0

Rabecca Nur Al-Islam Akan Bernikah Dengan Peguam Duda


KUALA LUMPUR: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam, 24, (gambar) bakal menamatkan zaman bujangnya pada 14 Januari 2011 dengan seorang peguam, Nor Azam Datuk Sulaiman berusia 42 tahun.
Menurut Rabecca, dia akan mengadakan tiga majlis berturut-turut iaitu pada 14 Januari bagi acara pernikahan sementara 15 dan 16 Januari pula bagi acara persandingan.
"Pada 14 hari bulan, pernikahan akan diadakan di rumah baru saya di Ampang, Selangor manakala majlis resepsi sehari selepas itu di Hotel Flamingo, Ampang berkonsepkan tradisional.

"Manakala 16 hari bulan pula ia akan diadakan di Menara Kuala Lumpur berkonsep Inggeris, di mana hanya 250 tetamu sahaja yang akan hadir.
"Syukur alhamdulillah setelah tiga tahun bercinta, kami bakal disatukan," katanya pada sidang media pengumuman perkahwinannya di butik Harrods, KLCC di sini, Jumaat.
Tambahnya, pengumuman yang dibuat itu secara tidak langsung menutup khabar angin tentang kisah percintaannya dengan seorang VIP.
"Sebenarnya saya tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana VIP. Bakal suami saya pun bukanlah di kalangan mereka sebaliknya haya orang biasa.

"Dia hanya seorang duda biasa yang memiliki dua orang anak," tegasnya.
Ditanya mengenai jumlah hantaran yang bakal diterima, Rabecca masih tidak tahu berapa nilai hantaran yang akan diberi oleh pihak lelaki.
"Memang saya tak tahu berapa hantaran yang akan saya terima. Cuma dengan apa yang saya dapat sekarang ini seperti sebuah rumah di Ampang dan jam tangan jenama Chopard sudah memadai," katanya
0

Siti Sarah Bertunang Dengan Shuib Sepah 'Raja Lawak'



SEPANG: Ahli kumpulan Sepah iaitu Shahmira Muhammad, 26 atau Shuib akhirnya mengakui sudah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi Siti Sarah Raisudin pada 16 November lalu.
Bekas juara program Raja Lawak musim ketiga itu membuat pengakuan tersebut bagi menjawab desas-desus berita perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung pada Januari depan.
Menurut Shuib yang ditemui pada acara Amazing Race ala Bujang Sepah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, Jumaat, perkara tersebut terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan media demi menghormati permintaan kekasihnya itu.

"Saya akui kami sudah bertunang pada 16 November lalu di Kuala Selangor dan perkara itu terpaksa dirahsiakan demi menghormati permintaan Sarah.
"Kegagalan pertunangannya yang lalu membuatkan Sarah lebih selesa jika perkara itu tidak dihebohkan selagi belum tiba masanya," katanya yang sudah mengenali Sarah sejak setahun dua bulan yang lalu.
Tambah Shuib, perancangan awal mereka untuk melangsungkan perkahwinan pada 16 Januari depan juga terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerjanya yang terlalu padat kini.
"Kalau ikut perancangan awal, kami akan berkahwin pada 16 Januari depan tapi jadual kerja saya yang terikat dengan penggambaran hingga 15 Januari depan menjadikan perancangan itu terpaksa ditangguhkan.
"Kami masih belum dapat tentukan tarikh perkahwinan buat masa ini tapi mungkin selepas saya tamat penggambaran," katanya yang mengakui persiapan sedang rancak disiapkan oleh keluarga masing-masing.
0

Video seks Cut Tari akan ditayangkan di mahkamah


JAKARTA - Video seks yang melibatkan penyanyi band Peterpan, Ariel dan wanita mirip pengacara program hiburan Cut Tari akan disiarkan semasa perbicaraan, lapor akhbar Kompas semalam.
Cut Tari merupakan salah seorang saksi kes Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham.
Ariel dituduh mengedarkan video seks terbabit.
"Video itu akan ditayangkan di mahkamah. Justeru, mental Cut Tari harus kuat kerana dia akan ditanya siapa lelaki itu," kata peguamnya, Hotman Paris Hutapea. 

