0

Perkahwinan Faezah Elai Dan Heykal Hanafiah Yang Penuh Kontroversi...


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Faezah Elai memberitahu kontroversi yang tercetus di antara dia dan pengarah Heykal Hanafiah telah menimbulkan bibit cinta mereka berdua.
Jelas Faezah, dia dan Heykal mula rapat apabila sering bertemu bagi menyelesaikan masalah yang mengaitkan mereka.
"Saya rapat dengan Heykal selepas kontroversi yang melanda kami, padahal sebelum kontroversi tersebut memang kami tiada sebarang hubungan langsung.
"Pada asalnya kami hanya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut dan akhirnya hubungan itu melahirkan satu perasaan lain," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran filem Tanda Putera, Perbadanan Kemajuan Filem Merdeka (Finas) di sini, Selasa.
Kisah Faezah dan Heykal menjadi panas sebelum ini apabila mereka dikatakan mempunyai hubungan istimewa ketika lelaki tersebut mengarahkan sebuah drama lakonan pelakon wanita itu.
Akibatnya Faezah dituduh menyebabkan keruntuhan rumah tangga Heykal
Bagaimanapun, Faezah menegaskan dia sama sekali tiada kaitan dengan masalah rumah tangga pengarah drama Asmara itu.



"Saya rapat dengan dia selepas dia berpisah dengan isterinya, saya tiada kaitan dengan masalah rumah tangga mereka," tuturnya.
Pasangan yang memilih tarikh 9 September untuk diijabkabulkan menganggap perkenalan dalam waktu singkat itu bukan penghalang untuk menjalani kebahagiaan dalam rumah tangga.
"Biarpun hubungan percintaan kami singkat, namun saya yakin saya mengenali dia. Malah saya juga memahami apa masalah sebenar yang menyebabkan kegagalan rumah tangganya.
"Saya yakin apabila hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak, adalah lebih baik perkahwinan kami dijalankan segera," katanya.
Ketika ditanya tentang tindakannya sebelum ini yang cuba menyembunyikan identiti bakal suami dan tarikh perkahwinannya, Faezah menjelaskan perkara itu dibuat atas permintaan bakal ibu mertuanya.
"Saya tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini apabila ditanya wartawan, tetapi ia adalah permintaan ibu mertua saya yang tidak mahu ia diumumkan sebelum kad undangan siap dicetak.
"Sekarang mungkin masa yang tepat untuk saya mengumumkan majlis tersebut kerana semuanya sedang berjalan dan ibu mertua sudah beri lampu hijau," katanya.

0

Mamat (Sepah) Tengah Hangat Bercinta Dengan Pelakon Fida Ibrahim...


KUALA LUMPUR: Pelakon Fida Ibrahim dan pelawak Mamat (Sepah) mengaku mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain.
Fida ketika ditemui di majlis rakaman program Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akui menyenangi sikap Mamat yang lebih mementingkan keluarga dalam hidupnya.
"Saya dan Mamat berkawan rapat hampir enam bulan lalu. Saya suka berkawan dengannya setelah melihat banyak keistimewaan dalam dirinya.
"Antara ramai artis lelaki, saya tertarik dengan cara dia menandatangani autograf kepada peminat dengan menggunakan tulisan jawi dan selepas memenangi Maharaja Lawak baru-baru ini, dia terus pulang ke kampung untuk bertemu keluarga berbanding mengutamakan orang lain.
"Jadi, kualiti yang ada itu membuatkan saya selesa untuk berkawan dengannya, namun hubungan kami masih baru untuk mengatakan kami bercinta atau tidak," jelas Fida.
Menurutnya, hubungan mereka mula mesra selepas kerap kali bertemu untuk menjayakan promosi filem “Man Sewel Datang KL” pada bulan Mac tahun ini.
"Saya tak nafikan, sejak dari itu kami pernah keluar bersama-sama tetapi ditemani oleh pembantu peribadi masing-masing.
"Kami juga sering berhubung melalui BlackBerry Messenger (BBM). Saya serius berkawan dengannya cuma tentang jodoh kita belum tahu," ujar Fida.
Sebelum ini, Fida akui pernah berkawan dengan Zizan (Raja Lawak). Ditanya sama ada kriteria lelaki pilihannya adalah seorang yang kelakar, jelas Fida: "Saya suka pelawak kerana seronok berkawan dengan mereka yang kadangkala berbeza karakter di luar berbanding yang kita tengok di televisyen."
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ



Biodata Fida
Nama Sebenar: Rafidah Ibrahim
Tarikh lahir: 4 Jun 1986
Asal: Kuala Lumpur
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Karier: Pelakon dan penyanyi
Drama: Kasih Alia, E-Toyol,Epilog Syurga Cinta, Cinta TikarSejadah dan lain-lain..
Filem: Adik Manja The Return,Kongsi, Man Sewel Datang KL dan lain-lain..
Pencapaian: Juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007

0

Noraniza Idris Akan Melangsungkan Majlis Pernikahannya Secara Besar-Besaran..



