0

Kenapa Farid Kamil Terus Mempertikaikan Kemenangan Syamsul Yusof ??


Syamsul Yusof keliru dengan pertikaian Farid Kamil terhadap kemenangannya.
PETALING JAYA: Bertitik-tolak daripada kenyataan pelakon Farid Kamil yang mempertikaikan kemenangan Syamsul Yusof sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), baru-baru ini, pengarah muda itu menegaskan bahawa mereka tiada sebarang isu peribadi sehingga ia perlu diperbesar-besarkan.
Menurut Syamsul yang dihubungi mStar Online, Khamis, sebagai rakan dalam industri yang sama, dia sebenarnya tidak pasti mengapakah Farid perlu mempersoalkan kemenangannya apabila keputusan sudah termaktub.
"Saya pun tidak tahu jika dia ada sebarang rasa tidak puasa hati atau marah dengan saya? Setahu saya, kami memang tiada isu peribadi. Jadi, apabila saya diberitahu bahawa Farid menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap kemenangan saya, sejujurnya perkara itu benar-benar mengelirukan," katanya.
Menyangkal dakwaan kononnya mereka mempunyai masalah peribadi di antara satu sama lain, Syamsul berkata, sekalipun dia mengetahui Farid mula menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya aktres Diana Danielle selepas hubungan mereka putus pada hujung 2008.
Syamsul sama sekali tidak pernah mencampur-adukkan urusan peribadi dengan kerja.
Malah, ketika mereka bertiga terlibat dalam filem Evolusi KL Drift 2 tahun lalu, Syamsul sama sekali tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama.
"Selepas saya putus hubungan dengan Diana sebelum ini, saya memang sudah tahu Farid dan Diana menjadi semakin intim. Malah, ketika kami terlibat dalam filem Evolusi KL Drift 2 pun, saya tiada masalah mengenai hubungan mereka kerana kami cukup profesional.
"Jadi, saya tidak faham mengapa dia (Farid) perlu berterusan menyuarakan itu dan ini tentang saya sedangkan kami tidak ada sebarang hal berbangkit," jelasnya.
Tambah Syamsul, selepas dia dimaklumkan tentang pertikaian yang disuarakan oleh Farid itu, dia bagaimanapun tetap menghantar kiriman Khidmat Ringkas (SMS) kepada Farid bagi mendapatkan penjelasan.
"Selepas saya menang pada malam itu, saya ada menghantar SMS kepadanya agar dia tidak membesarkan hal itu kerana bagi saya apa yang pernah berlaku sebelum ini tidak perlu diperbesar-besarkan.
"Saya ada nyatakan yang tidak mahu bergaduh dan terbuka untuk menjernihkan keadaan semula. Malangnya, dia langsung tidak membalas SMS saya.
"Jadi, apabila isu ini dihebah-hebahkan saya sendiri pun buntu dan tidak tahu apa sebenarnya masalah yang wujud di antara kami. Setahu saya, kami tiada sebarang masalah peribadi," katanya.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan penjelasan Farid berhubung isu ini menemui kegagalan apabila aktor itu tidak menjawab panggilan.

