0

Mengapa Fasha Sandha disenangi Penerbit?


Semasa nama Fasha Sandha hangat gara-gara bermusuh dengan media, peluang dia berlakon sana-sini tetap ada. Tanpa banyak publisiti masa itu, ada sahaja wajahnya menyerikan drama baru.
Apa yang membuatkan penerbit dan pengarah setia menghulurkan tawaran kepada Fasha? Mesti ada tawaran istimewa yang Fasha berikan. Betul tak? Apa agaknya ya?
Baru-baru ini Che Li duduk berborak panjang dengan pelakon senior yang berjaya dan terkenal. Dia juga banyak kali digandingkan dengan Fasha. Dalam sembang-sembang sambil makan western food yang enak masakan pelakon itu, tercuitlah nama Fasha. Bukan mengumpat tau...
"Saya suka cara Fasha di lokasi dan saya puji cara dia membawa diri. Saya ni jenis yang payah nak puji artis lain kalau tidak kenal betul-betul.
"Fasha sangat komited. Kalau call time pukul 10.00 pagi, pukul 9.30 pagi dia pasti sudah ada di set. Dia juga membuat kerja dan tahu apa yang mahu dibuatnya. Sebab itu saya tak heran kalau Fasha terus mendapat tawaran berlakon walaupun kadang-kadang ada isu kontroversi pasalnya.
"Kalau dia tak mahukan joru solek yang disediakan oleh produksi, dia akan bawa juru mekap sendiri dan tidak pernah menyusahkan orang lain. Sikap profesional itulah yang saya patut puji.
"Saya pelakon lama ni memang tak pandang dan tak mahu ambil tahu apa yang berlaku di luar, pada saya, seseorang pelakon tu tahu kerja dia dan tidak menyusahkan orang lain di lokasi," kata pelakon yang pernah menang anugerah itu lagi.


Oh! Macam itukah kisahnya? Patutlah Fasha padat dengan jadual penggambaran walaupun pada pandangan mata kasar dia ni macam ada ramai musuh dalam industri. Haa... artis baru patut mengambil contoh artis yang macam ini. Walaupun selalu mendapat gambaran buruk, tapi dia menyenangkan kalau tiba bab kerja.
Malah Che Lee juga dengar ada artis senior juga menyusahkan pihak produksi. Ada tu yang sering datang lambat dan moody di lokasi. Ada juga Che Lee dengar pelakon lama yang tiba-tiba tidak mahu masuk set apabila ada benda yang tak kena, padahal artis lain dah siap bersolek untuk watak mambabitkan mereka. Boleh macam itu pulak?
Oleh: Che Lee
0

Debaran Anugerah Juara Lagu Ke-25 Semakin Kencang



DEBARAN semakin kencang dan kehangatannya kian dirasai apabila hanya tinggal tiga hari sahaja lagi Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) akan menjadi medan pertempuran karyawan seni tanah air.
Tepat pukul 9 malam tanggal 9 Januari ini (Ahad), panggung Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur akan dibuka dengan menyaksikan pertarungan sengit 14 buah lagu yang bertanding tahun ini.
1.      Tajuk: Hanyut
Komposer: Audi Mok/Faizal Tahir
Pe  Penyanyi: Faizal Tahir

2       Tajuk: Selamat Malam
Komposer: Audi Mok/Faizal Tahir
Penyanyi: Faizal Tahir

 .       Tajuk: Kebahagiaan Dalam Perpisahan
Komposer: Edry Abdul Halim
Penyanyi: Shahir

