Tuesday, 27 December 2011
Shahz Jaszle Dan Miera Liyana Semakin Bahagia
Hubungan cinta antara pelakon Miera Liyana dan aktor kacak, Shahz Jaszle, bukanlah rahsia lagi. Bahkan mereka inginkan percintaan itu sampai ke jinjang pelamin. Namun Ahad lalu, sebuah akhbar melaporkan pasangan ini sudah berpisah. Sedangkan Zass baru saja menemu bual Miera, beberapa hari sebelum berita perpisahan itu tersebar.
Ketika ditemu bual, Miera berkata, dia kini semakin bahagia bersama buah hatinya itu. Walaupun masing-masing sibuk dengan agenda seni, namun ia tidak menjadi penghalang untuk mereka terus menyulam kasih. Malah kata Miera, dia sangat bersyukur kerana Shah Jaszle sangat memahaminya.
“Saya juga memahaminya kerana kami adalah dari bidang yang sama. Sesibuk mana sekalipun, kami masih mempunyai masa untuk diluangkan bersama walaupun menerusi telefon.
“Bagi perancangan masa hadapan, setakat ini kami belum membuat sebarang keputusan, kerana masing-masing sibuk dengan karier. Kalau ada jodoh dan rezeki, kami akan kahwin," katanya.
Mendengar pada jawapan gadis manis ini, mana mungkin mereka sudah berpisah. Malah menerusi sebuah portal hiburan, Miera menafikan sekeras-kerasnya berita perpisahan itu. Menurut Miera, hubungan mereka masih baik dan berita itu adalah fitnah.
Punya bakat menyanyi
Lupakan seketika kisah cintanya, siapa sangka, pelakon bertubuh kecil ini, bukan sahaja memiliki bakat dalam bidang lakonan malah dia juga mempunyai bakat terpendam dalam bidang nyanyian.
Bermula dengan suka-suka, aktres muda yang selesa dipanggil Miera kini telah menceburi bidang nyanyian lebih serius, setelah menerima tawaran daripada komposer untuk menyanyikan soundtrack berjudul Miliknya bagi drama siri lakonannya yang bakal disiarkan di RTM.
Menurutnya, drama 13 episod yang bertajuk ‘Psikik’ bakal disiarkan di stesen televisyen itu pada awal tahun hadapan.
“Saya langsung tidak ada asas dan pengalaman dalam bidang nyanyian cuma kadang kala pada masa lapang saya akan menghabiskan masa bersama kawan-kawan untuk berkaraoke.
“Setelah diberi kepercayaan oleh komposer lagu, Khai, saya cuba untuk mengambil tawaran nyanyian ini sebagai cabaran memandangkan saya juga seseorang yang suka mencuba sesuatu yang baru,” katanya.
Miera berkata, pengalaman dalam bidang lakonan adalah berbeza daripada bidang nyanyian, dan baginya cabaran untuk menyanyi adalah lebih hebat memandangkan dia tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu.
“Walaupun masih baru dalam bidang nyanyian, saya bersyukur kerana tidak mengambil masa lama untuk menyiapkan lagu tersebut dan Alhamdulillah hanya empat hari digunakan untuk sempurnakan lagu tersebut,” katanya kepada Zass.
Utamakan lakonan
Tidak ada istilah 'duduk diam', aktres utama drama, Kamelia Katrina, ini tidak putus-putus menerima tawaran berlakon dalam pelbagai drama siri.
Terbaru, Miera sedang menjalani penggambaran drama siri berjudul ‘Mulanya Di sini’ yang akan tamat penggambaran dalam masa dua minggu lagi.
Menurutnya, dia memegang watak sebagai Alya, seorang remaja perempuan daripada keluarga kaya yang hidup dengan mewah dan segala kehendaknya pasti akan ditunaikan.
Menerusi drama itu, Alya juga seorang remaja yang terlalu dimanjakan ke dua ibu bapanya sehingga tidak pernah melakukan kerja-kerja yang berat.
Konflik timbul setelah Alya tamat peperiksaan SPM dan ditawarkan kursus PLKN. Oleh sebab takut dipenjarakan, Alya terpaksa menjalani kursus itu walaupun dia tidak langsung berminat untuk menyertainya.
Sepanjang Alya berada di PLKN, pelbagai masalah terpaksa diharunginya dan dia banyak mempelajari erti kehidupan yang sebenar dan perubahan ketara dilihat oleh ibu bapanya setelah Alyah pulang daripada menyertai PLKN itu.
Menyentuh peranannya menerusi drama tersebut, Miera mengatakan agak sukar memegang watak yang berlainan karakter dengan dirinya yang sebenar. Bagaimanapun dia mengambil kesukaran itu sebagai satu cabaran memantapkan lagi lakonannya.
“Memegang watak sebagai Alya sebelum menyertai PLKN tidaklah sesukar mana kerana watak seperti itu pernah saya lakonkan menerusi drama-drama sebelum ini.
“Tetapi, cabaran hebat memainkan watak tersebut adalah pada situasi semasa Alya menjadi remaja yang telah berubah daripada seorang remaja sosial kepada remaja baik. Apa pun, saya akan cuba yang terbaik bagi menjayakan drama ini,” katanya.
Selain tawaran lakonan drama bersiri, Miera juga telah membintangi tiga buah filem yang bakal ditayangkan pada tahun 2012.
Antara filem lakonannya adalah ‘Apokalips X’ arahan Mamat Khalid yang turut dibarisi pelakon Farid Kamil, Jehan Miskin dan Iqram Dizly serta filem ‘Jangan Pandang-pandang’ arahan Ahmad Idham yang turut dibintangi Zizan Raja Lawak.
Oleh:NINA FARZUIN MD SHAROM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment