KUALA LUMPUR: Pelakon, Zed Zaidi telah dipilih sebagai presiden baru Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bagi penggal 2012/2013.
Zed dipilih sebagai Presiden Seniman yang baru pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-14 di Kompleks Finas, Hulu Klang, pada Sabtu dengan 152 undian.
Selain Zed, dua lagi calon yang turut bertanding merebut jawatan itu adalah Datuk Ahmad Tarmimi Saregar (9 undi) dan Zulkifli Ismail (8 undi).
Manakala Elyas Iskandar telah dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baru dengan majoriti undian sebanyak 97 undi.
Seramai 220 ahli yang layak telah membuang undi untuk pemilihan jawatankuasa terbaru itu.
Sebelum itu, Zed yang sepatutnya bertanding jawatan tersebut dengan bekas presidennya iaitu Datuk Mustapha Maarof bagaiamanpun beliau telah mengambil keputusan untuk menarik diri sebelum pengundian dimulakan.
Dalam pada itu, Zed ketika ditemui berkata, dia amat berterima kasih dengan semua ahli yang telah mengundinya dan memberitahu ia adalah bukti ahli Seniman telah bersedia untuk menerima pucuk muda sepertinya untuk memimpin persatuan itu.
Zed memberitahu, dia berbangga dapat memimpin Seniman yang telah berusia 38 tahun itu dan berjanji akan memastikan semua ahli akan terbela nasibnya.
Harun tidak mempertahankan jawatannya yang dipegang selama satu penggal.
"Saya akan memastikan semua nasib ahli Seniman akan terbela dan sudah sampai masanya imej para artis di negara ini perlu ditingkatkan," katanya.
Mengulas mengenai pengunduran Mustapha sebagai calon Presiden, Zed memberitahu dia menghormati keputusan beliau dan berharap akan dapat bekerjasama dengannya dalam memperbaiki Seniman.
"Beliau adalah orang lama dan banyak pengalaman. Kami dipihak Seniman akan terus bekerjasama dengannya dalam mengambil kira pandangan dan ideanya sebagai orang berpengalaman dalam Seniman," katanya.
Sementara itu, bekas presiden Seniman penggal 2010/2011 iaitu Harun Salim Bachik yang tidak mempertahankan jawatannya memberitahu dia yakin Zed dapat membawa Seniman ke arah yang lebih baik dan berharap semua ahli akan bersatu hati dalam memastikan persatuan itu dihormati.
"Harap-harap Zed akan dapat membawa Seniman ke tahap yang lebih tinggi lagi," ujarnya.
Tambah Harun, dia juga akan terus setia bersama Seniman sebagai ahli dan sedia memberi pandangan sekiranya diperlukan pada masa akan datang.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
0 comments:
Post a Comment