4       Tajuk: Tolong Ingatkan Aku
Komposer: Ana Rafali
Penyanyi: Ana Rafali

5.      Tajuk: Berlari
Komposer: Tomok & Shazee Ishak
Penyanyi: Tomok

6.      Tajuk: Pelita
Komposer: Loque
Penyanyi: API

7.      Tajuk: Jahat
Komposer: Edry Abdul Halim
Penyanyi: Stacy

8.      Tajuk: Ku Ada Kamu
Komposer: Edry Abdul Halim
Penyanyi: Adira

9.      Tajuk: Mencari Konklusi
Komposer: Noh Hujan
Penyanyi: Hujan

10   Tajuk: Ekstravaganza
Komposer: Sam Bunkface
Penyanyi: Bunkface

11   Tajuk: Sofea Jane
Komposer: Sham Kamikaze & Iswandy/ Farril
Penyanyi: Black

12   Tajuk: Drama King
Komposer: Taja/ Tun Teja
Penyanyi: Meet Uncle Hussain featuring Black

13   Tajuk: Noktah Cinta
Komposer: Ajai/ Sheikh Qalam
Penyanyi: Hafiz

Tajuk: Cinta Sempurna
Komposer: Yuna
Penyanyi: Yuna
Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, AJL25 juga memperlihatkan saingan yang tidak kurang hebatnya menerusi 14 buah karya anak tempatan bagi merebut gelaran utama yakni Juara Lagu Ke-25.
Sudah menjadi resmi AJL setiap tahun, ramalan dan teka-teki pasti akan menjadi topik hangat pencinta muzik tempatan untuk melihat lagu manakah yang paling layak diangkat sebagai juara.
Hits juga tidak mahu ketinggalan menghangatkan sambutan AJL yang akan memulakan siarannya tidak kurang daripada 72 jam dari sekarang.
Ingin ditegaskan di sini, tulisan ini hanyalah sekadar ramalan dan tidak langsung akan mempengaruhi keputusan juri yang pastinya kini sedang pening kepala menilai sekali gus membuat keputusan muktamadnya.
Lagu berhantu
Tahun lalu memperlihatkan keunggulan gandingan komposer dan penulis lirik terkenal, Pete Teo dan Amran Omar dijulang sebagai juara menerusi lagu Pergi nyanyian Aizat.
Manakala naib juara pula menjadi milik lagu Dan Sebenarnya karya sepenuhnya oleh Yuna sementara gabungan Audi Mok dan Faizal Tahir pula memenangi tempat ketiga untuk lagu Bencinta.
Untuk tahun ini, karya manakah yang akan mengikut jejak langkah lagu Pergi dan 23 buah lagu lain yang pernah dinobatkan dengan gelaran Juara Lagu.
Nama yang paling hangat diperkatakan dan berpotensi besar untuk menjulang kejuaraan tahun ini adalah lagu Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir.
Sedari awal lagi, lagu berhantu ini sudah dicanang dan menjadi calon utama untuk mengungguli AJL25. Bukan kerana populariti Faizal tetapi Selamat Malam merupakan sebuah lagu yang cukup segala rencah.
Melodi, lirik dan susunan muzik untuk lagu Selamat Malam yang cukup segar serta bertenaga memungkinkan ia untuk bergelar juara.
Jika rezeki tidak berpihak kepada Selamat Malam sekali pun, siapa tahu Faizal masih lagi boleh tersenyum puas seandainya pihak juri merasakan lagu Hanyut juga hasil karyanya bersama Audi layak untuk menduduki tangga teratas AJL25.
Namun, siapa tahu, rezeki berganda untuk Faizal dan Audi sekiranya lagu Selamat Malam dan Hanyut mampu menduduki dua posisi dalam tiga tempat yang disediakan.
Mustahil? Mengapa tidak kerana sejarah sudah pun membuktikan sebelum ini AJL yang pertama di mana dua buah lagu ciptaan Manan Ngah dipilih untuk menduduki posisi juara dan naib juara.
Dua lagu yang dipertandingkan pada tahun 1986 itu adalah Sekadar Di Pinggiran dan Aku Kehilanganmu kedua-duanya nyanyian Francissca Peter.
Jadi, tidak mustahil untuk Audi dan Faizal mengulangi kejayaan 24 tahun lalu. Seandainya itu berlaku, tidak perlulah membuat bising atau mencetuskan kontroversi kerana juri lebih bijak membuat keputusan.
Atau mungkinkah tahun ini akan menyaksikan kumpulan indie popular, Meet Uncle Hussain (MUH) akan kembali menjulang kejuaraan menerusi lagu Drama King.
Memang tidak mustahil kalau Drama King dijulang sebagai juara kerana keunikan dan keistimewaan lagu itu yang cukup menarik perhatian.
Ditambah dengan kemantapan vokal Black yang menambahkan merit untuk lagu itu dinobatkan sebagai Juara Lagu Ke-25.
Namun, usah dipandang enteng kepada lagu-lagu lain seperti Cinta Sempurna ciptaan sepenuhnya oleh Yuna, Ekstravaganza (Bunkface), Pelita (A.P.I) dan Mencari Konklusi (Hujan) yang mampu mencipta kejutan pada malam AJL25.
Keempat-empat lagu ini berdiri atas landasan yang tersendiri dan memiliki kekuatan serta keseimbangan komposisi serta liriknya.
Begitu juga dengan lagu-lagu yang mendapat perhatian meluas di corong radio seperti Noktah Cinta (Hafiz), Sofea Jane (Black) dan Ku Ada Kamu (Adira) juga mempunyai peluang untuk duduk dengan selesa di tiga tempat teratas.
Selain itu, kategori Vokal Terbaik juga tidak kurang hebatnya. Nama-nama seperti Faizal, Black dan Hafiz merupakan mereka yang dilihat akan memberikan persembahan terbaik menerusi lagu yang disampaikan.
Tidak mustahil Black menjulang kategori ini untuk dua tahun berturut-turut kerana kehebatan vokalnya memang sudah terbukti satu dalam sejuta.
Kalau juri mencari kelainan tahun ini, mungkin kumpulan A.P.I menerusi gandingan vokal Azlan & The Typewriter dan vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh mempunyai peluang memenangi Vokal Terbaik.
Mengapa tidak? Kerana sebelum ini pun paduan suara Jaclyn Victor dan Lah Ahmad juga pernah memenangi kategori Vokal Terbaik pada tahun 2007.
Kalau Adira memberikan persembahan terbaik dengan mengawal gaya nyanyiannya agar kedengaran lebih sedap didengar untuk lagu Ku Ada Kamu, gelaran Vokal Terbaik AJL25 juga boleh menjadi miliknya.
Mungkin juga gelaran itu akan berpindah milik kepada Yuna dan Ana Raffali yang memiliki gaya nyanyian tersendiri.
AJL25 yang dihoskan oleh Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar itu akan menyaksikan persembahan pembukaan oleh Francissca Peter, Nash dan M. Nasir yang pernah memenangi AJL sebelum ini.
Khusus untuk penonton setia mereka, TV3 akan menampilkan tiga penyanyi wanita unggul negara iaitu Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza menerusi sebuah persembahan istimewa untuk segmen interlud.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
0

