Showing posts with label Ameng Spring. Show all posts
Showing posts with label Ameng Spring. Show all posts
0

Semoga Kisah Ameng Spring Menjadi Iktibar Kepada Semua

http://www.gosipsensasi.co.cc



SEBAB nila setitik rosak susu sebelanga, sebab dadah durjana, keluarga penyanyi popular bernama Ameng ini berdepan situasi yang perit. Semoga kisah Ameng, penyanyi kelahiran Besut, Terengganu ini menjadi iktibar kepada semua kerana setiap manusia itu tidak pernah sempurna kejadiannya.

BENARLAH, melepaskan insan tersayang untuk berdepan sebuah hukuman itu terlalu perit. Pedihnya sampai tidak tergambar oleh kata-kata. Mungkin, hanya individu terpilih sahaja diberikan ujian sebegitu dan mampu menangani saat itu.
“Sampai akhir hayat saya sekalipun, saya akan tetap tunggu Ameng. Sebusuk-buruk mana sekalipun dan sejahat-jahat mana sekalipun, dia tetap suami saya, bapa kepada anak saya, Haikal. Dia suami dan bapa yang baik,” itu kata-kata seorang isteri yang masih menebal traumanya.
Sebaknya dapat dikesan walaupun penulis sekadar berhubung di talian telefon. Tangisnya bermula seawal khabar dirinya, penulis usulkan. Dia Sabariah Zakariah, 41, seorang isteri dan ibu yang sedang teruji di segenap penjuru.
“Saya kenal Ameng sejak 1992. Dia tidak jahat seperti sangkaan sesetengah pihak, dia tidak jahat. Jahat sangatkah dia sampai begitu sekali hukuman yang diterima,” rintihnya dalam nada yang tersekat-sekat, bagai tangis yang basah bersiram di setiap urat darah.
Tambah Sabariah, Ameng berpesan, supaya dia selalu ingatkan anak mereka, Wan Amar Haikal.
“Selalu ingat dan kenal akan ayahnya. Pesanan Ameng juga, supaya saya kerap memutarkan apa sahaja klip video karaoke lagu-lagu nyanyian Ameng ketika bersama Spring mahupun solo.
“Dia juga pesan, supaya saya tidak terlalu memikirkan tentang dirinya, takut memudaratkan saya pula. Kalau datang melawatnya di Penjara Kluang, Johor, tolong bawa Haikal bersama,” kata Sabariah.
Hari-hari kelam Sabariah bermula seawal dia dan Ameng ditangkap pada 1 Februari lalu di sebuah hotel di Taman Melaka Raya berikutan tuduhan memiliki dadah.
Sejak saat itu, lebih dua bulan mereka merengkok di dalam penjara di Sungai Udang, Melaka dan dipisahkan oleh dua blok bangunan yang berbeza.
Pada Rabu lepas, Ameng dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan oleh mahkamah. Ameng mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah dan memasukkan bahan itu ke dalam badannya pada awal Februari lalu. Dakwaan ke atas Sabariah digugurkan, dan dibebaskan daripada sebarang hukuman.
“Sehari sebelum keputusan dibacakan, peguam ada datang berjumpa saya. Katanya, saya mungkin akan dibebaskan jika Ameng membuat pengakuan atas semua dakwaan.
Serik hidup di penjara
“Ameng rela hati mahu mengaku bersalah supaya dia yang menanggung segala hukuman. Dia reda dan mahu saya bebas untuk terus menjaga amanah kami (anak). Dia tak mahu melibatkan saya dan anak. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya tapi setidak-tidaknya, saya sudah kenal perit hidup dipenjara. Dua bulan saya terkurung, terpinga-pinga dan menanggung sengsara yang amat sangat, rindukan anak dan suami. Perasaan dalam penjara itu sangat berlainan.
“Itu baru dua bulan, inikan pula untuk tempoh selama lapan tahun. Saya boleh bayangkan azab yang akan ditanggung Ameng tambah lagi dengan 10 sebatan. Saya tahu, dia bukan jenis yang kuat,” luah Sabariah.
Bukan merintih merayu simpati, jauh sekali meminta bantuan, Sabariah hanya mahukan pengertian. Dia juga tidak sedih atau terkilan. Sepanjang kes berjalan, tiada seorang pun rakan atau pihak dalam industri hiburan yang muncul bertanya khabar. Sampai ke tahap itu, hinanya mereka di mata umum.
“Ameng sudah reda, dia juga pesan supaya saya jangan berdendam dengan sesiapa, jangan menidakkan kerja pihak media, jangan marah jika dicemuh masyarakat. Saya reda dengan semua ini. Selepas saya dibebaskan, hanya Iskandar, salah seorang bekas ahli kumpulan Spring yang berhubung dengan saya. Dia yang banyak memberi sokongan. Saya hargai sangat sesiapa yang hubungi saya bertanyakan khabar,” katanya yang kini menetap bersama anak dan keluarga di Melaka.
Nasib ada keluarga serta kawan-kawan yang memberi sokongan dan setelah hampir seminggu dibebaskan, wanita itu masih tidak ke mana-mana, tidak mampu untuk bertemu sesiapa.
“Saya jadi takut untuk jumpa orang. Nak tengok akaun Facebook pun takut. Pantang duduk seorang, pasti menangis,” katanya yang sudah memasang tekad untuk pulih daripada sejarah hitam.
Tutup perbualannya, doa Sabariah, biarlah Ameng tenang menadah hukuman dunia.
“Semoga dia tenang dan sentiasa mengingati Tuhan,” ungkapnya perlahan.-kosmo
0

Ameng Spring Di Hukum Penjara 8 Tahun Dan 10 Sebatan

Ameng digari ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

http://www.gosipsensasi.co.cc


MELAKA – Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, dihukum penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan dadah.
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas Ameng, 42, mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Ameng, didakwa bersama-sama isterinya Sabariah Zakaria, 41, bagi pertuduhan pindaan pertama dan kedua.
Sabariah yang mengaku tidak bersalah kemudiannya dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, Ameng dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 105.90 gram dalam sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir di sini pada 5.20 petang 1 Februari lepas.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ameng dihukum penjara dua tahun setelah mengaku bersalah pada waktu, tempat dan tarikh yang sama, memiliki dadah methamphetamin seberat 0.22 gram.
Bagi satu lagi pertuduhan, Ameng dihukum penjara satu tahun dengan dua tahun pengawasan polis selepas dia mengaku bersalah melakukan pemberian diri sendiri dadah jenis methamphetamin, di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, pada 6 petang 1 Februari lepas. –Bernama
0

Ameng Spring mengaku salah miliki dadah

http://www.gosipsensasi.co.cc


AYER KEROH: Vokalis kumpulan rock terkenal Spring, Ameng, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine di sebuah hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, dekat sini, pada 1 Februari lalu.



Mengikut pertuduhan pertama, Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 43, dan isterinya, Sabariah Zakariah, 41, didakwa memiliki dadah jenis kanabis dengan berat kasar 122 gram dalam sebuah bilik di Hotel Senyum Mesra pada kira-kira 5.20 petang.
Bagaimanapun, Sabariah tidak mengaku bersalah terhadap kedua-dua dakwaan terbabit.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibacakan bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (3) akta sama dan Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau minimum tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang dari 10 bagi pertuduhan pertama, manakala bagi pertuduhan kedua, hukumannya didenda tidak lebih dari RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
0

Ameng Spring kantoi lagi

http://www.gosipsensasi.co.cc




REAKSI selamba Ameng dan isteri ketika diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Melaka semalam.


