0

Pasangan Lisa - Farid Bagaikan Pengganti Erra - Yusri



SELEPAS filem Mr. Cinderella 10 tahun dahulu, kini pengarah Ahmad Idham kembali dengan filem bergenre komedi romantik berjudul Semerah Cinta Stilleto.
Filem yang mengisahkan percintaan antara dua darjat versi 2010 mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi jalan ceritanya yang dekat di hati penonton.
Menurut Ahmad Idham Ahmad Nadzri cerita cinta komidi antara dua darjat menceritakan tentang kehidupan realiti yang sering berlaku dikalangan anak muda sekarang.
"Cerita ini ringan sebab saya tahu sekarang kita dilimpahi dengan cerita-cerita yang berat di pawagam, jadi kemunculan Semerah Cinta Stilleto sebagai cerita yang sesuai untuk seisi keluarga.
"Cerita ini berkisarkan antara dua darjat antara kehidupan penduduk di pangsapuri dan kehidupan mewah di rumah banglo yang mana mereka hanya dipisahkan dengan sebatang jalan raya.
"Saya ambil masa 10 tahun untuk buat cerita ini kerana bagi saya buat cerita yang ringan seperti ini lebih susah berbanding cerita aksi yang berat. Saya takut mesej tidak sampai kepada penonton dan penonton akan jadi bosan dengan cerita tersebut," jelasnya yang kini menantikan empat filemnya yang bakal menemui penonton.
Menurut Idham, filem ini menyampaikan mesej percintaan yang tidak membelakangi keluarga tetapi mengorbankan cinta mereka demi keluarga dan masa depan.
"Saya tidak mahu buat cerita yang melambangkan cinta itu buta. Bagi saya cinta buta itu hanya mendatangkan kesan yang buruk kepada pencinta.
"Lagipun filem adalah medium untuk kita memberi pengajaran. Saya mahu mereka menonton dan meneladani cerita cinta ini," katanya.
Dari segi pemilihan pelakon pula, Idham menyifatkan gandingan Lisa Surihani dan Farid kamil adalah pasangan yang paling serasi pada era ini.
"Saya dapat banyak maklum balas dari penonton yang mahu gandingan Lisa dan Farid setelah filem I'm Not Single empat tahun lalu. Saya nampak keserasian mereka menghidupkan watak cinta.
"Saya nampak mereka seperti Erra dan Yusri pada 10 tahun dahulu. Susah untuk cari pasangan hero dan heroin yang ada keserasian macam ini," terangnya yang menganggarkan kutipan Semerah Cinta Stilleto bakal mencecah kutipan box office melebihi filem Syurga Cinta terbitan MIG production dengan kutipan filem komidi cinta tertinggi iaitu 2.5 juta.
Penerbit David Teo turut mengakui filem ini adalah filem ringan yang mampu menarik golongan remaja ke pawagam. Mereka ada pilihan untuk menonton cerita yang tidak terlalu sarat dengan mesej.
"Saya tidak sasarkan banyak mencecah kutipan 2juta adalah sudah dikira berjaya bagi filem komidi romantik. Cerita ini susah nak target penonton yang datang sebab skopnya kecil berbanding cerita aksi dan seram.
"Bagaimanapun saya harapkan ia mampu mengatasi kutipan Syurga Cinta yang kini paling tinggi untuk jangkamasa enam tahun.
"Gandingan Lisa dan Farid adalah permintaan penonton sendiri, bagi saya selagi penonton mahukan mereka saya akan terus gandingkan. Selepas ini sudah ada filem seterusnya untuk lisa dan Farid berjudul Cinta 1,2,3" terang David.
Filem yang mengisahkan kehidupan bahagia Siti Laila (Stila) yang dilimpahkan dengan kemewahan bertemu dengan seorang pemuda bernama Leto yang hidup dalam keadaan serba sederhana. Percintaan mereka mendapat tentangan keluarga Stilla yang mementingkan kehidupan mewah.
Stilla gembira kerana dapat berkenalan dengan keluarga Leto yang memberinya erti kesempurnaan hidup berkeluarga dan disebabkan itu keluarga Stilla merasa tidak senang dan cuba memisahkan mereka.
Dengan bantuan Leto, Stilla akhirnya berjaya dipisahkan dan beberapa tahun selepas itu takdir menemukan mereka kembali.
0

