0

Dewi Persik Dikenakan Hukuman 2 Bulan Penjara

 Dewi Persik (kanan) dan Julia Perez

JAKARTA: Akhirnya kes perkelahian antara Dewi Persik dan Julia Perez, berakhir.

Setelah melalui proses perbicaraan, Dewi Persik atau lebih dikenali sebagai Depe, dijatuhkan hukuman dua bulan penjara dengan masa percubaan selama empat bulan.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Negeri di Jakarta Timur, semalam.

Dewi Persik menangis sebaik saja mendengar keputusan mahkamah. Dia terkejut dan seolah-olah tidak dapat menerima keputusan itu.

Dewi Persik atau nama sebenarnya, Dewi Murya Agung didapati bersalah menganiaya Julia Perez.

Kesalahannya itu melanggar Fasal 352, Ayat 1 mengenai pengianiayaan.

Hukuman yang dijatuhkan itu lebih ringan berbanding dengan tuntutan pendakwa raya.


Sebelum ini, bekas isteri Saipul Jamil ini diminta dikenakan hukuman enam bulan penjara.

Dalam tempoh empat bulan itu, Dewi Persik perlu berkelakuan baik dan sekiranya dia melanggar undang-undang, dia akan disumbat dalam penjara. - Detik Hot
0

Shiro Juara Raja Lawak 6



Juara Raja Lawak musim ke 6...Kumpulan Shiro.

PETALING JAYA: Kumpulan Shiro yang dianggotai oleh Shahrol Azizie Azmi dan Mohamad Hanaffi Razak telah dinobatkan sebagai juara program realiti Raja Lawak Astro musim ke enam dalam pertandingan akhir pada malam Jumaat.
Program yang bersiaran secara langsung dari Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menyaksikan peserta yang berasal dari Kluang, Johor ini berjaya meraih undian peminat sebanyak 38 peratus.
Pemenang tempat kedua...Kumpulan Zero.

Kedudukan senarai pemenang.

Tenaga pengajar Chif Besar (Ahmad Idham) Dan Chif Kecil (Yus,Taukeh,Angah)

 Manakala kumpulan trio adik-beradik iaitu Zero yang dianggotai oleh Sharif Kadil Doli Sharif, Mohammad Syaiful Doli Sharif dan Sharif Kunal Doli Sharif menerima undian sebanyak 34.19 peratus sekadar berpuas hati di tempat kedua dan tempat ketiga menjadi milik kumpulan Cuit dengan undian 16.35 peratus.
Manakala kumpulan 2yol berada di tempat ke empat dengan peratusan iaitu 10.74 peratus.
Dengan kemenangan tersebut, kumpulan Shiro berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000, barangan elektrik serta trofi sumbangan Astro.
Sementara kumpulan Zero, Cuit dan 2yol tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000, RM30,000 dan RM10,000, barangan elektrik serta trofi.
Pada pertandingan itu, para peserta diberikan dua tugasan iaitu bebas dan komedi muzikal.
Raja Lawak ke enam dihoskan oleh Johan dan Zizan atau Jozan.
Sementara itu, kumpulan Shiro ketika ditemui melahirkan rasa terkejut dengan kemenangan mereka dan menganggap semua peserta pada malam itu hebat-hebat belaka.
"Kami masih tergaman sehingga tidak tahu apa ingin diucapkan namun kemenangan ini adalah bukti kesungguhan dan pengorbanan kami selama empat tahun mencuba nasib dalam Raja Lawak akhirnya membuahkan hasil," ujar Shahrol mewakili Shiro.
Pertandingan akhir itu diadili oleh tiga orang juri tetap iaitu David Teo, Sathiya dan Sheila Rusly sementara keputusan penuh pula ditentukan oleh penonton seratus peratus menerusi undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Dalam perkembangan lain, Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, pihaknya gembira apabila program itu terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat dan pelanggan Astro apabila ratingnya meningkat setiap minggu.
Nizam berkaya, musim kali ini telah menunjukkan peningkatan mendadak walaupun Raja Lawak telah dipindahkan ke Astro Warna berbanding sebelum ini di Astro Prima.
"Sejak Raja Lawak musim ke enam dipindahkan ke Astro Warna, langganan pakej mustika telah meningkat selain berlaku pengurangan pemilik Astro membatalkan langganan pakej itu," ujarnya.
Tambahnya, Program ini akan diteruskan untuk musim berikutnya pada tahun hadapan dalam mencari bakat-bakat baru yang terpendam dalam bidang komedi.


Biodata kumpulan Shiro Juara Raja Lawak 6
Nama Samaran :Shahrol
Nama Sebenar : Shahrol Azizie Bin Azmi
Asal :Johor
Umur :27 tahun
Bakat selain melawak : Berlakon, menyanyi, bermain alat muzik
Kerjaya :Bekerja sendiri
Harapan untuk Raja Lawak 6: Untuk menjadi Juara Raja Lawak 6




Nama Samaran :Ajak
Nama Sebenar : Mohd Hanaffi Bin Razak
Asal :Johor
Umur :25 tahun
Bakat selain melawak : Berlakon, menyanyi, bermain alat muzik
Kerjaya :Emcee
Harapan untuk Raja Lawak 6: Untuk menjadi Juara Raja Lawak 6


Biodata kumpulan Zero Naib Juara Raja Lawak 6 
Nama Samaran :Syaiful
Nama Sebenar : Mohd Syaiful Bin Doli Sharif
Asal :Kudat, Sabah
Umur :23 tahun
Bakat selain melawak : Menyanyi, berlakon, aksi, bermain alat   muzik
Kerjaya :Buruh kasar, nelayan
Harapan untuk Raja Lawak 6: Menjadi finalis Raja Lawak 6