MELAKA – Tidak serik-serik! Penglibatan segelintir artis tanah air dengan najis dadah seakan-akan tidak dapat dipisahkan walaupun mereka telah ditahan dan dikenakan hukuman tetapi ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

Dalam serbuan Ops Tapis kira-kira jam 5.20 petang itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri turut menahan seorang wanita berusia 40 tahun dipercayai isteri kepada penyanyi berkenaan.

Sumber berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan penyanyi berusia 40-an itu melakukan intipan sebelum menyerbu bilik hotel berkenaan untuk membuat pemeriksaan.Menurutnya, anggota polis mengetuk pintu bilik yang dihuni pasangan terbabit sebelum seorang wanita membukanya dan polis masuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik anggota polis memasuki bilik, penyanyi terbabit duduk di atas kerusi dan pemeriksaan pada tubuhnya, tidak menemui sebarang bahan terlarang.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu ketulan daun kering dipercayai ganja, empat peket lutsinar mengandungi syabu dan empat peket lutsinar berisi ganja dalam beg di dalam bilik mereka.

“Malah, saringan awal ujian air kencing mendapati penyanyi itu positif dadah jenis methapetamin manakala isterinya negatif ujian itu. Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai anak kepada pasangan terbabit yang turut berada dalam bilik berkenaan diserahkan kepada waris keluarganya.

Katanya, setakat ini polis sudah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Ayer Keroh menahan reman pasangan terbabit selama tujuh hari sehingga Selasa depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Jaafar Mat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas penyanyi lelaki terbabit.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut ke atas pasangan berkenaan berhubung kesalahan memiliki dadah, selain kesalahan memasukkan dadah dalam badan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi berkenaan hanya selamba apabila jurugambar merakamkan wajahnya yang berjalan keluar menuju ke trak polis selepas permohonan reman diperoleh daripada mahkamah, malah sempat meminta beberapa batang rokok daripada beberapa lelaki dipercayai saudara maranya.

Pada September tahun lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memerintahkan penyanyi itu membela diri terhadap tuduhan memasukkan ganja ke tubuhnya pada 2 April 2010.

Selain kes dadah, dia berdepan satu lagi kes mahkamah apabila bekas isterinya A.Aida memfailkan tuntutan nafkah anak mereka yang dikatakan tidak dijelaskannya.
0

A.Aida Tuntut Nafkah Anak Daripada Ameng RM85,000

A.Aida bersama peguamnya, Norazmi Mohd Ariff hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini bagi kes tuntutan nafkah anak-anak dari suaminya, bekas penyanyi Kumpulan Spring, Ameng.


KUALA LUMPUR: Produser dan dramatis 90-an, A. Aida memfailkan permohonan bagi menuntut tunggakan nafkah dua orang anak bernilai RM85,000 daripada bekas suaminya, Ameng yang merupakan vokalis kumpulan Spring.
A. Aida atau nama sebenarnya Zaida Awang, 40, mendakwa Ameng gagal menjelaskan nafkah anak selama 85 bulan, iaitu sejak mereka sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 17 Disember 2003.
Pasangan tersebut berkahwin pada 1994 di Terengganu.


Semasa bercerai, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, bersetuju untuk membayar RM1,000 sebulan sebagai nafkah anak, Wan Az Aleesa, 14, dan Wan Azevanatassha, 9, yang perlu dijelaskan pada minggu pertama setiap bulan.
Produser drama Halimah Jongang itu memfailkan permohonan tersebut pada 21 Disember lalu menerusi peguam-peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif dan Normawaddah Ramli.

