0

Sharnaaz Berbangga Dengan Kemenangan Shila Amzah Di 'Asian Wave 2012'

Shila Amzah ketika diumumkan sebagai juara Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China, malam Khamis lalu.

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad memuji penyanyi Shila Amzah dan menganggap dia layak diangkat sebagai juara pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China pada malam Khamis lalu.

Sharnaaz, 27, berkata, kejayaan tersebut adalah ganjaran Tuhan atas kerja keras Shila selepas 12 tahun bergelar artis serta kesungguhannya membuat persiapan termasuk mempelajari bahasa Mandarin sebelum menyertai pertandingan itu.

"Dia (Shila) memang berhak diangkat sebagai juara pertandingan itu. Saya berbangga kerana usaha dan kerja kerasnya selama ini terbayar dengan kemenangan itu.

"Mungkin ini adalah ganjaran daripada Tuhan untuk dia yang sering dikutuk dan dipertikaikan itu dan ini oleh segelintir pihak di laman Twitter sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Jumaat.

Sharnaaz berkata, dia yang menerima berita itu daripada panggilan telefon ibu Shila, Fauziah Sarman pada malam Khamis, berharap kejayaan itu akan menjadi motivasi untuk kekasihnya lebih fokus pada bidang nyanyian selepas ini.

Sharnaaz dan kekasihnya Shila

“Saya sudah tidak sabar untuk menanti dia pulang ke Malaysia pada 26 September ini. Apa yang saya harapkan kejayaan ini akan membuatkan Shila lebih fokus dan berjaya dalam nyanyian.

“Keberanian dia menyanyi di depan penonton asing dan kesungguhannya sejak dulu lagi begitu membanggakan saya secara peribadi,” katanya.

Mengenai persembahan Shila dalam pertandingan itu yang dimuat naikkan di laman YouTube, Sharnaaz berkata, dia menggemari nyanyian gadis berusia 22 tahun itu ketika menyampaikan lagu Grenade nyanyian asal Bruno Mars.

"Saya kagum dengan persembahan Shila mendendangkan lagu Bruno Mars bertajuk Grenade. Kesungguhannya di atas pentas ketika menyampaikan lagu itu layak dipuji," katanya.

Pada peringkat akhir Asian Wave 2012 itu, Shila berentap dengan 12 penyanyi termasuklah finalis dari China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India.

Shila yang juga anak kepada penyanyi dan pelakon 80-an, ND Lala berjaya memukau juri dan penonton dengan kekuatan vokalnya mendendangkan lagu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade dan sebuah lagu Mandarin berjudul Zheng Fu (Na Ying).

Pada peringkat awal pertandingan yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September lalu, Shila mempersembahkan lagu popular Adele, Set Fire to the Rain dan lagu Mandarin Forever Love (Wang Lee Hom) di samping 30 peserta lain.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Tahniah!! Shila Amzah Juara Pertandingan Asian Wave 2012

Detik-detik kemenangan hebat Shila Amzah.



SHANGHAI- Penyanyi Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah, 22, berjaya mengharumkan nama negara dengan menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China bermula jam 8.30 malam tadi. Dengan kejayaan itu, Shila berjaya menewaskan 5 finalis daripada negara China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India. Berita gembira ini telah disahkan oleh adik Shila iaitu Syahir Hamzah menerusi twitter peribadi miliknya dengan menyatakan perasaan syukur terhadap kemenangan kakaknya itu. Berikut adalah petikan twitter milik adik Shila: Alhamdulillah. @Shilaamzah is a Champion for Asian Wave 2012!! Thanks for you guys for voting :) Lets trending #TahniahShilaAmzah :) Shila Amzah berjaya memukau juri dengan membawakan 3 lagu iaitu Gemilang (Jaclyn Victor), Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin.(MURAI.COM.MY) Berikut adalah video daripada persembahan Shila malam tadi,


0

Sah!! Yuna Dan Qi Putus Cinta

 Gambar kenangan terindah Yuna Dan Qi Di Karpet Biru Celcom Anugerah Industri Muzik Ke 18.


KUALA LUMPUR: Penyanyi remaja terkenal, Yunalis Zarai atau Yuna mengakui desas-desus yang bertiup kencang mengatakan hubungan cintanya dengan pelakon juga pengacara, Qushairi Razali sudah tiada lagi.

