Tuesday, 19 July 2011

Gambar-Gambar Majlis Perkahwinan Nurul Syuhada Nurul Ain (TV3)

SAYANG...Raja Amir mencium dahi isteri ketika acara membatalkan air sembahyang.

DETIK pertama pertemuan mereka bermula ketika menghadiri majlis pertunangan seorang kawan rapat pada 2009. Bermula dari perkenalan itulah, mereka mula berkawan baik dan hubungan semakin akrab bertukar menjadi cinta sejati.
Selepas dua tahun mengenali hati budi, personaliti terkenal TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, 27, dan Raja Amir Shah Raja Azwa, 29, sepakat mengakhirinya ke jenjang pelamin.

Majlis ringkas yang bermakna itu berlangsung di The Binjai On The Park, KLCC, Kuala Lumpur, 16 Julai lalu, jam 8 malam.

Sekalipun ringkas, majlis bersejarah Nurul dan pasangannya berkonsepkan Maghribi tetap meriah dengan dihadiri kira-kira 200 keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.


Pada majlis pernikahan itu, Nurul tampil jelita dan menawan dengan busana kaftan Muslimah warna putih serta tudung rekaan pereka fesyen terkenal, Radzuan Radziwill.
Manakala, Raja Amir pula tidak kurang tampan segak di sisi isterinya, Nurul. Nurul sah bergelar isteri kepada Raja Amir yang juga pegawai bank dari Sri Hartamas, Kuala Lumpur berdarah kacukan Melayu-Australia di sebelah ibunya hanya dengan sekali lafaz.

Nurul turut menerima wang mas kahwin RM777 dan hantaran RM20,111 pada malam itu.
Pihak lelaki menyerahkan tujuh dulang dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Pihak perempuan menyerahkan hantaran iaitu kek, coklat, jam tangan Tag Heuer, tali pinggang, beg duit, cincin, barangan penjagaan lelaki Hugo Boss, PS4 dan Iphone 4.

Manakala, pihak lelaki antara lain menyerahkan beg tangan LV, cincin, sirih junjung, barangan penjagaan wanita jenama Channel, jam tangan dan sirih junjung.

Akad nikah disempurnakan bapa pengantin perempuan, Mohd Zin Idris dengan disaksikan Ketua Imam Masjid Al-Syakirin, KLCC, Mohd Abd Nasir Abdullah.

Ketika dihubungi Rap, Nurul yang juga pengacara Majalah 3 dan Malaysia Hari Ini (MHI) mengakui berasa sangat gembira dan bersyukur selepas sah bergelar isteri.

BERTUKAR CINCIN...Nurul menyarungkan cincin di jari Raja Amir selepas majlis akad nikah.

JELITA...Nurul tampil menawan dengan rekaan Radzuan Radziwill.

MANIS..Bagai pinang dibelah dua.

MERIAH...pasangan mempelai bersama barisan personaliti dan rakan sekerja di TV3 yang meraikan mereka.
“Segala-galanya berjalan dengan baik dalam suasana meriah dengan kehadiran keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan terdekat yang mendoakan kebahagiaan kami.

“Semua persiapan berjalan lancar, Khalid (Khalid & Favors By Eddy) sebagai perancang perkahwinan juga banyak membantu serta kerjasama dari keluarga mentua yang sangat erat begitu juga keluarga saya. Masing-masing cukup ringan tulang dalam memainkan peranan merealisasikan majlis ini,” katanya.

Kata Nurul, persiapan majlis itu membabitkan tempoh lebih kurang enam bulan selepas keluarga Amir merisik pada Januari lalu.

“Harapan saya semoga perkahwinan ini mendapat keberkatan dari Allah. Sentiasa diberi petunjuk oleh-Nya dan kekal hingga akhir hayat,” katanya.

Ditanya ciri-ciri yang ada pada Amir, kata Nurul, jejaka itu cukup istimewa di matanya.

“Saya akui dia adalah cinta saya kini dan selamanya,” katanya.

Berkongsi destinasi bulan madu pula, kata Nurul yang juga jurucakap produk Avon, dia dan suami sepakat berbulan madu selepas Syawal nanti.

“Destinasi yang kami pilih ialah Paris dan beberapa lokasi di Selatan Perancis. Kami jangka berlepas ke sana pada awal Oktober nanti. Saya juga akan kembali bertugas di TV3 beberapa hari selepas majlis resepsi kami nanti.

“Soal anak pula, kami serahkan pada Allah. Semuanya adalah ketentuan-Nya. Kami juga tidak kisah dapat anak lelaki atau perempuan dan menerima rezeki Allah dengan hati terbuka. Apa yang penting, anak kami itu sihat dan cukup sifatnya,” katanya.

Tidak ketinggalan, pengacara yang memeriahkan majlis mereka pada malam itu
iaitu pembaca berita TV3, Saiful Nizam.

Menyusul selepas ini, pasangan itu akan bersanding dalam majlis resepsi membabitkan kedua-dua belah pihak di Grand Ballroom, Sime Darby Convention Centre pada 23 Julai nanti.

Pihak media yang banyak menyokong karier seninya juga diundang bagi sama-sama memeriahkan majlis itu.



PROFIL:

NAMA PENUH:
Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain
TARIKH LAHIR: 29 November 1984
UMUR: 27 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
KERJAYA: Personaliti TV3 dan pengacara program
AKADEMIK: Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dari Kolej Universiti Sains & Teknologi Malaysia
STATUS: Berkahwin
NAMA SUAMI: Raja Amir Shah Raja Azwa, 29
KELUARGA: Anak perempuan tunggal dari tiga beradik
PROGRAM TV: Majalah 3 dan Wanita Hari Ini
MINAT: Selam skuba, berenang, beli-belah, melancong, memasak dan mengacara
BUKU KEGEMARAN: Oceanography
FILEM KEGEMARAN: Tomb Rider, Lord of The Ring dan Finding Nemo 
[SUMBER]

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...