KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.
Writ itu difailkan pada pukul 12.15 tengah hari ini oleh peguam Benjy, Amer Hamzah Arshad.
Ibunya, Azean Irdawaty dan suami, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi serta dua adik perempuannya turut hadir.
Mereka membuat permohonan itu bagi menuntut Benjy dibebas dengan segera ekoran dakwaan ditahan secara salah.
Benjy kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil di bawah Seksyen 3(1), Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1952 yang memperuntukkan dia ditahan tidak melebihi 60 hari.
Dalam pada itu, Majistret Hafizza Sauni menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan semula kes tersebut.
Benjy sebelum ini ditahan kerana disyaki mengedar dadah, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada 25 Mac lalu, anak lelaki tunggal Azean itu ditahan semula tidak sampai dua jam setelah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Majistret berhubung kes dadah tersebut.
Dia ditahan ketika berada di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran jamin oleh dua orang anggota polis pada 2.50 petang sejurus sahaja ibunya selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM2,000.
0 comments:
Post a Comment