Perkara itu disahkan Yuna pada sidang media konsert sulungnya, Yuna Homecoming Concert di Damansara, di sini, petang semalam. Penyanyi berusia 26 tahun itu turut menafikan wujudnya orang ketiga dan keputusan untuk membawa haluan masing-masing adalah persetujuan bersama bagi kebaikan kedua-dua pihak.

“Tiada permusuhan yang berlaku, sebaliknya kami berdua sepakat untuk berehat sebentar daripada komitmen yang terjalin lebih dua tahun ini. Mungkin ini jalan terbaik untuk kami berdua bagi mencari fokus dan keserasian, lebih-lebih lagi kebetulan masing-masing begitu sibuk untuk mengukuhkan kerjaya.

“Bagaimanapun, kami masih berkawan baik dan harap-harap peminat doakanlah yang terbaik untuk saya,” katanya.

Yuna yang menjalin hubungan dengan bekas pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan berusia 36 tahun itu sejak lebih dua tahun lalu hanya menyifatkan perpisahan antara mereka kerana faktor kesibukan dan komitmen terhadap kerja masing-masing.

Malah, tambahnya, hubungan jarak jauh antaranya yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat dan Qi yang sibuk dengan kerjaya lakonan di Kuala Lumpur alasan utamanya juga. “Bayangkan, saya berada di Kuala Lumpur sekali-sekala dan selebihnya saya sibuk dengan pelbagai aktiviti promosi album terbaru dan persembahan jelajah seluruh Amerika. Qi pula di Kuala Lumpur dengan jadual kerjanya yang padat.

 “Justeru kesibukan dengan tanggungjawab dengan syarikat rakaman Fader Label di sana membuatkan kami sepakat untuk membawa haluan masing-masing dulu. “Lebih baik kami meletak sepenuh tumpuan pada kerja dan komitmen terlebih dulu. Jika ada jodoh dan rezeki, Insya-Allah ia tidak akan ke mana,” katanya.
0

Gambar Majlis Perkahwinan Sharifah Khasif Dan Dato’ Seri Mohamad Hizal



Tahniah diucapkan kepada Johan Qariah Musabaqah Al Quran peringkat Kebangsaan dan juga Antarabangsa serta juri Qari Junior, Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah kerana selamat melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Dato’ Seri Mohamad Hizal.

Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman menjadi popular selepas muncul sebagai naib juara Akademi Al-Quran musim ketiga di TV9 dan juga juara pertandingan musabaqah peringkat Kebangsaan serta juara dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51.


Dia juga pernah mengendalikan rancangan Akademi Al-Quran musim keempat dan Kalam Suci sebagai pengacara.Bertuah suaminya memperisterikan Sharifah yang bukan saja cantik tetapi tinggi pengetahuan agama. 


Kami mengucapkan selamat pengantin baru dan semoga akan berbahagia sehingga keakhir hayat.Majlis resepsi telah diadakan di Royal Golf Club,Ipoh baru-baru ini.








0

Malaysia Boleh!! Yuna Tercalon Dalam MTV European Music Awards 2012

 
Yuna akan merebut gelaran juara untuk ‘Best Asian Act’ di MTV European Music Aawards 2012 di Festhalle, Frankfurt, Jerman pada 11 Nov.

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Yunalis Zarai, atau lebih dikenali dengan nama Yuna, yang popular dengan lagu “Terukir Di Bintang” sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dicalonkan dalam MTV European Music Awards (EMA) 2012 di Festhalle, Frankfurt, Jerman pada 11 Nov.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sebelum ini turut dicalonkan dalam 25th Nickelodeon Kids’ Choice Awards.

Yuna akan merebut gelaran juara untuk “Best Asian Act” di MTV EMA 2012 bersama sama empat calon yang cukup popular seperti Junior, EXILE, Han Geng dan Jolin Tsai.

Pemenang kategori “Best Asian Act” ini akan mewakili Asia dalam voting “Best Act” di seluruh dunia.

Undian yang hanya boleh dilakukan secara atas talian boleh dibuat di mtvema.com/vote sehingga 9 Nov nanti.

Yuna sekarang ini turut aktif di Amerika Syarikat dan dijemput untuk membuat persembahan dalam rancangan-rancangan ternama.