Kutipan Filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' sudah mencecah RM7 juta


AMBOI! Tak habis-habis cerita fasal filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ya! Bukan cerita tak baik, tetapi sebaliknya cerita pencapaian membanggakan filem komedi seram arahan sutradara kreatif Mamat Khalid. Boleh dikatakan, ia muncul sebagai filem Melayu paling meletup di pawagam pada tahun ini.


Cik Normah kata macam tu bukan apa. Sebabnya, dengan jumlah panggung yang menayangkan filem ini hanyalah 39 buah, kutipannya kini sudah mencecah RM7 juta! Berbanding filem Ngangkung yang memungut RM8.2 juta, tetapi jumlah panggung menayangkannya pula ialah 59 buah.

Manakala sebuah lagi filem, Adnan Sempit, yang mencipta kejutan pada awal tahun lalu dengan pungutan RM7.66 juta ditayangkan di 61 panggung.
Jadi, kalau diikutkan nisbah kutipan per panggung (NKP), Hantu Kak Limah duduk di tangga teratas dengan RM179,487.18, diikuti Ngangkung RM135,932.20 dan Adnan Sempit RM125,573.80.

Bagi Cik Normah, tidak kiralah siapa yang pungut paling banyak, yang penting, pungutan itu dilakukan filem tempatan kita. Dengan perkembangan sihat itu, tentunya peminat pun lebih tertarik untuk terus membanjiri pawagam setiap kali judul tempatan diputarkan. Bukanlah situasi memberangsangkan ini akan terus menyemarakkan industri perfileman negara kita juga?


Kepada Abang Mamat, Ismail Bob Hashim dan Ahmad Idham, Cik Normah berharap mereka terus melahirkan filem yang popular (tetapi ada kualiti ya) supaya lebih ramai penonton ingin masuk ke pawagam yang menayangkan filem Melayu atau filem tempatan.


Kalau hendak gunakan khidmat Cik Normah dalam judul garapan anda semua pun, Cik Normah tidak kisah. Yalah, Cik Normah pun hendak sumbangkan sesuatu untuk industri kita juga. Watak pembantu, watak selit atau watak hantu , semuanya Cik Normah akan pertimbangkan. Kalau dapat jadi heroin, lagi bagus.-bharian
0

Shahir Muncul Semula Dengan Semangat Baru


SUSUN katanya teratur. Kadang-kadang ada bicara yang tersekat pada rongga dan paling banyak yang dilakukan bekas juara Akademi Fantasia 8, Shahir, adalah tersenyum.
Diasak dengan pelbagai persoalan, dia masih tenang. Nada suaranya kendur dan sesekali nafasnya dihela panjang dalam sembunyi segaris senyuman. Namun bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukannya pada hujung 2010, dia tidak gentar berdepan realiti.

“Apa yang telah berlaku sekitar bulan Oktober tahun lalu adalah satu ujian yang penuh hikmah buat saya. Selepas diberitahu saya sakit, malah disyaki menghidap kanser hati, saya dalam dilema.
“Saya masih muda dan ia adalah soal hidup dan mati. Itu punca yang membuatkan saya menyepi sebentar,” katanya berulang kali.
Realitinya, selepas menjalani pemeriksaan kali kedua, pemilik nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi ini tidak menghidap kanser hati. Sebaliknya dia disahkan menghidap penyakit asid berlebihan dalam hati.
Katanya lagi sambil memohon maaf terhadap tindakan yang terpaksa diambil: “Sehingga sekarang, saya masih menjalani rawatan untuk penyakit tersebut. Mujur ia tidak begitu berbahaya dan membolehkan saya melakukan aktiviti terutama bekerja seperti biasa. Kini selepas kesihatan saya semakin baik, saya sudah kembali bekerja seperti biasa.”

Baru berusia 22 tahun dan masih mentah sebagai artis, anak kelahiran Ipoh, Perak ini boleh dikatakan seperti tidak serius dengan bidang yang diceburi.
Boleh dikatakan juga dia seperti kurang komited, tidak berdisplin dan menumpahkan sepenuh jiwa terhadap dunia seni apabila mudah untuk mengambil keputusan ‘ghaib’ begitu sahaja.
Apabila diasak dengan persoalan seumpama itu, Shahir tersenyum sebelum memberitahu dia tidak pernah menyesal menjadi artis. Dia menghormati pihak lain dan bekerja dengan komited. Hanya bagi isu soal mati yang dibangkitkannya, dia terpaksa kalah dengan perlawanan hati sendiri.
“Saya tidak pernah menyesal menjadi artis. Tapi saya akan lebih menyesal kalau saya tidak diberi kerja apabila saya menjadi artis. Saya faham dunia artis macam roda, jadi saya berusaha keras untuk bekerja dengan lebih baik.
“Jika selepas ini mungkin ada yang takut untuk memanggil saya bekerja, saya berserah. Tapi saya percaya bahawa apabila kita ikhlas melakukan sesuatu, rezeki akan datang kepada kita,” katanya yang kesal dengan tohmahan tidak berasas segelintir pihak terhadap masalah displin dan komitmen dirinya tanpa mengetahui punca sebenar.
Malah untuk 2011, dia bertekad untuk menjadi Shahir yang baru. Shahir yang lebih bersemangat dan masih mahu duduk lama dalam industri muzik. Dia mahu melupakan hal silam yang sekali lagi katanya, telah memberi pengajaran berguna buat dirinya.
Justeru untuk tahun ini, selain bakal muncul dengan single kedua, dia akan terlibat dalam sebuah filem milik KRU untuk bulan Mei nanti.
“Banyak agenda baru yang akan saya lakukan tahun ini, hanya buat masa sekarang, ia masih terlalu awal untuk saya umumkan. Cuma harapan saya, tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik buat saya dan saya akan terus belajar memperbaiki diri dalam bidang ini. Insya Allah juga insiden lalu tidak akan berulang lagi,” katanya penuh optimis.

