Showing posts with label Memey. Show all posts
Showing posts with label Memey. Show all posts
0

Tahniah! Memey Dan Norman Dapat Bayi Lelaki

MEMEY memangku bayi lelakinya, Mohamed Darwisz.
 


Kuala Lumpur: Pengalaman mengasuh anak suami yang juga aktor terkenal, Norman Hakim hasil perkahwinan pertama bersama Abby Abadi membuatkan dramatis, Suhaiza Suhaimi atau Memey, 25, tidak kekok menguruskan anak sulungnya.

Memey selamat melahirkan , Mohamed Darwisz Hakim, di sebuah hospital swasta di sini, jam 9.50 malam kelmarin.

Sewaktu dihubungi, Memey berkata, dia bersyukur kandungannya sihat dan dilahirkan secara normal dengan berat 3.4 kilogram.

Katanya, walaupun sebelum ini sewaktu mengasuh anak tirinya, Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4, mereka sudah besar, ia sedikit sebanyak memberikannya pengalaman.

“Saya tak kekok apabila kali pertama memegang Darwisz dan menyusu badan. Rasa seperti sudah biasa dan bersyukur dengan pengalaman ini,” katanya.

Menceritakan pengalaman melahirkan anak sulung, pelakon berasal dari Kota Tinggi, Johor ini berkata, pada peringkat awal dia berasa sakit pinggang, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggapnya normal.



NORMAN mengucup Mohamed Darwisz.


“Saya mula terasa sakit 31 Januari lalu, dan pada sama doktor menjangka saya akan melahirkan anak pada 28 Januari. Selepas memberitahu Norman, dia turut jangka saya mahu bersalin,” katanya.

Jelas Memey, Norman yang baru pulang menjalani penggambaran jam 6 pagi kelmarin bergegas membawanya ke hospital.

“Disebabkan mahu melahirkan anak sulung secara normal, saya terpaksa tahan selama satu hari hinggalah kelmarin selepas Maghrib, doktor berkata saya bersedia untuk melahirkan,” katanya.

Memey berkata, sepanjang proses melahirkan, Norman turut berada di sisi dan mengazankan Darwisz.


Bayi itu dilahirkan dua minggu awal daripada tarikh jangkaan bersalin.

Tambah Memey, dia juga bersyukur apabila proses kelahirannya tiada sebarang komplikasi lebih-lebih lagi apabila Norman berada di sisinya sepanjang tempoh masa untuk melahirkan.

"Saya rasa tenang sedikit ketika dalam keadaan sakit melalui proses kelahiran, Norman sempat memberi pelbagai nasihat.

"Dan sepanjang masa itu, saya hanya mengikut kata-katanya dan ternyata nasihat-nasihat yang diberikan banyak membantu saya melahirkan Darwisz, Alhamdulillah," tuturnya.

Sementara itu, Memey memberitahu, dia akan berpantang secara tradisional di rumahnya Kuala Lumpur selama dua minggu dan kemudian akan pulang ke kampungnya untuk meneruskan rawatan berpantangnya itu.

Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor

Sebelum ini, Norman pernah mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
0

Memey Dan Norman Tidak Sabar Menanti Kelahiran Cahaya Mata Pertama Mereka Bulan Depan

Memey dan Norman tidak sabar menanti kelahiran anak pertama mereka pada Februari depan. 



KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza mengakui tercuit hati dengan gelagat dan debaran yang dialami suaminya aktor Norman Hakim menjelang kelahiran bayi sulung mereka dijangka pada 20 Februari depan.

Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 27, berkata, sikap kalut Norman yang terlalu gelisah mengenai persiapan kelahiran anak lelaki mereka itu melebihi kebimbangannya sendiri yang pertama kali bakal bersalin.

“Saya okey sahaja. Tidak terfikir atau bayangkan apa-apa pun tapi abang (Norman) yang nampak lebih bimbang.

“Mungkin kerana pengalamannya bergelar bapa sebanyak tiga kali sebelum ini membuatkan dia bimbang untuk sambut kelahiran anak kami nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Ditanya mengenai persiapan terakhir menjelang kelahiran itu, Memey berkata, segala persiapan pakaian dan pemilihan beberapa nama sudah disenarai pendekkan.

“Kami sudah ada dua atau tiga nama pilihan cuma belum putuskan yang mana satu sahaja.

“Abang juga sudah selidik banyak info di Internet dan buku-buku mengenai kelahiran anak kami,” katanya.

Dalam pada itu, Norman berkata, perasaan panik menjelang kelahiran itu adalah perkara lazim yang dihadapinya sejak anak pertama lagi.