Isteri Kekasih KD Enggan Mohon Cerai


SILVALAY Noor Athalia sudah mengetahui hubungan intim suaminya, Raul Lemos dengan penyanyi Krisdayanti. Yang paling menonjol apabila penyebaran gambar Raul sedang berpelukan mesra dengan KD. Walaupun beberapa kali merasa disakiti, Atha tidak akan membuat keputusan untuk bercerai dengan Raul.
“Saya tidak akan melakukan apa-apa, biar Raul yang meminta cerai, bukannya saya,” tulis Atha dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada detikhot baru-baru ini.
Atha bukannya bimbang jika tidak mengambil tindakan terhadap perbuatan suaminya. Dia merasa apa yang dilakukan oleh Raul dan KD selama ini sudah diketahui oleh ramai orang. Biarlah masyarakat yang menilai Raul dan KD.
Atha juga tidak lagi bertanya kepada suaminya tentang kebenaran cerita kecurangannya dengan KD.
“Biar dia yang memberikan penjelasan itu nanti,” tambahnya.
Wanita berusia 40-an itu hanya meminta KD dab Raul tahu soal status diri mereka.
0

Abang Nash Galak Saya Ceburi Muay Thai - Betty



Betty masih berteka-teki tentang hubungan dengan Nash
HUBUNGAN kasih antara aktres jelita Betty Banafe dan penyanyi rock Nash Lefthanded bukan satu rahsia. Malah ramai yang meneka dalam kesamaran bagaimana agaknya kesudahan cinta mereka.
Menurut Betty, ramai juga kenalan yang bertanyakan hubungannya dengan Nash.
"Sebenarnya Bet tidak selesa bercerita tentang rahsia hati. Cukuplah sekadar berkata kami masih rapat seperti dulu cuma kesempatan untuk bersama semakin kurang.
"Abang Nash rajin bertanya khabar dan oleh kerana selalu sibuk dengan bisnesnya, kami selalu berSMS dan bergayut di telefon," kata Betty yang kini sibuk mengikuti kelas Muaythai untuk mengisi masa lapangnya.
Kata Betty, Nash sentiasa memberi dia dorongan untuk melakukan sesuatu yang menggembirakan hatinya.
"Abang Nash suka wanita yang berdikari dan tidak berkepit dengan dia dan saya juga suka lelaki yang memberi saya ruang untuk mengembangkan hobi saya," kata aktres kacukan Indonesia dan Arab ini yang sudah 3 bulan mengikuti kelas Muay Thai ini.
Betty masih intim dengan penyanyi rock lagenda Nash Lefthanded
Jelas Betty, "Aktiviti Muay Thai ini agak lasak, banyak menggunakan pergerakan kaki dan tangan. Kaki sampai luka-luka dan melecek-lecek. Abang Nash ketawa tengok macam mana Bet bersungguh-sungguh menjalani aktiviti ini."
Ditanya samada hubungan mereka sudah sampai ke peringkat yang lebih serius, Betty hanya tersenyum dan tidak berani membuat sebarang spekulasi.
"Bukan saya tidak terfikir ke arah itu (perkahwinan) tapi mungkin juga hubungan kami terlalu selesa kerana dia seperti seorang abang dan saya seperti adiknya.
"Kadang-kadang bila kita terlalu selesa, soal cinta adalah perkara terakhir dan biarlah cinta itu datang sendiri," jelas Betty yang kini sedang giat menyiapkan bahan untuk album terbarunya.
Betty juga enggan meletakkan harapan yang tinggi pada hubungannya dengan Nash.
"Saya sangat hormatkan abang. Apa saja keputusannya saya akur. Kita hanya boleh merancang, Allah yang menentukan...," kata Betty.