Nama Samaran :Sharif
Nama Sebenar : Sharif Kadir Bin Doli Sharif
Asal :Kudat, Sabah
Umur :21 tahun
Bakat selain melawak : Menyanyi, berlakon, aksi, bermain alat muzik
Kerjaya :Buruh kasar, nelayan
Harapan untuk Raja Lawak 6: Menjadi finalis Raja Lawak 6

Nama Samaran :Atu
Nama Sebenar : Sharid Kunal Bin Doli Sharif
Asal :Kudat, Sabah
Umur :19 tahun
Bakat selain melawak : Menyanyi, berlakon, aksi, bermain alat muzik
Kerjaya :Buruh kasar, nelayan
Harapan untuk Raja Lawak 6: Menjadi finalis Raja Lawak 6 


Biodata Kumpulan Cuit Raja Lawak 6

Nama Samaran :Iktiar
Nama Sebenar : Mohamad Ikhtiarudin Bin Naina Mohamad
Asal :Pulau Pinang
Umur :27 tahun
Bakat selain melawak : Berlakon, bersilat, menyanyi
Kerjaya :Pekerja Kilang
Harapan untuk Raja Lawak 6: Menjadikan Raja Lawak Musim ke-6 yang terbaik daripada musim-musim yang lalu.

Nama Samaran :Azmir
Nama Sebenar : Azmir Bin Aziz
Asal :Pulau Pinang
Umur :37 tahun
Bakat selain melawak : Berlakon, bersilat, menyanyi
Kerjaya :Berlakon
Harapan untuk Raja Lawak 6: Menjadikan Raja Lawak Musim ke-6 yang terbaik daripada musim-musim yang lalu.

Nama Samaran :Shazli
Nama Sebenar : Ahmad Shazli Bin Hasim
Asal : Kuala Lumpur
Umur : 31 tahun
Bakat selain melawak : Berlakon, bersilat, menyanyi
Kerjaya :Freelance
Harapan untuk Raja Lawak 6: Menjadikan Raja Lawak Musim ke-6 yang terbaik daripada musim-musim yang lalu.


Biodata Kumpulan 2YOL Raja Lawak 6

Peserta pertama: LAN
Nama Sebenar : Azlan bin Abdullah
Asal : Kota Tinggi, Johor
Umur : 40 tahun
Bakat: Menyanyi dan berlakon
Kerjaya : Operator
Harapan untuk Raja Lawak 6 : Layak ke final dan seterusnya menjadi Raja Lawak.

Peserta kedua: IJAT
Nama Sebenar : Rohaizat Bin Samin
Asal : Kota Tinggi, Johor
Umur : 36 tahun
Bakat : Menyanyi dan berlakon
Kerjaya : Operator
Harapan untuk Raja Lawak 6 : Layak ke final dan seterusnya menjadi Raja Lawak. 


Tahniah di ucapkan kepada semua para pemenang.


Video Pengumuman Pemenang Raja Lawak 6 Oleh Johan Dan Zizan.

0

Datuk Michelle Yeoh Dianugerahkan Darjah 'Legion of Honour' Perancis

Datuk Michelle Yeoh sedang menerima darjah 'Legion of Honour' daripada Presiden Perancis Nicholas Sarkozy di Elysee Palace.


Artis Malaysia, Datuk Michelle Yeoh dianugerahkan darjah 'Legion of Honour', iaitu anugerah tertinggi Perancis untuk orang awam, dalam satu upacara di Paris pada hari Rabu.


Anugerah itu disampaikan Presiden Perancis Nicholas Sarkozy di Elysee Palace iaitu kediaman rasmi presiden, menurut kenyataan Kedutaan Malaysia di Paris hari ini.
  
Turut hadir di majlis itu ialah isteri Presiden, Carla Bruni, Bernadette Chirac iaitu isteri kepada bekas Presiden Jacques Chirac, serta Duta Malaysia ke Perancis Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
Di upacara itu, Zarkozy menyampaikan anugerah 'Legion of Honour' dan 'The Order of Merit'  kepada 11 personaliti daripada dunia seni dan hiburan.


Selain Michelle, turut menerima anugerah 'Legion of Honour' ialah komposer Jean-Michel Barre dan pereka fesyen Jean-Claude Jitrois.
  
Menurut kenyatan itu, 'Legion of Honour' yang merupakan darjah tertinggi Perancis mengandungi lima darjah dan dianugerahkan kepada lelaki dan wanita,
baik rakyat Perancis atau warga asing, sebagai menghargai sumbangan mereka kepada Perancis atau isu yang disokong negara itu.  
0

Ahmad Idham Beri Bonus Kepada Pelakon Dan Kru Produksi



KUALA LUMPUR-Pengarah dan produser, Ahmad Idham berkongsi keuntungan syarikat produksinya, Excellent Pictures. Sdn Bhd. dengan menyerahkan bonus kepada pelakon dan tenaga kerja filem Hantu Bonceng dan filem Niyang Rapik.

Ahmad Idham berkata kejayaan kedua-dua filem itu yang telah mencecah kutipan pecah panggung telah membawa keuntungan besar kepada syarikat produksi miliknya.

"Alhamdulilah, hari ini kita dapat bersama-sama meraikan kejayaan serta berkongsi keuntungan bagi kedua-dua filem ini.

"Boleh katakan ini juga sebahagian penghargaan saya kepada tenaga kerja dan pelakon-pelakon yang sudah bertungkus lumus bekerja untuk Excellent Pictures,"katanya yang ditemui dalam Majlis Sepetang Bersama Excellent Pictures.

