Sunday, 19 September 2010

M.Rajoli Dalam Kenangan


Allahyarham M.Rajoli dalam kenangan
PEMERGIAN Allahyarham M.Rajoli ternyata memberi kesan yang mendalam buat industri hiburan tanah air.
Bakatnya yang pelbagai mampu membuatkan penonton ketawa dan menangis mengikut watak yang diberikan.
Apalagi dengan gurau senda yang sering menjadi usikannya kepada keluarga dan rakan-rakan, ia pastinya menjadi memori yang indah.
Sepanjang detik-detik terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, Allahyarham hanya ditemani isteri, Hashimah Md Din dan anak bongsunya, Muhammad Arif.
Kedua-dua anak beranak itu tenang menerima ketentuanNya.
Arif berkata, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan mengalirkan air mata sejak pemergian ayahanda tercinta. Apa pun mereka reda dengan pemergian pelakon itu.
"Sebelum itu, sempat juga arwah berpesan, jaga mak dan kalau boleh dia tidak mahu adik-beradik bergaduh.
"Saya bangga dengannya kerana semangatnya yang begitu kuat ketika bertarung nyawa.
"Apapun, saya enggan memikirkan kenangan bersamanya kerana ia akan membuat saya menangis mengenangkannya," katanya.
Hashimah pula berkata, dia sedikit kekok tanpa suaminya di sisi dan terpaksa menerima hakikat bahawa suami tercinta kini telah pergi.
Sani (kanan) sedih kerana tidak dapat melawat M.Rajoli ketika sakit.
Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan Kopratasa, Sanisudin sangat sedih dengan pemergian pelakon berusia 64 tahun itu.
Katanya, sepanjang Allahyarham sakit, dia tidak berkesempatan untuk menjenguk pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.
"Kalau saya kata sibuk, memang saya tak perlu beri alasan bukan. Tapi itulah, saya terasa sangat bila Sabri Yunus menghubungi saya tentang pemergian arwah.
"Sekali pun saya tak jenguk dia. Saya harap, dia pergi dengan aman," katanya.
Sabri yang merupakan teman artis yang sering bekerjasama dengannya berkata, dia sempat melawat Allahyarham sebulan lalu dan Allahyarham meminta Sabri untuk mendoakannya sembuh agar dapat aktif semula di bidang lakonan.
"Sepanjang perkenalan saya dengannya, dia seorang lelaki yang suka bergurau dan gemar menghiburkan orang-orang sekelilingnya.
"Tambah pula bila kami bekerjasama dalam sitkom Salam Pantai Timur di sekitar tahun 2001 hingga 2005, banyak kenangan manis yang kami kongsi bersama.
"Setahu saya juga, dia tidak pernah marah orang," ujar Sabri.
Ziela kenal M.Rajoli sebelum kahwin lagi
Bagi penerbit drama serta pelakon, Ziela Jalil pula gembira kerana sempat pergi menunaikan umrah dengan Allahyarham bersama rakan-rakan yang lain.
"Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada hari pengebumian arwah pelakon Syukri Hashim. Cuma dalam tahun ini saja saya tidak sempat menjenguknya.
"Bila mengenangkan arwah, saya kenal dia sebelum saya berkahwin lagi. Waktu itu kami bekerjasama dalam filem Pendekar Mata Satu dimana dia menjadi pembantu Pengarah.
"Saya akui, bekerja dengannya membuatkan kita sentoasa terhibur dengan lawak-lawak spontannya itu," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...