Noraniza Idris dan tunangnya, Jeffri akan melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 29 September ini di Plaza Angsana, Johor Bahru.

KUALA LUMPUR: Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, bakal melangsungkan perkahwinannya dengan Jeffri Hudi, 52, bilal sebuah masjid di Singapura secara besar-besaran pada 29 September ini dan boleh disaksikan oleh orang ramai.
Majlis pernikahan akan berlangsung pada pukul 12 tengah hari di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru.
Ia diadakan seiring dengan sambutan 'Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011'.
"Pada mulanya keluarga saya menetapkan tarikh untuk kami bernikah pada 1 Oktober 2011 tetapi akkhirnya kami membuat keputusan lebih baik majlis ini diadakan serentak dengan sambutan festival itu. Lagipun jaraknya tidak jauh.
"Walaupun ia besar-besaran, tetapi saya rasa tidak salah kerana ia bertujuan untuk meraikan perkahwinan kami," katanya ketika sidang media mengumumkan tarikh pernikahan mereka di Menara Yayasan Tun Razak, di sini, Selasa.
Noraniza hadir dengan tunangnya dengan mengenakan pakaian warna sedondon iaitu hijau pucuk pisang.
Berkongsi tentang cinta pasangan ini, biarpun pernah serik dengan dua perkahwinan lalu, namun Noraniza mula terbuka hati untuk berkahwin dengan bilal berkenaan setelah benar-benar mengenali hati budinya.
"Saya yakin dia merupakan jodoh saya kerana dia seorang yang berterus-terang dan menyokong setiap perkara yang saya lakukan.
"Hubungan kami terjalin sejak kami bertemu untuk urusan jualan amal anak yatim di Bazar Ramadan pada tahun lalu.
"Kemudian pada 22 April tahun ini, kami bertunang dan seterusnya menetapkan majlis pernikahan ini," kata Noraniza.
Sementara tunangnya pula tertarik dengan Noraniza yang memiliki sifat wanita berwibawa.
"Saya juga menyenangi sikap Noraniza yang berterus-terang dan yang paling buat saya tidak dapat melupakannya apabila makan biskut tat nenas.
"Yang penting semua pihak merestui dan gembira dengan perkahwinan ini," ujarnya.Majlis pernikahan yang akan berlangsung secara terbuka dijangka tamat pukul pukul 5 petang.
Selain perkahwinan kedua mempelai berkenaan, terdapat majlis perkahwinan melibatkan lima pasangan pelbagai kaum yang diadakan selama empat hari berturut-turut di tempat yang sama.
Majlis ini dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd bersama Gerakan Belia 4B (M) Negeri Johor.
Ini merupakan perkahwinan ketiga Noraniza Idris dan perkahwinan kedua Jeffri.
Noraniza mempunyai dua orang anak lelaki manakala Jeffri yang menduda sejak 13 tahun lalu mempunyai empat anak berusia antara 15 hingga 26 tahun.
0

Noraniza Idris Telah Bertunang Dengan Seorang Ustaz...

                                                          Noraniza Idris

“MEMANG tak sangka langsung pada usia 43 tahun saya kembali menjadi tunangan orang. Ingatkan dah tua-tua ini, dah tak laku. Rupa-rupanya ada juga yang berkenankan saya,” kata penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43.
Luahan penyanyi yang lebih mesra disapa Ani itu membawa seribu erti, apatah lagi pada Ramadan ini apabila cintanya bersemi buat kali ketiga dengan duda anak empat, Jeffri Hudi, 52, iaitu ustaz dari Singapura yang berkhidmat sebagai bilal bebas di negaranya.
Bagaimanapun, menurut Noraniza, ketika Jeffri melamarnya, dia diberi tempoh untuk berfikir tetapi tidak melakukannya secara serius kerana dalam hati masih ada keraguan.
 “Saya berfikiran negatif ketika itu dan takut untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sekali lagi,” katanya.
Seminggu sebelum berakhirnya tempoh itu, baru Noraniza membuat keputusan dan menyedari dia tidak buat sebarang persiapan untuk bertunang.
“Mujur mereka di Akademi Tatih Seni (cawangan Johor) yang memahami keadaan saya, membuat persiapan mencarikan penaja pelamin dan baju untuk saya.
 “Selepas bertunang, kami berdua sibuk dan tidak sempat mencari tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan hinggalah keluarga mendesak kami segerakan perkara baik itu.
“Selasa ini saya akan mengadakan sidang akhbar mengumumkan tarikh pernikahan dan kenduri. Insya-Allah perkahwinan itu akan dilangsungkan tahun ini juga,” katanya yang mendapat restu anaknya.
 Noraniza berharap perkahwinannya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Di mana saya akan menetap selepas berkahwin, sama ada di Singapura atau di sini, tengoklah keadaan nanti,” katanya yang dihubungi Metro Ahad.
Berbual dengannya di telefon, suara Noraniza kedengaran ceria dan perbualan itu juga diselang-seli dengan ketawa, bagaikan tanda bahagia di hati.
Menceritakan detik pertemuan dengan bakal suaminya, jelas Noraniza, mereka bertemu pada Ramadan tahun lalu ketika melakukan kerja kebajikan di sebuah masjid di Johor Bahru.
Noraniza bersama anak didiknya di Akademi Tatih Seni untuk menghulurkan sumbangan hasil jualan biskut raya.
Ketika itu, dia berkata, Jeffri turut melawat masjid berkenaan bersama teman.
“Apabila saya melihat ada orang lain turut berada di masjid itu, saya pun bertegur sapa. Saya banyak berbual dengan kawannya dan Jeffri hanya mendengar. Ketika saya mahu balik, baru saya berkenalan dengan Jeffri dan memberi kad bisnes kepadanya.
“Selepas tahu dia orang Singapura, saya pun beritahu, adik saya berniaga di bazar Ramadan di negara itu,” katanya yang kemudian bertanya bolehkah adiknya menghulurkan sebarang sumbangan menerusi Jeffri.
“Itulah bermulanya bicara saya dengan dia. Rupa-rupanya dia kenal saya kerana sering menonton persembahan saya di televisyen dengan ibunya. Waktu itu saya masih menjadi isteri Fareez. Dia juga suka dengar lagu saya.
“Selepas pertemuan di masjid itu, dia hubungi saya dan lama kelamaan kami jadi rapat. Saya sangat menyanjungi peribadi Jeffri, walaupun dia orang beragama tetapi dia tidak memandang rendah artis macam saya. Dia boleh ‘masuk’ dalam dunia saya. Sesetengah orang, apabila jumpa artis pasti pandang sinis dan meletakkan jurang.
“Jeffri sangat pemalu tetapi saya selesa berkawan dengannya kerana pertuturannya lemah lembut dan tidak pernah marah. Jika dia hendak ‘tegur’, caranya sangat berhemah,” katanya.
Noraniza seterusnya mengatakan selepas bercerai kali kedua, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi dan membiarkan Allah SWT menentukan segala-galanya.
Bagi artis itu, bukan dia tidak mahu berkahwin lagi tetapi biarlah jodoh itu datang sendiri.
“Hendak kata tak mahu pun (kahwin), kalau dah sampai masanya, saya terima saja ketentuan Ilahi. Selepas beberapa bulan berkawan, dia bawa saya berjumpa keluarganya di Singapura dan kemudian keluarganya datang berjumpa keluarga abang sulung saya di Masai, Johor.
“Kebetulan kisah hidup kami banyak persamaan. Justeru, kami menerima diri masing-masing seadanya kerana apa yang pernah terjadi, biar ia menjadi kenangan. Namun, kami bukan bercinta seperti orang muda. Hubungan kami atas rasa tanggungjawab, apatah lagi masing-masing ada anak.
“Sebenarnya selepas dua kali bercerai, saya fobia untuk berkahwin lagi. Kalau dulu memang perkahwinan menjadi keutamaan dalam hidup saya tetapi selepas bersendirian, saya tumpukan kepada kerjaya seni dan bisnes.
“Apabila ada orang mengambil berat pasal saya dengan sering menghubungi saya setiap hari walaupun berjauhan, membuatkan saya rasa dekat dengannya.
“Saya sudah mula rasa ada kawan mengisi kekosongan. Keadaan itu membuatkan saya rasa teringin berkahwin semula. Perasaan untuk mempunyai teman hidup itu wujud secara semula jadi,” katanya.
Lalu atas persetujuan keluarga, Noraniza dan Jeffri bertunang pada 22 April lalu.
Noraniza berkata biarpun dia sudah berkahwin dua kali, bakal ibu mentuanya sangat mementingkan adat lama.
“Ibunya tetap mahu hantar rombongan merisik. Selepas itu baru diadakan majlis pertunangan. Ingatkan selepas bertunang kali pertama pada usia 18 tahun, saya tidak akan bertunang lagi,” katanya.-hmetro