Ditaja
Shahir ketawa kecil apabila soalan tentang dirinya ditaja seseorang diajukan. Dia tahu hal tersebut timbul selepas insiden dia kemalangan dan memandu sebuah kereta mewah jenama BMW.
Tidak mahu khalayak terus mengaitkan dia dengan hal negatif seumpama itu, Shahir menerangkan, BMW tersebut merupakan kereta milik keluarga angkatnya. Dia juga menafikan dirinya ditaja seseorang.
Jelas Shahir: “Saya tidak terkejut dengan gosip saya ditaja. Saya anggap ia sebagai satu usikan. Sebenarnya BMW itu kereta milik keluarga angkat saya. Keluarga saya juga kenal dengan keluarga angkat saya ini.
“Selepas saya kemalangan, mereka menawarkan saya untuk meminjam kereta tersebut agar saya senang bergerak sementara saya tidak memiliki kereta. Kini, saya telah mendapat hadiah kereta yang saya menang sebagai juara AF, BMW tersebut telah saya kembalikan kepada pemiliknya semula.”-kosmo
0

Salena Gomez Terima Ancaman Bunuh Daripada Peminat Justin Bieber


AKTERS Salena Gomez dikatakan telah diserang oleh peminat fanatik penyanyi popular Justin Bieber setelah dia dikatakan mempunyai hubungan bersama penyanyi cilik itu.
Gambar mesra yang dikatakan palsu dan tersebar di Internet telah mencetus kemarahan dengan pelbagai e-mel dan twitter berbaur ancaman.

Salah seorang pengguna Twiiter menulis di akaun milik Salena bahawa dia akan membunuh pelakon itu, ada juga yang ingin membunuh diri apabila melihat gambar aksi cium antara Salena dan Bieber yang tersebar dalam bentuk "super impose."
Manakala seorang lagi pengguna Twitter yang memanggil Salena sebagai "pedofilea" hanya kerana wanita itu dua tahun lebih muda dari Bieber.
0

Rozita Che Wan Mungkir Janji??


PETALING JAYA: Hasrat pelakon Rozita Che Wan yang mahu bersara dalam dunia lakonan menjelang 2011 seperti yang di war-war sebelum ini hanyalah omong-omong kosong apabila dia tidak mengotakan janjinya selepas menerima tawaran menjadi heroin menerusi drama Iparku Diva.
Penggambaran drama yang diterbitkan oleh Zeel Production itu akan diadakan selama 20 hari bermula 15 Januari ini.

Menurut penerbitnya, Fadzil Teh, walaupun dia tahu mengenai hasrat untuk Rozita mengundurkan diri, pelakon jelita itu tidak pernah meminta bayaran tinggi daripada pihak produksinya walaupun terpaksa melanggar “perjanjiannya” itu.
"Setakat ini, bayaran yang kami tawarkan sama seperti dulu dan dia tidak pernah pun meminta lebih. Saya juga telah menyediakan sebuah lagi drama buat Rozita selepas tamatnya penggambaran Iparku Diva.

"Bagi saya, pihak kami memilih Rozita kerana dia sangat efisien dalam kerjanya. Kalau boleh saya nak dia menang dalam Anugerah Bintang Popular tahun ini sebelum dia berundur diri,” katanya.
Pihak mStar Online telah menghubungi Rozita untuk mendapatkan penjelasan berhubung pendiriannya itu.
Menurut Rozita, dia terpaksa mengubah pendirian kerana perlu menyelesaikan berapa drama lakonannya sebelum ini yang akan bersambung ke musim kedua seperti Kiah Perkasam dan Cikgu Kemisah Kirdi.
"Sebenarnya, saya masih dengan keputusan saya untuk tidak lagi berlakon bermula tahun ini kerana ingin memberi fokus pada perniagaan saya. Tapi saya perlu selesaikan beberapa drama saya untuk musim kedua.
"Tapi, sama ada saya berhenti berlakon atau tidak, rasa sama saja kerana kesemua drama yang saya lakonkan sebelum ini akan disiarkan sehingga bulan Jun ini dan wajah saya masih terpampang di kaca televisyen.

"Selain itu, saya juga akan berlakon jika tawaran itu datang daripada Zeel Production kerana penerbit syarikat itu rapat dengan saya. Nak atau tidak, saya kena juga terima tawaran mereka.
"Dalam pada itu, banyak tawaran yang saya belum putuskan. Tapi ada drama yang saya dah janji nak berlakon. Insya-Allah kalau tak ada halangan saya akan berlakon," katanya.
Tambah Rozita, dia juga hampir termakan pujukan penerbit-penerbit lain yang ingin mengambilnya berlakon dalam drama-drama mereka.
Bagaimanapun keputusannya untuk meneruskan lakonan tidak bermakna dia akan kekal bergelar sebagai seorang 'selebriti' seperti sebelum ini, tetapi dia hanya ingin menjadi seorang pelakon yang tidak mahu sebarang publisiti.
"Walaupun saya hanya berlakon sikit-sikit, apa yang pasti saya enggan menjadi seorang selebriti yang akan ditemu ramah oleh pihak media atau keluar di mana-mana akhbar juga majalah.
"Begitu juga dengan segala acara-acara hiburan, saya tidak akan muncul seperti sebelum ini. Saya tidak mahu lagi publisiti supaya privasi saya tidak akan diganggu. cara ini juga dapat menepis gosip yang membabitkan saya," tegasnya.
Bertanya pula mengenai gosip hubungan cintanya dengan pelakon Zain Saidin, Rozita menafikan hubungan itu dan menjelaskan ia sekadar gosip kosong yang tidak perlu di gembar gemburkan.
"Kami sekadar kawan baik kerana pernah berlakon bersama. Mana mungkin saya bercinta dengan Zain," selorohnya.
 
0

Justin Bieber kalahkan Presiden Barack Obama


PENYANYI remaja, Justin Bieber jauh lebih berpengaruh daripada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
Penilaian tersebut berdasarkan analisi yang dibuat oleh penganalisis media sosial, Klout terhadap populariti mereka di dunia online.

Klout memgumumkan perkara tersebut berdasarkan pengamatan di laman sosial seperti Facebook, Twiitter dan Google. Mereka mengambil kira seberapa kerap perkataan atau nama seseorang diulang secara online.
Menurut kajian mereka, nama Bieber merupakan nama tertinggi di internet yang mana namanya di retweet lebih lima juta kali. Manakala Barack Obama dengan 250 ribu retweet.
Pengasas Klout, Jose Fernandez penilaian dibuat berdasarkan berapa banyak nama atau perkataan itu dicari di online.
Sementara itu, Lady Gaga dan Liam Gallagher turut tersenarai dalam senarai nama berpengaruh di alam maya.

Klout telah diberi label oleh pakar teknologi sebagai salah satu laman web yang mesti diberi perhatian pada tahun 2011. Baru-baru ini juga mereka disewa oleh Disney untuk melakukan penelitian atas kepopularan mereka di dunia online.
0

Abby Abadi Mengamuk Marahkan Memey Dalam Facebook


PETALING JAYA: Pelakon Memey atau nama sebenar Suhaiza Suhaimi kecewa dengan tindakan bekas isteri tunangnya Norman Hakim, Abby Abadi yang meluahkan perasaan marah terhadapnya di laman sosial Facebook, Isnin.
Jelas Memey, dia menganggap punca kemarahan Abby iaitu memarahinya menjawab telefon bagi pihak Norman adalah tidak masuk akal.
“Salahkah saya jawab telefon bagi pihak tunang saya. Saya bukan buat salah besar sehinggakan dia begitu marah. Setalah sampai di lokasi, saya diberitahu dia memberitahu perkara tersebut di facebook.
“Kalau dia boleh fikir secara logik, itu bukan satu isu yang perlu dimarahkan sehingga beritahu kepada umum. Lagi pula saya tidak tahu dia yang buat panggilan sebab tiada tertera nombor telefon dia,” katanya.
Menurutnya, tindakan tersebut juga telah menimbulkan persepsi buruk segelintir masyarakat terhadapnya.
“Saya mahu buka buku baru untuk tahun ini, tapi dia mulakan dengan buat persepsi buruk terhadap saya. Perkara ini juga melibatkan maruah saya.
“Saya malas mahu besarkan keadaan dan saya hanya nasihatkan agar dia fikirkan dahulu sesuatu perkara secara rasional,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Tambah Memey, dia berharap untuk tahun baru ini tiada lagi sengketa antara dia dan pelakon tersebut.
“Saya tahu dia tidak suka saya, jika kami memang tidak boleh berbaik sekali pon tapi tolonglah jangan timbulkan sebarang sengketa,” katanya.




Dalam pada itu, Memey turut mengakui terpaksa menangguhkan perkahwinan pada penghujung tahun ini.
“Sepatutnya kami merancang untuk berkahwin pada 8 Januari ini tetapi tidak sempat untuk buat persiapan. Selepas bertunang banyak rezeki yang datang terutama tawaran untuk berlakon bersama Norman.
“Insya-Allah beberapa tarikh telah dipilih pada penghujung tahun ini tapi mungkin juga ia akan dilakukan lebih awal iaitu pertengahan tahun ini jika kami berdua sudah bersedia,” katanya yang sedang membuat penggambaran drama Bola Cinta musim kedua.
0

Eira Syazira Dan Azad Jasmin Macam Belangkas

                           Eira Syazira enggan bicara soal cinta walaupun hati sudah dimiliki


PERCINTAAN Eira Syazira dengan aktor yang baru saja dipalit kontroversi, Azad Jasmin bukan lagi rahsia. Meskipun satu ketika dulu mereka pernah cuba melarikan diri dari media, tapi kini hampir ke mana saja Eira dan Azad, pasti dilihat berdua. Umpama merpati dua sejoli.

Eira umpama tulang belakang dan nadi kekuatan kepada Azad apabila dia kelihatan sentiasa di sisi jejaka dari utara Semenanjung itu untuk memberi sokongan tatkala berdepan kontroversi dengan pelakon, Faezah Elai.
Kemesraan ditonjolkan pasangan yang sudah hampir dua tahun berpacaran itu menyebabkan ramai menanti perkhabaran gembira pasangan ini. Namun kala ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Ustaz Amirul yang bakal mengisi slot Zehra di TV3, bermula 7 Januari ini, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu seakan kurang selesa apabila soalan berkisar peribadi diajukan kepadanya.


“Lama lagilah. Bila tiba waktunya nanti, saya akan bercerita,” ringkas jawapan diberikan pelakon yang sudah tujuh tahun bergelumang dalam dunia lakonan ini.
Barangkali pelakon yang pernah membintangi drama Ku Milikmu ini kurang selesa mencampur adukkan hal peribadi dengan kerjaya.

