Aidil yang dihubungi Harian Metro untuk mengesahkan laporan satu portal Internet mengenai Rita dikatakan sudah memohon maaf dengan mentuanya, mengakui perkembangan positif itu berlaku ketika isteri dan ibunya berjumpa selepas anak mereka, Airil Rayyan Rizkin, 2, dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Khamis lalu.
“Ibu saya menziarahi anak saya yang mengalami demam panas dan dia berbual panjang dengan Rita. Mereka sudah bermaafan antara satu sama lain. Bagaimanapun lebih baik persoalan mengenai perkara ini ditanya kepada Rita kerana dia yang mempunyai masalah dan bukannya saya,” katanya.
Malah, Aidil berkata dia juga menarik balik tindakan proses sulh yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah berhubung soal penjagaan anak yang dibuat sebelum ini.
“Saya akan menarik balik tindakan memfailkan proses sulh yang dibuat sebelum ini dalam masa terdekat dan bersyukur sekiranya apa yang berlaku sebelum ini tidak berpanjangan dan berakhir dengan baik dan selamat,” katanya.
Bagaimanapun Rita yang dihubungi pula, menafikan segala yang diperkatakan suaminya dan tidak mahu kenyataan diputar belit sehingga menimbulkan masalah kepadanya seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Mengapa saya memohon maaf sedangkan tiada satu kesalahan pun datang dari pihak saya. Mereka sekali lagi sudah mengubah cerita sebenar agar kesalahan nampak di pihak saya.
“Dalam hal ini saya perlu berhati-hati dan perlu membetulkan kembali kenyataan kerana bimbang ia bakal digunakan di mahkamah kelak. Saya ada saksi apa sebenarnya berlaku kerana ketika itu seorang wartawan kebetulan ada bersama dan dia boleh menjadi saksi,” katanya.
Rita yang kini hamil enam bulan juga hairan mengapa Aidil tidak menceritakan perkara sebenar bahawa dia datang melawat Rayyan hanya selepas dipaksa.
“Saya sedih apabila terpaksa berdepan dengan masalah anak seorang diri. Sudahlah saya berbadan dua dan sekarang tidak cukup rehat kerana menjaga Rayyan di hospital. Selama tiga hari di hospital Aidil langsung tidak datang menjengah anak.
“Apabila dia melawat bersama mentua saya sudah tidak dapat bersabar dan menceritakan apa yang berlaku sebenarnya. Selama ini pun saya banyak bersabar dan telan segala perbuatan mereka terhadap saya,” katanya.
Rita berkata, Adil dan kelurganya memohon maaf ke atas kesalahan mereka, namun itu hanya berlaku selepas dipujuk oleh wartawan yang kebetulan berada di hospital berkenaan.
“Saya maafkan mereka tetapi ingin saya tegaskan ia membabitkan kedua-dua mentua saja. Ini kerana saya menghormati mereka sebagai orang yang lebih tua tetapi yang lain saya tidak akan maafkan,” katanya.
Rita juga menegaskan, kenyataan Aidil yang dia menarik balik permohonan hak penjagaan anak mereka sesuatu sukar diterimanya kerana pihak Mahkamah Syariah Seremban baru menghubunginya dan memaklumkan bawa Aidil mahu perbicaraan kes itu diteruskan.
“Sekarang saya tidak mahu fikir panjang mengenai perkara itu kerana perlu beri perhatian kepada kesihatan Rayyan dan kandungan saya. Terpulanglah kepada suami saya apa juga tindakan dilakukan sama ada mahu menarik kembali aduan atau tidak. Tolong jangan kacau dan menambah tekanan kepada saya lagi.
“Sebelum ini dia (Aidil) pernah kata mahu menarik kembali aduan tetapi sampai sekarang ia tetap diteruskan. Dengan saya dia kata sudah tarik tetapi mahkamah menghubungi saya dan memaklumkan dia mahu perbicaraan diteruskan. Saya malas mendengar penjelasan bercanggah daripadanya,” kata Rita.
Oleh Rudy Imran Shamsudin dan Mohd Amin
0 comments:
Post a Comment