjadi iktibar buat dirinya untuk lebih hargai rumah tangga yang telah dibina selama enam tahun itu.

“Setelah memfailkan kes ini, pihak mahkamah beri saya dan isteri masa selama sembilan hari untuk berfi kir panjang tentang masalah ini.

“Alhamdulillah, berkat usaha kami untuk menyelamatkan rumah tangga ini, akhirnya termakbul dan kami bersetuju untuk tarik semula fail penceraian supaya dapat meneruskan kehidupan sebagai suami isteri,” katanya.

Ada orang ketiga?

SEAKAN satu kebiasaan, apabila sesuatu masalah menimpa seseorang artis pasti tidak terlepas daripada pelbagai spekulasi yang mengeruhkan lagi keadaan.

Adi yang tidak terlepas daripada perkara yang sama menegaskan bahawa setiap spekulasi daripada pelbagai pihak yang mengaitkan orang ketiga dan isu anak dalam pergolakan rumah tangganya adalah tidak benar sama sekali.

“Saya akui, sebagai manusia biasa, saya tidak boleh menghentikan spekulasi yang dilemparkan.

“Tetapi, di sini saya mahu mengatakan apa yang berlaku tidak ada kena mengena langsung dengan pihak ketiga dan isu anak yang di gembar gemburkan sesetengah pihak,” katanya.

Tambahnya, punca utama yang menyebabkan tercetusnya pemfailan
penceraian adalah disebabkan kurang persefahaman antara dirinya dan isteri, bukannya seperti yang di sebarkan.

“Mana-mana rumah tangga pun pasti ada pergolakan dan ia seakan lumrah hidup dan wujud sejak awal perkahwinan.

Kami juga sama seperti pasangan lain yang tidak terlepas daripada perkara yang sama.

“Bagaimanapun, saya tidak menyesal memfailkan penceraian itu, malah apa yang berlaku menjadi satu pengajaran yang bermakna buat saya dan menganggapnya sebagai realiti kehidupan yang sebenar,” ujarnya.

Masih percaya suami

TURUT bersyukur dengan keputusan yang diambil Adi, Zuhaida mengatakan pergolakan yang berlaku dalam rumah tangganya tidak sedikit pun menjejaskan kepercayaan dirinya terhadap suami.

Malah, Zuhaida yang kelihatan tenang sepanjang musibah yang melanda rumah tangganya mengakui telah bersedia dan reda dengan segala kemungkinan yang berlaku.

“Sebelum ini, saya pernah mengalami penceraian yang pertama dan segala kekuatan yang ada pada diri saya untuk berdepan dengan masalah ini sudah cukup buat saya laluinya dengan tenang.

“Saya bersyukur kerana tempoh yang diberikan pihak mahkamah benar-benar membantu. Tempoh sembilan hari itu kami manfaatkan dengan sebaik mungkin dengan meluahkan perasaan masingmasing sehingga bersetuju menarik semula kes tersebut,” katanya.
0

Hubungan Cinta Fizz Fairuz Dan Almy Nadia 'Ibarat Retak Menanti Belah'



PETALING JAYA: Pelakon Fizz Fairuz mengambil pendekatan meletakkan telefon sebelum berkata no comment ketika diajukan persoalan keretakan hubungannya dengan Almy Nadia.

Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, 32, yang dihubungi mStar Online di sini Ahad, seolah-olah terkejut dengan kenyataan 'makan diri' sebelum ini yang pernah mendakwa dia mahu meminang kekasihnya itu.

"Saya tak nak komen apa-apa. Harap faham," katanya ringkas lalu menamatkan panggilan telefon serta-merta.

Tidak sampai dua minggu sejak Fizz Fairuz meluahkan hasratnya untuk memperisterikan Almy Nadia, aktres itu pula tampil dengan kenyataan mengejut bahawa hubungan mereka kini di ambang keretakan.

Dalam kenyataannya kepada akhbar Berita Minggu pada Ahad, Almy berkata hubungan mereka boleh diibaratkan seperti retak menanti belah kerana mereka tidak lagi mesra sejak dua tahun kebelakangan ini dan dia tidak lagi diendahkan oleh aktor itu.
Almy Nadia


Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 26, juga dilaporkan sebagai berkata, aktor itu sekadar bercakap tanpa berfikir panjang.

Dia turut menyifatkan ia sebagai gurauan semata-mata mengenai hasrat untuk berkahwin kerana hubungan mereka kini berada di ambang perpisahan.




Almy dalam satu kenyataan kepada mStar Online bertarikh 9 Mei lalu, mengakui sangat terkejut selepas mendengar laporan kekasihnya itu berhasrat untuk mengahwininya pada tahun ini.

Bagaimanapun, aktres berusia 26 tahun itu tidak dapat memberi sebarang reaksi kerana tidak mengetahui apa-apa mengenai hasrat Fizz.

Dalam pada itu, Almy yang dihubungi pula tidak mahu memberikan sebarang kenyataan.

"Tak nak komen... Saya tak nak komen apa-apa, boleh tak? Minta maaf sangat-sangat," jawab Almy.

Terdahulu, Fizz dilaporkan portal Rotikaya.com pada 8 Mei bahawa dia sudah memasang niat untuk mengahwini Almy pada tahun ini.

Katanya, perkara itu akan menjadi kenyataan selepas ibunya kembali daripada mengerjakan umrah pada Jun depan sebelum mereka menetapkan tarikh pernikahan.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Rita Rudaini Minta Aidil Zafuan Jangan Jadi 'Lalang'

RITA menafikan dia pernah meminta cerai daripada Aidil Zafuan.


KEMELUT rumah tangga Rita Rudaini Mokhtar, 36, dan pasangannya, Aidil Zafuan Abd. Razak boleh dikatakan sudah sampai ke penghujungnya apabila pelakon itu mengakui hatinya sudah tiada untuk pemain bola sepak kebangsaan itu setelah dua kali hampir diceraikan.

Kali pertama Rita diceraikan Aidil Zafuan ketika mengandungkan anak keduanya iaitu Airit Rafqa, 1, dan kemudiannya Aidil Zafuan menarik balik perceraian tersebut.

Lapan bulan selepas penarikan cerai tersebut Rita sekali lagi diceraikan Aidil Zafuan apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya bahawa dia tidak boleh hidup sebumbung lagi bersama pelakon itu.

Namun, Khamis lalu, ramai yang terkejut apabila Aidil Zafuan sekali lagi menarik balik permohonan cerai yang difailkan terhadap Rita.

Kosmo! menghubungi Rita untuk mendapatkan maklum balas penarikan cerai tersebut dan dengan nada kesal, Rita memberitahu: "Saya sudah tak ada hati untuk dia dan serahkan semuanya kepada Allah. Hati saya sudah remuk apabila dua kali diceraikan tanpa sebab."


Ikuti temu bual Kosmo! bersama Rita selanjutnya.

Kenapa anda menyatakan sudah tiada hati untuk Aidil Zafuan sedangkan sebelum ini anda juga merayu minta jangan diceraikan?

Saya tidak pernah merayu minta jangan diceraikan. Saya cuma mahu hak saya dan nak dia beri alasan yang kukuh kenapa dia mahu tinggalkan saya dan anak-anak.

Jika dulu anda terima semula Aidil Zafuan, kenapa tidak kali ini?

Ini bukan kali pertama dia nekad mahu ceraikan saya tapi sudah dua kali. Kalau dia ada pendirian dan mahu betul-betul berubah, benda macam ini (permohonan cerai) tidak akan terjadi lagi. Saya minta dia jangan jadi macam lalang membiarkan orang lain yang masuk campur urusan rumah tangga kami. Pertama kali dulu dia ceraikan saya ketika sedang mengandungkan anak kedua. Tiba-tiba dia tarik balik. Walaupun masa itu hati saya dah hancur tapi bila fikirkan pasal anak, saya terima semula. Saya ingatkan dia dah sedar dan berubah tapi lapan bulan selepas itu dia sekali lagi tinggalkan saya dan anak-anak selama empat bulan tanpa beri nafkah dan tiba-tiba hantar SMS kata mahu bercerai.

Adakah anda takut untuk terima dia kali ini kerana takut kes ini (cerai) berlaku semula?

Ya, memang saya takut benda ini akan berlaku semula walaupun sebelum ini dia pernah bersumpah dan berjanji tidak akan menceraikan saya. Dia juga pernah berjanji tidak akan membiarkan orang lain yang menguruskan hal rumah tangga kami.

Buat masa ini anda kata tiada hati lagi untuk dia, tetapi dalam masa yang sama menyerahkannya kepada Allah. Jadi, adakah anda akan menerima atau menolak untuk bersama Aidil Zafuan?

Saya akan pergi menunaikan umrah selama 14 hari bermula esok (22 Mei) dan mahu memohon petunjuk terhadap masa depan rumah tangga saya. Jika Aidil Zafuan tidak memudaratkan saya, saya minta dia didekatkan dengan saya dan begitu juga sebaliknya.

Aidil Zafuan pernah membuat kenyataan bahawa anda yang mahu mempercepatkan perceraian, namun selepas itu dia membatalkan permohonan perceraian yang dibuatnya sebelum ini dan meminta anda kembali taat. Apa komen anda?

Demi Allah saya tidak pernah minta cerai dengan dia. Lagi satu kenapa dia minta saya taat sedangkan saya tidak pernah meninggalkan rumah. Dia yang keluar daripada rumah meninggalkan saya dan anak-anak selama empat bulan tanpa nafkah. Saya cuma SMS dia beritahu dia pasal taklik. Seorang suami tak boleh tinggalkan isteri selama tiga bulan tanpa beri nafkah zahir dan batin. Selepas itu saya cakap kalau awak tak mahu saya lagi, jangan buat macam ini. Kemudian, terus dia SMS saya beritahu bahawa dia sudah ke mahkamah failkan permohonan perceraian. Kenapa pula dia minta saya kembali taat. Siapa yang nusyuz sekarang?

Bila kes anda akan disebut semula?


Sebutan semula kes permohonan perceraian saya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 18 Jun ini.

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
0

Hafiz Juara 'Mania' Bawa Pulang RM500,000

Hafiz (tengah) membawa pulang wang tunai sebanyak RM500,000.


KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir Mania di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.

Hafiz atau nama sebenarnya, Hafiz Suib , 22, mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 28 peratus sekaligus menerima wang kemenangan sebanyak RM500,000 beserta trofi.

Menurut bekas juara program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), dia bersyukur dengan kemenangan yang diperoleh walaupun tidak menyangka mampu mengalahkan empat lagi peserta saingannya iaitu Stacy, Jaclyn Victor, Hazama dan Aril.



"Saya terkejut dan pada masa sama gembira dengan anugerah ini.

"Semoga hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 ini dapat saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya pada sidang akhbar selepas konsert berlangsung.

Dalam pada itu, produser yang dipertanggungjawabkan sebagai penerbit Hafiz iaitu Ahmad Dhani turut menerima habuan sebanyak RM300,000.

Sementara itu, Stacy mendapat tempat kedua dengan mengumpulkan undian sebanyak 22 peratus menerima wang tunai sebanyak RM200,000 dan trofi.

Manakala Jaclyn Victor berada di tempat ketiga, setelah berjaya mendapat hasil undian sebanyak 22 peratus, sekaligus memperoleh wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi.

Hadiah-hadiah tersebut telah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh diiringi Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani.

Pada pembukaan konsert tersebut, peserta-peserta yang telah di singkir seperti Adira, Shila Amzah, Akim, Awi Rafael dan Atilia telah membawakan beberapa lagu medley.

Berikut adalah lagu-lagu yang disampaikan oleh para finalis Mania pada konsert akhir sebentar tadi

Empayar Biru

Jaclyn Victor: 1) Arjuna (Dewa) duet bersama Tiar Jinbara
2) Kenangan Terindah (Samsons) + Gemilang (Jaclyn Victor)


Empayar Merah

Stacy: 1) Takkan Melupakanmu (Radja)
2) Cinta (Melly Goeslow & Kris Dayanti) duet bersama Fiq Mentor


Hazama: 1) Saat Ku Idamkan (Amy Search)
2) Kepadamu Kekasih (M.Nasir) duet bersama Datuk Hattan


Empayar Hijau

Hafiz: 1) Beribu Sesalan (3 Suara) duet bersama Sarah Raisuddin
2) I Believe I can Fly (R.Kelly)


Aril: 1) Starlight (Muse)
2) ISabella (Search) duet bersama Ari Lasso


Dua lagenda Superstar iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan Wings hadir sebagai artis undangan pada final ini. Datuk Siti Nurhaliza menyampaikan medley lagu-lagu ciptaan para produser muzik Mania manakala kumpulang Wings menyampaikan lagu Peronda Jaket Biru dan Romania.

Konsert Akhir Mania, turut dipancarkan secara langsung ke saluran Astro Ria (104), Saluran HD (188) dan Astro Ria (34) SingTel mio TV.


JUARA MANIA - HAFIZ 'I BELIEVE I CAN FLY'