“Dari anak pertama lagi saya memang berdebar dan panik. Saya rasa pengalaman menyambut kelahiran anak-anak yang membuatkan saya begitu.

“Sebab itu saya berasa tidak tenang dan takut untuk menunggu kelahiran Memey nanti kerana saya perlu bersedia,” katanya yang merancang untuk menjemput keluarga Memey menemani aktres itu pada hujung Januari ini.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Norman dan Abby Abadi dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4.

Pasangan itu bercerai pada 18 Disember 2008.

Oleh WAHIDUZZAMAN
0

Memey Tidak Mahu Bermadu!!

 
KUALA LUMPUR – Walaupun sudah merasa bahagia dengan hubungannya yang sudah berbaik dengan pelakon wanita Abby Abadi, isteri kepada Norman Hakim, Memey Suhaiza meluahkan rasa dia tidak mahu bermadu dengan perempuan lain.

Sebelum ini, umum mengetahui hubungan antara Abby dan Memey tidak begitu baik berikutan Norman ditangkap khalwat dengannya hingga membawa kepada perceraian antara Abby dan Norman.

Pun begitu, kuasa Tuhan, hubungan Memey dan Abby kembali jernih pada Ramadhan lalu.

Memey memberitahu, dia bersyukur kerana dianugerahi nikmat bahagia selepas beberapa tahun tidak bersua muka dengan Abby.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana hubungan dengan Kak Abby sudah kembali pulih.

“Sebenarnya, orang tidak tahu antara Abang Norman dan Kak Abby masing-masing sudah berbaik dan tidak bermusuh. Cuma hubungan saya dan Kak Abby kini sudah baik,” kata Memey yang dipetik dari majalah Mingguan Wanita, terbitan bulan ini.

Disebabkan ramai yang melihatkan mereka sudah mampu untuk menjadi kawan, ramai peminat yang menyuarakan pendapat supaya Norman dan Abby rujuk semula.

Namun, Memey enggan berfikir perkara-perkara yang negatif hingga boleh mengganggu kesihatan dan fikirannya.

Jujur Memey meluahkan hasrat hatinya, dia tidak mahu hidup bermadu seperti yang disarankan orang ramai kerana sudah bahagia dengan kehidupan bersama Norman.

“Saya sendiri tidak mahu memberatkan fikiran dengan benda-benda negatif. Tidak dinafikan ada yang menasihati supaya saya berwaspada, tetapi saya tahu siapa abang dan juga Kak Abby. Saya tidak mahu kata-kata orang membuatkan hubungan kami kembali keruh.

“Apabila melihat hubungan baik antara abang dan Kak Abby, saya bersyukur dan lebih gembira bila mana hubungan antara kami juga sudah pulih. Saya juga tidak mahu bermadu kerana apa yang saya lalui kini cukup membahagiakan saya,” katanya.


Oleh: NAIMAH SHAARI
0

Norman Hakim Sebak Lihat Memey Dan Abby Berpelukan

Berkat bulan Ramadan telah menyatukan Abby dan Memey.


Norman bersama bekas isterinya, Abby (kiri) dan Memey kelihatan gembira selepas persengketaan yang selama ini terjadi dapat diselesaikan dengan baik. Foto kiriman Norman.

PETALING JAYA: Insiden Memey Suhaiza dan Abby Abadi berpelukan sambil menangis merupakan saat paling bermakna apabila kedua-dua mereka mahu menamatkan persengketaan yang terjadi selama ini.

Norman Hakim berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia bersama isterinya, Memey mahu mengambil anak-anak yang berada bersama Abby di sebuah lokasi di Shah Alam.

"Ketika itu tujuan saya dan Memey ke Shah Alam bertujuan untuk ambil anak-anak saya yang pada waktu itu dengan Abby. Kalau nak ikutkan sejak sekian lama saya dan Abby agak jarang berkomunikasi apatah lagi Memey.

"Dan apabila sampai di lokasi itu, tiba-tiba Abby menarik tangan Memey dan memeluknya sambil menangis.

"Saya agak terkejut dan semua senyap seketika. Anak-anak pula menjerit 'yeay! Mummy dan mama dah baik!". Terasa macam filem Hindustan pula. Ia adalah satu keajaiban sebenarnya yang penuh bermakna dalam bulan Ramadan ini," ceritanya ketika dihubungi mStar Online di sini petang Khamis.

Foto Norman dan Memey berbuka puasa di rumah Abby bersama anak-anak. Gambar petikan Twitter milik Abby.

Tambah Norman, keadaan itu juga membuatkan dia begitu sebak dan bersyukur kerana doanya untuk melihat bekas isteri dan Memey menghapuskan sengketa terlaksana dan seterusnya dapat menyatupadukan keluarga.

"Saya ada juga tanya kepada mereka, apa yang membuatkan kedua-duanya kembali berdamai? Mereka cakap ' ini rahsia perempuan'.

"Apa-apa pun saya bersyukur kepada Ilahi tiada lagi persengketaan antara kami dan yang paling gembira semestinya anak-anak. Anak sulung saya, Danish siap bergurau dan berkata, kalau mama dan papa kahwin, Danish nak jadi pengapit," tuturnya.

Menceritakan pula detik mereka berbuka puasa bersama-sama di rumah Abby pada Rabu lalu, Norman telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) meminta kebenaran untuk berbuka puasa di rumah Abby dan dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu.

"Rasa seronok sangat dapat berbuka puasa bersama-sama. Abby dan Memey juga rancak berbual mengenai bayi di dalam kandungan Memey yang berusia dua bulan itu.

"Selepas itu, Abby telah menghadiahkan sepasang telekung kepada Memey sebelum kami menunaikan sembahyang jemaah Maghrib bersama," tuturnya.

Ditanya adakah perdamaian itu membuka jalan untuk Norman mengambil semula Abby sebagai isteri, pelakon itu hanya menyerahkan perkara tersebut kepada takdir.

"Saya tak tahu nak cakap apa. Lagipun saya tak tahu apa status Abby sekarang ini. Cuma saya mengharapkan yang terbaik selepas ini dan akan sentiasa berdoa serta berusaha untuk menjaga keharmonian keluarga.

"Memey pula sangat fleksibel dengan saya. Malah, dengan apa yang telah dilakukannya sekarang ini (berbaik dengan Abby) adalah satu pengorbanan besar sebagai isteri.

"Bagaimanapun, saya dan Memey ada merancang untuk menunaikan umrah bersama-sama Abby. Itu pun selepas Memey bersalin pada Februari tahun depan," katanya.

Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3.

Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
0

Gambar-Gambar Majlis Pernikahan Norman Hakim Dan Memey...




PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, pelakon Norman Hakim, 35, telah selamat dinikahkan dengan pasangannya, pelakon Memey Suhaiza, 23, di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor pada pukul 5.10 petang, Sabtu.
Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah mukim Kambau, Kota Tinggi, Zulkifli Tarmizi berwalikan bapa Memey, Suhaimi Sawarni, 49.
Pada majlis tersebut, Memey turut menerima mas kahwin berjumlah RM22.50 dan lima dulang hantaran termasuk wang hantaran RM24,000, sistem pengesanan global (GPS), rantai, cincin berlian, kek buah berbentuk beg tangan Gucci, sirih junjung dan al-Quran.
Sementara Norman menerima tujuh dulang hantaran daripada Memey iaitu iPad 2, cincin, coklat, buah-buahan, sirih junjung, kek lapis Sarawak dan al-Quran.
Keseluruhan hantaran kedua-dua belah pihak dianggarkan berjumlah RM40,000 yang digubah oleh Iezla Bridal merangkap perunding perkahwinan.
Memey dan Norman kelihatan sama cantik sama padan mengenakan baju pengantin berwarna mengikut kulit rekaan Ezuwan Ismail.






