0

Linda Onn Terkilan

Linda Onn bersama jemaah ketika mengerjakan umrah pada Jun lalu. Gambar Linda bersama sepanduk ini disindir penulis pojok Siti Jarum menyebabkan Linda berasa terkilan. Gambar ihsan blog Linda Onn.
PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn terkilan dengan laporan sebuah akhbar Ahad lalu, yang kononnya mendakwa pemergiannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dari 15 hingga 25 Jun lepas seperti hendak menunjuk-nunjuk.
Linda menerusi blognya yang disiarkan pada Isnin lalu berkata tuduhan itu amat mengguris hatinya kerana pemergiannya ke Tanah Suci Mekah adalah ditaja oleh syarikat pelancongan Gemilang Travel yang menjalinkan kerjasama dengan stesen radio Suria FM.
Katanya, sepanjang berada di Mekah, Linda menjalankan tugasan dengan melaporkan segala perkembangan mengenai rombongan tersebut yang mana ia merupakan perjanjian yang telah dimeterai di antara stesen radio itu sebagai radio rasmi dengan ejen pelancongan berkenaan.
“Linda diberi tugasan membuat liputan perjalanan sebelum berangkat, semasa berada di Madinah, Mekah sehinggalah perjalanan pulang Linda ke Malaysia. Semua itu merupakan perjanjian di antara Gemilang Travel dan juga Suria FM.
“Sepanjang mengikuti rombongan itu Linda membuat lintasan secara langsung sebanyak dua kali sehari bagi mempromosi syarikat berkenaan,” katanya dalam blog tersebut.
Ahad lalu ruangan pojok Siti Jarum di dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia telah menyindir Linda Onn yang bergambar dengan memegang sepanduk tertulis “Umrah Bersama Linda Onn” seperti memberitahu dia berjaya mengerjakan umrah.
Tindakan itu kata Siti Jarum seperti pendaki yang biasanya memegang sepanduk setiap kali berjaya menawan puncak gunung.
Mengenai tindakannya bergambar dengan memegang sepanduk itu kata Linda ia dibuat bukan atas kehendak dia sebaliknya sepanduk itu disediakan oleh ejen pelancongan atas dasar mempromosikan syarikat mereka.
Ujar Linda sudah beberapa kali dia mengerjakan umrah tetapi tidak pernah pun membawa sepanduk melainkan untuk rombongan umrah anjuran syarikat pelancongan berkenaan.
Katanya, dia tidak sedikit pun terlintas untuk memberitahu telah berjaya melakukan umrah dengan memegang sepanduk itu.
“Bila diminta bergambar sebagai duta kecil, Linda pun bergambar beramai-ramai dengan jemaah yang lain dan tidak terniat untuk menjadikan ia sebagai pengesahan yang Linda berjaya melakukan umrah,” katanya.
Sementara itu dalam satu kiriman SMS kepada mStar Online, Selasa, personaliti ini memberitahu dia benar-benar terkilan dengan sindiran itu kerana ia memperlihatkan seolah-olah dia mempermainkan kerja baik yang dilakukan.
“Linda betul-betul kecil hati. Ini soal ibadat. Kalau soal lain, Linda tak pernah rasa (terkilan) macam ni,” katanya sambil membenarkan mStar Online memetik tulisan di dalam blognya.