Filem Hantu Bonceng lakonan Zizan Raja Lawak dan Juliana Evans telah berjaya mencecah kutipan sebanyak RM9 juta, manakala filem Niyang Rapik berjaya mengutip sebanyak RM3.27 juta.

Antara artis yang hadir serta menerima bonus berupa sekeping cek itu adalah Shaheizy Sam, Awal Ashaari, Zed Zaidi, Kamal Adli, Jue Aziz, Taiyuddin Bakar dan ramai lagi.





Selain penyampaian bonus kepada tenaga kerja dan produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd, Ahmad Idham berkata majlis pada petang itu adalah bagi meraikan pihak media yang selama ini menyokong kerjaya dan hasil kerjanya.

"Saya juga berasa berbesar hati kerana dapat menyambut kejayaan ini bersama pihak media yang sudi hadir.

"Bagi saya kejayaan ini sepatutnya diraikan bersama-sama media juga yang banyak membantu dalam memberi publisiti yang meluas kepada filem-filem saya,"jelasnya lagi.

Dalam majlis tersebut, media turut menerima cabutan bertuah berupa Ipad2, kamera digital, televisyen LCD dan banyak lagi.

Excellent Pictures Sdn. Bhd yang ditubuhkan sejak tahun 2001 itu bakal muncul dengan filem-filem baru pada tahun ini iaitu Jangan Pandang-pandang pada 21 Mac ini dan filem Mael Lambung pada 21 Jun depan.

Oleh: Syafiqah Jalal
0

Aaron Aziz Bengang Ada Pihak Guna Namanya Dalam Facebook Untuk Menipu




PETALING JAYA: Pelakon popular, Aaron Aziz berang apabila ada pihak yang menyamar sebagai pembantu peribadinya dan menjaul iPad menerusi akaun Facebook yang menggunakan namanya.
Aaron dalam laporan Harian Metro berkata, dia tidak teragak-agak untuk menfailkan saman terhadap lelaki terbabit yang telah memperdayakan peminat serta menggelapkan wang mereka.
“Memang saya marah dengan perbuatan lelaki ini dan tidak akan teragak-agak membuat laporan polis,” ujarnya.
Menurut Aaron, dia mengesan perbuatan individu terbabit yang mendakwanya menjual 50 unit iPad pada harga murah khas untuk peminat dan mereka yang berminat dengan tawaran itu perlu meninggalkan nama dan nombor telefon dalam peti masuk pesanan selepas diberitahu isterinya, Diyana Halik, 27, kelmarin.
“Isteri saya memaklumkan ada seorang wanita menghubunginya pagi semalam (kelmarin) dan memberitahu menjadi mangsa penipuan lelaki yang menyamar sebagai pembantu peribadi saya dan menjual iPad di laman facebook,” katanya.
Aaron berkata, dia terkejut kerana tidak sangka ada individu menyamar sebagai pembantu peribadinya dan kononnya menjual iPad bagi pihak dirinya.
0

Kematian Dirang Menyentuh Hati Siti Nurhaliza


PETALING JAYA: Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin turut berasa sedih dan simpati dengan kematian Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang yang dibakar selepas dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu.

Siti berkata, walaupun beliau tidak memiliki cahaya mata tetapi nalurinya sebagai seorang wanita turut tersentuh memikirkan perasaan keluarga kanak-kanak malang itu menghadapi ujian yang menimpa apabila insan tidak berdosa diperlakukan sedemikian rupa.

"Sejak berita kehilangan Dirang tersebar di akhbar saya sentiasa mengikuti perkembangan berita itu dan amat terkejut apabila pihak polis mengesahkan mayat yang dijumpai adalah Dirang.

"Ia adalah saat menyedihkan bukan sahaja saya tetapi seluruh rakyat Malaysia yang memikirkan bagaimana seorang manusia berakal dapat melakukan perbuatan kejam terhadap kanak-kanak tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Siti ditemui selepas menjadi tetamu segmen Ceria Pagi di Suria di studio Suria FM di sini pada Khamis bagi mempromosikan single terbarunya, Remember You yang dimuatkan dalam album Inggeris pertama milik beliau berjudul All Your Love.
Dalam lagu tersebut Siti turut berduet dengan penyanyi antarabangsa, Sean Kingston.

Pada 8 Mac lalu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin mengesahkan mayat rentung ditemui di Nusa Damai, dekat Seri Alam di Johor Bahru adalah Dirang selepas hasil ujian DNA dijalankan terhadap mayat berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia mengesahkannya.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai kira-kira 1.30 tengah hari Rabu.
Dalam pada itu, Siti berkata, dia berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes berkenaan secepat mungkin supaya pihak berkenaan dapat didakwa dan diberi hukuman setimpal dengan perbuatannya.
Menurut Siti, perbuatan yang dilakukan terhadap Dirang adalah cukup kejam dan tidak berperikemanusiaan dan patut diberi hukuman setimpal.

"Apa yang dilakukan oleh penjenayah itu kepada Dirang adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima akal dan ia cukup menyedihkan mengetahui ada manusia sanggup membakar seorang kanak-kanak yang hanya berusia lima tahun," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Siti berkata, ibu bapa perlu lebih peka terhadap pergerakan anak-anak mereka dan mengambil kejadian ngeri itu sebagai pengajaran.

Ibu bapa tidak boleh terlalu mengharapkan pihak lain menjaga keselamatan anak-anak mereka sebaliknya mereka sendiri perlu memberi perhatian supaya kejadian serupa tidak berulang.

"Ibu bapa tidak boleh leka dengan membiarkan anak-anak mereka keluar bersendirian ke tempat awam dan perlu memastikan mereka mempunyai kawalan daripada orang dewasa jika hendak ke mana-mana.

"Ini kerana jika berlaku apa-apa kita tidak boleh nak menyalahkan orang lain jadi kesedaran pada diri sendiri perlu ada," katanya.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
0

Edry Dan Aweera Kembali Mengganas Bersama 'MOJO'

 Dari kiri Edry (synthesizer), Denny (gitaris), Aweera (vokalis),
dan Johar (pemain drum)
  
Demi untuk mengeksplorasi visi muzik masing-masing, 4 pemuzik serba berpengalaman telah bergabung untuk menubuhkan sebuah kumpulan ‘Super-Band’ yang mempertaruhkan konsep ‘Synth-Rock’ sebagai identiti.

MOJO merupakan sebuah ‘Super-Band’ terbaru daripada KRU Music yang terdiri daripada Aweera (bekas finalis OIAM) selaku vokalis utama, penampilan istimewa komposer/penerbit ternama, Edry sebagai pemain synthesizer, Denny selaku gitaris (pemuzik undangan studio dan pentas berpengalaman), dan pemain drum, Johar (anggota kumpulan Tilu dan bekas beberapa kumpulan Indie), melengkapkan kumpulan dinamik ini.

MOJO bakal memperkenalkan era baru muzik rock tanah air berlandaskan irama progresif yang dipengaruhi oleh kumpulan-kumpulan lagenda British seperti The Beatles, Queen, dan Led Zeppelin.

MOJO bermaksud aura atau dalam erti kata lain adalah x-factor, sesuatu yang mempunyai daya tarikan dan teramat istimewa. Kekuatannya bukan sahaja pada nama, tetapi pada single pertama yang dipertaruhkan sebagai landasan dan langkah kanan MOJO ke arena seni muzik tanah air berjudul 'Andai Ku Bercinta Lagi'.

Kumpulan MOJO sedang di dalam proses menghasilkan album penuh yang bakal diterbitkan sebelum penghujung tahun 2012, namun penantian itu disegerakan dahulu dengan kemunculan EP pertama MOJO yang mengandungi 3 buah lagu iaitu ”Andai Ku Bercinta Lagi” ciptaan Edry, 'Agar Tetap Indah' ciptaan gitaris Denny, dan 'Mimpi' ciptaan pemain drum Johar. EP ini bertujuan untuk memperkenalkan konsep 'Synth-Rock' MOJO kepada peminat seni tanah air.

Semoga kehadiran MOJO mampu memberi aura yang berbeza dan mempelbagaikan genre muzik Malaysia.


VIDEO: ANDAI KU BERCINTA LAGI


0

Layak Ke Artis Kita Pakai Cermin Kereta Gelap?

Zed Zaidi menerima ugutan gara-gara usul terlampaunya kepada kerajaan.


WAJARKAH artis kita pakai kereta cermin gelap? Itulah yang saya hendak memperkatakan ini.
Saya memahami hasrat Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi yang bercadang mengemukakan salah satu daripada tiga usul kepada kerajaan bagi membenarkan golongan selebriti mendapat kemudahan berkenaan.
Dua usul yang lain ialah perlindungan insurans dan kuota rumah rakyat 1Malaysia yang pada pendapat saya tiada masalah untuk dibawa ke tengah.
Cuma mengenai hal cermin kereta gelap ini, dalam konteks artis Malaysia ia adalah satu perkara yang bukan keperluan pun. Malah Zed Zaidi juga sepatutnya memikirkan usul-usul lain yang lebih utama daripada berhasrat mengemukakan perkara itu.
Banyak lagi usul lain yang lebih penting dalam dunia hiburan yang tidak dapat diselesaikan seperti bayaran terhadap pelakon dan pekerja produksi yang masih tidak sekata kerana tiada garis panduan mengenainya serta isu kontrak terhadap artis yang sesetengahnya dilihat berat sebelah.
Artis-artis di negara ini tidak seperti mereka yang tinggal di Hollywood. Artis-artis Barat hidup dalam keadaan yang tidak aman walaupun mereka kaya raya. Setiap hari mereka diganggu. Sekiranya hendak bercuti mereka terpaksa terbang jauh daripada negara mereka.
Tidur malam mereka juga tidak tenteram kerana di luar rumah ada saja paparazi yang menunggu.
Tapi menjadi artis di Malaysia tidak seperti itu. Mereka bebas berjalan dengan aman damai. Ke kedai mamak, ke Pavilion, pusat beli-belah dan nak ke jamban sekalipun tak ada masalah.
Rakyat Malaysia tidaklah sekolot mana untuk mendampingi artis mereka. Malah peratusan artis yang kena samun atau dirompak dalam setahun amat tipis. Orang yang nak merompak pun belum tahu individu berkenaan artis ataupun tidak.
Apabila Zed berkata dia bimbang diekori apabila artis balik tengah malam dan perlu memakai cermin kereta gelap, di manakah kewajaran perkara itu? Jikalau tidak memakai cermin gelap sekali pun, jika orang nak ekori, mereka akan ekori juga.
Malah kalaulah semakin banyak kereta bercermin gelap di jalan raya, ia lagi mengundang bahaya kerana orang akan tahu... itu adalah kereta artis.
Pada masa ini keperluan menggunakan cermin kereta gelap dibenarkan kepada pihak-pihak tertentu yang 24 jam terdedah kepada bahaya termasuklah pengamal undang-undang ataupun Hakim di mahkamah.
Mereka ini perlu mengelak diri masing-masing daripada dikenali kerana bimbang keputusan terhadap kes yang diputuskan menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati serta ingin melakukan perbuatan jenayah.
Artis kita tidak terdedah ke tahap bahaya seperti itu. Kalau ada orang benci dan naik angin pun hanya kerana melihat watak yang dilakonkan ataupun kerana perangai buruk artis tersebut sendiri.
Jadi, saya memikirkan Zed mungkin boleh membangkitkan usul lain yang lebih utama kepada pihak kerajaan jika benar Zed mahu memperjuangkan nasib artis kita dan bukannya isu cermin kereta gelap.
Ia adalah isu yang dilihat remeh ataupun mungkin Zed je yang tak tahan panas?
NIEZAM: Pakai cermin kereta kelabu asap.
Oleh: NIEZAM ABDULLAH
0

