Friday, 17 February 2012

Fenomena Adele



Baru setengah dekad bertapak dalam industri hiburan, penyanyi dan penulis lagu, Adele berjaya meletakkan namanya sebaris dengan Christopher Cross dan Norah Jones yang pernah memenangi kesemua empat kategori utama, Big Four pada anugerah berprestij Grammy.

Big Four; Record of The Year, Album of The Year, Song of The Year dan Best Pop Vocal Album yang dimenanginya sekali gus menyaksikan penyanyi berbadan gempal ini mencipta fenomena apabila membolot kesemua enam anugerah yang dicalonkan pada Grammys 2012.

Malah, sejak kemunculan album studio pertamanya lagi (19) yang dikeluarkan pada Januari 2008, lagu Chasing Pavements nyanyian anak jati England ini berjaya tercalon dalam tiga kategori pada Grammy Awards 2009 manakala Adele sendiri dicalonkan untuk anugerah Best New Artist.

Kali terakhir dicalonkan pada Grammys 2010, Adele bagaimanapun tidak membawa pulang sebarang anugerah yang menyaksikannya tercalon untuk kategori Best Female Pop Vocal Performance menerusi lagu Hometown Glory.

Pun begitu, tahun 2012 menyaksikan sekali lagi kejayaannya dalam Grammys dengan kemenangan kategori Big Four dan dua lagi kategori, Best Pop Solo Performance menerusi lagu Someone Like You dan Best Short Form Music Video menerusi Rolling In The Deep.
Adele yang muncul dengan Album 21 yang dipasarkan tahun lalu berjaya menawan hati juri dengan lagu berkisar patah hati, sekali gus meletakkannya setaraf dengan penyanyi Beyonce yang sebelum ini pernah meraih banyak anugerah dalam sesuatu majlis.

Bukan hanya sekadar menyaksikan Adele menerima anugerah, sebaliknya penyanyi ini turut mengadakan persembahan hebatnya pada malam tersebut. Biarpun baru sahaja menjalani pembedahan kerana masalah kerongkong, namun persembahan gadis berusia 23 tahun ini cukup menakjubkan sehingga ramai penonton pada malam itu berdiri memberikan hormat sebaik sahaja Adele selesai melakukan persembahan.

Adele begitu berterima kasih kepada doktor yang merawatnya kerana membantunya mengembalikan suara seperti sedia kala. Malah katanya, pengalaman hilang suara mengajarnya untuk lebih menghargai bakatnya yang satu itu. Anugerah Grammy diadakan secara tahunan oleh National Academy of Recording Arts and Sciences, United States sejak tahun 1958.

Tuah putus cinta

Tampil dengan gaun malam berwarna hitam, malam Grammys 2012 umpama malam meraikan kejayaannya dengan kemenangan demi kemenangan yang diraih.

Pun begitu, Adele yang sebelum ini pernah memberitahu akan inspirasi­nya menghasilkan Album 21 adalah daripada kisah putus cintanya kini berasa cukup bertuah apabila pengalaman tersebut meletakkannya sehingga ke tahap ini.

Menurut Adele, dia percaya bekas kekasihnya gembira melihat pencapaiannya pada malam Grammy lalu.

“Album ini diinspirasikan oleh sesuatu perkara yang normal untuk semua orang, iaitu putus cinta. Saya rasa dia (bekas kekasih) akan gembira melihat kejayaan ini kerana dia merupakan inspirasi saya sewaktu menghasilkan lagu-lagu dalam Album 21,” katanya.
Selepas kejayaannya untuk Album 21, Adele sendiri mengaku sudah bersedia untuk kembali jatuh cinta.

“Secara jujurnya, kadangkala saya berasa sengsara kerana tidak mempu­nyai seseorang untuk berkongsi saat-saat gembira dan sedih.

“Saya hanya ingin merasai perasaan jatuh cinta kembali dan juga dicintai. Namun, selepas menyedari saya masih mempunyai peminat untuk berkongsi lagu-lagu ciptaan saya, kini saya tidak mahu lagi memikirkan perasaan itu.

“Saya hanya ingin bercinta dengan muzik dahulu. Lebih-lebih lagi, sehingga kini saya masih belum berjumpa dengan seseorang yang boleh mengetuk pintu hati saya semula,” katanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini Adele digosipkan bersama Simon Konecki.

Adele yang hanya tertawa mende­ngar gosip itu berkata, Simon seorang lelaki hebat dan boleh menerima dia seadanya.

“Dia bangga dengan saya, dan dia tidak pernah mengendahkan kata-kata orang mengenai diri saya. Malah dia juga yang sering menjaga saya ketika menjalani pembedahan sehinggalah saya sembuh seperti sekarang ini,” katanya.

Selesa berbadan gempal

Biarpun kejayaan demi kejayaan diraih, namun Adele tidak pernah ‘kering’ daripada disentuh mengenai fizikalnya yang gempal. Mengulas mengenainya, penyanyi bersuara lantang ini menegaskan tidak mahu memikirkan hal tersebut.
“Saya juga tidak mahu kelihatan kurus hanya untuk cantik kerana saya selesa dengan fizikal sekarang. Saya hanya ingin peminat melihat saya menyanyi tanpa memikirkan badan saya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...