0

Persatuan Seni Desak Freddie Fernandez Berundur



Zaienal Abidin Omar (tengah) bersama pemimpin persatuan-persatuan seni selepas mesyuarat tergempar mengenai kemelut Persatuan Karyawan di PWTC, Selasa lalu.
KUALA LUMPUR: Pemimpin persatuan-persatuan seni, Selasa, sepakat menolak kepimpinan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez daripada menerajui persatuan itu sebaliknya menyokong ahli seumur hidup Karyawan, Zaienal Abidin Omar untuk mengambil alih kepimpinan berkenaan.
Dalam mesyuarat tergempar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Selasa, persatuan-persatuan berkenaan juga mendesak Freddie supaya berundur diri.
Pemimpin-pemimpin persatuan itu ialah Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M.Daud, Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia, Ong Peng Chu, dan Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Mokhtar Abu Bakar.
Turut mendesak Freddie berundur ialah Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam), Ismail Ahmad dan Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia, Datuk Ismail Hudson.
Hadir sama artis veteran Datuk Aziz Satar.
Dalam mesyuarat yang diadakan itu mereka turut mendakwa sepanjang menjadi Presiden Karyawan, Freddie dikatakan telah melakukan banyak penyelewengan.
Zaienal Abidin akan menentang Freddie bagi merebut jawatan Presiden Karyawan.
“Berdasarkan kepada mesyuarat yang diadakan, pihak kami memang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Freddie dan menyokong Zaienal Abidin untuk bertanding jawatan itu kerana kami mahu industri hiburan ini menjadi aman,” kata M.Daud ketika berucap pada majlis tersebut.
Kemelut Karyawan menjadi semakin tegang apabila pada Ahad lalu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan di Pawagam Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terpaksa ditangguhkan apabila berlaku kekecohan.
Mesyuarat berkenaan diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa- Kuasa Khas) pada 2 Julai lalu mengarahkan satu Mesyuarat Agung di adakan dalam tempoh 60 hari dari perintah yang dikeluarkan.
Zaienal Abidin berkata, dia masih lagi ahli seumur hidup Karyawan yang sah dan layak untuk bertanding jawatan berkenaan.
Katanya, dia mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli sehingga kehadirannya dalam AGM tersebut disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar menyebabkan Freddie merasakan kedudukannya semakin goyang.
Atas dasar itu ujar Zaienal Abidin dia berhasrat mengambil alih persatuan yang ditubuhkan atas inisiatifnya sebelum ini.
Bercerita mengenai kekecohan yang berlaku Ahad lalu itu ujar Zaienal Abidin ia disebabkan kegagalan jawatankuasa bebas yang dilantik mengendalikan mesyuarat kerana tidak mempunyai pengalaman.
Komen pemimpin-pemimpin persatuan
“Saya tidak sukakan cara Freddie kerana dia gemar melakukan tindakan menentang arus.” - Ismail Ahmad (Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia - Swam)
“Tak mahu Freddie menjadi duri dalam daging. Bila jadi isu seperti ini, kami mahu pemimpin yang boleh majukan industri kita.” – Mokhtar Abu Bakar (Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia – Profima)
“Kekecohan yang berlaku tidak begitu manis. Kami bersatu mahu singkirkan Freddie Fernandez.” – Datuk Ismail Hudson (Presiden Persatuan Artis Veteran).
“Kita patut tolong-menolong dalam persatuan tetapi Freddie selama ini banyak memburukkan persatuan sehingga sanggup hantar surat kepada menteri untuk tutupkan persatuan lain.” – Ong Peng Chu (Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia).
0

Aida Aris Akhiri Zaman Janda Nikah Duda Sabtu Ini



PETALING JAYA: Selepas beberapa kali putus cinta, pelakon drama popular, Aida Aris (gambar),38, akhirnya memilih 4 September ini sebagai tarikh bersejarah dalam hidupnya apabila dia membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Aida atau nama sebenarnya Siti Rohaida Mat Aris yang sudah sekian lama menjanda memilih Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussein,38, atau Farid sebagai bakal suaminya.
Majlis pernikahan mereka dijadual akan di adakan di Taman Sera Ukay, Hulu Kelang, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 pagi.
Menurut Aida, dia dan Farid berkenalan pada Februari lalu melalui rakan artis iaitu Sharifah Haslinda sebelum membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan beberapa bulan kemudian.
Kata Aida, dia tidak berfikir panjang apabila Farid mengajaknya untuk mendirikan rumah tangga kerana merasakan sudah tiba masanya dia menjadi isteri selepas sekian lama hidup tanpa suami.
“Hati Aida telah terbuka untuk berumah tangga. Ini semua sudah ditakdirkan,” katanya di sini, Selasa.
Farid merupakan pramugara Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan seorang duda yang berasal dari Pulau Pinang.

Menurut Aida, dia masih belum merancang majlis resepsi perkahwinannya kerana mahu memberi tumpuan terhadap majlis akad nikah pada Sabtu ini terlebih dahulu.
Aida sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon dan penerbit rancangan televisyen di Astro iaitu, Bob Azrai pada tahun 2005 tetapi berpisah tidak lama kemudian tanpa dikurniakan sebarang cahaya mata.
Selepas itu Aida bercinta dengan penyanyi Zul (Handy Black) beberapa tahun tetapi sayangnya hubungan itu tidak berpanjangan apabila mereka membuat keputusan untuk memutuskan hubungan secara baik.