Apabila mengetahui video tersebut akan ditayangkan sekali lagi, Cut Tari mengaku dia berasa malu.
"Tindakan ini tidak jauh bezanya dengan mengorek luka saya yang paling dalam.
"Sudah enam bulan saya berusaha untuk melupakannya dan meneruskan hidup.
"Banyak pengajaran yang telah saya ambil," kata Cut Tari yang sudah berkahwin.
Walaupun sukar, Cut Tari terpaksa memberi keterangan. Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk berjumpa dengan Ariel, Cut Tari menjawab: "Harus bersedia kerana ini bukannya kali pertama. Ini sudah kali kedua sejak disoal siasat dahulu." - Agensi
0

Pasangan Sein Dan Nana Bercerai Talak Satu



SHAH ALAM: Juara rancangan realiti, Sehati Berdansa Musim Ketiga, Sein dan Nana bercerai dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Rabu.
Sein, 27, yang merupakan anggota kumpulan Ruffedge melafazkan talak pada pukul 2.46 petang, selepas mahkamah membenarkan permohonan Nana, 26, untuk berpisah secara baik.
Nana yang pernah mencuba nasib dalam dunia seni dengan menyertai rancangan realiti, Mentor musim pertama memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Prosiding perceraian tersebut berlangsung di hadapan Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin dan Nana diwakili peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman.

Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa tidak diwakili peguam syarie.
Zuri Zabudin memberitahu, permohonan untuk bercerai itu difailkan ekoran pasangan tersebut tidak lagi mempunyai persefahaman dalam rumah tangga yang dibina sejak Julai 2006.
“Pasangan ini tidak dapat lagi menjalani kehidupan sebagai suami isteri dan telah wujud perbalahan yang berpanjangan.
“Mereka masih tinggal serumah tetapi tidak tidur bersama. Pelbagai usaha telah dijalankan tetapi tiada jalan penyelesaian,” katanya.
Zainor Rashid selepas mendengar lafaz tersebut, mensabitkan gugur talak satu kali pertama secara rajie terhadap Nana dan memerintahkan dia untuk beredah selama tiga kali suci.
Beliau juga memerintahkan supaya perceraian itu didaftarkan di Pejabat Agama Daerah Petaling dan surat nikah pasangan tersebut dibatalkan.
Pada prosiding sama, mahkamah juga merekodkan persetujuan bersama Nana atau nama sebenarnya, Noor Diyana Muhammad dengan Sein yang timbul daripada perceraian tersebut.
Ia meliputi nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian serta hak penjagaan dua anak mereka, iaitu Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1,
Hak jagaan anak diberikan kepada Nana manakala Sein diberikan hak melawat dan bermalam selama tiga hari bermula pukul 12 tengah hari Jumaat sehingga 12 tengah hari Isnin atau pada masa-masa munasabah yang dipersetujui bersama.

Pasangan itu juga bersetuju agar hak untuk bersama dan bermalam semasa cuti persekolahan dibahagi secara rata manakala giliran berhari raya dibuat secara bergilir-gilir dan bertukar setiap tahun.
Sein juga akan membayar nafkah dua anaknya sebanyak RM1,000 sebulan yang meliputi keperluan harian seperti makan minum, yuran persekolahan dan kelas tambahan.
Dia juga bersetuju untuk menanggung perbelajaan musim persekolahan dan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 setiap satu untuk setiap seorang anak.
Nana pula bersetuju untuk menerima nafkah edah RM500 setiap bulan bagi tiga bulan, RM500 sebagai mutaah dan semua bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun banknya.
Pasangan itu juga bersetuju tidak akan membuat sebarang tuntutan berhubung harta sepencarian antara satu sama lain.
Zainor Rashid pada penghakimannya memuji penyelesaian yang dibuat oleh Sein dan Nana untuk menyelesaikan isu perceraian itu secara baik.
“Mahkamah berpendapat kedua-dua pihak tidak mementingkan diri dan lebih mengutamakan anak-anak hasil pernikahan.
“Perdamaian ini yang digalakkan oleh Islam dan dapat mendatangkan kebaikan,” katanya.