0

Gambar Dan Video Majlis Perkahwinan Noh 'Hujan' Dan Mizz Nina

                                           Noh dan Nina selamat dinikahkan.
PETALING JAYA: Selepas lapan bulan bertunang, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh,27, akhirnya sah bergelar suami kepada penyanyi Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman,31.
Majlis pernikahan mereka dilakukan di kediaman keluarga Nina di Ukay Heights, Ampang, dekat sini.
Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Nina, Tan Sri Azman Hashim kira-kira pukul 10.20 malam, Jumaat.
Manakal bapa Noh, Salleh Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia Sdn Bhd, Datuk Adnan Alias bertindak sebagai saksi kepada kedua-dua pengantin.
Turut serta menyaksikan upacara akad nikah itu ialah ibu Nina, Puan Sri Arishah Tuanku Maamor dan ibu Noh, Dayang Soraya Abang Fadzail.

Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan wang hantaran sebanyak RM11,111.11 dan mas kahwin pula sebanyak RM888.88 berserta tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada sirih junjung, set barang kemas, iPad 2, cincin dan kek lapis Sarawak.
Ia dibalas tujuh dulang hantaran oleh pihak perempuan yang terdiri daripada sirih junjung, sepasang kasut, dompet, sepasang baju bersanding, coklat, “Playbook” dan cincin.
Menurut Noh, dia bersyukur kerana akhirnya pernikahan mereka berjalan dengan lancar dan berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat.
"Saya berdoa supaya kami kekal selamanya. Selepas ini kami merancang untuk berbulan madu di United Kingdom, Rome dan Maldives selama dua minggu.
"Percutian ini juga dikira sebagai masa rehat memandangkan jadual kerja kami begitu padat dengan aktiviti seni sebelum majlis ini (nikah)," katanya.
Bagaimanapun Nina belum memikirkan untuk memperoleh anak dalam masa terdekat.
"Kalau nak diikutkan, kami merancang untuk menerima seorang anak selepas dua tahun perkahwinan kami bagi mengukuhkan kerjaya.
"Tetapi jika rezeki itu datang lebih awal, kami tidak menolak," ujar Nina.
Pada majlis nikah itu, Noh mengenakan pakaian rekaan Shaiful Baharim manakala Nina mengenakan pakaian rekaan Lady Jane.
Pada 3 Julai ini, resepsi untuk keluarga dan tetamu-tetamu kehormat akan diadakan di Hotel Shangri-La bertemakan Ungu Elegan.
Kemudian, pasangan ini akan diraikan pada sebuah resepsi berkonsep Jepun bersama pihak media dan rakan-rakan pada 6 Julai ini manakala majlis sambut menantu (sebelah lelaki) akan diadakan di Miri, Sarawak pada 15 Julai depan.
Pasangan ini bertemu sewaktu sama-sama bekerjasama menyanyikan lagu Kurnia ciptaan Noh pada 2008 dan cinta mula berputik setahun selepas itu.

0

Rozita Che Wan Cedera Kerana Jatuh Tangga


PETALING JAYA: Pelakon jelita Rozita Che Wan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya malam Rabu lalu.
Menurut Rozita, disebabkan kejadian tersebut ligamen kakinya itu koyak menyebabkan dia tidak boleh bergerak.
"Saya baru sahaja pulang daripda penggambaran terakhir drama Annissa dalam pukul 9 malam pada Rabu lepas. Masa menaiki tangga, saya tergelincir menyebabkan saya terjatuh.
"Pada awalnya saya fikir hanya jatuh biasa tapi ketika hendak tidur kaki mula sakit yang teramat sangat," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.