Kes disebut untuk kali pertama di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis.
Pada prosiding itu, Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan bertanyakan mengapa permohonan itu lewat difailkan, iaitu telah melebihi tempoh enam tahun.
“Plaintif (Aida) cuba untuk memberi peluang kepada defendan (Ameng). Bagaimanapun, nafkah tidak pernah dimasukkan ke dalam akaunnya,” kata Nor Azmi.
Abdul Walid kemudiannya bertanyakan kerja defendan (yang tidak dinyatakan pada dokumen) dan Nor Azmi memaklumkan Ameng adalah seorang artis.
Selepas meneliti dokumen yang berkaitan, Abdul Walid membenarkan permohonan Aida untuk mendapatkan perintah bagi memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Ameng mengenai kegagalannya membayar nafkah.
Prosiding kes tersebut akan berjalan di Mahkamah Rendah Syariah di sini dan tarikhnya akan dimaklumkan pada masa akan datang.
Aida yang mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman hadir berseorangan di mahkamah.

“Saya dah banyak kali minta (nafkah anak) daripada Ameng, tapi dia suruh saya minta dengan lelaki lain,” katanya kepada media di luar mahkamah.
Pada 1 November lalu, Ameng dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 serta diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memasukkan ganja ke dalam badannya.
Dia semasa membela diri atas tuduhan itu mendakwa pertuduhan tersebut adalah konspirasi antara Aida dan Suffian untuk memalukan dirinya.
Ameng telah berkahwin lain pada 2004 dengan Sabariah Zakaria, 40, dan dikurniakan seorang anak, Wan Amar Haikal yang kini bersusia tiga tahun.
0

Ameng Spring Dihukum Penjara 2 Bulan, Denda RM4,000


Ameng mendukung anaknya, Wan Ahmad Haizal, 3 sambil ditemani isterinya, Sabariah Zakaria. - Foto THE STAR Oleh MOHD SAHAR MISNI
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Spring, Ameng (gambar) atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 40, dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memasukkan dadah dalam badan pada April lalu.
Ameng juga diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan selama 3 tahun.
Ameng didakwa atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya ketika ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Sentul, di sini, pukul 3.45 pagi, 2 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret Zaki Asyraf Zubir memutuskan demikian setelah pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan melampaui munasabah terhadap pertuduhan tersebut.
Beliau turut menolak dakwaan Ameng bahawa kes dadah yang sedang dihadapinya merupakan konspirasi bekas isteri, Zaidah Awang atau A. Aida dan suaminya, Asisten Supritendan Suffian Sulaiman yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur kerana menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Sulaiman adalah Ketua Bahagian Perhubungan Awam di IPK tersebut.
Zaki memberitahu, sekiranya Ameng gagal membayar denda tersebut, dia akan dikenakan hukuman empat bulan penjara.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Bougenvilla itu diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias.
Bagaimanapun, Ameng dibenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dengan syarat vokalis tersebut perlu memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar meminta mahkamah menaikkan ikat jamin sebanyak RM2,000 lagi dengan penjamin yang sama. Sebelum ini, Ameng diikat jamin dengan RM3,500 oleh isterinya.

0

"Anak Lari Takut Balik Rumah Ameng" - A.Aida


A.Aida memberi penjelasan kerana tidak puas hati dengan kenyataan Ameng dalam akhbar Rabu lalu yang menuduhnya mempunyai konspirasi menjatuhkan bekas vokalis Spring itu.
KUALA LUMPUR: Bekas isteri Ameng (Spring) iaitu A.Aida mendedahkan salah seorang anak mereka pernah lari dari rumah tetapi sempat diselamatkan oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis dalam kejadian enam tahun lalu.

A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang,39, berkata, anak sulung mereka, Wan Aleesya yang sekarang berusia 14 tahun takut untuk pulang ke rumah kerana mendakwa pernah dipukul.
“Ameng gagal menguruskan anak sehingga anak kami pernah lari dari rumah ketika saya membenarkan dia menunaikan haknya untuk menjaga anak. Nasib baik ada orang jumpa anak saya merayau-rayau seorang diri sebelum mereka menolongnya menghantar ke balai polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujar A.Aida.
Produser A.Aida Production itu berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media tergempar yang diadakan di Restoran Rebung, Bangsar di sini petang, Khamis.
Sidang media itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati A.Aida terhadap Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail,42, yang mendakwa A.Aida dan suaminya, Asisten Superintenden Suffian Sulaiman melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kerjayanya seperti dilaporkan akhbar, Rabu.
Mahkamah Majistret di sini pada Selasa lalu memerintahkan Ameng membela diri atas tuduhan memasukan dadah ke dalam badan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan.
Khusyuk... para wartawan mendengar penjelasan A.Aida mengenai hak penjagaan anak yang selama ini tidak pernah dipedulikan Ameng. Gambar The Star oleh Azhar Mahfof.
A.Aida yang hadir bersama peguamnya Zulkifli Yong Azmi berkata, berikutan kejadian yang menimpa anaknya itu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Subang Jaya, Selangor telah menasihatinya supaya tidak lagi membenarkan Ameng menjaga anak mereka kerana bimbang masalah serupa berulang.
Bagaimanapun kata Aida, sebagai seorang ibu dia memahami hati seorang bapa dan tidak menghalang untuk Ameng bertemu dengan anak-anak mereka.
Katanya, beberapa minggu sebelum Ameng ditahan pada 4 April lalu, Ameng telah mengambil dua anak mereka termasuk Wan Natasha,9, untuk membawa pulang ke Terengganu.
“Saya tidak halang Ameng bertemu anak-anaknya kerana anak dan bapa tidak boleh dipisahkan. Tetapi saya terkejut apabila Ameng selalu membuat tuduhan kononnya saya tidak memberi kebenaran untuk dia bertemu anak. Itu adalah satu pembohongan,” katanya.
Tambah Aida, selepas berpisah dengan Ameng pada tahun 2002, Aida tidak pernah menuntut sebarang nafkah yang sepatutnya diberikan oleh Ameng kepada dua anak mereka kerana memahami Ameng mempunyai masalah kewangan.
Tetapi apabila dia selalu membuat dakwaan yang bukan-bukan termasuklah menuduh A.Aida dan suami mempunyai konspirasi untuk menjatuhkannya, dia tidak dapat berdiam diri lagi.
Sehubungan itu kata A.Aida dia dan peguamnya sudah bersetuju untuk mengambil tindakan terhadap Ameng iaitu akan mengemukakan saman malu dan menuntut nafkah anak.
“Saya dah bagi peluang kepada Ameng tetapi dia masih memburuk-burukkan saya, jadi, saya terpaksa bertindak dengan mengemukakan saman malu dan tuntutan nafkah anak,” katanya.
Aida menambah, tujuan dia membuat laporan polis terhadap Ameng pada April lalu tiada kena mengena dengan anak tetapi ugutan jenayah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan Ameng termasuklah mendakwa mempunyai pistol untuk menembak Aida dan suami.
Bagaimanapun semasa ditahan, polis mendapati Ameng positif dadah sehinggalah dia didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut.
Kata Aida lagi, dia dan suaminya yang bertugas sebagai Ketua Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tidak pernah campur tangan dalam siasatan polis sebaliknya segala hukuman dan juga keputusan adalah di atas bidang kuasa mahkamah.
Bagaimanapun katanya, jika Ameng merasakan ada konspirasi untuk menjatuhkannya, penyanyi itu boleh membuat laporan polis dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Sebenarnya selama ini saya tiada niat untuk membuat pendedahan ini kerana ia berkaitan keluarga tetapi apabila Ameng tidak habis-habis dengan tuduhannya itu, maka saya terpaksa tampil untuk membela diri,” katanya.
Sementara itu peguam A.Aida iaitu Zulkifli berkata pihaknya akan menyediakan dokumen yang berkaitan saman malu dan juga tuntutan nafkah sebelum difailkan di mahkamah.
Ameng dan A.Aida berkahwin pada tahun 1995 dan berpisah tujuh tahun kemudian.
Ameng kemudian berkahwin dengan Sabariah Zakaria,40, pada tahun 2004 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Wan Amar Haikal yang kini berusia tiga tahun.
Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujahan bertulis mengenai kes Ameng itu.

