Friday, 1 October 2010

Siti Nurhaliza Jalani Rawatan Penyuburan Kaedah Akupunktur


Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa
KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengaku melakukan kaedah rawatan penyuburan secara akupunktur bagi mendapatkan anak.
Siti Nurhaliza berkata, kaedah rawatan tersebut dilakukan secara kebetulan ketika dia dan suaminya Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa bercuti di London sebelum menunaikan Umrah di Mekah pada Ogos lalu.
"Saya akui ada buat rawatan penyuburan tetapi secara akupunktur dan meminum beberapa herba untuk penyuburan tetapi bukan menjalani rawatan persenyawaan tabung uji atau IVF (In Vitro Fertilisation) atau melalui permanian berhadas (IUI) seperti didakwa.
"Ia hanyalah kebetulan dan bukanlah dirancang kerana kami ke sana adalah sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan ke empat kami," ujarnya ketika ditemui mStar Online semasa pelancaran lipstik terbaru SimplySiti, Khamis.
Bagaimanapun, Siti mengaku dia sentiasa berusaha dan berdoa agar dikurniakan cahaya mata sebagai pengikat kasih perkahwinannya yang dibina pada 2007.
"Saya berserah kepada rezeki yang diberikan Allah, sebagai manusia saya sentiasa berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.
"Namun begitu saya belum bersedia untuk melakukan rawatan secara serius seperti IVF dan IUI," katanya yang kini masih lagi bercuti dari sebarang kegiatan seninya.
Dalam pada itu, Siti juga menafikan dia membatalkan konsert Semangat Hari Malaysia yang dijadualkan pada 25 September lalu di Pulau Pinang kerana hamil.
"Ia berikutan masalah kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Saya dinasihatkan agar tidak terlalu banyak bergerak terutamanya melakukan konsert.
"Alhamdulilah pihak kerajaan negeri dan peminat-peminat saya memahami perkara ini dan sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...