Friday, 21 January 2011

Keputusan Rosyam Nor dipersoal??

http://www.gosipsensasi.co.cc


ROSYAM teragak-agak dengan keputusannya menyingkirkan Bodth Sharade (kanan).

Pengkritik tetap tidak setuju dengan tindakannya singkirkan peserta Pilih Kasih

ROSYAM NOR nampak seperti teragak-agak untuk membuat keputusan menyingkirkan Bodt Sharade daripada Pentas Kasih minggu keenam, satu sikap yang tidak pernah berlaku ke atas dirinya sebelum ini.
“Kalau boleh, saya memang tidak mahu buang mana-mana daripada anda. Saya sayang ketiga-tiganya tetapi seorang daripada kamu mesti dikeluarkan juga,” kata pelakon dan penerbit ini sebelum mengumumkan penyingkiran peserta terbabit daripada program yang disiarkan di TV2, Sabtu lalu.
Tiga peserta Pilih Kasih yang mendapat undian terendah pada persembahan minggu keenam ialah Nur Jannah dengan jumlah undian 4.26 peratus, Bodt Sharade (4.83 peratus) dan Jay Iswazir (8.84 peratus).

Memang agak malang bagi Bodt Sharade apabila Rosyam dengan kuasa mutlak (veto) yang dipegangnya memilih peserta dari Kedah itu untuk dikeluarkan daripada program ini. Tapi kali ini, ramai tertanya-tanya di manakah ketegasannya yang sering ditunjukkan ketika membuat keputusan yang cukup sukar itu?

Bodt menjadi peserta lelaki keempat yang terpaksa meninggalkan Pentas Pilih Kasih selepas Fizi Ali, Afiq Meadin dan Raffamie Karama.

Sikap Rosyam kali ini yang berbelah bagi ketika membuat penyingkiran menimbulkan tanda tanya kepada penonton, seolah-olah penerbit eksekutif itu tidak yakin dengan keputusan yang dibuatnya. Adakah Rosyam membuat keputusan yang betul?
Ketika membuat keputusan itu, dia seperti orang kehilangan arah, terpinga-pinga, sehingga terpaksa berulang-kali bertanyakan kepada dua juri yang juga pengkritik tetap Pentas Pilih Kasih iaitu Fauziah Nawi dan Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah.





“Saya rasa elok diberi peluang kepada mereka. Jangan diadakan penyingkiran pada malam ini,” kata Fauziah.

Namun, pendapatnya itu tidak dipersetujui Dr Abu Hassan yang berasakan dua peserta terbawah memang patut disingkirkan.

Perbezaan pendapat ini menjadikan Rosyam menjadi semakin bingung sehinggakan ada yang bertanya adakah keputusannya mengeluarkan Bodt satu tindakan betul kerana diikutkan markah undian, Nur Jannah nyata lebih terkebawah.

Tetap dikritik walaupun bagus

PERSEMBAHAN pada minggu keenam Pentas Pilih Kasih menyaksikan persaingan sengit daripada setiap peserta yang menonjolkan aksi terbaik dalam monolog, drama dan teater.

Keadaan itu menyebabkan Fauziah menyarankan kepada Rosyam supaya tidak diadakan penyingkiran, sebaliknya terus memberi peluang kepada peserta program ini berikutan masing-masing menampilkan persembahan terbaik.

Malahan, pada persembahan kali ini juga turut memperlihatkan ‘kelembutan hati’ pengkritik tetap yang sebelumnya cukup keras dan pedas dalam memberikan teguran atau ulasan.

Malam Pentas Pilih Kasih yang lalu memperlihatkan Shasha Alkhred dan Ku Hariz digandingkan sekali lagi melalui teater bertajuk Hindustan selepas pernah disatukan menerusi teater Cinta Bunian. Teater hasil karya pengarah Erma Fatima itu memaparkan kisah gadis yang kesedihan kerana dilarang oleh bapa (Jay Iswazir) dan ibu tirinya (Mira Amnas) daripada menghadiri majlis yang bakal dimeriahkan dengan artis Bollywood pujaannya, Shah Rukh Khan (Ku Hariz).

Namun, dengan bantuan kawan ajaibnya Si Katak (Bil Azali) dan Si Jin (Bodt Sharade), gadis itu, Bobbi (Shasha Alkhred) berjaya mencapai impiannya itu. Melalui teater berkenaan, Shasha dan Ku Hariz sekali lagi dilihat sebagai gandingan sepadan.

Walaupun persembahan semua peserta dianggap baik secara keseluruhannya, ia bukan bermakna tidak ada kelemahan di antara mereka sehingga terpaksa ditegur oleh pengkritik tetap.

Antara peserta yang kerap dikritik ialah Jay kerana penampilannya yang kurang memberangsangkan dan tidak menunjukkan peningkatan ketara.

“Saya lihat cara penyampaian awak sama saja untuk situasi yang berbeza. Ia menjadikan penonton bosan dengan persembahan awak,” kata Dr Abu Hassan.

Kritikan yang kerap disasarkan pada dirinya itu sedikit sebanyak menggugat semangat Jay untuk meneruskan perjuangan dalam Pentas Pilih Kasih minggu seterusnya. Tambahan pula, pada minggu keenam yang lalu, sudah dua kali Jay menjadi peserta dengan undian tercorot.

Untuk mengetahui nasib Jay seterusnya, tontoni Pentas Pilih Kasih pada Sabtu ini (esok) pada jam 9 malam secara langsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang atau secara terus di TV2.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...