Saturday, 12 June 2010

Jezamine Lim Sah Isteri Harith Iskander


PETALING JAYA: Sekian lama membujang, kini pengarah, pelawak dan pelakon terkenal tanah air, Harith Iskander Musa sah bergelar suami kepada doktor dan model sambilan, Jezamine Lim selesai majlis pernikahan kedua mempelai di Kota Damansara, di sini hari ini.
Hanya dengan sekali lafaz, Harith Iskander, 44, dan gadis berdarah kacukan Cina dan India, Jezamine, 27, yang baru memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Shah Alam, Selangor, 12 Mei lalu berjaya disatukan walaupun tanpa kehadiran ramai ahli keluarga masing-masing.
Dalam majlis serba ringkas itu, pihak lelaki memberikan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin Carat Club serta wang hantaran sebanyak RM50,000.
Harith yang diapit sahabat baiknya, Hans Isaac turut menyerahkan tujuh dulang hantaran termasuk sirih junjung, senaskhah al-Quran dan satu persalinan kain kepada pihak perempuan.
AKHIRI zaman bujang..Harith Iskander, 44 menyerahkan mas kahwin kepada Jezamine Lim, 27, pada majlis pernikahan di Kota Damansara, Petaling Jaya hari ini.- Foto The STAR oleh AZLINA ABDULLAH.
Manakala pengantin perempuan membalas sembilan dulang hantaran antaranya tali leher Louis Vuitton, kasut Valentino, set wangian Dunhill, buah-buahan dan manisan Paatchi Chocolate.
Sementara itu, Harith memberitahu pemberita, sepanjang majlis berlangsung dia terkenangkan arwah kedua ibu bapanya yang baru sahaja meninggal dunia bermula bapanya, Musa Mohamad meninggal dunia pada usia 78 tahun pada 26 Februari diikuti ibunya, Farida Jane Musa, 83, tiga minggu kemudian.
"Sebelum meninggal dunia, ibu sempat berpesan bahawa dia akan 'berpihak' kepada Jezamine kerana dia terlalu sayang padanya.
"Saya dapat rasakan kehadiran mereka. Hari lahir ibu dan bapa kebetulan jatuh pada bulan ini dan kami memilih hari ini bagi memperingati mereka," ujarnya.
Jezamine pula terpaksa mengharungi tentangan keluarga apabila menetapkan hati dan fikirannya untuk mengahwini Harith serta menjadi saudara baru Islam.
"Saya percaya ini merupakan cabaran untuk menguji sekuat mana kasih sayang kami.
"Yang penting, kami tidak akan berputus asa kerana tidak ada apa yang sempurna dalam dunia ini, walaupun pada mulanya tidak direstui tapi lama-kelamaan pasti mereka berlembut," kata Jezamine yakin.
Harith dan Jezamine bertunang tanpa sebarang majlis rasmi pada Hari Kekasih 14 Februari lalu selepas berkenalan menerusi Facebook, bertukar-tukar SMS dan berpacaran hampir setahun lamanya.
Disebabkan kepadatan jadual, Harith yang sepatutnya mula latihan bagi teater Cuci The Musical 2 Julai depan itu juga mengakui terpaksa menangguhkan percutian bulan madu sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, kira-kira 100 tetamu yang hadir dijamu hidangan tajaan restoran milik pasangan mempelai, Samsaraa. Restoran itu terletak di No. 11, Jalan Sri Hartamas 7, Taman Sri Hartamas Kuala Lumpur.-mstar

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...