0

Ameng dakwa ada pistol


KUALA LUMPUR: “Saya tak sangka pesanan supaya menghentikan ‘SMS berlagak’ menyebabkan dia naik berang dan mengugut mahu mencederakan saya serta suami,” kata penerbit dan pengarah drama, A Aida berhubung tindakannya membuat laporan polis terhadap bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Spring, Ameng.
Aida atau nama sebenarnya, Zuraidah Awang, 39, berkata bekas suaminya itu kerap menghantar SMS mendakwa kononnya dia bakal menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk dan mempunyai wang jutaan ringgit serta sanggup memberikan sebahagian wang itu kepadanya.
Bagaimanapun, Aida yang tidak tahan dengan gangguan SMS itu membalas pesanan teks itu kepada Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 41, dengan meminta penyanyi itu tidak mengganggunya lagi. “Saya minta dia jangan ganggu saya dan segera berhenti menghantar SMS sebab saya sudah meluat.

“Suami saya juga turut menghubungi dia (Ameng) meminta dia tidak berterusan mengganggu, namun sebaliknya dia berang dan mula memaki-hamun suami saya dengan kata-kata kesat,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.

Aida berkata, bekas suaminya itu turut mengancam keselamatan dirinya dan suami dengan mendakwa kononnya dia mempunyai sepucuk pistol. “Pada mulanya dia bercakap lembut dengan suami saya, malah menceritakan keburukan saya. Dia turut mendakwa saya sering menghantar SMS kepadanya tapi suami tidak mempercayainya dan menasihatkan dia menghentikan tindakan membuang masa itu,” katanya. Aida bagaimanapun menafikan laporan polis yang dibuat itu mempunyai kaitan dengan hak penjagaan anak, sebaliknya lebih kepada ugutan diterima.

“Tiada kaitan langsung dengan hak penjagaan anak kerana bekas suami memang tidak ada hak ke atas mereka selepas berlaku kes dera, malah pihak mahkamah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memutuskan hak itu kepada saya,” katanya.

Mengenai keadaan Ameng yang didapati positif dadah selepas ditahan polis, Aida enggan memberikan sebarang komen.

“Saya serah perkara itu kepada polis dan tak mahu ambil tahu berhubung penahanan dia. Sekarang saya rasa lebih selamat dan tenang,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang vokalis kumpulan rock terkemuka tanah air yang popular pada era 90-an ditahan kerana disyaki mengugut bekas isteri, selain didapati positif dadah Penyanyi `rock kapak’ yang sebelum ini pernah ditahan kerana kes dadah, diberkas polis kira-kira jam 5 petang kelmarin ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk memberi keterangan berhubung kes ugutan terhadap bekas isterinya.
Oleh Muhd Izawan Baharin dan Asmah Rusman
0

Penyanyi Rock Ameng Spring Ditahan Polis Kerana Ugut Bekas Isteri


Ameng pernah didenda sebanyak RM3,000 dan diletakkan dalam pengawasan polis selama 2 tahun oleh Mahkamah Majistret Besut di Terengganu. Ameng, 37, dijatuhi hukuman setelah mengaku bersalah menagih methamphetamine di Kampung Batang Gergaji, Besut pada 3 September 2005. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Seorang penyanyi sebuah kumpulan rock 90an akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi ini berikutan ugutan yang dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas isterinya baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, Ameng Spring atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail ditahan ketika hadir di balai polis Sentul kira-kira pukul 2 petang semalam untuk membantu siasatan.
"Bekas isterinya membuat laporan polis pada 30 Mac lalu setelah menerima SMS ugutan itu. Esok (Hari ini), dia akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta," katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.
Pada 14 Disember 2005, Ameng pernah dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Besut, Kampung Raja dekat Jertih setelah mengaku bersalah menagih dadah jenis syabu awal September 2005.