Tambahan pula kerja lakonannya juga semakin berkembang daripada drama ke dunia filem apabila Eira menjadi antara pelakon filem Ngangkung digandingkan dengan Shaheizy Sam.
Ketika ditemubual, dia lebih rancak berbicara mengenai perkembangan kerjaya seni, terutama mengenai langkah barunya dalam seni suara.




Ternyata Eira cukup berani apabila beralih angin dari lakonan kepada nyanyian. Biarpun menyedari persaingan sengit yang bakal dihadapi dari penyanyi sedia ada, tetapi dia yakin peluangnya untuk tampil sebagai penyanyi.

Apa lagi, dia tidak mahu mensia-siakan harapan yang diberi oleh Adnan Abu Hassan, Adam Ahmad, Othman Muhamad dan syarikat rakaman FGM yang mempercayai kebolehannya.

“Saya tidak merayu supaya diberi peluang menyanyi. Tetapi abang Adnan dan syarikat FGM yang berminat menawarkan peluang ini kepada saya. Mereka pernah mendengar suara saya dalam soundtrack drama Cinta Balqis, walhal ketika merakamkan lagu itu, suara saya menyanyi ala kadar saja kerana tak pernah pun mempunyai sebarang impian nak jadi penyanyi.

“Saya tidak kisah apa pun yang orang ingin perkatakan. Kalau abang Adnan dan FGM yakin dengan kebolehan saya, kenapa perlu menolak. Oleh kerana tiada pengalaman menyanyi, saya harus mencari jalan sendiri untuk memperbaiki kelemahan diri, seperti belajar teknik menyanyi dengan betul oleh guru vokal, Siti Hajar Ismail.

“Selama ini saya ingat menyanyi senang tetapi apabila sudah merasai sendiri barulah tahu betapa susahnya menyanyi. Walaupun menyanyi bukan keutamaan, tetapi saya tetap memandang serius bidang ini. Saya tidak boleh main-main sebaliknya bila sudah melangkah dalam bidang ini, saya perlu gunakan peluang itu dengan sebaiknya,” katanya yang bertuah kerana dapat bertemu dengan penyanyi dan komposer yang sudah lama menghilang iaitu Adam Ahmad.

Bimbang watak klise

BERPELUANG menyanyikan lagu sentuhan seorang komposer hebat seperti Adam Ahmad diibaratkan Eira bagai mimpi. Dia amat terharu apabila komposer berkenaan memberi penghormatan kepadanya menyanyikan lagu ciptaannya. Bagaimanapun tidak mudah mendapatkan kepercayaan dari Adam apabila komposer itu terlebih dulu mahu bertemu dengan Eira dan mendengar vokalnya.

Namun Eira ternyata berjaya melepasi cabaran itu apabila Adam memuji vokalnya serta langsung memberikan kepercayaan kepada Eira untuk menyanyikan lagu ciptaannya berjudul Di Hati Ini.

Menyentuh soal lakonan pula, Eira yang memegang watak Rabiatul Adawiyah untuk drama Ustaz Amirul berkata, dia terpaksa meminta bantuan dari pengarah drama ini untuk memerhatikan lakonannya kerana bimbang wataknya dilihat klise.

“Sudah kerap kali benar saya diberikan watak air mata, Jadi bagi memastikan watak sebagai Rabiatul Adawiyah tidak klise dengan watak yang pernah dibawakan sebelum ini, saya minta pertolongan pengarah supaya memantau gaya lakonan.

“Saya tidak mahu cara saya menangis sama seperti yang penonton lihat dalam Cinta Balqis atau pun Syurgamu Ramadan,” katanya.

Profil

NAMA: Syazira Shuhaimi
TARIKH LAHIR: 19 Julai 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik
DRAMA: Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Assignment, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Jejak, Temu Janji, Penama Kedua, Sindarela, Abang Misi, Ku Milik Mu dan Melukut Tepian Gantang
FILEM: Bisikan Remaja, Ngangkung  
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin