Marsha idam watak lebih serius sesuai peningkatan usia.
LABEL seksi, gedik, penggoda cukup sinonim dengan pelakon dan penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia ini. Sejak kemunculannya hinggalah sekarang, watak Marsha Milan Londoh sama ada dalam drama ataupun filem sering digambarkan seperti itu.
Jarang sekali kita melihat artis berasal dari Tamparuli, Sabah ini memegang watak lebih serius. Jika ada pun, mungkin telefilem Kum Kum siaran Astro tidak lama dulu. Apa yang sering kita saksikan sebaliknya watak Marsha yang stereotaip sehingga membuatkan penonton meluat melihat aksinya yang manja dan mengada-ngada, seperti yang sering dilakonkannya itu.
Sampai bila pelakon berusia 26 tahun ini mahu dikenali dengan watak sebegitu? Apakah tidak ada pengarah yang meletakkan kepercayaan terhadap pelakon ini untuk membawakan watak berbeza ataupun Marsha sebenarnya yang lebih selesa menonjolkan imej seksinya di layar kaca?
Meskipun ramai yang menyangka beraksi gedik dan seksi ialah kehendak sebenar pelakon jelita ini, namun sewaktu menghadiri majlis pelancaran drama bersiri Bicara Hati yang diadakan di sebuah restoran di Jalan Ampang baru-baru ini, Marsha membuat kejutan bahawa dia sebenarnya sudah jemu membawakan watak sebegitu.
Malah, hampir saja dia menolak tawaran untuk berlakon dalam drama yang bakal disiarkan di Astro Prima itu, semata-mata sudah jelak dengan watak sedemikian.
“Sejujurnya saya sendiri sudah jemu untuk membawakan watak begitu. Sebaik saja dapat skrip, saya lihat watak yang diberikan sama saja dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Kalau ikutkan hati, memang saya mahu menolak tawaran itu. Namun apabila mendapat tahu drama ini adalah arahan Osman Ali dan juga ia adalah projek besar Astro, lantas saya terima.
“Sebelum ini saya pernah berlakon di bawah arahan Osman, cuma babak saya tidak banyak. Jadi apabila peluang itu datang sekali lagi, saya harus menerimanya walaupun pada awalnya saya tidak berminat untuk membawakan watak Linda,” ujar Marsha berterus terang.
Apakah keengganan Marsha untuk membawakan watak gedik dan manja itu ada kaitan dengan faktor usia, ataupun tidak mendapat keizinan buah hatinya?
“Kalau dari segi usia, mungkin ada kebenarannya kerana saya sekarang sudah pun berusia 26 tahun. Kalau boleh, saya tak mahulah lakonan saya statik dan dilihat hanya mampu membawakan watak sebegitu semata-mata. Teringin juga sekali sekala membawakan watak lebih serius.
“Tapi ia memang tak ada kena mengena langsung dengan teman lelaki. Dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat ataupun mencampuri urusan kerjaya saya,” terang penyanyi yang popular dengan lagu Yang Terbaik ini.
Disebabkan terlalu kerap membawakan watak wanita seksi dan penggoda, Marsha turut ditanya apakah kelainan yang cuba ditampilkan menerusi watak Linda.
“Mujurlah dalam drama ini, pengarah meminta saya supaya membawakan watak gedik yang tidak keterlaluan. Jadi saya kena kawal tahap kegedikan itu supaya tidak kelihatan berlebihan.
"Watak Linda juga tetap ada cabarannya kerana saya perlu menghisap rokok dan minum, sedangkan saya tidak pernah melakukan perkara itu dalam kehidupan seharian. Memang ada kesukarannya di situ,” ujarnya lagi.
Rapat dengan kerabat
SATU perkara yang cukup positif dalam diri pelakon ini ialah sifatnya yang jujur. Meskipun banyak kecaman dan kata-kata negatif yang dilemparkan terhadapnya, hanya kerana dia tidak pernah berahsia mengenai kisah cinta, Marsha tetap mahu berkongsi cerita peribadinya itu.
Tanpa berselindung, Marsha mengakui kini menjalinkan hubungan rapat dengan jejaka kerabat Pahang yang hanya dikenali sebagai Tengku Burn.
“Ya, saya memang menjalinkan hubungan dengan dia ketika ini. Kami sudah lama berkenalan, iaitu sebelum dia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Selepas dia pulang dari luar negara, barulah hubungan itu terjalin kembali. Buat masa ini kami hanya berkawan dan belum terfikir sehingga ke peringkat lebih serius. “Apapun, keluarga kami mengetahui hubungan ini dan mereka mengenali dirinya,” luah Marsha.
Sementara itu, mengulas kerjaya nyanyiannya yang dilihat begitu suram sejak kebelakangan ini, Marsha mengakui hakikat itu.
MARSHA bersama dua lagi pelakon Bicara Hati, Cristina Suzanne dan Sharnaaz Ahmad.
“Dari segi undangan nyanyian, memang tak pernah putus. Cuma saya tak ada cerita terbaru mengenai dunia muzik. Lagipun saya sudah bertukar pengurusan dan pihak pengurusan baru masih dalam perancangan untuk merencana kerjaya nyanyian saya.
“Selain itu kesibukan saya berlakon membuatkan tumpuan terhadap bidang nyanyian terpaksa dikurangkan. Mungkin selepas ini saya kena aktif balik,” katanya yang kini mempromosikan single terbaru berjudul Tak Perlu Selamanya.
Mengenai sambutan Krismas yang bakal menjelang, Marsha berkata, besar kemungkinan dia tidak akan pulang ke kampung dan hanya meraikannya di Kuala Lumpur (KL).
“Abang dan kakak saya ada di sini, jadi mungkin kami akan berkumpul di KL saja. Lagipun kami baru saja kematian datuk lebih sebulan lalu. Jadi kami tidaklah beriya-iya untuk menyambutnya,” katanya mengakhiri perbualan.
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment