0

Kisah Cinta Jarak Jauh Yuna Dan Qi...

Yuna dan Qushairi Mohammed Razali atau Qi.
CINTA jarak jauh banyak dugaannya. Apatah lagi apabila pasangan dipisahkan beribu-ribu kilometer antara dua benua, macam-macam boleh berlaku. Namun, dengan kecanggihan teknologi, sedikit sebanyak ia berupaya menjadi jambatan bagi pelepas rindu.

Begitulah keadaannya hubungan antara Yunalis Zarai atau Yuna yang kini cukup popular dengan single terbaru, Penakut dan teman istimewanya bekas anggota OAG dan pengacara, Qushairi Mohammed Razali atau Qi.


Yuna kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sejak awal tahun ini bagi pembikinan album sulungnya untuk pasaran di negara itu. Ia dijangka menemui peminat pada awal tahun depan.

Sebelum ini Yuna enggan bercerita banyak mengenai hubungannya dengan pengacara rancangan Jalan Jalan Cari Makan siaran TV3 itu. Mungkin kerana berasakan persahabatan terjalin antara mereka masih baru.


Tambahan pula pandangan masyarakat juga turut mempengaruhi. Kata orang kurang manis jika si dara bercerita banyak mengenai sesebuah hubungan yang belum pasti. Disebabkan perkara itu mungkin menyebabkan Yuna lebih berhati-hati apabila mahu berbicara mengenai cinta.


Bagaimanapun sewaktu pulang ke tanah air baru-baru ini dan menjalani sesi fotografi khas bersama Rap sempena Ramadan, Yuna nampak makin selesa untuk berbicara mengenainya.

GIGIH...giat melebarkan sayap di negara luar dengan muzik dipelopori

Kata Yuna, sewaktu mula-mula melangkahkan kaki di AS, dia berhadapan masalah apabila mahu berhubung dengan Qi. Malah gadis kelahiran Alor Setar, Kedah itu sempat berkongsi cerita dia ditipu sewaktu membeli kad prabayar talian telefon buat pertama kali di sana.

“Mula-mula sampai di AS, saya sempat bertanya dengan orang di sana bagaimana hendak mendapatkan kad prabayar telefon bimbit. Saya sendiri tidak tahu sistemnya bagaimana. Saya beli kad dengan harga hampir RM150 tapi selepas bercakap 15 minit, kreditnya sudah habis!

“Apabila kita berjauhan, memang telefon saja yang boleh menjadi penghubung. Kalau hendak sembang melalui Skype atau laman sosial lain, ia memang susah kerana kami sama-sama sibuk,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai masa depan hubungan yang sudah terjalin hampir setahun itu, jelas Yuna, seperti juga gadis lain sudah tentu dia mengharapkan ia akan berakhir dengan ikatan secara sah. Sekali gus mampu membina kehidupan berkeluarga bersama.

“Bagaimanapun, buat sementara ini kami lebih senang bersahabat. Lagipun kami mahu beri masa kepada diri masing-masing untuk membina kerjaya. Bagaimanapun, kita tidak tahu. Allah lebih berkuasa untuk menentukan jodoh dan maut ke atas hamba-Nya. Kalau sudah sampai masa, tahun depan kami bernikah saya akan terima dengan hati terbuka,” katanya.

Menyentuh mengenai sambutan Ramadan, jelas Yuna dia menjalani ibadat seperti biasa, lagipun di sana komuniti Islamnya agak besar, jadi dia dapat melakukan ibadat dengan sempurna.

Istimewanya sambutan Ramadan kali ini, Yuna berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dengan berniaga tudung secara kecil-kecilan yang diusahakan bersama keluarganya.

Menggunakan jenama ‘i am jetfuel shop’, butiknya beroperasi di Subang berhampiran dengan kediamannya, jelas Yuna perniagaan tudung dilakukan bermula dua bulan lalu.

“Setakat ini sambutan yang diberikan peminat sangat menggalakkan terutama tudung dengan gaya skaf lilit keliling. Sebelum ini saya hanya menjualnya menerusi laman web khas. Bagaimanapun, dengan sedikit modal yang ada saya membuka butik kecil untuk menjual secara langsung,” katanya.

Keinginan untuk membabitkan diri dalam perniagaan tudung bermula selepas melihat begitu banyak pihak menggunakan namanya apabila menjual skaf seperti yang selalu digayakan.

“Saya memang suka tudung dan skaf sejak dulu. Malah, sering memakainya dengan pelbagai gaya. Tidak sangka pula ia menjadi ikutan. Bukan itu saja, peminat sendiri banyak bertanya dari mana saya mendapatkan tudung yang dipakai. Memikirkan perkara itu terdetik di dalam hati mengapa tidak saya sendiri menjualnya kepada mereka,” katanya.

