Showing posts with label Nabil. Show all posts
Showing posts with label Nabil. Show all posts
0

Rumah Nabil Dimasuki Pencuri



KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil (Raja Lawak) melahirkan rasa terkejut apabila diberitahu kediaman keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan telah di pecah masuk.

Nabil ketika ditemui berkata, kawasan perumahannya di Kampung Masjid, Mambau itu sebelum ini tidak pernah berlaku sebarang kejadian pecah masuk malah sebuah kawasan kejiranan yang cukup aman.
"Saya dulu kadang-kadang keluar rumah tak kunci pintu pun kerana tahu kawasan itu sangat selamat dan tidak bimbang akan ada orang masuk merompak.

"Jadi apabila ibu menelefon memberitahu mengenai kejadian saya cukup terkejut kerana selama tinggal di sana tidak pernah berlaku sebarang kejadian seperti itu," ujarnya kepada mStar Online.

Nabil ditemui pada majlis makan malam oleh Rafflesia The Pearl Centre bagi meraikan artis yang pernah memenangi Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH di Hotel Le Meridien di sini pada malam Rabu.
Nabil bagaimanapun berkata, dia bersyukur ketika kejadian berlaku tiada penghuni di rumah tersebut.

Dalam kejadian pada Rabu, rumah Nabil yang sekarang didiami bapa saudaranya, Rahmat Abdul Latiff telah di pecah masuk menyebabkan kerugian kira-kira RM3,000 apabila sebuah komputer riba telah dilarikan.
Sementara itu, Nabil memberitahu keluarganya telah setahun berpindah ke Kuala Lumpur dan menetap bersamanya di Jalan Duta, dekat sini.

0

Nabil Raja Lawak Dan Nazirah Ayub Bakal Bernikah September 2011


Kata orang kalau dah sampai serunya, pasti akan berkahwin jugak. Tahniah Abang Nara ucapkan kepada Nabil Raja Lawak (28 tahun) yang akan melangsungkan perkahwinannya dengan Nazirah Ayub (23 tahun). Bakal isteri Nabil adalah seorang bekas pramugari Air Asia. Kedua-duanya memang sama cantik dan sama padan.

Nabil dan Nazirah sudah berkenalan selama 6 tahun. Dan Nabil mahu segera bergelar suami kerana takut pisang berbuah dua kali.Saya tidak mahu menunggu lama lagi. Bukan terburu-buru, tetapi saya tidak mahu pisang berbuah dua kali selepas percintaan dengan Irma Hasmie selama dua tahun dulu kecundang di tengah jalan.
Saya mengenai Zira sudah enam tahun, dia rapat dengan adik ipar saya. Tapi kami hanya kenal saja, tak rapat dan bercakap jauh sekali. Bagaimanapun, hubungan kami menjadi semakin akrab sejak awal tahun ini. Saya melihat kelebihan pada Zira yang tidak ditemui pada gadis lain. Saya suka sikapnya yang tidak suka menunjuk-nunjuk dan ikhlas. Keistimewaan Zira itulah membuatkan hati saya terbuka untuk melamarnya sebagai isteri.
Kredit: SUMBER

0

Siapakah Yang Bakal Dinobatkan Sebagai Juara 'MAHARAJA LAWAK'?


KUALA LUMPUR, 24 JUN 2011: Program popular di Astro Warna iaitu Maharaja Lawak sudah makin hampir sampai ke penghujungnya. Bermula pada malam ini, 4 peserta finalis yang masih kekal iaitu Jambu, Sepah, Nabil dan Jozan akan beraksi di pentas terakhir Maharaja Lawak di Stadium Melawati Shah Alam.
Persoalannya, siapakah di antara keempat-empat finalis ini yang akan dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak? Adakah ia bakal menjadi milik Jambu? Sepah? Nabil atau pun Jozan?
Sukar untuk menentukan pemenangnya kerana mereka yang kekal ini ini adalah dari kalangan pelawak generasi baru yang hebat serta tersohor. Mereka juga mempunyai pengikut serta peminat masing-masing. Mereka ini jugalah yang telah menghiburkan kita semua dengan lawak serta jenaka yang mencuit hati sepanjang Maharaja Lawak bersiaran.
Apa yang pasti, kesemua finalis ini akan membuat persembahan secara 'all out' pada pada episod akhir nanti. Namun, segalanya turut bergantung kepada kelebihan serta kebijaksanaan mereka untuk beraksi cemerlang dengan menyelitkan idea yang penuh kreatif serta dialog dan humour yang bersahaja tetapi sarat dengan pelbagai 'punching line'.
Jom, ikuti kelebihan yang dimiliki oleh setiap finalis Mahajara Lawak ini.

Jambu






Muka ganas tapi 'cute'. Itulah yang boleh disimpulkan tentang gandingan Yus dan Tauke. Terkenal dengan komedi aksi yang hanya menggunakan dialog ringkas, lakonan komedi Jambu boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik di pentas Maharaja Lawak. Komedi senyap juga merupakan salah satu kekuatan Jambu ketika membuat persembahan komedi.

Nabil





Si pelawak bertelinga capang ini adalah antara pelawak yang sangat popular di negara ini. Malah, komedi Nabil adalah antara yang paling inovatif di Maharaja Lawak serta memiliki kekuatan jalan cerita yang menarik dan kreatif. Penggunaan 'props' yang unik dan pelik dalam persembahan juga banyak membantu persembahan komedi beliau yang ditampilkan secara solo.

Sepah




Trio jejaka dari Johor dianggotai oleh Jep, Shuib dan Mamat atau lebih dikenali dengan panggilan Sepah. Komedi mereka berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia merupakan nadi kekuatan dalam persembahan komedi mereka. Persembahan komedi mereka adalah yang paling konsisten di sepanjang musim Maharaja Lawak ini.

Jozan



Johan dan Zizan atau lebih dikenali dengan gelaran Jozan merupakan pasangan duo yang paling popular di Maharaja Lawak. Kekuatan Jozan terletak pada komedi mereka yang pelbagai. Mereka juga amat jarang menggunakan komedi yang berulang. Johan yang pandai membuat mimik suara, manakala Zizan pula bijak menampilkan idea komedi yang kreatif . Gabungan ini menjadi sumber penting untuk persembahan komedi mereka.
Berdasarkan kepada kelebihan yang dimiliki oleh mereka ini, siapakah di antara mereka yang paling layak dinobatkan sebagai Juara Maharaja Lawak?
0

Irma Hasmie Nekad Bertudung Selepas Balik Dari Mekah

http://www.gosipsensasi.co.cc


14 hari berada di Mekah, cukup membuatkan pelakon dan pengacara popular, Irma Hasmie tergerak untuk memakai tudung sekembalinya ke tanah air.
Mungkin ia adalah sesuatu yang sukar bagi seseorang lebih-lebih artis yang terlibat dalam dunia yang glamor. Namun, yang nyata ada yang lebih penting di dalam dunia yang sementara ini iaitu akhirat.


Biarpun mulanya dia kelihatan sukar memberikan komen mengenai perkara ini, namun akhirnya Irma Hasmie akur kerana  pasti suatu hari nanti umum tetap jua akan mengetahui perubahan yang dilakukan dan kini dia mengesahkan akan kekal bertudung biarpun masih berada dalam dunia glamor.
"Alhamdulillah, sudah sampai masa untuk saya bertudung,  sukar nak jelaskan mengapa saya ambil keputusan secepat ini,tetapi ini semua kerja tuhan, dan bila sudah sampai seru-Nya, saya hanya menerima.
"Kalau boleh, saya tidak mahu cerita saya bertudung terlalu diberi perhatian sebab takut disalah ertikan niat sebenarnya, walaubagaimanapun saya yakin lambat laun semua orang akan mengetahui juga.
"Saya bersyukur dan gembira dengan kehidupan saya sekarang, saya lebih tenang dan lebih banyak belajar. Tiada siapa yang memaksa saya tampil begini, semuanya berlaku secara natural, Alhamdulillah, setelah dua minggu pulang ke Malaysia, ramai yang menerima baik niat saya ini,"jelas Irma.


Berdoa di Makkah
Mengerjakan Umrah bersama ibu dan adiknya, jelas Irma, dia mengambil kesempatan itu untuk berdoa sebanyak yang mungkin.
"Satu perkataan yang dapat saya gambarkan tentang Makkah adalah Subhanallah. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci ini.
"Memang seronok berada disana, saya dapat lihat sendiri betapa hebat dan ajaibnya ciptaan Tuhan. Saya memang tidak mahu melepaskan peluang untuk berdoa, macam-macam doa saya minta.
"Selama 29 tahun saya hidup dibumi ini, saya mohon diampunkan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan, di beri rezeki dan jodoh yang baik,"jelas Irma yang turut memohon di tenangkan hati setiap masa.
Kerjaya Lakonan
Memilih untuk bertudung, Irma Hasmie yakin biarpun terpaksa memilih watak yang sesuai dengan imejnya sekarang, dia percaya masih ada rezeki untuknya dalam bidang seni ini.
"Alhamdulillah, saya percaya kalau kita berubah kepada kebaikkan, Allah akan sentiasa membantu. Selepas pulang ke tanah air, saya sudah selesaikan penggambaran tiga buah telemovie.
"Ramai yang faham dengan keputusan saya, jadi apabila ditawarkan sesuatu watak, saya akan melihat dahulu sama ada watak itu sesuai dengan saya ataupun tidak,"katanya lagi.
Oleh: Wahida Othman
0

Irma Hasmie Tak Mahu Terserempak Dengan Nabil




KUALA LUMPUR: Pelakon Irma Hasmie,28, tidak mahu terserempak dengan bekas kekasihnya, Nabil Ahmad buat masa ini.
Irma yang ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung pada 24 Disember lalu berkata, selama ini dia tidak pernah terfikir akan kemungkinan berhadapan dengan peristiwa itu.
“Kalau boleh tak naklah terserempak tapi kalau jadi juga, saya pun tak tahu nak buat apa,” katanya.
Hubungan Irma dan Nabil terputus di tengah jalan apabila pelakon wanita itu dikatakan memperoleh beberapa bukti kononnya Nabil turut menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
Malah isu hubungan itu menjadi semakin panas apabila tersebar gambar yang dikatakan milik Nabil dengan seorang wanita sedang bercium.

Jelas Irma, selepas hubungan mereka putus beberapa bulan lalu, dia tidak pernah lagi bertemu atau terserempak dengan Nabil dalam mana-mana majlis rasmi.


Irma berkata, sekiranya ditakdirkan juga dia terserempak dengan bekas kekasihnya itu, Irma berjanji akan bertindak profesional dan melayan Nabil seperti rakan artis yang lain.
“Saya belum pernah jumpa dia selepas kami putus. Harap-harap buat masa ini tak terserempaklah. Tapi kalau terserempak juga, kita kenalah profesional. Insya-Allah, Irma boleh menghadapinya,” katanya.
Menurut Irma, jiwanya pada waktu ini semakin tenang dan dia amat bersyukur dalam tempoh perkenalan singkat mereka Allah telah memberi petunjuk Nabil bukan calon suami yang sesuai untuknya.
Tambah Irma lagi, walaupun Nabil pernah menyuarakan harapan untuk berbaik semula tetapi hatinya sudah tertutup untuk lelaki itu.
Ditanya apakah perbezaan selepas dia putus cinta dengan Nabil dan pelakon Farid Kamil, kantanya kedua-dua mempunyai pengalaman berbeza.
“Putus cinta dengan Farid tak seteruk putus cinta dengan Nabil. Tapi Irma dapat hadapi kedua-duanya dengan baik,” jelasnya.
Tidak mahu memikirkan soal lelaki buat sementara waktu, ujar Irma dia sekarang mahu memberi sepenuh tumpuan dalam bidang seni.
0

10 Berita Terhangat Sepanjang Tahun 2010


Terhangat 1:
JUARA Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad berada dalam senarai artis paling sensasi 2010 kerana kontroversi yang dilaluinya bagaikan bertali arus.
Gelaran Bintang Paling Popular yang diraihnya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 bagaikan badi baginya. Rezeki yang melimpah ruah kerana gelaran itu juga sama naik dengan kontroversi yang menimpa dirinya.

Awal 2010, Nabil menggemparkan industri hiburan apabila disaman RM2 juta oleh syarikat yang menerbitkan filem lakonannya, Lu Pikirlah Sendiri De Movie.
Gara-gara mengkritik filem lakonannya sendiri serta enggan mempromosikan produksi itu seperti dijanjikan, Nabil disaman RM2 juta oleh SDAF Pictures (M) Sdn Bhd.

Penerbit dan pengarah Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Aminah Rhapor mendakwa kesan tindakan Nabil itu memalit imej buruk ke atas filem itu selain menjejaskan reputasinya sebagai produser serta pengarah.

Bagaimanapun, saman yang difailkan itu ditarik balik pada 6 Ogos lalu selain SDAF Pictures bersetuju melunaskan baki bayaran tertunggak serta memberi pampasan kos guaman yang ditanggung Nabil dalam pembelaan kes itu.

Kontroversi yang melanda Nabil tidak terhenti di situ. Dia sekali lagi dijengah kisah hangat apabila didakwa ditangkap khalwat dengan buah hatinya, Irma Hasmie selain difitnah sebagai kaki botol. Bagaimanapun, Nabil menafikan semua dakwaan itu dan menganggapnya sebagai fitnah.

Kemuncak kisah sensasi Nabil apabila penyebaran tiga keping gambar menyerupai dirinya bersama seorang gadis dikenali sebagai Uqasha pada pertengahan November lalu.

Nabil menafikan gambar itu miliknya, malah menyifatkan dirinya dianiaya oleh individu yang iri hati dengan kejayaannya.

Letusan kontroversi itu adalah rentetan yang memberi tekanan kepada Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu selepas akur percintaannya selama tiga tahun dengan pelakon dan pengacara, Irma Hasmie berakhir, awal Oktober lalu.

Terhangat 2:

SELEPAS berteka-teki apabila dilihat bertandang ke mahkamah pada 24 Jun lalu, Maya Karin dan Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali mengesahkan mereka berpisah pada 16 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Berita pergolakan rumah tangga pasangan ini mula tersebar sejak Februari lalu. Ia terus menjadi teka-teki selepas pasangan ini hadir ke mahkamah pada 24 Jun lalu untuk mengesahkan perkahwinan mereka yang dilangsungkan di Villa Corte de Lago, Itali pada 14 Ogos 2008.

Aktor Remy Ishak pula dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga mereka tetapi dinafikan Maya kerana pasangannya dalam teater muzikal, Natrah dan filem Cun itu tidak mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, gosip ‘ada sesuatu’ di antara mereka terus diperkatakan sekuat penafian mereka.

Terhangat 3:

SEMBILAN tahun bergelar isteri kepada Adzmin Tan Sri Osman, Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku melepaskan gelaran itu apabila mereka bercerai talak satu pada 28 September lalu.

Ia menjadi sensasi dan mengejutkan ramai pihak kerana sebelum ini pasangan itu kelihatan cukup bahagia di khalayak ramai.

Pasangan itu berpisah dalam satu prosiding tertutup yang berlangsung di Mahkamah Syariah di Selangor selepas berusaha menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Pada 6 Ogos lalu, pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu mengadakan sidang media tergempar bagi menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak.

Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke Mahkamah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu tiada kena mengena dengan isu memfailkan permohonan cerai.

Raja Azura berkahwin dengan Adzmin, yang juga anak mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, pada 10 Mac 2001.

Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, lapan tahun; Megat Luqman Hakim, tujuh tahun; serta Puteri Mia Maizurah, empat tahun.

Terhangat 4

SETIAP kali muncul dengan buah tangan terbaru untuk peminat hiburan tanah air, ada saja yang menimbulkan bualan khalayak. Awal tahun orang mula rancak bercerita mengenai filem terbarunya yang menggunakan judul yang agak kontroversi iaitu Anu Dalam Botol yang berkisar mengenai kehidupan insan dua alam.

Tetapi akhirnya Raja Azmi Raja Sulaiman menukar judul filem itu kepada ...Dalam Botol saja atas nasihat Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF). Bagaimanapun, apa saja kontroversi yang melingkari hidupnya tidak dapat menandingi kisah hitam yang berlaku Ogos lalu.

Ketika dirinya berdepan tuduhan sebagai punca keretakan rumah tangga pemain badminton negara, Roslim Hashim, penerbit kontroversi itu menerima dugaan paling hebat apabila menjadi tahanan di lokap Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur pertengahan Ogos lalu.

Isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek, itu ditangkap pada 19 Ogos lalu jam 4.50 petang berikutan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) pada 21 Julai lalu kerana tidak hadir prosiding di mahkamah itu.

Penerbit filem berusia 51 tahun itu ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya, sehari selepas cerita mengenainya disiarkan akhbar kerana dikaitkan sebagai punca perceraian pemain badminton negara, Roslin.

Raja Azmi bagaimanapun, dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 pada 20 Ogos lalu dan diberi amaran keras oleh Hakim Mahkamah Tinggi supaya tidak memperlekehkan proses mahkamah.

Terhangat 5:

KERETAKAN rumah tangga yang dibina Rita Rudaini Mokhtar dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, mula dihidu pada awal Oktober lalu.

Bermula di laman gosip yang mendakwa seorang selebriti menghalang keluarga suaminya bertandang ke kediamannya, lantas membawa Rita ke media untuk bersuara.
Dia yang tidak lagi mampu membendung sabar mendedahkan campur tangan individu tertentu dalam keluarga mentuanya menyebabkan hubungannya dan suami goyah.

‘Perang mulut’ memuncak apabila suami Rita membuat kenyataan balas mahu mendedahkan punca keretakan rumah tangga mereka.

Akhir Oktober lalu, kemelut rumah tangga mereka bertambah buruk apabila Rita yang sedang hamil anak kedua keliru dengan tindakan Aidil ke Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban untuk memfailkan permohonan Sulh (perbincangan).

Peguam Aidil, Noor Ariff Delia Ramli, berkata tindakan pemain bola sepak berusia 23 tahun itu membuat keputusan memfailkan dua tuntutan terhadap Rita iaitu hak penjagaan terhadap anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin dan perintah isteri kembali taat (nusyuz) adalah kehendaknya sendiri.

Menurutnya, Aidil membuat keputusan berkenaan itu menjurus kepada usaha untuk memastikan haknya sebagai bapa berada pada landasan yang betul.

“Tindakan Aidil itu bukan untuk 'memanaskan' lagi pergolakan rumah tangga mereka yang dibina sejak Februari 2008, tetapi lebih kepada usaha mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Bagaimanapun, Rita yang ditemui pada sesi penggambaran drama bersiri Bahulu Balu Bidin di Damansara, baru-baru ini berkata, rumah tangga mereka kembali damai dan berharap segala kekeruhan itu akan segera berlalu.

Terhangat 6:

KRISIS peribadi antara Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza yang berlanjutan hampir enam tahun berakhir pada Ogos lalu apabila mereka dipertemukan dalam satu sesi fotografi khas di sebuah hotel di ibu negara yang menjadi berita muka depan tiga akhbar iaitu Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro.

Meskipun pernah bertembung dalam beberapa majlis, namun tiada usaha dibuat untuk menjernihkan semula kekeruhan yang pernah menggemparkan industri hiburan negara itu.

Kedinginan hubungan antara dua penghibur terkenal itu tercetus apabila Sharifah Aini didakwa membuat fitnah menerusi e-mel dengan niat merosakkan reputasi Siti Nurhaliza. Bagaimanapun, pendakwaan terhadap penyanyi itu digugurkan selepas didapati tiada kes yang boleh mengaitkannya.

Sharifah Aini ketika ditanya kesudiannya memenuhi undangan fotografi itu enggan masyarakat terus menyimpan prasangka buruk terhadap hubungan mereka berdua.

Siti Nurhaliza pula menyifatkan pertemuan itu sebagai keberkatan Ramadan yang mulia di samping menyeru semua pihak supaya terus menghentikan spekulasi terhadap mereka.

Biarpun mengakui pasti ada cakap-cakap nakal yang mempertikai keikhlasan mereka itu, Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza menegaskan untuk tidak mempedulikannya serta mengharapkan ikatan yang terjalin akan berkekalan. Malah sudah ada ura-ura, kedua-dua penyanyi itu akan disatukan dalam sebuah persembahan.

Terhangat 7:

“WALAU apa pun terjadi, Ben (Benjy) masih anak mama.. Mama tetap sayangkan Ben,” itu ungkapan yang ingin diucapkan kepada anak kesayangannya, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah.

Benjy ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah serta menjadikan kediamannya di sebuah kondominium mewah di Kepong sebagai tempat memproses kokain dan syabu pada 11 Mac lalu.

Artis berusia 31 tahun itu ditahan bersama rakan wanitanya berusia 23 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Segambut, kira-kira jam 2.30 petang pada tarikh itu sebelum dibawa ke kediamannya untuk pemeriksaan lanjut.

Mengikut laporan, polis menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 dan 1.4 gram syabu bernilai hampir RM2,000 tersembunyi dalam sebuah bilik di kediaman terbabit.

Polis turut menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah berkenaan. Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Tidak sampai dua jam dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 pada 25 Mac lalu, Benjy ditahan semula untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952).

Dia yang sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu, ditahan polis di luar pejabat kaunter pembayaran jaminan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Benjy kelihatan terpinga-pinga dan sempat bersalaman dengan ibunya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Penahanan semula Benjy turut mengejutkan Azean dan suaminya, Khairil Anwar, manakala adik pelakon itu, Elza Irdalyna menangis sambil menjerit ke arah polis sebelum dipujuk peguam bela, Sharon Khoo.

Kes itu masih dalam perbicaraan dan Mahkamah Majistret pada 13 Disember lalu menetapkan 11 Januari ini untuk sebutan semula perbicaraan Benjy yang berdepan dua tuduhan memiliki dadah.

Terhangat 8:

EPISOD perkahwinan yang menjadi bualan antara Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Mokhtar dan aktres popular, Zizie Ezette Abd Samad kembali 'hangat’ apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan selepas Bung Mokhtar mengaku bersalah atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran pada 19 Mei lalu.

Bung Mokhtar, 51, juga didenda RM1,000 atau penjara sebulan selepas mengaku salah bersubahat dengan Zizie, 32, bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk.

Isteri mudanya itu pula didenda RM2,000 atau penjara tujuh bulan atas dua tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar dan bersubahat dengan suaminya berpoligami tanpa kebenaran.

Pasangan itu bernikah di rumah Bung Mokhtar di No 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak jam 8.50 malam, 16 Disember 2009.

Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam bagaimanapun menerima rayuan Bung Mokhtar Radin untuk mengetepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya pada 11 Ogos lalu.

Dia dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

“Saya percaya perkara baik, (kesudahannya) tetap baik. Allah sudah memberikan hadiah terbaik untuk Ramadan tahun ini,” komen Bung Mokhtar sejurus menerima berita gembira itu.

Terhangat 9:

CITA-CITANYA terlalu tinggi, bahkan dianggap tidak realistik ketika industri perfileman tempatan masih bergelut untuk meraih kepercayaan khalayak supaya menyokong produk nasional.

Nama Dr Rozmey meniti di bibir peminat filem Melayu kerana kebijaksanaannya mencipta strategi memasarkan filem sulungnya berjudul 2 Alam.

Sasaran awal Dr Rozmey mensasarkan filem itu mampu mengumpul RM12 juta namun keyakinannya meningkat lalu memberi jaminan 2 Alam mampu mengumpul RM40 juta.

Dr Rozmey percaya sasaran itu boleh dicapai sekiranya masyarakat berfikiran positif dan memberi sokongan kepada filem Melayu untuk mencipta sejarah.
Bagaimanapun, apa yang dicita-citakan Dr Rozmey tidak menjadi kenyataan. 2 Alam tidak meraih kutipan yang diharapkan, malah Dr Rozmey terpaksa akur apabila filem itu hanya membawa pulangan tidak sampai RM500,000.

Terhangat 10:

FASHA Sandha terus menjadi tumpuan media sepanjang 2010. Satu demi satu episod hangat menyerang selebriti yang sudah lunak dengan perkataan kontroversi itu.

Gadis kelahiran Johor Bahru itu memanaskan 2010 apabila dilaporkan pergi bercuti bersama kekasihnya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli di Pattaya, Thailand pada akhir Januari lalu.

Fasha bagaimanapun menafikan perkara itu, malah memohon dakwaan liar terhadapnya dihentikan kerana ia memberi tekanan kepadanya.

Namanya terus hangat apabila kembali dikaitkan sebagai orang ketiga yang menjadi punca kepada keretakan rumah tangga aktres, Nora Danish dan Rizal.

Fasha bagaimanapun menganggap Rizal hanya sebagai kawan dan memberitahu, perasaan cinta antara mereka belum berputik sepenuhnya.

Bara cinta mereka mula dikesan apabila Rizal membuat kejutan dengan singgah di lokasi penggambaran drama bersiri, Duyung Aridinata di Pulau Lang Tengah, Terengganu menggunakan helikopter peribadi pada pertengahan Mei lalu.

Sensasi terbaru mula tercetus apabila meluahkan ketidakpuasan hatinya di laman Twitter mendakwa pelakon, Tiz Zaqyah cuba menggoda Rizal atau disapa Jejai.

Rentetan kontroversi itu mendesak Fasha untuk membuat pengakuan hatinya dimiliki Rizal pada majlis sesi ramah mesra bersama pelakon Duyung Aridinata di Ampang, 30 Jun lalu.

Fasha yang mengenali Jejai sejak tujuh tahun lalu berkata, hubungan cinta mereka makin terserlah apabila Jejai datang membuat kejutan di lokasi penggambaran drama itu di Pulau Lang Tengah dengan helikopter, Mei lalu.

Sehingga ini, pasangan itu belum berbincang mengenai perkahwinan kerana menganggap ia masih terlalu awal. Fasha sendiri tidak mahu terlalu berharap kerana enggan dikecewakan lagi.  
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
0

Isu Gambar Cium Nabil Dan Qasha



Qasha
PETALING JAYA: Pelakon baru, Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen,18, atau Qasha tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan selepas gambar “panas” kononnya aksi dia dengan juara raja lawak, Nabil Ahmad,27, bercium tersebar.
Beritahu Qasha, dia lebih selesa untuk berdiam diri sehingga kontroversi itu hilang begitu sahaja.
"Buat apa saya nak ambil tindakan? Saya lebih selesa untuk mendiamkan diri dan biarlah orang nak fikir apa-apa pun kerana saya telah menafikannya.
"Sekarang ini, walaupun saya menidakkan gambar tersebut, ia telah pun tersebar dan orang boleh melihatnya pada bila-bila masa. Jadi, kalau kita nak ambil tindakan, ia tak mendorong apa-apa pun.
 
 
Nabil melalui kontroversi baru selepas putus cinta dengan Irma Hasmie.
"Oleh itu, saya mahu senyap seketika dan tenangkan fikiran," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambah Qasha, walaupun kontroversi itu melanda dirinya, dia tetap tabah dan cuba meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Kebetulan pula sempena dengan Hari Raya Aidiladha ini, saya mahu berada di samping keluarga di Kelantan. Saya mengakui saya rasa tertekan dan fikiran saya kosong akibat kejadian ini. Tetapi sekarang ini saya dah okey. Hidup perlu diteruskan," ujarnya tenang.
Ahad lalu sebuah akhbar mingguan menyiarkan gambar panas yang dikatakan milik kedua-dua pelakon itu tetapi mereka menafikannya.
Sebaliknya Qasha dan Nabil mendakwa ia hanyalah teknik “super impose” berteknologi tinggi yang dibuat untuk menjatuhkan kerjaya mereka.
0

Nabil akur dengan keputusan Irma untuk berpisah


Nabil akui dirinya lalai dengan kehidupan.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Nabil Ahmad terpaksa akur dan menerima keputusan Irma Hasmie, untuk memutuskan hubungan cinta mereka yang telah terjalin sejak dua tahun lalu.
Menurut Nabil, dia terpaksa mengikut kata Irma seperti mana pendedahannya dalam sebuah akhbar mingguan Ahad lalu yang enggan memulihkan semula hubungan mereka.
"Jika sebelum ini saya tidak mengaku kami berpisah, kini saya ingin katakan yang saya sudah solo. Mungkin sebelum ini saya terlalu leka dengan pemberian Allah S.W.T yang telah memberi kesenangan hidup, seorang kekasih yang cantik dan kerjaya yang bagus.
"Setakat ini, tiada perancangan lagi untuk pulihkan hubungan kami. Saya cuma ingin memperbaiki diri saya dahulu, barulah saya baiki hubungan kami jika Tuhan izinkan. Lagipun dia dah kata tak mahu saya lagi.
"Benda ini satu pengajaran buat saya. Mungkin selama ini saya lalai. Apa-apa pun, saya anggap perkara ini ada hikmahnya. Walaupun sekarang fikiran saya sedang serabut, saya perlu berfikir secara positif dan selesaikannya secara perlahan-lahan. Saya percaya ada orang lagi besar dugaannya berbanding diri saya," tuturnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.
Dengan nada suara agak kesal atas kejadian yang berlaku, Nabil berkata sebenarnya dia telah membuat persiapan kahwin sedikit demi sedikit untuk menempuh hari bahagia mereka yang dijangka pada tahun 2012 itu.
Nabil terpaksa akur dengan keputusan Irma yang ingin memutuskan hubungan.
"Kita hanya mampu merancang tapi Tuhan saja yang menentukan. Begitu juga dengan saya, beberapa persiapan kahwin dah pun dibuat sikit-sikit. Mana tahu satu hari nanti jodoh kami masih ada. Tapi, andaikan Irma telah berjumpa dengan lelaki yang lebih baik, saya tidak kisah.
"Apa-apa pun yang sedang saya hadapi, kerjaya akan menjadi keutamaan saya dan saya perlu fokus dan kawal emosi saya tanpa mengganggu kerjaya saya sehingga menyusahkan orang lain," katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran filem Bujang Terlajak arah Profesor Razak Mohaideen.
Tambah Nabil, dia ingin menegaskan bahawa, gambar seorang wanita yang diambil bersamanya serta beberapa rakan lain yang tersebar di internet tidak ada kaitan langsung dengan masalahnya dengan Irma. Sebaliknya wanita itu merupakan kenalan baru Nabil.
"Tak fasal-fasal, dia pula terkait dalam masalah kami. Saya harap, orang luar tidak mengaitkan dia lagi," tegasnya.
Ditanya adakah Nabil masih lagi mencintai Irma, jawab Nabil:
"Saya masih sayangkan dia. Rasanya, perasaan sayang masih lagi ada bagi pasangan yang baru lepas putus cinta. Hal ini merupakan satu masalah seperti yang turut berlaku kepada pasangan-pasangan lain. Tapi disebabkan kami dikenali, maka ia menjadi besar.
"Saya ingin doakan sebuah kehidupan yang terbaik buat Irma. Saya tahu dia seorang wanita yang baik. Dulu, masa saya masih bersamanya, kalau ada apa-apa masalah, dia pasti akan berbincang dengan saya. Sekarang ini, saya harap dia ada kawan-kawan yang boleh berkongsi masalah. Kepada Irma, jagalah diri baik-baik,” kata Nabil.
0

Saman Ke Atas Nabil Raja Lawak Ditarik Balik


PETALING JAYA:Syarikat SDAF pictures menarik balik saman yang telah difailkan terhadap Juara rancangan Raja Lawak, Nabil (gambar) kerana melanggar kontrak promosi dan memperlekehkan filem lakonannya sendiri, Lu Pikirlah Sendiri De Movie.
Berikutan langkah itu, SDAF Pictures bersetuju membayar semula baki bayaran yang tertunggak dan memberi pampasan kos guaman yang ditanggung oleh Nabil dalam kes ini.
Menurut Nabil, dia gembira kerana pertikaian antara kedua-dua belah pihak dapat diselesaikan secara baik tanpa menjadikan mahkamah sebagai jalan penyelesaian.

"Saya gembira dan terharu kerana segalanya dapat diselesaikan dengan baik dan SDAF Pictures mengambil sikap terbuka untuk menyelesaikan pertikaian ini.
"Lebih-lebih lagi sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia ini di mana kita sebagai orang Islam digalakkan untuk bermaaf-maafan," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Nabil juga memberitahu akan menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran dan lebih berhati-hati dalam mengharuangi kerjaya sebagai pelakon.
"Dengan berakhirnya peristiwa dan pertikaian ini, saya bersedia mengharungi kerjaya saya dengan lebih bersemangat seperti mana yang diharapakan sebagai seorang pelakon.

Nabil juga berterima kasih kepada peguam-peguamnya iaitu Datuk Mohd Haaziq Pillay dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir yang turut sama membantu menyelesaikan pertikaian ini.
Terdahulu pada 24 Februari lalu, SDAF Pictures telah mengeluarkan notis saman RM2 juta terhadap Nabil kerana dia dikatakan telah mengkritik filem lakonannya sendiri sehingga menyebabkan imej buruk ke atas filem itu selain menjejaskan reputasi produser dan pengarah.
Nabil juga dikatakan melanggar kontrak bersama SDAF dengan tidak menghadiri promosi filem tersebut seperti yang dijanjikan.-mstar