  
Selain keluarga kedua-dua belah pihak, majlis ini turut dihadiri dan disaksikan oleh 1,000 tetamu termasuk dua anak Norman iaitu Mohamed Danish Hakim,8, dan Marissa Dania Hakim,6.
Menurut Norman, dia akan membawa Memey berbulan madu di Paris dalam masa yang akan ditetapkan kemudian dan seterusnya dijangka ke Mekah untuk mengerjakan umrah pada tahun depan.
Pada malam Sabtu, pasangan ini akan melangsungkan majlis malam berinai di rumah pihak perempuan di mana Memey mengenakan baju busana berkonsepkan kontemporari berwarna peach manakala Norman dengan baju tradisional berwarna hitam yang disediakan oleh Iezla Bridal.
Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan akan dilangsungkan di rumah pihak perempuan pada Ahad dengan berkonsepkan perkahwinan dalam taman. Pakaian persandingan direka oleh Hatta Dolmat manakala untuk upacara memotong kek direka oleh Rizman Ruzaini.
Pada 28 September depan pula, majlis perkahwinan yang bernilai RM12 juta, akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.
Tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan Kosmopolitan dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.
Menariknya Memey akan menyarungkan gaun pengantin pereka tersohor dunia, Vera Wang pada majlis perkahwinannya pada 28 September itu.
Menurut perancang perkahwinan mereka, Billbora, gaun yang menjadi pilihan selebriti Hollywood seperti Kim Kardashian, Mariah Carey dan Invanka Trump itu telah dibeli oleh Rafflesia, menerusi sebuah agen di Hong Kong.
Memey akan mengenakan dua gaun pengantin pada majlis tersebut dan salah satunya daripada rekaan Vera Wang yang berkonsepkan Bohemian. Bagaimanapun ia bukanlah ditempah khas sebaliknya dibeli oleh pihak Rafflesia yang inginkan kelainan pada majlis tersebut.
Sepasang lagi gaun yang akan dikenakan pula direka khas oleh tiga pereka tempatan daripada Rafflesia dengan bertatahkan mutiara gred A yang bernilai RM500,000.
Bagi pakaian pengantin lelaki pula, Norman akan mengenakan dua pasang sut tradisional Inggeris rekaan Lord's Taylor bernilai RM10,000 setiap satu.
Menarik lagi, keempat-empat gaun dan sut pengantin tersebut akan dipamerkan untuk satu acara istimewa di Muzium Negara pada 26 November hingga 31 Disember depan.
Selain Rafflesia, Lord's Taylor dan Vera Wang, Profesor Datuk Jimmy Choo juga akan menghasilkan dua pasang kasut khas buat Memey yang bernilai RM300,000.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Memey manakala yang kedua bagi Norman.
Norman pernah berkahwin dengan pelakon Abby Abadi pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak termasuk Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
0

Norman Hakim Dan Memey Suhaiza Dibebaskan Daripada Tuduhan Berkhalwat

Norman dan Memey bergenang air mata selepas menerima keputusan mahkamah.

KUALA LUMPUR, 29 Julai -Pasangan pelakon, Norman Hakim dan Memey, dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur daripada pertuduhan khalwat hari ini.Mereka telah ditangkap khalwat tiga tahun lalu.

Keputusan itu yang dibuat oleh Hakim Syarie Salehan Yatim turut dikongsi pasangan itu merupakan sebagai hadiah perkahwinan mereka yang bakal berlangsung September ini.

“Tiada perasaan yang boleh digambarkan melainkan syukur kepada Allah kerana perkara ini berlaku terlalu lama iaitu sejak tiga tahun lalu.

“Sesungguhnya kepada mereka yang berada di dalam situasi kami, akan dapat memahaminya,” kata Norman ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Laporan Bernama Online menyebut, seperti Memey yang berada di sisinya, kedua-duanya mengesat air mata tanda gembira.

Norman Hakim dan Memey Suhaiza begitu gembira dan amat bersyukur kerana telah bebas daripada tuduhan khalwat ketika mereka dalam persiapan untuk mendirikan rumah tangga pada September depan.

 Penaja-penaja majlis perkahwinan Norman dan Memey yang bernilai RM12 juta.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 35, dan Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 23, didakwa berkhalwat di sebuah premis pejabat di Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada 3 pagi 30 Oktober 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Hakim Salehan berkata, pihak pendakwaan yang diwakili pendakwa syarie Siti Fatimah Maulana, gagal membutikan kes prima facie.

Beliau berkata mahkamah mendapati pendakwaan hanya berjaya membuktikan satu daripada empat elemen iaitu mengenal pasti individu lelaki dan wanita dalam kes itu berdasarkan kad pengenalan mereka.

Katanya, pihak pendakwaan gagal membutikan pasangan itu ada bersama ketika tangkapan dibuat di mana tertuduh lelaki berada di sebuah bilik di atas manakala tertuduh wanita berada di tempat kaunter pertanyaan dengan berpakaian sempurna.

Salehan berkata seramai enam saksi pegawai penguatkuasa dipanggil memberi keterangan bagaimanapun dilihat bercanggah sesama sendiri mengenai sama ada melihat kedua-dua tertuduh bersama-sama di tempat kejadian.

“Hanya saksi keenam (pengadu) memberitahu bahawa beliau melihat Norman dan Memey bersama-sama dan melihat Norman lari dengan memanjat ke bahagian ruangan atas,” katanya.
Beliau berkata mahkamah menerima pertikaian yang dibuat oleh pihak pembelaan mengenai saksi itu yang telah membuat kenyataan dalam rancangan televisyen “Melodi” kerana ia boleh menimbulkan subjudis dan tohmahan terhadap kedua-dua tertuduh.

Hakim Salehan berkata pihak pendakwaan bukan sahaja didapati tidak membuat pemeriksaan secara profesional untuk menunjukkan bagaimana tertuduh melarikan diri dan tiada pemeriksaan cap jari pada jeriji di pintu premis itu malah pegawai penguatkuasa tidak mengambil gambar di tempat itu secara profesional.

“Saksi pendakwaan hanya menggunakan kamera isterinya untuk mengambil gambar. Apa yang menghairankan mahkamah, saksi hanya mengambil gambar-gambar di premis itu antara dua atau tiga hari selepas kejadian berlaku sedangkan apa-apa perubahan (bahan bukti) boleh berlaku,” katanya.

Pasangan itu, yang diwakili peguam syarie Mohd Fakhrul Abu Hassan dan hadir bersama ke mahkamah pada pukul 9.30 pagi, kemudian dilihat mengambil borang nikah sebelum beredar dari situ.
Laporan media Jumaat lalu menyebut, Memey dan Norman bakal bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Norman adalah bekas suami pelakon Abby Abadi dan mereka mempunyai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danish Hakim. Mereka bernikah pada 8 Januari 2002.

Menurut laporan itu lagi, Memey akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut — yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta — pada majlis persandingan di Crowne Plaza Mutiara di sini, 28 September ini.Memey akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.
0

Norman Hakim Nikah 24 September Ini,Persalinan Memey Bernilai RM7.2 Juta


KUALA LUMPUR, 22 Julai — Pelakon Memey Suhaiza yang akan mendirikan rumah tangga dengan Norman Hakim, akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut,yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta,pada majlis persandingan di Crowne Plaza Mutiara di sini, 28 September ini.
Menurut laporan media, Memey, 23, akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.Norman merupakan pelakon siri Gerak Khas.
Memey dan Norman, 35, bakal bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Norman adalah bekas suami pelakon Abby Abadi dan mereka mempunyai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danish Hakim. Mereka bernikah pada 8 Januari 2002.
Bill Bora selaku wakil Rafflesia memberitahu, sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pernah mengenakan gaun bertatah mutiara bernilai RM400,000 pada hari persandingannya.



Selain dua persalinan itu yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut.
“Sejak minggu lepas, borang penyertaan untuk rekaan pakaian perkahwinan Memey sudah dibuka kepada semua pereka fesyen yang berminat.
“Pakaian itu kelak akan dipadankan dengan anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara. Terpulang kepada pereka untuk menghasilkan pakaian itu, namun kedua-duanya perlu dihiasi mutiara,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Selain itu, Memey juga akan mengenakan dua pasang kasut rekaan khas Datuk Jimmy Choo, kata beliau.
Menurut Bill, Memey amat beruntung kerana pereka kasut ternama itu sudi menghasilkan kasut khas bertatah mutiara untuk majlis perkahwinannya yang dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang.
“Persandingan mereka boleh dianggap sebagai wedding of the year kerana mendapat sentuhan orang ternama,” katanya.
Kata Bill, Memey dan Norman dipilih kerana sebagai pasangan selebriti, kedua-duanya sentiasa menjadi perhatian ramai dan dinanti-nantikan penampilan mereka.
0

Memey DiBelasah Dalam Twitter Bila Anak Norman Ponteng Sekolah

http://www.gosipsensasi.co.cc

Memey bersama anak-anak Norman Hakim
 
KUALA LUMPUR: Pelakon Norman Hakim tidak pernah mengajar anak-anaknya untuk ponteng sekolah apatah lagi jika disuruh oleh tunangnya, Memey Suhaiza.
Norman berkata, tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan Memey sengaja tidak membenarkan Mohd Danish Hakim, 8, dan Marisa Dania Hakim,6, ke sekolah adalah tidak benar sebaliknya sekadar salah faham.
“Sebenarnya, seorang anak saya iaitu Danish baru habis peperiksaan. Jadi, dia meminta untuk tidak pergi ke sekolah sehari selepas peperiksaan itu untuk meluangkan masa bersama saya.
“Memandangkan saya dan Memey tidak mempunyai penggambaran, maka saya memenuhi keinginan itu termasuklah membawa anak kedua saya, Marisa keluar bersama,” katanya.
Norman diminta mengulas kononnya Memey terlibat mengajar anak-anaknya ponteng sekolah seperti mana yang diperkatakan dalam laman Twitter sebelum ini.
Kata Norman, dia amat mementingkan pelajaran anak-anaknya dan tidak sesekali membiarkan mereka ponteng sekolah tanpa sebab tertentu.

Sementara itu, bercerita mengenai pemilihan tarikh pernikahan dia dan Memey, pelakon bertubuh sasa itu akan memilih tarikh di antara bulan September dan November depan.
"Setakat ini kami masih sibuk dengan karier masing-masing sehingga bulan Ogos.
"Jadi pemilihan tarikh masih lagi belum dibuat. Cuma kami menetapkan pernikahan akan berlangsung di antara September dan November. Bagaimanapun, segala persiapan perkahwinan sudah siap 99 peratus," tuturnya yang kini muncul menerusi drama Kerana Mu Laila (TV3) dan Sutra Cinta (TV2).

0

Abby Abadi Mengamuk Marahkan Memey Dalam Facebook


PETALING JAYA: Pelakon Memey atau nama sebenar Suhaiza Suhaimi kecewa dengan tindakan bekas isteri tunangnya Norman Hakim, Abby Abadi yang meluahkan perasaan marah terhadapnya di laman sosial Facebook, Isnin.
Jelas Memey, dia menganggap punca kemarahan Abby iaitu memarahinya menjawab telefon bagi pihak Norman adalah tidak masuk akal.
“Salahkah saya jawab telefon bagi pihak tunang saya. Saya bukan buat salah besar sehinggakan dia begitu marah. Setalah sampai di lokasi, saya diberitahu dia memberitahu perkara tersebut di facebook.
“Kalau dia boleh fikir secara logik, itu bukan satu isu yang perlu dimarahkan sehingga beritahu kepada umum. Lagi pula saya tidak tahu dia yang buat panggilan sebab tiada tertera nombor telefon dia,” katanya.
Menurutnya, tindakan tersebut juga telah menimbulkan persepsi buruk segelintir masyarakat terhadapnya.
“Saya mahu buka buku baru untuk tahun ini, tapi dia mulakan dengan buat persepsi buruk terhadap saya. Perkara ini juga melibatkan maruah saya.
“Saya malas mahu besarkan keadaan dan saya hanya nasihatkan agar dia fikirkan dahulu sesuatu perkara secara rasional,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Tambah Memey, dia berharap untuk tahun baru ini tiada lagi sengketa antara dia dan pelakon tersebut.
“Saya tahu dia tidak suka saya, jika kami memang tidak boleh berbaik sekali pon tapi tolonglah jangan timbulkan sebarang sengketa,” katanya.




Dalam pada itu, Memey turut mengakui terpaksa menangguhkan perkahwinan pada penghujung tahun ini.
“Sepatutnya kami merancang untuk berkahwin pada 8 Januari ini tetapi tidak sempat untuk buat persiapan. Selepas bertunang banyak rezeki yang datang terutama tawaran untuk berlakon bersama Norman.
“Insya-Allah beberapa tarikh telah dipilih pada penghujung tahun ini tapi mungkin juga ia akan dilakukan lebih awal iaitu pertengahan tahun ini jika kami berdua sudah bersedia,” katanya yang sedang membuat penggambaran drama Bola Cinta musim kedua.
0