Yuna turut merakamkan semula lagu kumpulan popular Nirvana yang bertajuk “Come As You Are”.

Oleh Mohd Farhan Darwis
0

Tahniah!! Rosyam Nor Terima Ijazah Kehormat Sarjana Seni

Rosyam menerima Ijazah Kehormat Sarjana Seni (Keusahawanan Industri Kreatif) daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bersempena Majlis Konvokesyen ke-2 Universiti Malaysia Kelantan, Sabtu lalu.


PETALING JAYA: Aktor terkenal Rosyam Nor berkata penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Seni (Keusahawanan Industri Kreatif) daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Sabtu lalu membuktikan kerja kerasnya selama 26 tahun dalam bidang seni diiktiraf ahli akademik.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin, 45, berkata, dia berharap pengiktirafan itu akan menjadi iktibar kepada khalayak umum terutamanya generasi muda agar rajin berusaha dalam apa jua lapangan kerja walaupun tanpa kelulusan yang tinggi.

“Saya masih terkejut dan tersentuh dengan penganugerahan (ijazah kehormat) ini. Saya tidak sangka usaha saya pada cabang seni selama 26 tahun dihargai dan mendapat perhatian ahli akademik.

“Kalau diikutkan kelulusan, siapalah saya tetapi apabila lebih 30 ahli senat UMK memberikan pengiktirafan ini, saya berbesar hati menerimanya. Saya harap ia menjadi iktibar kepada golongan muda untuk bekerja keras,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad.

Ijazah tersebut disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Kota Bharu, Kelantan bersempena Majlis Konvokesyen kali kedua UMK, pada Sabtu lalu.

Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 itu berkata, penganugerahan itu juga membawa perubahan besar pada landskap dunia seni tanah air yang selama ini dianggap sinis dan tidak mempunyai masa depan oleh segelintir pihak.

“Penganugerahan sebegini kepada anak seni membawa perubahan besar kepada dunia hiburan. Jika dulu, dunia seni tanah air kita kecil dan dipandang remeh tetapi pada hari ini ia semakin berkembang dan mendapat pengiktirafan golongan profesional dan akademik.

“Ia adalah perkembangan yang baik untuk anak-anak seni kerana cabang industri ini. Yang penting, kita pelu bekerja keras dan tidak kenal erti mengalah,” katanya.

Pelakon yang kini bergelar usahawan itu berkata, dia berharap penganugerahan tersebut akan mengukuhkan kepercayaan badan profesional dan kerajaan dalam memberikan peluang untuk dia menyampaikan ceramah berkaitan bidang keusahawan.

“Memang saya kerap dijemput untuk menyampaikan ceramah dan taklimat sebagai anak seni dan usahawan pada acara-acara badan kerajaan dan swasta kebelakangan ini.

“Saya berharap penganugerahan ini akan lebih meyakinkan khalayak agar dapat saya berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada selama 26 tahun dalam bidang seni,” katanya.

Drama rantaian popular lakonan dan terbitannya berjudul Trilogi Cinta 2 kini ditayangkan pada setiap Khamis dan Jumaat pukul 10 malam di TV1.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Sikap Ambil Berat Punca Justin Bieber Sayang Selena Gomez

Justin Bieber dan kekasihnya Selena Gomez.


LOS ANGELES: Sikap mengambil berat dan pendengar setia yang dimiliki penyanyi dan pelakon Selena Gomez merupakan dua ciri utama yang membuatkan penyanyi Justin Bieber semakin menyayangi kekasihnya itu.

Bieber berkata, dia mengagumi kasih sayang dan tumpuan yang diberikan Gomez kepadanya langsung tidak pernah berkurangan selepas dua tahun mereka menjalin hubungan.

“Saya tertarik pada individu yang mampu menjadi pendengar yang baik, yang selalu ada untuk saya dan memerhatikan apa yang saya katakan.

“Hakikatnya, saya ini jenis orang yang penuh dengan kasih sayang dan memerlukan pasangan yang juga penuh kasih sayang seperti Selena,” katanya seperti dilaporkan Contactmusic.

Selain faktor personaliti Gomez, Bieber tidak menyangkal dia mengagumi kecantikan gadis berusia 20 tahun itu. Katanya, gadis yang cantik dan menawan adalah idaman setiap lelaki.