Ogy Ahmad Daud Tak Jadi Saman Johan 'Raja Lawak'

 Ogy Ahmad Daud dan Johan Raja Lawak.
  
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) telah membatalkan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelawak Johan (Raja Lawak) kerana berpendapat enggan memanjangkan isu tersebut.

Terdahulu, aktres itu dilaporkan berasa kecil hati dan terhina akibat sikap celupar mulut pelawak itu yang mempersendakan Allahyarham ibu bapanya iaitu seniman Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) lalu.

Ogy berkata keputusan itu diambil kerana dia sudah berasa sejuk hati dan memaafkan keterlanjuran pelawak itu.

"Industri kita bukan besar mana pun. Mungkin pada masa akan datang kami akan bekerjasama. Jadi buat apa panjang-panjangkan hal macam ini.

"Memang betul saya marah dengannya sebelum ini tetapi selepas beberapa ketika saya mula sejuk hati dan sudah memaafkan dia," katanya.

Ogy berkata demikian pada majlis memperkenalkan protege program Mentor musim keenam di Hard Rock Cafe, di sini, Selasa.
Ogy berkata dia membuat keputusan itu selepas mendapat petunjuk daripada Allah.

"Sebelum ini, saya terasa hati dengannya apabila dia ketawa dengan teguran saya mengenai gurauannya itu selepas acara tersebut.
"Alhamdulillah, kini saya berasa lebih tenang selepas memaafkan Johan dan kemarahan itu sudah reda," katanya.

Ogy juga berkata, insiden itu mempunyai hikmah dan memberikan pengajaran kepada Johan agar lebih peka dan sensitif dengan keadaan sekeliling khususnya ketika mengacara atau berlawak di depan khalayak.




Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Hidup Melia Aimiellia Porak-Peranda Gara-Gara Video Bogel

 Hubungan Keluarga Melia Aimiellia Pecah-Belah ekoran kontroversi fitnah video bogel yang tersebar di laman-laman blog hiburan.

PETALING JAYA: Pelakon muda yang dikaitkan dengan kontroversi video bogel di beberapa laman blog, Melia Aimiellia (Melia) berkata pendedahan cerita mengenainya itu di muka hadapan sebuah tabloid pada Isnin telah menyebabkan hubungan keluarganya kini berpecah-belah.

Pelakon berusia 19 tahun itu berkata, dia tidak menduga kontroversi tersebut bukan sahaja menjejaskan periuk nasinya sebagai pelakon, malah turut memutuskan hubungan silaturahim di antara ibu bapanya dan sanak saudara yang lain.

“Saya akui kontroversi ini bukan sahaja mengaibkan, malah turut memporak-perandakan kehidupan saya sekeluarga. Bayangkanlah, apabila isu dibesarkan sehingga terpampang di muka hadapan akhbar semalam (Isnin), ibu bapa saya mula dihujani pelbagai panggilan dan kecaman daripada sanak saudara dan kenalan.
“Apa yang saya kesalkan, apabila saudara mara lebih mempercayai laporan-laporan tersebut berbanding penjelasan darah daging mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.


Pelakon filem Karipap-Karipap Cinta itu berkata, susulan kecaman dan pertikaian anggota keluarga yang lain, mereka sekeluarga kini lebih selesa untuk menghadapi situasi genting itu tanpa sokongan dan kepercayaan ahli keluarga yang lain.

“Ia mengakibatkan hubungan keluarga ibu bapa menjadi tegang dan terputus. Ibu bapa saya kecewa apabila keluarga mereka sendiri bukan sahaja tidak memberikan sokongan moral malah mengecam mereka dengan kata-kata kesat.

“Biarlah, apa pun yang terjadi, kami anak beranak akan hadapi perkara ini bersendirian,” katanya dengan nada sebak.

 
Melia berkata ekoran impak terburuk yang melanda keluarganya itu, dia bertekad untuk tidak melepaskan pengendali blog berkenaan yang bertanggungjawab sehingga mencetuskan kontroversi ini.


“Terlalu banyak percanggahan fakta pada kenyataan yang dikeluarkan pengendali blog itu pada akhbar tersebut. Saya mempunyai bukti dan rekod perbualan kami sebelum ini.

“Saya tidak akan berdiam diri. Saya sudah membuat laporan polis dan menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang terjejas tanpa sebarang tawaran lakonan pada waktu ini.

Pengendali sebuah laman blog hiburan pada Isnin membuat pendedahan di sebuah akhbar dengan menafikan telah membuat teknik pertindihan gambar (superimpose) terhadap wajah Melia Aimiellia untuk dikeluarkan pada blog berkenaan.

Ia sebagai menepis dakwaan artis tersebut yang menuduh mereka cuba menjatuhkannya dengan melakukan tenik tersebut.

