SUDAH banyak dugaan dan sepak terajang dunia hiburan ditempuhi sepanjang tiga dekad bergelar anak seni, namun tempoh dua tahun kebelakangan ini cukup perit untuk digambarkan vokalis Search, Amy, apabila dia dituduh sebagai penipu.
Jika boleh, memori yang pernah menggoncang emosi dan dipaparkan di dada akhbar bertepatan ulang tahun kelahirannya itu mahu dilempar jauh. Begitupun sebagai insan, bapa kepada lima cahaya mata itu reda kerana yakin kebenaran pasti terbongkar juga.
Enggan menoleh ke belakang, episod duka yang membuatkannya berkurung seharian di dalam bilik hingga membuatkan seisi keluarga bimbang kini dianggap sejarah untuk mengingatkannya supaya tidak mudah percaya terhadap mulut manis insan.
Dituduh sebagai penipu membuatkan saya sebak dan kelu seketika. Lebih menambahkan kesedihan apabila cerita mengenai perkara itu disiarkan di akhbar pada hari saya menyambut ulang tahun ke-50. Bayangkan, hari yang sepatutnya saya rai dengan dada lapang berubah secara total. Saya ingat tarikh 28 Julai itu.
Saya seakan hilang punca dan hanya mampu berkurung di dalam bilik, cuba mencari di mana silapnya. Apa pun, hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu - keliru dan sedih bercampur baur, katanya yang mengakui air mata lelakinya gugur disebabkan fitnah itu.
Kini, Amy bangkit daripada episod pahit dan bagai diucap, setiap kejadian ada hikmah tersendiri malah jelas pelantun Fantasia Bulan Madu itu, kejadian berkenaan semakin mendekatkan dirinya dengan Maha Pencipta, keluarga serta sahabat karib yang menjadi pendengar setia selama ini.
Nyata Suhaimi Abdul Rahman, 52, kembali berdiri teguh dengan semangat waja malah bersama anggota Search, misi mereka kini menawan penonton menerusi Konsert Gemuruh Double Trouble Search & Wings (KGDTSW) yang bakal berlangsung di Surf Beach Sunway Lagoon, 25 Disember ini (esok).
Walau lelah usai persembahan di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang juga sebahagian daripada siri jelajah konsert mega dua ikon rock itu belum reda, dirinya tidak sabar beraksi dalam konsert penutup Gemuruh Double Trouble bagi musim ini.
Konsert Gemuruh diilhamkan hasil kejayaan album gabungan Search dan Wings - Double Trouble yang diterbitkan pada 1992 hingga melayakkan dua ikon rock itu meraih anugerah platinum berkembar dengan jualan melebihi 180,000 unit.
Kali terakhir mereka bergabung pada 1993 dan selepas tujuh tahun kedua-duanya berkongsi pentas semula di Arena Tertutup Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Mei lalu, dengan mencatat jumlah kehadiran penonton yang cukup membanggakan - kira-kira 25,000 orang!
Mengenai persediaan, sudah pasti mereka mahu meninggalkan kenangan manis kepada khalayak yang melaburkan RM70 untuk mengikuti konsert berkenaan dan tentunya, persediaan mental dan fizikal mendapat keutamaan bagi memastikan stamina malam itu sampai kemuncak.
Dalam usia mencecah 50-an, saya perlu memastikan kesihatan pada tahap terbaik. Sebenarnya pilihan lagu masih dalam perbincangan kerana masing-masing punya banyak lagu namun apa yang pasti, Isabella dan Fantasia Bulan Madu tetap menjadi pilihan wajib peminat dalam setiap persembahan.
Kalau boleh kami mahu peminat pulang dengan hati puas dan terkenang memori bersama Seach dan Wings sampai bila-bila. Pada setiap siri persembahan kita teliti memilih repertoire lagu, tambahan ada peminat yang mengakui sudah mengikuti konsert ini di lokasi sebelumnya akan tetap ke destinasi terakhir konsert, katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Search 30 tahun
DITANYA perihal pemain dram mereka, Yazit, yang masih kurang sihat berikutan penyakit buah pinggangnya, Amy memaklumkan semangat rakan karib mereka tetap membara untuk beraksi pada malam kemuncak namun segala-galanya masih belum ditentukan.
Kami umpama saudara sedarah dan keadaan kesihatan Yazit turut membimbangkan semua anggota Search dan Wings. Kita akan minta dulu pandangan doktor, jika dia masih berkeras, kita akan menyediakan pemuzik gantian, kata Amy lagi,
Menyingkap semula penubuhan kumpulan rock tersohor itu sejak 1981, bermula Cinta Buatan Malaysia pada 1985, hingga kini mereka sudah menghasilkan lebih 20 album studio yang mencatat jualan platinum, belum dicampur album kompilasi.
Diam tak diam, kumpulan rock yang menjadi ikutan ramai itu bakal genap 30 tahun pada Jun depan sekali gus mereka merancang mengadakan konsert besar yang dinamakan Fenomena 11 namun segala-galanya masih pada peringkat perbincangan.
Diusik sama ada dia sedia muncul lagi di layar perak seperti zaman kegemilangannya, dengan senyuman meleret, teraju utama filem usaha sama Malaysia-Indonesia, Isabella itu sekadar menggeleng kepala.
Zaman saya sudah berlalu. Berilah peluang kepada orang lain pula. Lagi pun kita punya ramai bintang filem tersohor. Siapa pula mahu menonton Amy Search yang sudah berusia ini di pawagam? selorohnya sambil tertawa besar namun tidak menafikan menerima tawaran daripada beberapa produser filem.
Oleh Hanisah Selamat
0 comments:
Post a Comment