"Kenapa Sekarang Abby Nak Ungkit?" - Memey Suhaiza

Norman dan Memey belum berbincang tentang wang hantaran lagi.
SETELAHhampir setahun pelbagai kontroversi yang membabitkan Norman Hakim dan bekas isterinya, Abby Abadi senyap tanpa berita, hal rumahtangga mereka yang lepas timbul lagi.
Kali ini, kenyataan mengejut daripada Abby membabitkan hutang wang hantaran berjumlah RM11,111.11 yang masih belum dilangsaikan Norman.
Hal tersebut membuatkan tunang Norman iaitu Memey Suhaiza Suhaimi turut terkena tempias yang memungkinkan reputasi dirinya terhadap keluarga dan peminat terjejas.
Beritahu Memey, dia terkejut apabila Abby menceritakan hal-hal peribadi kepada umum dan meminta pelakon itu untuk selesaikan masalah dia dengan Norman cara baik.
Malah Memey tidak risau jika situasi dialami Abby (tidak terima wang hantaran)akan terkena pula kepadanya.
“Saya harap Abby dapat selesaikan hal-hal peribadi dengan cara baik dan tak perlu buat satu Malaysia tahu.
“Kenapa baru sekarang nak ungkit? Saya tak tahu apa yang sedang dia fikirkan. Bila kami dah bertunang, hal ini pula timbul. Kalau boleh saya nak jernihkan keadaan dan selesaikan elok-elok, jadi tak seronok pula bagi kedua-dua belah pihak.
“Bila hal ini terjadi, tempiasnya terkena pada saya. Dengan keluarga, saya boleh jelaskan, tetapi orang lain macam mana? Saya tak mahu campur tangan sangat walaupun saya tahu hal yang sebenar.
“Apapun, saya tak takut jika wang hantaran saya tidak dibayar kerana saya kenal Norman. Lagipun setakat ini tiada perjanjian mengenai hantaran dibuat antara keluarga kami,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.
Tambah pelakon berusia 22 tahun itu, sebelum ini, Abby pernah menyatakan kepada Memey hasratnya untuk meminta balik hutang-hutang terdahulu Norman.
Malah Memey terkejut bila Abby menyatakan yang Norman tidak pernah memberi nafkah kepada anak-anak mereka.
“Sebenarnya saya dah lama tahu tentang hal ini. Dalam beberapa tahun kami kenal, Abby pernah cakap pada saya yang dia nak balik duit-duit itu dan saya tak faham kenapa dia perlu memberitahu saya. Mungkin dia ingin menunjukkan sesuatu, saya pun tak pasti.
“Cuma saya pelik, kenapa dia kata yang Norman tidak ambil kisah tentang nafkah anak-anak mereka sedangkan saya nampak sendiri depan mata segala perbelanjaan seperti barang-barang dapur serta keperluan lain yang Noman beli.
“Jadi bila keluar kenyataan sebegitu, saya terkejut. Tak seronoklah kalau orang baca, kerana orang luar tak tahu hal sebenarnya tetapi saya nampak realitinya apa yang Norman buat untuk anak-anaknya.,” ujar Memey yang akan mendirikan rumahtangga bersama Norman tahun depan.
Norman dan Abby telah bernikah pada 8 Januari 2002 dan melangsungkan perkahwinan mereka pada 31 Ogos 2002 di Perdana Grand Ballroom, Dewan Felda, Jalan Semarak.
Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
Perkahwinan mereka gagal bertahan kerana dipercayai gara-gara gangguan pihak ketiga iaitu Memey serta kes tangkap khalwat kedua-dua mereka.
Abby Sanggup Bersumpah Norman Bohong
Sementara itu, Abby yang dihubungi berkata, dia geram bila Norman membuat kenyataan di sebuah akhbar yang menyatakan bahawa dia tidak berhutang apa-apa pun dengannya.
Dalam laman social Facebook Abby pula, pelakon itu sanggup bersumpah dengan nama Allah mengenai pembohongan yang dibuat oleh Norman Hakim.
Pelakon drama Marhabbah Delaila itu juga berkata, kenyataan Norman juga bercanggah berbanding kisah sebenar yang berlaku dan menganggap Norman dan Memey telah lama bersekongkol.
“Saya akui yang saya pernah bercakap dengan Memey meminta Norman membayar balik hutang-hutangnya kerana ini sahaja cara yang ada. Ini kerana saya gagal berkomunikasi secara baik dengan Norman.
0

Memey ada kekasih baru?


SOALNYA jadi ke Memey Suhaiza dan Norman Hakim berkahwin? Jawapan menunda perkahwinan seolaholah menggambarkan ada sesuatu yang sedang berlaku, apatah lagi timbul perkhabaran Memey meminta kekasihnya merujuk kembali kepada bekas isteri, Abby Abadi tidak lama dulu.

Hairan pula, tak tahulah apa drama yang sedang mereka lakonkan! Macam-macam perkara timbul sejak akhir-akhir ini. Dan kelibat Memey bersama seorang jejaka berusia 31 tahun sambil berpegangan tangan mungkin merungkai persoalan yang menjadi tekateki hingga hari ini.
pix_gal0
Seorang teman Raja terkejut melihat Memey bersama jejaka kacak yang dipercayai bekerja di syarikat minyak dan gas. Melihat kemesraan mereka sambil berpegangan tangan menimbulkan tanya tanda, adakah Memey sudah meninggalkan Norman? Jadi, betullah khabar angin yang bertiup kencang, hubungan Memey dan Norman sudah bernokhtah! Apapun, sukar meneka pergolakan mereka, hanya empunya diri lebih mengetahuinya. "Aku lihat dengan mata kepala sendiri, Memey keluar dengan lelaki itu. Lelaki tu teman baik kawan aku. Manja saja gayanya, berjalan pun berpimpin tangan. Bukan sekali dua melihat mereka, kerap jugalah. Aku tidaklah bertanya apa, tapi melihat gaya mereka aku dapat agak mereka sedang dilamun cinta," kata sumber itu kepada Raja.

Sayang, hubungan yang hampir dua tahun berlarutan, Memey dan Norman menempuh pelbagai onak duri, tetapi akhirnya hubungan mereka mungkin akan terlerai begitu saja. Perbicaraan kes khalwat mereka juga belum selesai, tetapi nampaknya hubungan mereka yang selesai terlebih dulu. Susah meneka hati manusia, rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.