Tambahnya, dia segera menghubungi abang kandungnya untuk ke Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya dekat sini, bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.
"Semasa hendak mendapatkan rawatan itu, kaki saya terlalu sakit dan saya tak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung oleh abang saya untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital.
"Semasa doktor buat pemeriksaan x-ray dia hanya mendapati ligamen kaki saya hanya terkoyak. Nasib baik ia tak patah," katanya yang memberitahu kakinya masih lagi dibalut pada ketika ini.
Katanya, disebabkan kecederaan tersebut dia diberi rehat selama seminggu dan terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran drama.
"Doktor kata ia tidak teruk tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh.
"Saya terpaksa membatalkan beberapa sesi fotografi dengan beberapa majalah dan tangguhkan beberapa penggambaran drama dalam masa seminggu ini," katanya.
Rozita bakal memulakan penggambaran untuk drama khas Hari Raya iaitu Pontianak Baru Kampung Batu, Kiah Pekasam dan Jaguh Kampung.
0

Salih Yaacob Akui Tiga Isterinya Terasa Hati

 Salih Yaccob enggan isu isteri-isterinya dibangkitkan lagi di media.

PETALING JAYA: Pelawak Salih Yaacob menyedari tiga isterinya yang lain agak kurang senang apabila isteri keempatnya, Samihah Sheikh Amy (Emi), 25, yang baru dikahwini lebih menonjol berbanding mereka.
Menurut Salih, walaupun isteri pertama sehingga ketiganya iaitu Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42 dan Norfara Wahida Sulaiman, 32, tidak meluahkan perasaan tersebut tetapi sebagai suami dia dapat merasai perkara itu.
"Saya sedar mereka rasa kurang selesa apabila Emi lebih menonjol. Bukan senang nak jaga hati mereka tetapi saya akan perjelaskan setiap hal yang saya lakukan di luar.
"Lagipun, bukan saya yang mahu tonjolkan Emi, pihak media yang kerap bertanyakan tentang dia, saya jawab macam biasa. Malah mereka (media) juga ada membuat temu bual dengannya," kata Salih yang ditemui selepas pelancaran program Salih Yaccob Show, I Follow di PJLA Theater, Jaya One, di sini, Rabu.
Tambah Salih, sejak bergelar isteri keempat, Emi agak terkejut kerana sering diberi perhatian dan kerana itu dia enggan mengambil gambar dengan pihak media.

                                Salih dan Emi

Persoalan kononnya Salih mengamalkan “pilih kasih” terhadap isterinya yang lain mula timbul apabila dia dilihat kerap membawa Emi bersamanya ke majlis-majlis hiburan termasuklah dalam program Maharaja Lawak di Johor dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
"Saya juga ingin menjelaskan bahawa tindakan saya membawa Emi ke majlis-majlis pelancaran atau acara yang membabitkan dengan kerja saya kerana dia kini merupakan pengurus peribadi saya. Tiada kaitan dengan isu pilih kasih seperti yang diperkatakan.
"Sebelum ini Fara yang menguruskan saya, tetapi disebabkan dia kini sibuk dengan anak, tugas itu diberikan kepada Emi.
"Saya harap kenyataan saya ini jelas dan tidak lagi timbul sebarang keraguan terhadap saya dan keluarga," jelas Salih.
0

Fasha Sandha Mengamuk Lagi Di laman Twitter Dan Facebook


Aktres sensasi Fasha Sandha sekali lagi mengamuk di laman twitter dan Facebooknya. Beliau mengecam Iqram Dinzly yang menurutnya sengaja mengungkit semula perkara itu di sebuah akhbar tempatan dengan tujuan memburuk-burukannya dan Fasha juga menggelarkan Iqram sebagai seorang Diva sewaktu dilokasi penggambaran.



Iqram dalam sebuah akhbar tempatan semalam juga mendakwa Fasha Sandha tidak menyukai dia sebagai hero dan mahukan Aaron Aziz, Fasha juga tidak bersikap perofesional kerana dikatakan meninggalkan dirinya ketika dilokasi.

Seperti biasa, kata-kata Iqram itu telah menimbulkan serangan bertubi-tubi Fasha terhadapnya dilaman sosial miliknya, dan ia kelihatan satu peperangan sudah bermula semula.


0

Gambar Zahrah Shanley Cahaya Mata Sulung Jimmy Shanley Dan Nursuhaila Eliani




Pengacara Jimmy Shanley yang baru sahaja menerima kelahiran cahaya mata sulungnya, Zahrah Shanley pada 24 Jun lalu, mahu anak perempuannya itu membesar di depan mata. Bayi seberat 2.2 kilogram itu selamat dilahirkan oleh isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy secara pembedahan di Pusat Perubatan Putra (PMC), Sungai Buloh pada pukul 6 petang, Jumaat lalu.

                                                           Zahrah

                                            Permata hati Jimmy


                  JIMMY di samping Zahrah dan ibu mertua, Datin Muniroh Kassim. 

“Setelah isteri saya selesai berpantang di rumah mak mertua saya, saya akan membawa anak kami tinggal bersama-sama saya dan membesarkan dia secara sederhana. Jadi, isteri saya perlu mengikut serta jika dia mahu tinggal bersama-sama anak.
                                 Kemelut yang meragut kebahagiaan Jimmy

“Saya rasa, itu sahaja cara yang saya perlu lakukan untuk membawa isteri saya pulang kerana saya tidak akan menceraikan isteri saya seperti yang diinginkan olehnya,” kata Jimmy ketika dihubungi  Ahad.
Jimmy yang telah melawat anak dan isterinya di hospital memberitahu makna Zahrah adalah sesuatu zahir yang cantik. Nama itu juga dipilih sempena gabungan hujung nama ibunya, Azizah (Zah) dan ibu mertuanya, Muniroh (rah).
“Saya sempat menjaga Zahrah sehingga pukul 2 pagi semalam. Bagaimanapun saya tidak boleh berlama-lama dengan dia sebab mempunyai komitmen lain yang perlu dilakukan.

“Bagaimanapun, saya akan meminta izin daripada mertua saya untuk tinggal sementara di rumahnya untuk sentiasa dekat dengan Zahrah. Kalau boleh saya nak Zahrah membesar depan mata saya,” ujarnya lagi.
Tambah Jimmy lagi: “Saya sudah membuat keputusan untuk menjadi bapa sepenuh masa untuk anak saya dan bekerja dari rumah. Cuma pada hari Ahad saya akan keluar untuk mengendalikan program Gala TV Plus di Astro Awani.

“Sudah sembilan bulan saya hidup sendirian dan tidak akan memikirkan untuk berkahwin lain atau mencari pembantu rumah untuk menjaga anak saya.”
Selepas isterinya selesai berpantang, Jimmy juga merancang untuk meraikan anaknya dalam majlis cukur jambul di rumah keluarga ibu mertuanya di Tanjung Dawai, Sungai Petani.
Sebelum menutup bicara, Jimmy turut sempat meluahkan: “Sudah 31 tahun saya menunggu untuk memangku bayi sendiri dan alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kurniaan Allah ini. Saya berharap Zahrah menjadi anak yang solehah dan berbakti kepada kedua ibu bapanya.”
Pasangan Jimmy dan Suhaila bernikah pada 1 Oktober 2010.
Pada 8 Mac lalu, Jimmy memfailkan permohonan nusyuz agar isterinya kembali taat kepadanya kerana anak.
0

Isu Kahwin: Marsha Minta Maaf...

BERITA pernikahan penyanyi Marsha yang secara tiba-tiba muncul di muka depan sebuah akhbar sememangnya menggegarkan. Pasti pada mulanya media yang tidak menyiarkan berita berkenaan berasa terpukul habis. Maklum sajalah, sudah kena ‘scoop’ oleh rakan di akhbar lain yang terlebih dahulu menyiarkan cerita pernikahan Marsha itu.

Apatah lagi saya sendiri baru saja bertemu dengan Marsha di Konsert Pancaindera di Sungai Melaka baru-baru ini. Tidak ada pula dia hulurkan kad jemputan. Itu yang saya pelik.
Bagaimanapun esoknya, Marsha terpaksa meminta maaf dan menjelaskan ia hanyalah berlaku dalam penggambaran video klip lagu Bila.
Marsha belum menikah, walaupun laporan akhbar tabloid itu sudah mengesahkan yang sememangnya artis jelita itu sudah berkahwin.
Saya memang pelik, bagaimana hal sebegini boleh berlaku. Kenapa media melaporkan satu hal yang sebegitu serius, walaupun ia sebenarnya tidak berlaku?



Justeru banyak pihak yang menyalahkan media mengenai isu pernikahan Marsha ini.
Ini termasuklah kutukan di Internet dan pelbagai kolum lain yang mempersendakan maruah anggota media, terutamanya yang berkaitan dengan industri hiburan memandangkan Marsha adalah artis.
Sekali lagi di sini, saya melihat kelemahan skil komunikasi antara artis dan pihak media telah menyebabkan masalah ini berlaku.

Malah Marsha sendiri saya anggap sememangnya bertujuan ‘bergurau’ dengan pihak lain apabila membuat kenyataan di Twitter miliknya yang menjurus kepada kenyataan seperti memang benar dia bakal bernikah beberapa hari sebelum itu.
Seorang artis juga memberitahu saya bahawa memang Marsha mahu bernikah.
“ Betul kak, Marsha sudah hendak bernikah. Dia cuba baju pengantin, dia beritahu kat Twitter dia, akak suruhlah wartawan cari berita itu,” kata artis berkenaan.
Bayangkan, kawan artisnya sendiri boleh percaya dengan apa yang ditulis oleh Marsha di Twitter itu, apatah lagi peminat, bukan begitu?
Nasihat saya, jangan suka bergurau benda yang tak sepatutnya bergurau. Bila timbul soal macam ini, siapa yang susah? Diri sendiri juga.
Sesuatu yang tidak adil sama sekali kalau media seratus peratus dipersalahkan. Jika media melaporkan hal tidak betul, itu memang wajar menerima natijah. Tetapi bagaimana pula kalau empunya diri sendiri (sumber) yang bermain-main dan bersikap seolah-olah sebagai pendorong kepada kesilapan itu?
Perlu diingat, sebagai artis, Marsha sendiri perlu tahu bilakah masa dia boleh bergurau, selain tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh diperkatakan kepada media.
Sebenarnya ada cara untuk mengelak hal seperti ini daripada terus berlaku. Berkomunikasilah dengan jelas, tanpa berselindung. Jangan sesekali membuat gurauan pada perkara yang sepatutnya dibincangkan secara serius.

Saya berpendapat, kalau Marsha terus memberitahu bahawa acara pernikahan itu hanya di dalam video klip pada ketika dia ditemu bual, hal ini tidak akan menjadi sebegini panjang.
Masalah berlaku apabila artis sendiri tidak pandai bercakap, tidak tahu mengguna pakai perkataan yang sepatutnya digunakan dalam sesuatu situasi.
Sekali lagi saya mahu tegaskan (tanpa merujuk kepada Marsha semata-mata) itulah masalahnya apabila seseorang artis hadir tanpa pakej yang lengkap.
Kebolehan komunikasi yang baik sebenarnya akan menyelamatkan banyak perkara buruk daripada ditulis dalam media.
Saya tidak seratus peratus menyalahkan Marsha. Tidak juga menyalahkan sepenuhnya menyalahkan media terbabit.
Cuma, saya bayangkan, kalaulah skil komunikasi kita berada ditahap yang baik, hal salah lapor dan salah tafsir seperti ini tidak akan berlaku.
Kepada Marsha dan juga artis lain, belajarlah daripada kesilapan ini. Benda yang penting, perkara yang serius tidak boleh dibuat main-main.

Kepada pihak media, terutamanya wartawan yang baru sehari dua bekerja, isu perkahwinan tidak boleh dijelaskan hanya dengan satu panggilan telefon semata-mata.
Apatah lagi jika ia membabitkan nama artis yang dikenali di seluruh negara. Terjadi hal seperti ini....akhirnya semua terpalit malu.
Ingatan ini juga saya tujukan buat diri saya sendiri dalam meneruskan perjuangan sebagai seorang wartawan yang sudah pasti akan berhadapan dengan seribu satu isu tidak berkesudahan.