Sunday, 24 January 2010

Peguam Fahrin Dah Hantar Notis Kepada Linda Onn




PETALING JAYA: Aktor dan pengacara Fahrin Ahmad berkata, peguamnya telah mengemukakan notis tuntutan kepada bekas kekasihnya yang juga pengacara dan penyampai radio Linda Onn termasuk beberapa syarikat akhbar, semalam.
Tindakan itu dibuat sebagai langkah awal Fahrin untuk membersihkan namanya berikutan Linda mendakwanya sebagai kaki pukul.
Dia juga kecewa dengan penyampai radio Suria FM itu yang berterusan memburukkan namanya sejak percintaan mereka putus dua tahun lalu.
Sehubungan itu Fahrin dan peguam yang mewakilinya, Tetuan Naufal & Co akan mengadakan sidang media di Palace of The Golden Horses pada pagi Isnin ini untuk menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mereka.
Dalam pada itu, peguam Tengku Naufal ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen sehingga Isnin ini.
“Tunggu saya komen pada Isnin ini,” tegasnya.
Fahrin, pengacara yang popular menerusi program Sehati Berdansa selama tiga musim berturut-turut berkata dia amat sedih apabila Linda mendakwanya panas baran serta ‘cepat naik tangan’.
Lantaran, dakwaan itu telah memberikan kesan negatif kepada kerjayanya sebagai seorang pelakon serta duta Garnier dan Shell.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...