Kalau benarlah seperti diceritakan itu, Norman dan Memey kenalah tampil beri penjelasan. Khabarnya juga, kelibat Memey sudah lama tidak kelihatan sekitar pejabat Norman.

Kalau dulu Memey dilihat sering menemani buah hatinya tak kira siang atau malam, tetapi kini tidak lagi. Mungkin masing-masing sibuk di lokasi penggambaran. Yalah, Memey sekarang pun semakin laku, dah berlakon banyak drama.
Kalau betul cerita yang Raja dengar ini, Raja kasihan pada Norman dan Memey. Dulu, muka mereka tebal dua inci apabila ditangkap khalwat, selepas itu tercetus pula drama Norman dan bekas isteri, Abby bergaduh di lokasi penggambaran. Malu lagi. Memey pula tak sudah-sudah dipersalahkan atas perceraian Norman dan Abby, hingga kini, masih ada yang membencinya.

Tapi kesudahan perhubungan mereka, hancus juga! Tentulah orang yang membenci mereka tepuk tangan dan tergelak besar jika mereka berpisah. Malah, mungkin ada yang cakap itulah balasan bagi manusia yang menghancurkan kehidupan orang lain.

Bagaimanapun, kalau dah tiada jodoh apakan daya. Kita manusia ni hanya mampu merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Raja harap apa yang Raja dengar ini hanyalah gosip semata-mata. Raja masih mengharapkan Memey dan Norman berkahwin suatu ketika nanti. Mereka sudah lalui macam-macam kemelut hidup, takkan nak biarlah ia berlalu begitu saja kan. Tapi ia berbalik soal hati juga.

Kalau Memey dah bertemu jejaka lebih baik daripada Norman, paling penting punya masa depan dan bujang, tiada siapa yang mampu menghalangnya. Lagi pun Memey masih muda untuk memegang status isteri dan ibu kepada tiga anak. Memanglah mungkin Memey rapat dengan anakanak Norman, tetapi hati Memey kita tak tahukan...

Lagi pula melihat Norman ada kalanya keluar bersama bekas isteri dan anak-anak kononnya membeli barang rumah, dah tentu sedikit sebanyak hati Memey tersentuh. Jangan bohonglah cakap berfikiran terbuka, Raja pasti bab-bab macam ini ramai wanita tidak akan boleh bertoleransi. Entahlah, apa pun tepuk dada dan tanya selera.-bharian
0

Jiran Lihat Memey Bawa Selimut & Tilam Ke Pejabat Norman


KUALA LUMPUR: Saksi kelima yang juga orang awam dalam kes perbicaraan khalwat Norman Hakim dan Memey Suhaiza mengaku di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, Jumaat bahawa dia ialah individu yang mengadu kepada Pejabat Agama Islam daerah Gombak Timur.
Mohd Yusri Abdul Razak berkata, dia membuat laporan selepas didesak oleh komuniti penduduk Islam di kawasan Ukay Perdana.

Bagaimanapun, katanya, dia memberikan jaminan kepada masyarakat di situ hanya akan mengadu hal tersebut kepada pihak berkuasa selepas isteri Norman, Abby Abadi selamat melahirkan anak.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi di hadapan Hakim Syarie, Salehudin Yatim, pagi Jumaat.
Norman dan Memey hadir ke mahkamah bersama peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.
Sementara itu, Mohd Yusri membuat beberapa pendedahan mengejutkan di mahkamah kerana mempertahankan "amal makruf nahi mungkar".
Jelasnya, walaupun pada awalnya enggan menjadi saksi pendakwa, dia akhirnya bersetuju untuk tampil menegakkan kebenaran selepas kes itu berlarutan hampir dua tahun.
"Bermacam-macam pembohongan berlaku dalam mahkamah dan sebagai seorang Islam, saya mesti tegakkan kebenaran," katanya.

Sebagai contohnya, Mohd Yusri memberitahu mahkamah bahawa dia tahu Memey membawa selimut, tilam dan cadar hampir setiap hari, selama lapan bulan ke Tingkat 1A pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, untuk bermalam.
Ini kerana Mohd. Yusri tinggal bersebelahan premis Norman.
Selain itu, dia turut berjaya melihat kelibat Norman memanjat ke premis atas bangunan berkenaan melalui satu lubang di sebelah ruang legar belakang premis.
Katanya, dia melihat keadaan itu selepas mendengar dentuman kuat yang terhasil apabila pintu gril dibuka dan ia terhentak di sisi dinding.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dengan Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada 3 pagi, 30 Okt 2008.

Norman dibicarakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.-mstar