Sementara itu sumber polis berkata, mana-mana individu tidak kiralah penulis bloq ataupun orang awam boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 922 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem iaitu menyimpan dan memiliki bahan lucah.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Irma Hasmie Bakal Melangsungkan Pertunangan



Pada tahun ini ramai Selebriti terkenal bakal mengakhiri zaman solo mereka dengan berkahwin dengan pasangan masing-masing. Antara artis yang telah melangsungkan perkahwinan mereka termasuklah Ana Raffali dan Lisa Surihani.

Begitu juga dengan pengumuman oleh Pelakon Popular Fasha Sanda yang juga bakal diijabkabulkan dengan kekasihnya Jejai.Perhubungan cinta Fasha dan Jejai yang penuh kontroversi akhirnya berakhir kejinjang pelamin.

Namun seorang lagi Bintang Selebriti yang kini anggun mengenakan pakaian berhijab Irma Hasmie secara mengejut didakwa bakal melangsungkan pertunangannya bersama seorang jejaka yang tidak diberitahu identitinya



Pada hari Sabtu yang lepas, sebuah portal hiburan telah melaporkan Irma bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya dalam beberapa minggu lagi.

Pasangan itu dilaporkan memilih tarikh 27 Mac 2012 sebagai hari bersejarah itu yang dijadualkan akan berlangsung di kediaman keluarga Irma di Sungai Buloh, dekat sini.

Laporan itu turut menyebut Irma terpaut hati dengan jejaka berkenaan ketika sama-sama menunaikan Umrah di kota suci Mekah baru-baru ini.

Bagaimanapun, Irma ketika ditanya mengenai majlis dan bakal tunangnya enggan mendedahkan sebarang maklumat ketika ini dan meminta pihak media menunggu masa sesuai.

"Saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan sebelum majlis itu berlangsung. Maaf, harap doakan yang terbaik dan dipermudahkan dalam segala urusan," ujarnya.

Irma sebelum ini pernah bercinta dengan aktor Farid Kamil dan penyampai radio Suria FM iaitu Nabil (Raja Lawak) sebelum hubungan itu terputus di tengah jalan.

Pelakon yang manis menggayakan tudung itu juga pernah digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan pereka fesyen terkenal iaitu Ezuwan Ismail selepas sering kelihatan bersama.
0

Tahniah! Malek Noor Kini Bergelar Suami Kepada Dr Wan Asma



PETALING JAYA – Hanya dengan sekali lafaz, bekas ahli bina badan negara Datuk Malek Noor,56, akhirnya selamat bergelar suami kepada Pakar Pediatrik, Dr Wan Asma Wan Ismail,52.
Kedua-dua pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Wan Ismail Wan Ahmad,87, di kondominium, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini kira-kira pukul 11 pagi, Isnin.
 

 
Dr Wan Asma bertugas di Hospital KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu manakala Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohamaed Noor kelihatan berseri-seri dengan pakaian sedondon berwarna putih gading.
Menariknya pada perkahwinan tersebut pengantin lelaki hanya memberikan senaskhah al-Quran sebagai mas kahwin tanpa wang hantaran disertai lima dulang hantaran berbalas sembilan daripada pengantin perempuan.
Dr Wan Asma memberitahu berliau tidak memerlukan wang hantaran kerana segala kelengkapan sudah beliau miliki.
Apa yang penting beliau berharap perkahwinan mereka berdua kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.
“Kami berdua bersetuju tiada wang hantaran kerana saya tidak perlukan semua itu,” katanya.
Dalam pada itu Dr Wan Asma berkata, beliau tidak berhasrat berpindah ke ibu negara mengikut suaminya kerana sudah selesa dengan pekerjaannya di pusat perubatan tersebut. Bagaimanapun setiap hujung minggu dia akan berjumpa dengan suaminya di Kuala Lumpur.
“Saya akan pergi ke Kuala Lumpur untuk berjumpa suami setiap hujung minggu. Kalau suami ada masa, dia akan datang ke Kota Bharu pula,” ujarnya.
Sementara itu Malek berharap agar perkahwinan tersebut menjadi yang pertama dan terakhir dalam dirinya selepas sekian lama hidup membujang.
Dr Wan Asma mempunyai tujuh orang anak berusia 11 hingga 30 tahun serta empat orang cucu dan sudah tiga tahun hidup menjanda manakala Malek memiliki seorang anak angkat iaitu Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmud berusia 2 tahun.
Pasangan tersebut berkenalan selepas berhubung atas urusan perniagaan pada November tahun lalu sehinggalah Malek membuat keputusan merisik pada Februari lepas.
Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan di Hotel Renaissance, pada malam Isnin.
Selain aktif dalam sukan bina badan, Malek pernah berlakon beberapa buah filem termasuklah Ujang (1989), Juara (1991), Rimba Malam (1992) dan Sahabat (1992).- MStar
0

Gambar Neelofa Bertemu Pelajar Cemerlang Nur Amalina Di Scotland

 
Baru-baru ini pengacara baru Nona, Neelofa memuat-naik gambarnya bersama pelajar cemerlang Nur Amalina Che Bakri di Universiti Endinburgh, Scotland.
Dalam laman twitternya, Neelofa berkata ia sebahagian daripada rakaman Nona yang bakal bersiaran tidak lama lagi.
Penulis pasti, antara yang pasti disentuh dalam rancangan itu adalah mengenai pelbagai kritikan negatif yang dilemparkan terhadap Nur Amalina, gadis cemerlang SPM yang dikatakan semakin hanyut dalam kehidupan sosialnya sejak melanjutkan pelajaran di luar negara.
Mungkin apa yang tersiar di Nona kelak akan menjawab keresahan ramai pihak terhadap pelajar tersebut.
Penulis tak mahu komen banyak, cuma sehingga kini penulis difahamkan yang Nur Amalina tidaklah gagal dalam pelajaran seperti yang didakwa banyak pihak.
Bahkan dia kini sedang terlibat dalam menyediakan kertas penyelidikan untuk dimuatkan dalam jurnal perubatan di Eropah.
Selain memperoleh keputusan cemerlang, Nur Amalina turut ditawarkan mengambil ijazah tambahan dalam bidang farmakologi dalam tempoh setahun berbanding empat tahun.
Dalam erti kata lain, dia sedang memburu dua ijazah serentak!
Mungkinkah Nur Amalina ada jawapan untuk segala persepsi negatif yang dilemparkan terhadapnya?
Kita tunggu ‘buah tangan’ Neelofa nanti….
 - Oleh SYAHRIL A. KADIR
0

Zarina Anjoulie Akan Berkahwin Dengan Suami Orang



KUALA LUMPUR – Aktres yang tidak pernah lekang dengan cerita-cerita panas, Zarina Anjoulie Lavocah mahu bernikah secepat mungkin dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi yang selama ini begitu mengaibkan diri serta keluarganya.

Menegaskan kepada media myMetro.com.my, Zarina berkata, dia seolah-olah serik dengan pelbagai kisah yang memalukan mengenai dirinya dan berharap pernikahan tersebut bakal menamatkan segala tohmahan yang dilemparkan.

“Saya mahu cepat bernikah kerana itulah jalan terbaik. Tambahan pula saya harap dengan keputusan dibuat ini, saya tidak lagi dikaitkan de­ngan kontroversi yang boleh mengaibkan.
“Kalau selepas bergelar isteri ada lagi orang nak cerita buruk mengenai saya terutama mengaitkan dengan mana-mana lelaki, saya tidak tahu hendak kata apa lagi.

Selain itu, Zarina juga memaklumkan bahawa dia bakal melangsungkan perkahwinannya dengan seorang lelaki, namun enggan didedahkan identiti kepada khalayak umum untuk mengelak dari menjadi bahan fitnah oleh mereka yang tidak berpuas hati dengannya.

“Saya sama sekali tidak mahu mendedahkan siapakah bakal suami kerana takut nanti apa yang berlaku kepada bekas tunang turut berlaku kepada bakal suami. Dulu saya silap, kerana mendedahkan tunang kepada umum.
“Niat saya baik dan tidak mahu hipokrit, tetap apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada orang dengki menyebarkan pelbagai cerita.
“Bukan itu saja, sehinggakan ada yang sanggup menghantar gambar saya sebelum ini kepada keluarga bakal mentua sehingga menyebabkan hubungan dijalin terputus. Kali ini saya mahu lebih berhati-hati. Saya tidak mahu mendedahkan identiti bakal suami sehinggalah kami selamat bernikah,” jelasnya panjang lebar.
Bagaimanapun, artis seksi yang berusia 25 tahun itu mengakui bahawa bakal suaminya itu merupakan suami orang dan dia bakal bermadu.

“Walaupun benar dia suami orang, sekurang-kurangnya kami membuat keputusan yang betul. Lebih baik saya menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat, asalkan apa yang kami lakukan kelak halal di sisi agama.
“Berbanding orang bujang bercinta sakan sehingga melakukan perkara di luas batas, ia lebih besar dosanya. Pada saya, keputusan baik yang mahu diambil ini sepatutnya mendapat restu ramai dan didoakan yang baik-baik saja buat kami berdua,” katanya lagi.

Selain itu dalam wawancara bersama media tersebut, Zarina turut meluahkan kekesalannya terhadap media yang lebih suka memberi fokus terhadap kontroversi dirinya berbanding kerjaya seni dan dia mengugut akan meninggalkan dunia seni sekiranya keadaan tersebut tidak berubah.
“Dalam segala banyak drama dan filem saya bintangi, orang tetap hendak memperkatakan kontroversi diri saya. Saya faham media memang mencari cerita sensasi tetapi dalam waktu sama, janganlah sampai ia menenggelamkan kerjaya seni saya.

“Waktu sama, orang kata saya sengaja menjual cerita sensasi untuk popular sedangkan bakat tidak seberapa. Sekiranya benar saya tidak berbakat, tidak mungkin pengarah dan produksi masih memanggil saya berlakon.
“Malah kepercayaan pengarah terhadap bakat yang saya miliki bukan calang-calang orang. Antaranya Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Mamat Khalid, dua pengarah yang pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik. Malah Yusry Abdul Halim juga percaya dengan bakat saya apabila menawarkan salah satu watak utama dalam filem Ular.

“Kalau selepas berkahwin perkara itu berlaku juga, saya sudah tidak tahu apa lagi yang mahu dilakukan. Mungkin saya akan mengambil tindakan meninggalkan dunia seni dan menumpukan perhatian kepada suami dan rumah tangga,” ujarnya kesal dengan apa yang berlaku.
Zarina yang dilihat sering ‘terlepas cakap’ itu turut memberitahu bahawa bakal suaminya membenarkan untuk dia terus bergiat dalam bidang seni dan peragaan selepas bernikah nanti.
0

Ella Bakal Akhiri Zaman Solonya



KUALA LUMPUR – Ratu Rock negara, Ella dilaporkan telah menghadiri kursus perkahwinan baru-baru ini dan menimbulkan spekulasi bahawa beliau bakal mendirikan rumahtangga pada tahun ini.
Blog hiburan terkenal, Gua.com memberitahu bahawa Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 46, dikatakan kini menjalin hubungan dengan seorang jejaka yang hanya dikenali sebagai ‘A’ dan digambarkan sangat sepadan dengan penyanyi rock tersebut.
“Sah! Ella telah pun menghadiri kursus kahwin pada hujung minggu lalu.
“GUA yang pantas merisik siapakah lelaki yang berjaya menambat hati Ella, namun tidak akan mendedahkan siapakah lelaki yang menjadi pilihan hati Ella. GUA dengar lagi, lelaki tersebut cukup sepadan dengan Ella,” kata blog tersebut baru-baru ini.

Selain itu, pemilik blog itu juga meyatakan bahawa jejaka yang namanya bermula dengan huruf ‘A’ itu merupakan bekas kekasih Ella yang terpisah dahulu dan membawa haluan masing-masing.
Jejaka ‘A’ tersebut juga dikatakan memiliki rupa bentuk tubuh yang tinggi lampai, kacak dan mempunyai kerjaya yang baik.
“Khabarnya lelaki yang dimaksudkan namanya bermula dengan huruf A. Seorang yang berkerjaya dan agak tinggi lampai dan kacak orangnya.
“Pasangan tersebut pernah bercinta satu ketika dahulu, namun putus di tengah jalan. Masing-masing membawa haluan sendiri dan takdir menentukan mereka bertemu kembali dan menjalinkan hubungan cinta semula,” gosip pemilik blog itu lagi.

Mengenai perkahwinan yang mengejutkan ramai peminat rock di negara ini, Gua.com turut memberitahu bahawa keluarga Ella dan jejaka ‘A’ sudah bertemu di antara satu sama lain namun pertemuan tersebut bukanlah merupakan majlis pertunangan pasangan itu.

Ella merupakan Diva Rock tanahair yang memulakan kariernya bersama sebuah band rock, Ella & The Boys, yang ‘meletop’ pada sekitar tahun 80’an dan gelaran tersebut kekal sehingga kini apabila dikatakan tiada artis rock wanita yang dapat menandingi kehebatannya.

Sekiranya gosip gembira dari Gua.com ini benar, maka dijangka jumlah artis yang akan berkahwin pada tahun ini akan bertambah seorang lagi.Tahniah untuk Ella!!
0

Fahrin Ahmad Dan Zetty Adila Sedang Menyulam Bahagia



LEBIH setahun berkawan baik, sampai ke hari ini, pelakon kacak Fahrin Ahmad, 33, masih enggan berkongsi cintanya dengan produser muda, Zetty Adila Ramly, 26.

Bertemu pasangan yang sedang bercinta ini dalam satu majlis memperkenalkan pelakon drama-drama terbaharu TV3 baru-baru ini, pintu hati Fahrin dan Adila sekali lagi diketuk. Jika pada awal dahulu mereka pantas membuat penafian, kali ini berlainan sedikit.

Mereka mengaku selesa dan tidak menafikan tarikan pada diri masing-masing menjadi antara faktor kelangsungan persahabatan yang semakin intim. Mereka sudah betah duduk berdua di hadapan media. Adila yang juga anak kepada pemilik rumah produksi Global Station, Zaiton Mohd. Jiwa itu menyifatkan Fahrin sebagai lelaki budiman.

Sensasi Bintang: Ramai yang melihat kalian keluar berdua berpegangan tangan, anda bercinta?

FAHRIN: (Senyum panjang) Buat masa sekarang, memang kami rapat. Ya, kami keluar bersama tapi kenyataan yang kami berpegangan tangan itu tidak benar. Mengenali seseorang (Adila) itu menjadi tanggungjawab saya, lagipun kami dalam industri yang sama tapi memang hubungan kami sangat rapat.
Jadi apa nama status hubungan itu?

Untuk mengesahkan status, itulah yang merumitkan saya. Saya harus menangani perkara itu dengan cermat. Komitmen kami berdua lebih kepada persahabatan dan rakan dan industri.

Umur makin meningkat, kerjaya sudah stabil, bila agaknya Fahrin nak mengakhiri zaman bujang?
Betul, umur saya sudah 33 tahun tapi mujurnya keluarga tidak mendesak. Saya tak boleh nak fikir pasal kahwin sebab komitmen saya dengan karier sangat besar. Lagipun, selama ini saya penat melayan gosip dan masalah dalam perhubungan. Sekarang saya tengah 'bayar hutang' untuk diri sendiri. Dalam setahun setengah ini, saya rasa sangat tenang.

Tenang dengan Adila?
Saya selesa dengan dia.

Berkawan dengan anak produser besar, tentu memberi ruang selesa, bukankah ia memberi zon selesa untuk anda mendapat tawaran lakonan?
Eh, taklah. Sekarang saya tengah buat penggambaran drama bersiri Seindah Sakura terbitan Temenggung Picture, bukan dengan Global. Pemilihan pelakon juga ditentukan oleh stesen televisyen.

Impak Fahrin tidak sehebat dahulu, sekarang kemunculan anda seperti mendatar sahaja, kenapa?

Populariti itu bonus tapi saya juga manusia yang mencari kualiti, bukan sahaja lakonan tapi juga untuk sisi hidup yang lain. Saya akui belum pernah dapat anugerah, tapi terbaik dalam industri ini bukan ditentukan oleh seorang pelakon sahaja, kena disokong oleh semua sudut.

Ada tawaran filem?

Saya sedang dalam perbincangan yang serius untuk terlibat dengan sebuah filem aksi. Kalau jadi itulah filem aksi pertama saya. Harap penonton boleh tengok saya beraksi, lawan bertumbuk dalam filem suatu hari nanti.
-Kosmo