Peluang turut terbuka apabila melihat peniaga lain menggunakan namanya sebagai satu jenama tudung dijual. Pada Yuna mengapa tidak dia sendiri mengusahakan perniagaan itu memandangkan ada permintaan dari orang ramai.

“Tudung yang dijual di butik saya bagaimanapun tidaklah mahal seperti butik sedia ada. Saya faham kebanyakan peminat saya terdiri daripada remaja dan pelajar universiti. Mereka tidaklah berduit sangat, jadi dengan harga yang dijual itu bolehlah mereka membelinya. Lebih penting ia adalah jenama saya sendiri. Sekurang-kurangnya ia dapat menjadi kenangan,” katanya.

Sebagai seorang peniaga, Yuna juga sedar akan saingan apabila mengambil keputusan untuk menjual tudung. Apatah lagi dalam musim perayaan ini ramai yang lebih sedang mendapatkan tudung dijual di bazar Ramadan.

“Bagaimanapun, tidak semua orang selesa hendak berasak-asak semata-mata hendak mendapatkan sehelai tudung. Di butik saya di Subang, peminat atau orang ramai dapat membeli dan memilih tudung yang digemari dengan lebih selesa. Saya turut menjual skaf atau selendang dengan pelbagai corak dan warna jadi ia memudahkan orang ramai untuk menggayakannya di pagi raya,” katanya lagi.

Selain itu Yuna juga berasa puas apabila selendang mahupun skaf yang dijual dibeli peminat yang pertama kali hendak memakai tudung. Apatah lagi harganya tidak lebih daripada RM80.

Yuna berada di Los Angelas sepanjang Ramadan ini dan hanya akan pulang ke tanah air pada hari raya pertama. Waktu sama dia juga kini sedang sibuk membuat persiapan bagi menjayakan konsertnya bersama Dewan Filharmonik Petronas yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan September ini.



PROFIL

Nama Penuh: Yunalis Zarai
Panggilan: Yuna
Tarikh Lahir: 14 November 1986
Usia: 25 tahun
Tempat Lahir: Alor Setar, Kedah
Hobi: Menonton filem
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Pencapaian: Artis Baru Terbaik (Dan Sebenarnya - AIM17), Lagu Terbaik (Dan Sebenarnya - AIM17), Lagu Pop Terbaik (Dan Sebenarnya AIM - 17) Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Deeper Conversation - AIM 17), Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-24, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ABPBH 2009 dan Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 2010.
Kredit: Sumber


0

Nabil Raja Lawak Dan Nazirah Ayub Bakal Bernikah September 2011


Kata orang kalau dah sampai serunya, pasti akan berkahwin jugak. Tahniah Abang Nara ucapkan kepada Nabil Raja Lawak (28 tahun) yang akan melangsungkan perkahwinannya dengan Nazirah Ayub (23 tahun). Bakal isteri Nabil adalah seorang bekas pramugari Air Asia. Kedua-duanya memang sama cantik dan sama padan.

Nabil dan Nazirah sudah berkenalan selama 6 tahun. Dan Nabil mahu segera bergelar suami kerana takut pisang berbuah dua kali.Saya tidak mahu menunggu lama lagi. Bukan terburu-buru, tetapi saya tidak mahu pisang berbuah dua kali selepas percintaan dengan Irma Hasmie selama dua tahun dulu kecundang di tengah jalan.
Saya mengenai Zira sudah enam tahun, dia rapat dengan adik ipar saya. Tapi kami hanya kenal saja, tak rapat dan bercakap jauh sekali. Bagaimanapun, hubungan kami menjadi semakin akrab sejak awal tahun ini. Saya melihat kelebihan pada Zira yang tidak ditemui pada gadis lain. Saya suka sikapnya yang tidak suka menunjuk-nunjuk dan ikhlas. Keistimewaan Zira itulah membuatkan hati saya terbuka untuk melamarnya sebagai isteri.
Kredit: SUMBER

0

Kenali Nadia Heng,Ratu Cantik Dunia Malaysia 2010/2011



PERTEMUAN pertama dengan Ratu Cantik Dunia Malaysia 2010/2011, Nadia Heng Min Sern (Nadia), 26, membuahkan suasana gamat dengan celoteh dan keramahannya.
Wajahnya bukan sahaja tidak jemu dipandang, malah pesona kata-kata yang memikat ala-ala seorang jururunding sebuah syarikat membuatkan sesiapa yang mendekatinya berasa selesa.
Namun, tidak salah sangkaan yang diberikan kerana dia sememangnya pernah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan awam di salah sebuah syarikat swasta di ibu kota selama empat tahun.
Bercerita tentang bulan Ramadan ini, dia yang berdarah kacukan Cina dan Inggeris akui rajin berpuasa sejak dua tahun lalu. Tetapi puasa yang diamalkan Nadia tidak sama seperti puasa orang Muslim kerana dia tidak menikmati sebarang makanan sebaliknya hanya meminum air.
"Semasa mula-mula berhasrat untuk puasa dulu, saya fikir hendak mencuba budaya orang Islam yang akan berpuasa sepanjang bulan Ramadan.
"Saya ingin rasai apa yang mereka rasakan apabila berpuasa dan cuba memahami bagaimana mereka boleh mendisiplinkan diri dengan berpuasa. Tetapi saya hanya tahan untuk puasa makan kerana saya masih perlu minum," katanya kepada OopStarz! ketika ditemui di Menara Star, Petaling Jaya.
Sebalik kisah puasa ini, Nadia juga tidak segan mengaku dirinya sedang bercinta dengan jejaka kacukan Melayu-Australia berasal dari Singapura.
Hubungan mereka bermula sejak empat tahun lalu dan masing-masing belum membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.
"Saya rasa hubungan kami seperti masih baru berlangsung. Jadi, saya dan dia belum berani berbicara tentang perkahwinan dan ingin kehidupan masing-masing stabil terlebih dahulu.
"Saya yakin apabila berkahwin nanti, banyak perkara yang perlu dilalui melibatkan tanggungjawab masing-masing," katanya yang mempunyai pasangan kembar, Natalie Heng yang bekerja sebagai wartawan di syarikat akhbar Star Publications.
Beralih kepada topik kecantikan yang menjadi isu utama di kalangan wanita, penerima anugerah Pelajar Cemerlang Komunikasi dan Pelajar Cemerlang Perhubungan Awam dari Kolej Taylor ini memilih idolanya, Angelina Jolie dan Madonna sebagai rujukan wanita cantik di matanya.
Padanya, istilah wanita cantik merangkumi fizikal dan aktiviti seseorang itu. Misalnya dia memilih Ratu Cantik Lina Teoh dan Datuk Michelle Yeoh yang bukan sahaja cantik tetapi berbakat, bijak dan mengharumkan nama Malaysia ke luar negara.
Tentang penjagaan kecantikan, Nadia bukanlah seorang yang terlalu cerewet sebaliknya lebih gemar bersikap sederhana.Gemar makan aiskirm
Amalan kecantikannya dilakukan sama seperti wanita-wanita lain iaitu menggunakan produk asas seperti pembersih muka dan pelembap muka. Kebiasaan dia menggunakan produk Skinz yang serasi dengan kulitnya selepas diamalkan sejak dua tahun lalu.
Cuma yang menariknya dia tidak takut untuk menikmati aiskrim dan coklat yang dielakkan oleh sesetengah wanita.
"Saya kurang bersetuju dengan beberapa persepsi yang mengatakan apabila kita menikmati aiskrim dan coklat akan mempengaruhi kalori dalam badan.
"Jangan bimbang pasal kalori dan hanya menikmati aiskrim mengikut kesukaan tersendiri. Saya suka aiskrim Magnum Classic perisa vanila dan coklat. Lebih seronok apabila dimakan sewaktu masa lapang sambil bersantai di tepi pantai dan selepas berenang.
"Saya merasakan aiskrim bukan sahaja memberikan kenikmatan dari segi rasanya tetapi juga ketenangan dan keseronokan berganda," ujarnya yang sedang mempertimbangkan untuk berlakon filem.
Selain itu, dia memegang kepada petua dan nasihat daripada ibunya yang sudah berusia 60 tahun, namun masih memiliki kulit yang lembut.
Ibunya berketurunan Inggeris dan berasal dari Kent, England manakala bapanya berketurunan Cina dan kini mereka menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Ibu saya mengajar saya untuk menggunakan Vaseline untuk melembapkan bibir dan kulit. Dia juga mengajar saya melakukan rawatan stim muka dengan menggunakan air panas di rumah.
"Selain itu, dia mengajar kami agar menjadikan senaman sebagai budaya gaya hidup. Dia juga sangat mengawal pemakanan kami dari kecil serta menggalakkan budaya memasak di rumah.
"Jadi, saya dan kembar saya jarang menikmati makanan segera di luar dan sekali atau dua kali sebulan baru kami makan di luar," ceritanya yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Bahasa Malaysia.