PETALING JAYA: Hubungan cinta pelakon Lisa Surihani dan pengarah filem Yusry Abdul Halim semakin kuat dan kukuh, namun pasangan itu belum merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.
Sementelah hubungan mereka masih baru berputik dan dalam proses saling memahami antara satu sama lain, Lisa pandai memikat hati Yusry dengan menempah kain samping khas.
“Yusry tidak gemar memakai baju Melayu dengan samping kerana dia tidak suka membetulkan samping yang mudah longgar dan melindungi poket seluarnya.
“Jadi, sebab itu saya memberitahu idea kepada pereka fesyen untuk menjahit samping yang ada zip dan poket khas untuknya. Semuanya ada tiga pasang dan berlainan warna dan corak,” kata Lisa di samping Yusry sewaktu majlis rumah terbuka KRU Studios di rumah Norman Abdul Halim di Cyberjaya baru-baru ini.
Diusik tentang hubungan cinta mereka yang semakin rancak, kedua-duanya yang tampil baju raya warna sedondon akui sudah beraya di rumah keluarga masing-masing.
“Kami tidak pernah menyembunyikan hubungan kami dan saya sudah membawa Lisa berhari raya dan bertemu saudara-mara saya di Gopeng pada Hari Raya kedua lalu.
“Begitu juga dengan saya yang ada mengikut Lisa berhari raya di rumah sepupunya di Ampang, Selangor pada malam Hari Raya pertama,” ujar Yusry.
Tambahnya lagi: “Saya memang serius dengan Lisa dan tidak berdolak-dalik apabila ada yang bertanya tentang hubungan kami. Cuma tentang tarikh perkahwinan yang digembar-gemburkan akan berlangsung pada tahun 2012 adalah tidak benar.
“Kami belum merancang apa-apa kerana masing-masing sangat sibuk dan belum sempat berbincang tentang perkara itu. Percayalah, memang tiada agenda tersembunyi…”
Menyentuh tentang karier seni masing-masing, Lisa bakal bertolak ke Istanbul pada Oktober ini selama 20 hari dan dijangka pulang pada penghujung bulan itu untuk menjayakan lakonan sebuah filem romantik komedi arahan Bernard Chauly berjudul Istanbul, Aku Datang.
Filem terbitan Red Communications Sdn Bhd itu turut dilakonkan oleh Tomok dan Beto Kusyairi dan akan menjalani 100 peratus penggambaran di negara itu.
Selain itu, dia sedang menunggu kemunculan filem terbarunya berjudul Ombak Rindu dan Papa, I Love You di pawagam.
Sementara itu, Yusry sedang sibuk dengan proses penggambaran filem Vikingdom yang bakal menggunakan khidmat pelakon Hollywood.
0 comments:
Post a Comment