0

Nabil akur dengan keputusan Irma untuk berpisah


Nabil akui dirinya lalai dengan kehidupan.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Nabil Ahmad terpaksa akur dan menerima keputusan Irma Hasmie, untuk memutuskan hubungan cinta mereka yang telah terjalin sejak dua tahun lalu.
Menurut Nabil, dia terpaksa mengikut kata Irma seperti mana pendedahannya dalam sebuah akhbar mingguan Ahad lalu yang enggan memulihkan semula hubungan mereka.
"Jika sebelum ini saya tidak mengaku kami berpisah, kini saya ingin katakan yang saya sudah solo. Mungkin sebelum ini saya terlalu leka dengan pemberian Allah S.W.T yang telah memberi kesenangan hidup, seorang kekasih yang cantik dan kerjaya yang bagus.
"Setakat ini, tiada perancangan lagi untuk pulihkan hubungan kami. Saya cuma ingin memperbaiki diri saya dahulu, barulah saya baiki hubungan kami jika Tuhan izinkan. Lagipun dia dah kata tak mahu saya lagi.
"Benda ini satu pengajaran buat saya. Mungkin selama ini saya lalai. Apa-apa pun, saya anggap perkara ini ada hikmahnya. Walaupun sekarang fikiran saya sedang serabut, saya perlu berfikir secara positif dan selesaikannya secara perlahan-lahan. Saya percaya ada orang lagi besar dugaannya berbanding diri saya," tuturnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.
Dengan nada suara agak kesal atas kejadian yang berlaku, Nabil berkata sebenarnya dia telah membuat persiapan kahwin sedikit demi sedikit untuk menempuh hari bahagia mereka yang dijangka pada tahun 2012 itu.
Nabil terpaksa akur dengan keputusan Irma yang ingin memutuskan hubungan.
"Kita hanya mampu merancang tapi Tuhan saja yang menentukan. Begitu juga dengan saya, beberapa persiapan kahwin dah pun dibuat sikit-sikit. Mana tahu satu hari nanti jodoh kami masih ada. Tapi, andaikan Irma telah berjumpa dengan lelaki yang lebih baik, saya tidak kisah.
"Apa-apa pun yang sedang saya hadapi, kerjaya akan menjadi keutamaan saya dan saya perlu fokus dan kawal emosi saya tanpa mengganggu kerjaya saya sehingga menyusahkan orang lain," katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran filem Bujang Terlajak arah Profesor Razak Mohaideen.
Tambah Nabil, dia ingin menegaskan bahawa, gambar seorang wanita yang diambil bersamanya serta beberapa rakan lain yang tersebar di internet tidak ada kaitan langsung dengan masalahnya dengan Irma. Sebaliknya wanita itu merupakan kenalan baru Nabil.
"Tak fasal-fasal, dia pula terkait dalam masalah kami. Saya harap, orang luar tidak mengaitkan dia lagi," tegasnya.
Ditanya adakah Nabil masih lagi mencintai Irma, jawab Nabil:
"Saya masih sayangkan dia. Rasanya, perasaan sayang masih lagi ada bagi pasangan yang baru lepas putus cinta. Hal ini merupakan satu masalah seperti yang turut berlaku kepada pasangan-pasangan lain. Tapi disebabkan kami dikenali, maka ia menjadi besar.
"Saya ingin doakan sebuah kehidupan yang terbaik buat Irma. Saya tahu dia seorang wanita yang baik. Dulu, masa saya masih bersamanya, kalau ada apa-apa masalah, dia pasti akan berbincang dengan saya. Sekarang ini, saya harap dia ada kawan-kawan yang boleh berkongsi masalah. Kepada Irma, jagalah diri baik-baik,” kata Nabil.
0

Ameng Spring Dihukum Penjara 2 Bulan, Denda RM4,000


Ameng mendukung anaknya, Wan Ahmad Haizal, 3 sambil ditemani isterinya, Sabariah Zakaria. - Foto THE STAR Oleh MOHD SAHAR MISNI
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Spring, Ameng (gambar) atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 40, dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memasukkan dadah dalam badan pada April lalu.
Ameng juga diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan selama 3 tahun.
Ameng didakwa atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya ketika ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Sentul, di sini, pukul 3.45 pagi, 2 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret Zaki Asyraf Zubir memutuskan demikian setelah pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan melampaui munasabah terhadap pertuduhan tersebut.
Beliau turut menolak dakwaan Ameng bahawa kes dadah yang sedang dihadapinya merupakan konspirasi bekas isteri, Zaidah Awang atau A. Aida dan suaminya, Asisten Supritendan Suffian Sulaiman yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur kerana menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Sulaiman adalah Ketua Bahagian Perhubungan Awam di IPK tersebut.
Zaki memberitahu, sekiranya Ameng gagal membayar denda tersebut, dia akan dikenakan hukuman empat bulan penjara.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Bougenvilla itu diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias.
Bagaimanapun, Ameng dibenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dengan syarat vokalis tersebut perlu memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar meminta mahkamah menaikkan ikat jamin sebanyak RM2,000 lagi dengan penjamin yang sama. Sebelum ini, Ameng diikat jamin dengan RM3,500 oleh isterinya.